Kuih muih melayu terdiri daripada pelbagai rasa, ada manis, masin dan juga pedas. Memang sedap untuk dinikmati kala minum petang. Kuih Cara Berlauk, salah satu kuih tradisional Melayu yang sangat disukai ramai. Sebab itulah kuih ini sentiasa menjadi kegemaran sepanjang zaman. Rasanya lembut, lemak dan sedikit pedas ini memang tak cukup satu bila makan. Pilihan kuih manis turut diminati ramai. RASA kongsikan resipi kuih muih untuk anda buat dan nikmati keenakkannya.

Apam Beras Choc Rice

BAHAN-BAHAN:

  • 1 cawan nasi sejuk
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 1 1/4 cawan air
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh instant yeast
  • Kelapa parut putih + secubit garam  |  gaul rata

CARA MEMASAK:

1.    Satukan tepung gandum, tepung beras dan instant yeast. Kacau rata dan ketepikan.

2.    Kisar nasi sejuk bersama air dan gula pasir hingga halus. Kemudian tuang dalam bekas berisi tepung tadi. Kacau rata dengan whisk hingga rata dan licin. Perap 3 jam.

3.    Panaskan kukusan, lapik acuan apam dengan parchment paper bercorak. Kacau bancuhan apam dan kacau rata.

4.    Masukkan ke dalam acuan hingga hampir penuh dan tabur chocolate rice.

5.    Kukus dengan api kuat selama 15 minit, balut tutup kukus anda dengan tuala dapur yang bersih. Bila masak, keluarkan apam dari acuan dan boleh hidangkan bersama kelapa parut.

Info chef: Boleh asingkan sedikit adunan dan warnakan dengan warna coklat, titiskan sedikit sebelum dikukus.

 

Kuih Lopes Gula Melaka

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan beras pulut
  • 2 cawan santan cair
  • 1/2 cawan air pandan |dikisar
  • 1 sudu teh air kapur
  • 1/2 sudu teh garam
  • Kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam

Bahan Air Gula:

  • 3 ketul gula Melaka
  • 5 sudu besar gula
  • 3 cawan air
  • 2 helai daun pandan, disimpul

CARA MEMASAK:

  1.  Cuci beras pulut,rendam beras pulut dengan air selama tiga jam bersaman air kapur.
  2. Kemudian toskan dan masukkan dalam loyang. Kukus selama 20 minit.
  3. Kisar daun pandan bersama 1/2 cawan air dan tapiskan airnya. Kemudian masukkan santan & air pandan ke dalam pulut tadi, gaul rata dan kukus lagi selama 30minit.
  4. Kemudian bentukkan pulut ikut bentuk yang anda suka.
  5.  Gaulkan pulut dengan kelapa parut. Ketepikan
  6. Sementara itu buat air gula. Masukkan semua bahan air gula dalam periuk.
  7. Masak menggunakan api sederhana, apabila mendidih kecilkan api dan masak hingga agak likat.
  8. Angkat dan biarkan sejuk.
  9. Siap dihidangkan bersama pulut

 

Pau Goreng Inti Kacang Merah

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm tepung kuih pau
  • 6gm yis segera
  • 50gm minyak sayur
  • 1/2sudu teh garam
  • 100gm gula halus
  • 250gm air suam
  • Bahan Inti:
  • 200gm kacang merah
  • 100gm gula perang
  • 1/2 sudu teh gula merah
  • 1/2sudu teh garam
  • 3 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat inti pau. Rebus kacang merah sehingga separuh kembang.
  2. Kemudian masukkan kacang ke dalam bekas pengisar  bersama sedikit air, kisar sehingga halus.
  3. Seterusnya, masukkan ke dalam periuk bersama gula perang, gula merah dan garam.
  4. Kacau rata dan masak sehingga pekat. Angkat dan sejukkan.
  5. Untuk membuat kulit pau pula. Masukkan tepung ke dalam mangkuk adunan.
  6. Selepas itu satukan air, yis, minyak, gula dan garam. Uli adunan ini selama lima minit.
  7. Bentuk doh menjadi panjang dan potong doh setiap satu menjadi 50gm.
  8.  Kemudian simpan doh selama 10 minit dengan ditutup plastik.
  9. Setelah 10 minit, ambil doh dan tepekkan menjadi bulat.
  10. Kemudian isikan inti dan bulatkan doh.
  11. Simpan selama sejam.
  12. Akhir sekali panaskan minyak dan goreng dengan api sederhana sehingga pau berwarna keperangan.

