Ramai yang bertanyakan resipi-resipi masakan Western yang dijual di restoran-restoran. Khas buat anda, RASA kongsikan tiga resipi makanan barat popular di negara kita. Jadi tak perlulah selalu makan di kedai. Anda pun boleh masak sendiri di rumah. Senang je!

 

1. CHICKEN CHOP CAMPUR

Jom Masak & Makan! Resipi Chicken Chop, Pasta Dan Fish&Chip Macam Yang Makan Di Restoran.

BAHAN-BAHAN:

  • 2 keping isi paha ayam tanpa tulang
  • 1 biji telur
  • 1 cawan tepung goreng ayam segera
  • Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
  • Sosej ayam
  • Potongan ubi kentang ( fries)

BAHAN SOS PERANG :

  • 3 ulas bawang putih | cincang halus
  • 1 biji bawang besar | cincang halus
  • 1 sudu makan  serbuk lada hitam
  • 1/2 cawan Demi Glace Brown Sauce ( serbuk sos perang) – boleh dibeli di pasaraya 
  • 1 sudu makan mentega
  • 1/2 cawan air – untuk bancuh sos perang
  • Garam secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Cara untuk menyediakan chicken chop, celup ayam dengan telur, kemudian gaul dengan tepung goreng ayam.
  2.  Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak.  Angkat dan toskan.
  3.  Seterusnya goreng sosej dan kentang. Angkat dan ketepikan.
  4.  Bagi menyediakan sos, panaskan kuali dan cairkan metega. Tumiskan bawang putih dan merah hingga wangi.
  5.  Masukkan serbuk sos perang yang telah dibancuh dengan air tadi.
  6.  Kacau rata dan perasakan dengan serbuk lada hitam dan sedikit garam secukupnya. Setelah kuah pekat, padamkan api.
  7. Hidang ayam, sosej dan kentang goreng dalam pinggan. 
  8.  Tuangkan sos dan sedia dihidangkan panas-panas.

INFO CHEF: Bahan sampingan Chicken Chop boleh pelbagaikan ikut citarasa. Anda boleh tukar dengan coslow, kentang putar atau salad

 

2. FISH & CHIP

Jom Masak & Makan! Resipi Chicken Chop, Pasta Dan Fish&Chip Macam Yang Makan Di Restoran.

BAHAN PERAPAN IKAN DORI:

IKLAN
  • 4 keping ikan dori
  • 1 sudu teh  serbuk lada hitam
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • Sedikit perahan jus lemon

BAHAN SALUTAN IKAN DORI:

  • 1 cawan air
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/4 cawan  tepung jagung
  • 1 sudu teh baking powder
  • Garam secukup rasa
  • 1 cawan serbuk roti
  • Minyak masak | untuk menggoreng

BAHAN SAMPINGAN:

  • Sosej
  • Kentang goreng
  • Mayones
  • Sos cili

CARA MEMASAK:

  1. Untuk menyediakan perapan ikan dori, keringkankan ikan terlebih dahulu dengan menggunakan tisu dapur.
  2. Kemudian lumurkan dengan serbuk lada hitam, lada sulah dan garam. Perahkan jus leman. Perapkan seketika.
  3. Untuk menyediakan bahan adunan ikan,  satukan tepung gandum, tepung jagung, baking powder dan garam ke dalam bekas yang besar.
  4. Masukkan air sedikit demi sedikit kacau hingga sebati dan tidak berketul.
  5. Panaskan minyak masak. Sementara itu, celup ikan dori ke dalam adunan tadi.
  6. Lumur ikan dengan serbuk roti. Gaul rata hingga keseluruhan ikan tersalut serbuk roti.
  7. Perlahan-lahan masukkan ke dalam minyak dan oreng hingga keemasan.
  8. Angkat dan toskan lebihan minyak. Sedia dihidang dengan kentang goreng, sos cili dan mayones.

INFO CHEF: Untuk lebih mudah, anda boleh menggunakan tepung segera untuk perap dan salut ikan dori sebelum digoreng.

IKLAN

 

3. SPAGETI MEATBALL MOZA

Jom Masak & Makan! Resipi Chicken Chop, Pasta Dan Fish&Chip Macam Yang Makan Di Restoran.

BAHAN-BAHAN:

  • 1 paket spageti | rebus hingga masak
  • 6 ulas bawang merah | cincang
  • 2 ulas bawang putih | cincang
  • 2 biji tomato | potong dadu
  • 500gm daging kisar
  • 1/2 batang lobak merah | potong dada halus
  • 4 biji cendawan butang | potong dadu
  • 250gm puri tomato
  • 250gm sos tomato
  • ½ cawan susu segar
  • 1 cawan air
  • Sedikit Italian Herbs
  • 1 kiub stok@pati daging lembu
  • 100gm mozarella
  • 10 biji meatball / bebola daging
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan goreng meatball hingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
  2. Kemudian tumis bawang merah dan putih hingga wangi.
  3. Masukkan daging kisar, terus kacau hingga daging bertukar warna keperangan.
  4. Seterusnya masukkan  hirisan lobak merah, cendawan butang dan tomato.
  5. Setelah sayur layu, masukkan sos tomato, puri tomato, air dan susu, Kacau hingga sekata.
  6. Apabila mendidih, masukkan Italian Herbs dan stok daging lembu. Tambahkan sedikit garam jika tidak masin.
  7. Biarkan kuah mereneh atas api perlahan hingga kuah pekat.
  8. Letak spageti dalam pinggan hidangan dan tuangkan kuah bolognese di atasnya.
  9. Akhir sekali taburkan keju mozarella serta meatball. Masukkan ke dalam  ketuhar gelombang selama dua minit untuk mencairkan keju.
  10. Sedia dihidangkan panas-panas.

INFO CHEF: Anda boleh juga mengguna kuah Carbonara untuk resipi dan cara memasak yang sama.

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI