Melihat cara Mohd Asri Atan atau dikenali nama glamournya Ashh sho shedap dalam instagramnya berkongsi masakan memang menyelerakan. Ringkas dan terpaut suka untuk mengikuti setiap masakan yang dimuatnaik olehnya.

Biarpun masih bujang, minat dan kesungguhannya dalam berkongsi masakan buat kita teruja tengok. Anak muda ini merupakan penjual kasut sepenuh masa di FRKL21 , merupakan anak ke lapan dari pasangan Hamida Dan dan Haji Atan Daud. Merupakan anak bekas petani yang dibesarkan di Kg Tanjung Sedili Kota Tinggi Johor.

Sho shedap menjadi tagline Ashh dalam masakan. “ Idea asal berkata begitu dari saya dan kawan baik Bella. Kata-kata itu keluar secara spontan dan kami sering ada tagline baru bila nampak makanan kami akan buat suara manja sho shedap. Jadi saya ambil keputusan menggunakan tagline itu. Sesungguhnya idea menu pada setiap hari di instagram kadang muncul spontan, kadang untuk mencari idea saya akan bertanya pada kawan-kawan atau pengikut instagram makanan apa yang mereka teringin nak makan,” cerita Ashh.

Dengan menggunakan iphone xsmax untuk mengambil gambar dan video ia memudahkan kerja menyunting dan sebagainya. Tambah lagi gambar yang diambil cantik dan menyelerakan.

Mula berkarya

Pada fikiran kita andai suka memasak tentunya seseorang itu mula membuka akaun instagram oleh kerana terdorong dengan minat tersebut namun bagi Ash berlainan pula. “Saya mula membuka akaun instagram pada tahun 2013 yang mana dulu saya lebih gemar berkongsi kisah perjalanan hidup saya dan juga sering berkongsi travelogue percutian kepada pengikut instagram tidak lama kemudian saya rasa mengapa tidak kongsi resipi pulak sebab saya minat masak. Saya suka bagi kawan-kawan makan, ajak datang rumah tak kira masa, sekali masak tu kadang-kadang untuk 10 hingga 15 orang .
Jadi bila kawan-kawan kenyang saya senang hati tengok. Saya suka masak dan mengajak kawan-kawan datang makan,” ceritanya.
Pandangan kawan-kawan terhadap masakan yang dirasai sama seumpama mak-mak memasak ikhlas dari hati. Mereka sentiasa menyokong terutama kakak saya Eisya Syakira dan kawan baik, Erlin yang selalu memberikan komen-komen yang membina untuk saya pergi lebih jauh dari sekarang dan jangan cepat putus asa.

Buat anak muda ini bakat memasak sejak dari usia muda.”Saya minat memasak memang dari kecil lagi dari darjah 4. Bila mak dan ayah keluar bekerja atau melakukan urusan luar saya mulalah buka peti sejuk tengok ada ayam atau daging dan mula masak sup ayam atau apa sahaja yang mudah.
Dulu saya suka memasak untuk kucing. Rebus ikan, rebus sayur lepas tu saya kisar kesemua rebusan itu bersama-sama dan digaul dengan nasi. Saya ada 15 ekor kucing, jadi kadang-kadang tu tengok kucing makan pun puas. Saya suka tengok mak dan juga mak angkat saya memasak. Jadi dari situ saya curi-curi belajar. Mungkin juga kelebihan ini anugerah dari Allah,”ujarnya.

Dalam penyediaan makanan, kelebihannya adalah dalam memasak lauk kampung. Walau tidak pernah memasak untuk tetamu namun dengan keyakinan yang ada hanya meneliti bahan-bahan sahaja sudah boleh mengagak dan boleh membuat sesuatu masakan itu, itulah kelebihan yang ada pada diri. Akuinya rutin memasak adalah pada setiap hari. Akui Ashh, andai sehari tidak memasak bagaikan tidak lengkap hidupnya. Dia sering mencari idea di media sosial atau google menu-menu baru.

Masakan yang menjadi kegemaran keluarga atau hidangan wajib yang mereka selalu minta ialah sambal udang petai, ayam masak lemak pekat shoshedap, ayam salted egg shoshedap. Air tangan setiap masakan yang dimasak oleh seseorang itu sangat penting untuk sesebuah keluarga selain mengeratkan silaturahim dan juga mengisi masa bersama sama. Kadang kala satu keluarga keluar kerja pagi, balik petang jadi hanya ada masa untuk makan malam sahaja.

Jadi semasa makan bersama boleh bertukar cerita atau pandangan dalam kehidupan seharian dan akan lebih merapatkan lagi sesebuah hubungan itu. Setiap masakan dari keluarga tidak akan sama dengan masakan yang lain, sebab itu pepatah mengatakan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Walau macam mana sedap pun kita makan di luar masakan keluarga juga yang akan dicari walau hanya masak sebiji telur goreng.