Bingka Roti Lemak Manis

BAHAN-BAHAN:

  • 3 biji telur
  • 4 biji telur
  • 1 cawan gula halus
  • 100gm mentega |  dicairkan dan biarkan suam
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 12 keping roti putih | didadu
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 liter santan
  • 1 cawan jagung krim dalam tin

CARA MEMASAK:

  1. Dalam satu bekas, satukan telur dan gula, kacau hingga larut.
  2. Tambah mentega dan masukkan tepung dan garam, kacau rata.
  3. Tuang santan,   kacau hingga semua sebati.
  4. Masukkan roti tadi dan biar terendam selama 15 – 20 minit.
  5.  Masukkan krim jagung , kacau hingga rata.
  6. Tuang dalam acuan kuih bingka yang telah disapu mentega.
  7. Bakar dalam  ketuhar pada suhu 180C, selama 1 jam atau pun hingga masak.
  8. Biarkan kuih  sejuk sebelum dikeluarkan dan dipotong.

 

Cara Berlauk

BAHAN-BAHAN:

  • 75 gm tepung gandum
  • 1 biji telur gred A
  • 170 ml santan
  • 2 sudu makan mentega | dicairkan
  • Beberapa titik pewarna kuning makanan
  • Secubit garam

BAHAN INITI:

  • 100gm daging cincang
  • 1 biji bawang besar | dicincang
  • 2 ulas bawang putih | dicincang
  • 2 keping hirisan halia | dicincang
  • 1 biji cili merah | dibuang biji dan dadu kecil
  • 1 sudu makan rempah kari daging
  • 1 sudu makan  sos tomato
  • 1 sudu teh cili kisar
  • 1/2 sudu teh lada hitam kisar
  • 1 pokok daun sup | dihiris halus
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit air
  • Sedikit minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Sediakan inti terlebih dahulu, panaskan minyak dalam kuali.
  2. Tumis bawang putih. halia dan bawang besar hingga layu, masukka cili kisar dan sos tomato. Kacau rata.
  3. Tambah rempah kari, kacau dan tuang sedikit air.
  4. Sementara itu, masukkan daging cincang dalam kuali dan kacau rata.
  5. Masak dengan api kecil hingga daging berubah warna dan kering.
  6. Tambah lada hitam dan perasakan dengan garam dan secukupnya.
  7. Akhir sekali masukkan 1/2 bahagian cili merah dan 1/2 bahagian daun sup. Gaul rata dan matikan api, biar inti sejuk.
  8. Untuk adunan tepung, ayak tepung dalam satu bekas, masukkan telur dan santan sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga sebati.
  9. Tambah garam, mentega yang dicairkan dan pewarna kuning. kacau hingga rata dan tapis. Ketepikan.
  10. Panaskan acuan, guna api dapur paling kecil. Sapukan setiap lubang acuan dengan sedikit minyak masak.
  11. Tuangkan adunan 3/4 acuan. kemudian tuangkan inti ditengahnya.
  12. Bakar lebih kurang 10-15 minit.
  13. Setelah masak angkat dan keluarkan kuih cara, sementara itu bakar lagi sehingga adunan habis.
  14. Kuih cara sedia dihidangkan.

Apam Balik

Adunan kulit:

  • 150gm tepung gandum
  • 1/2 sudu teh soda bikarbornat
  • 1/2 sudu teh yis kering
  • 1 biji telur
  • 2 sudu makan gula halus
  • 240ml air
  • Sedikit pewarna pilihan

Bahan Inti:

  • 100gm kacang tanah | digoreng dan dikisar
  • 50gm gula
  • 100gm jagung dalam tin

Sapuan:

  • Sedikit marjerin

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan semua  bahan untuk kulit apam dan kacau sebati. Perapkan adunan selama tiga hingga lima jam.
  2. Panaskan kuali tidak melekat. Sendukkan adunan dan tuangkan di atas kuali. Ratakan agar kulit apam sama tebal.
  3. Masak menggunakan api perlahan sehingga kulit apam masak sekata. Kemudian sapukan sedikit marjerin di atasnya.
  4. Kemudian taburkan sedikit gula diikuti dengan kacang tanah dan juga jagung krim.
  5. Tutup permukaan kuali selama beberapa minit sehingga kulit apam kelihatan agak perang.
  6. Angkat dan lipat apam tadi. Sedia dihidang.