
Gula-gula bukan sekadar gummy, lolipop atau coklat yang kita biasa nampak di rak pasar raya.
Di banyak negara, candy tradisional dan manisan mempunyai cerita yang jauh lebih panjang. Ada yang dibuat menggunakan teknik menarik gula berulang kali, ada yang memerlukan masa berhari-hari untuk terbentuk, malah ada juga yang resipinya diwarisi turun-temurun.
Sempena Candy Day, jom kenali beberapa candy tradisional dari seluruh dunia yang bukan sahaja manis, malah cukup unik dari segi rupa, tekstur dan cara pembuatannya.
1. Lokum – Türkiye

Lokum atau lebih dikenali sebagai Turkish Delight merupakan antara manisan paling sinonim dengan Türkiye.
Ia mempunyai tekstur lembut, kenyal dan sedikit melekit. Secara tradisional, lokum dibuat daripada gula, kanji dan air sebelum diberikan perisa seperti air mawar, lemon atau buah-buahan. Ada juga yang ditambah pistachio dan kekacang.
Selepas mengeras, lokum biasanya dipotong menjadi kiub kecil dan disalut dengan gula aising atau kanji supaya tidak melekat.Rekod tentang lokum dalam bentuk yang hampir seperti hari ini boleh dikesan sekurang-kurangnya sekitar penghujung abad ke-18 hingga awal abad ke-19.
2. Konpeito – Jepun

Sekali tengok, konpeito nampak seperti bintang kecil berwarna-warni.
Walaupun kini dianggap sebagai salah satu gula-gula tradisional Jepun, asal-usulnya mempunyai pengaruh Portugis. Nama “konpeito” berasal daripada perkataan Portugis confeito, dan gula-gula ini diperkenalkan ke Jepun sekitar abad ke-16.
Apa yang menarik, bentuk berduri pada konpeito bukannya dibuat menggunakan acuan.Kristal gula dibentuk secara perlahan dengan menyalut butiran gula menggunakan sirap sedikit demi sedikit sambil ia dipusingkan. Proses tradisionalnya boleh mengambil masa lebih 10 hari.
Tak hairanlah gula-gula kecil ini nampak begitu istimewa walaupun bahan utamanya cukup sederhana.
3. Dragon’s Beard Candy – China

Kalau nak tengok candy yang proses pembuatannya sama menarik dengan rasanya, Dragon’s Beard Candy memang wajib masuk senarai. Campuran berasaskan maltosa ditarik, dipusing dan dilipat berulang kali sehingga menghasilkan helaian gula yang sangat halus seperti benang.
Benang-benang gula tersebut kemudiannya dibalut mengelilingi inti seperti kacang tanah, kekacang atau bijan. Teknik ini memerlukan kemahiran tinggi kerana helaian gula perlu kekal sangat nipis tanpa terputus.
Hasil akhirnya kelihatan seperti gumpalan rambut putih yang sangat halus — sebab itulah namanya dikaitkan dengan “janggut naga”.
4. Pastillas de Leche – Filipina

Pastillas de leche pula merupakan candy berasaskan susu yang cukup popular di Filipina.Versi tradisionalnya menggunakan susu kerbau atau carabao bersama gula. Campuran tersebut dimasak perlahan sehingga pekat, disejukkan dan dibentuk menjadi kepingan kecil sebelum dibungkus satu persatu.
Teksturnya lembut dan rasanya kaya dengan susu.Pada asalnya, pastillas banyak dihasilkan secara homemade oleh keluarga penternak carabao sebelum berkembang menjadi industri kecil di beberapa kawasan seperti San Miguel, Bulacan.
Sekarang terdapat pelbagai versi dengan perisa seperti pandan, nangka dan kekacang.
5. Turrón – Sepanyol

Kalau berkunjung ke Sepanyol menjelang musim Krismas, turrón antara manisan yang mudah ditemui.
Turrón ialah sejenis nougat tradisional yang sangat terkenal terutama di kawasan Valencia, termasuk bandar Jijona atau Xixona yang cukup sinonim dengan penghasilannya.
Ia biasanya menggabungkan bahan seperti madu, gula dan badam.Ada versi yang lebih keras dan rangup dengan ketulan badam yang jelas, manakala versi tertentu mempunyai tekstur lebih lembut dan halus.
Disebabkan kaitannya yang kuat dengan musim perayaan, turrón bukan sekadar makanan manis tetapi juga sebahagian daripada tradisi Krismas di Sepanyol.
6. Ssallyeot – Korea Selatan

Korea juga mempunyai pelbagai jenis candy tradisional, salah satunya ssallyeot, iaitu gula-gula malt beras.Untuk menghasilkan ssallyeot secara tradisional, beras dikukus sebelum dicampurkan dengan malt dan melalui proses fermentasi. Campuran tersebut kemudian ditapis serta dimasak untuk tempoh yang lama sehingga menjadi pekat.
Selepas itu, gula-gula tersebut ditarik menggunakan tangan sehingga menghasilkan banyak ruang udara kecil di dalamnya. Proses ini memberikan tekstur yang lebih ringan dan rangup.
Ia berbeza daripada gummy atau hard candy moden kerana tekstur dan rasanya datang daripada proses penghasilan tradisional yang panjang.
7. Candy Kelapa – Malaysia & Asia Tenggara

Dekat dengan kita pula, candy kelapa merupakan antara manisan yang cukup nostalgic. Versinya berbeza mengikut tempat dan keluarga, tetapi bahan asas lazimnya menggunakan kelapa parut, gula dan kadangkala susu.
Adunan dimasak sehingga pekat sebelum ditekan ke dalam loyang dan dipotong menjadi bentuk kecil.Warna merah jambu, hijau atau putih sering digunakan, menjadikan candy kelapa cukup mudah dikenali di atas meja hidangan.
Bagi sesetengah generasi, candy kelapa mungkin mengingatkan kepada kenduri, rumah terbuka atau gula-gula homemade yang dibuat oleh ibu dan nenek dahulu.
Anda mungkin berminat dengan
Walaupun nampak sederhana, gabungan aroma kelapa dan teksturnya yang sedikit kenyal membuatkan manisan ini mempunyai identiti tersendiri.
Candy Tradisional Bukan Sekadar Rasa Manis
Apa yang menarik tentang candy tradisional ialah setiap satu mencerminkan budaya tempat ia berasal.
Konpeito mengambil masa berhari-hari untuk terbentuk. Dragon’s Beard Candy pula memerlukan kemahiran menarik gula menjadi helaian halus. Pastillas menggunakan hasil tenusu tempatan, manakala turrón berkait rapat dengan tradisi perayaan.
Ini menunjukkan bahawa candy bukan sekadar makanan untuk memuaskan keinginan terhadap sesuatu yang manis.Di sebalik sebiji gula-gula kecil, kadang-kadang ada sejarah, kemahiran dan tradisi yang sudah bertahan selama beberapa generasi.
Jadi sempena Candy Day, mungkin boleh cuba sesuatu yang berbeza daripada candy biasa.Mana tahu, satu gigitan sahaja sudah cukup membawa kita “travel” ke negara lain melalui rasa.
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Esen Vanila vs Ekstrak Vanila Nampak Sama, Tapi Sebenarnya Berbeza
https://www.rasa.my/kacang-pedas-bilis-rangup/

sekarang!