KEPAH MASAK KICAP CILI BERAPI

Bahan-bahan:
2kg kepah segar
Bahan hirisan (A)
9 ulas bawang merah
10 ulas bawang putih
10 hirisan halia
30 biji cili padi
Bahan dikisar (B)
15 tangkai cili kering
7 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
Bahan (C)
Kicap lemak manis
Kicap lemak masin
Kicap pekat pedas
Sos tiram
Bahan (D)
1 sudu teh garam
1 sudu teh gula
1 cawan air

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan B dahulu sehingga naik bau.
2. Selepas itu baru masukkan bahan A tumis sehingga layu
3. Masukkan bahan C secukupnya.
4. Selepas itu masukkan bahan D secukup rasa.
5. Akhir sekali masukkan kepah yang siap dibasuh dan biarkan sehingga masak lebih kurang 5 hingga 7 minit.
6. Siap untuk dihidang.


SALTED EGG CHICKEN SHO SHEDAP

Bahan A
Isi ayam-dipotong petak
Tepung goreng ayam
Bahan B
Daun kari
Cili padi merah-dipotong bulat
Bawang putih-dipotong dadu
Bahan C
Tepung telur masin sho shedap
Kiub pati ayam setengah kiub
Setengah tin susu cair
5 sudu makan gula

Cara memasak:
1. Isi ayam digaulkan dahulu bersama sebiji telur dan dicelup bersama tepung goreng ayam.
Goreng menggunakan minyak yang panas. Selepas itu ulang langkah ini sehingga isi ayam habis digoreng.
2. Cairkan mentega di atas kuali yang panas selepas itu masukkan bahan-bahan B, biarkan kekuningan warna bertukar dan bau semerbak.
3. Masukkan susu setengah tin,kiub pati ayam dan tepung telur masin sho shedap dan gula.
4. Selepas rasa dah sedap masukkan ayam yang telah digoreng tadi, gaul sehingga rata dan siap untuk dihidang.


DAGING BLACK PEPPER.

Bahan-bahan:
Daging lembu -dipotong lawan urat
Kicap manis
Sos tiram
Bahan kisar
5 ulas bawang putih
2 biji bawang merah besar
Bahan hiris
15 biji cili padi
5 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 inci halia
Bahan tumbuk
Lada hitam

Cara memasak:
1. Tumis bahan-bahan kisar dahulu. Selepas naik bau baru masukkan bahan hirisan dan juga lada hitam yang
telah ditumbuk halus dan kasar.
2. Masukkan daging lembu di dalam kuali,biar reneh sehingga empuk.
3. Selepas daging empuk, masukkan kicap manis dan sos tiram. Jika perlu masukkan garam sedikit.
4. Selepas itu boleh rasa mengikut kesesuaian lidah masing-masing dan siap untuk dihidang.


KETAM MASAK LEMAK PEKAT BERAPI.

Bahan A
1 kg ketam -dibersihkan dibelah dua
500ml santan
Bahan kisar
30 biji cili padi
5 biji bawang putih
2 biji bawang merah besar
Udang kering- setengah gengam
3 inci kunyit
1 inci belacan
3 batang serai- diketuk
Daun kunyit-dihiris halus
Serbuk perasa
Cara memasak:
1. Masukkan bahan-bahan kisar dan serai di dalam periuk sehingga bahan-bahan kisar kering.
Resipi ini tidak menggunakan minyak.
2. Selepas bahan tumisan sudah masak dan kering, masukkan air satu jug biar sehingga air mendidih dan
baru masukkan ketam.
3. Selepas ketam mula berubah warna, masukkan santan dan juga garam serta serbuk perasa.
4. Akhir sekali masukkan daun kunyit yang telah dihiris cantik, tabur di dalam periuk
biar sehingga tiga minit dan siap untuk dihidang.

UDANG SAMBAL BERLADO.

Bahan-bahan:
Udang
Sos tiram
Serai-dititik
Petai
Bahan-bahan kisar:
25 biji cili padi
10 biji bawang merah kecil
7 biji bawang putih
Gula dan garam-secukup rasa

Cara memasak:
1. Tumiskan bahan-bahan kisar dan serai sehingga naik bau dan masak.
2. Masukkan sos tiram, gula dan garam secukup rasa.
3. Masukkan udang. Selepas udang bertukar warna kekuningan masukkan petai.
4. Siap untuk dihidang.


DAGING SALAI BERLADO SHO SHEDAP.

Bahan-bahan:
200gm daging salai
Petai
Sos tiram
Sos cili
3 sudu gula
1 sudu teh garam
Bahan kisar:
Cili kering
5 ulas bawang putih
7 ulas bawang merah
2 inci halia
2 inci belacan

Cara memasak:
1. Tumis bahan-bahan kisar sehingga pecah minyak dan masak.
2. Selepas itu masukkan sos tiram, sos cili dan 3 sudu gula. Jika perlu masukkan garam sesudu kecil.
3. Selepas rasa dah sedap, masukkan daging salai dan gaul sehingga rata bersama kuah
4. Dan terakhir masukkan petai yang telah dihiris nipis.
5. Selepas itu siap untuk dihidang.

Foto & Resipi: Mohd Asri Atan