Ads

Resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri, Rahsia Kuah Pekat Berempah & Sedap!

Kalau sebut Kari Mamak, pasti ramai yang terus terbayangkan kuah kari pekat, berwarna kemerahan dengan aroma rempah yang cukup menyelerakan. Lebih-lebih lagi kalau dimakan bersama nasi putih panas, roti canai atau roti benggali. Memang boleh buat makan bertambah!

Antara hidangan yang menjadi kegemaran ramai ialah Kari Mamak Ikan Tenggiri. Keistimewaan kari ini terletak pada penggunaan rempah ratus, bawang yang ditumis hingga naik bau serta teknik memasak pes kari sehingga pecah minyak. Gabungan bahan-bahan ini menghasilkan kuah yang kaya dengan rasa dan aroma.

Sebenarnya, tak susah pun nak menyediakan kari mamak sendiri di rumah. Bahan-bahannya mudah didapati dan cara memasaknya juga tidak terlalu rumit. Paling penting, kena sabar ketika menumis rempah supaya kuah kari benar-benar sedap.

Jom cuba resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri perkongsian Nourhayaty Mat Saat ini. Lengkap dengan ikan tenggiri, bendi, terung bulat dan tomato. Memang sesuai dijadikan menu makan tengah hari bersama keluarga.

Resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri

Resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri, Rahsia Kuah Pekat Berempah & Sedap!

Bahan-bahan:

  • 1.5 kg ikan tenggiri
  • 4 labu bawang besar Bombay – dimayang halus
  • 5 ulas bawang putih – dimayang halus
  • 1 inci halia – dimayang halus
  • 2 keping kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 1½ sudu besar halba campur
  • 4 tangkai daun kari
  • 100 gram serbuk kari ikan Babas
  • 30 gram serbuk cili Babas
  • 1 sudu besar asam jawa
  • 200 gram santan pekat
  • Air secukupnya
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Tomato secukupnya
  • Cili besar hijau atau merah secukupnya
  • Bendi atau terung bulat secukupnya
  • Sedikit gula
  • Garam secukup rasa

Nota: Bancuh serbuk kari ikan dan serbuk cili bersama sedikit air sehingga menjadi pes sebelum digunakan. Santan pekat pula boleh dicairkan dengan air mengikut kepekatan kuah yang diingini.

Cara Penyediaan:

1. Tumis bahan rempah hingga wangi

Panaskan sedikit minyak di dalam periuk. Masukkan halba campur, kulit kayu manis dan bunga lawang. Tumis seketika sehingga rempah mengeluarkan aroma. Kemudian, masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dimayang halus. Teruskan menumis sehingga bawang bertukar kekuningan dan naik bau.

Resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri, Rahsia Kuah Pekat Berempah & Sedap!

2. Masukkan pes kari dan serbuk cili

Apabila bahan tumisan sudah kekuningan, masukkan pes kari ikan dan serbuk cili yang telah dibancuh bersama air. Kacau hingga sebati dan masak menggunakan api sederhana. Pastikan pes kari sentiasa dikacau supaya tidak hangus di bahagian bawah periuk.

Resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri, Rahsia Kuah Pekat Berempah & Sedap!

3. Masak sehingga pecah minyak

Teruskan menumis sehingga pes kari bertukar warna kemerahan dan minyak mula terpisah daripada bahan tumisan. Proses ini penting kerana membantu mengeluarkan aroma rempah serta mengurangkan rasa mentah pada serbuk kari.

Resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri, Rahsia Kuah Pekat Berempah & Sedap!

Ads

4. Masukkan santan

Setelah pes kari pecah minyak, tuangkan santan yang telah dicairkan dengan sedikit air. Kacau perlahan sehingga sebati. Jika tidak mahu menggunakan santan, boleh juga menggantikannya dengan susu cair mengikut cita rasa masing-masing.

5. Perasakan kuah kari

Masukkan daun kari, asam jawa, garam dan sedikit gula. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih perlahan. Daun kari juga boleh dimasukkan lebih awal ketika menumis bawang untuk mendapatkan aroma yang lebih harum.

6. Masukkan ikan tenggiri

Apabila kuah kari sudah mendidih, masukkan potongan ikan tenggiri yang telah dibersihkan. Kacau dengan perlahan supaya isi ikan tidak mudah hancur. Biarkan ikan masak sepenuhnya dalam kuah kari yang sedang mereneh.

Resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri, Rahsia Kuah Pekat Berempah & Sedap!

7. Celur sayur secara berasingan

Sementara menunggu ikan masak, didihkan air di dalam periuk lain. Masukkan terung bulat dan celur seketika. Kemudian, celur pula bendi sehingga sedikit lembut. Angkat dan toskan.

8. Lengkapkan kari dengan sayur

Masukkan bendi dan terung bulat yang telah dicelur ke dalam periuk kari. Tambahkan tomato serta cili besar hijau atau merah. Biarkan semuanya mereneh seketika sehingga sayur mesra dengan kuah kari.

Resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri, Rahsia Kuah Pekat Berempah & Sedap!

Ads

9. Sedia untuk dihidangkan

Akhir sekali, rasa kuah dan sesuaikan garam, gula atau kepekatannya jika perlu. Tutup api apabila ikan dan sayur sudah masak. Kari mamak ikan tenggiri kini sedia untuk dinikmati!

Resipi Kari Mamak Ikan Tenggiri, Rahsia Kuah Pekat Berempah & Sedap!

Tip Supaya Kari Mamak Ikan Tenggiri Lebih Sedap

Ada beberapa perkara yang boleh membantu menghasilkan kari mamak dengan rasa lebih menyelerakan.

  1. Jangan terburu-buru ketika menumis pes kari. Pastikan rempah benar-benar masak dan pecah minyak sebelum memasukkan santan. Teknik ini membantu menghasilkan kuah yang lebih harum.
  2. Elakkan mengacau ikan terlalu kerap. Ikan tenggiri mempunyai isi yang lembut apabila dimasak. Cukup sekadar menggoyangkan periuk perlahan-lahan supaya kuah sekata tanpa menghancurkan ikan.
  3. Kawal kepekatan kuah. Jika suka kari pekat, gunakan air dalam kuantiti sederhana. Kalau lebih gemarkan kuah cair, tambahkan sedikit air mengikut kesesuaian.
  4. Jangan masak sayur terlalu lama. Bendi dan terung yang dicelur terlebih dahulu hanya perlu direneh seketika bersama kuah supaya tidak terlalu lembik.

Sedap Dimakan Bersama Nasi Panas!

Kari mamak ikan tenggiri ini bukan sahaja sesuai dimakan bersama nasi putih, malah sedap dicicah dengan roti canai, capati atau roti benggali.

Gabungan kuah kari yang berempah, isi ikan tenggiri yang lembut serta sayur-sayuran menjadikan hidangan ini cukup lengkap untuk dinikmati seisi keluarga.

Kalau selama ini asyik membeli kari ikan di kedai mamak, apa kata kali ini cuba masak sendiri di rumah? Boleh sesuaikan tahap kepedasan, kepekatan kuah dan jumlah sayur mengikut selera keluarga.

Selamat mencuba!

Anda mungkin berminat dengan

Ads

Kredit resipi: Nourhayaty Mat Saat

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

Wajib Cuba, Asam Pedas Ikan Tenggiri Terlajak Sedap, Cukup Power!

Gulai Ikan Nyok Nyok, Keenakan Melicinkan Pinggan

Ni Dia 4 Jenis Gulai Lemak , Kesedapannya Melekat Di Ingatan

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official:

 

Dapatkan resipi, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Menu Lain

Cara Goreng Ikan, 7 Kesilapan Besar Yang Buat Kulit Melekat &...

Cara goreng ikan supaya kulit tak melekat dan isi tak hancur. Ketahui 7 kesilapan biasa serta tip mudah untuk hasil ikan goreng yang rangup dan sedap.