
Kalau sebut Butter Chicken atau Ayam Mentega, pasti ramai yang terus terbayangkan keenakan ayam goreng rangup yang disaluti kuah mentega berlemak dan penuh aroma. Hidangan ini memang menjadi kegemaran ramai, terutamanya kanak-kanak kerana rasanya yang tidak terlalu pedas, lemak, masin dan sedikit manis.
Apa yang menarik, resipi Ayam Mentega ini tidak memerlukan bahan yang terlalu rumit. Gabungan mentega, susu segar, bawang putih dan daun kari sudah cukup untuk menghasilkan aroma yang menyelerakan. Kalau dimakan bersama nasi putih panas, memang boleh bertambah-tambah!
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kurang gemar makan isi ayam, bolehlah cuba cara masakan ini. Ayam dipotong kecil supaya lebih mudah dimakan, kemudian disalut tepung sebelum digoreng sehingga keemasan.
Lebih istimewa, penggunaan daun kari memberikan aroma tersendiri yang menjadikan kuah mentega lebih harum dan membangkitkan selera.
Jom cuba resipi Butter Chicken perkongsian saudari Ariana Sofia Ahmad ini. Sesuai dijadikan lauk makan tengah hari atau makan malam seisi keluarga.
CARA MASAK BUTTER CHICKEN YUMMY. JOM CUBA!

BAHAN-BAHAN:
14-16 ketul ayam yang sudah di potong kecil
1 cawan susu segar
7 sudu makan mentega
20 helai daun kari
4 biji bawang merah – cincang halus
6 ulas bawang putih – cincang halus
6 sudu besar tepung gandum
3 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu teh garam
3/4 sudu besar gula
1 biji telur
1 sudu teh tepung jagung (untuk kuah)

CARA MEMASAK:
1.Satukan ayam bersama telur dan serbuk lada putih. Kacau @ gaul sebati dengan ayam.

2. Perap ayam selama 10 -15 minit.

3. Dalam bekas lain, campurkan tepung gandum dan tepung jagung.

4. Kemudian masukkan garam dan kacau sebati.

5. Masukkan ayam yang sudah diperap tadi dan gaul dengan tepung. Pastikan semua bersalut rata.

6. Goreng ayam dengan minyak yang banyak dan panas.

7. Bila ayam sudah nampak kekuningan @ masak, bolehlah diangkat.

8. Pastikan ayam ditos minyaknya terlebih dahulu. Aya mini sangat rangup teksturnya. Ketepikan.

9. Dalam kuali berlainan, panaskan mentega dan masukkan bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga naik bau.

10. Masukkan pula daun kari dan cili api. Kacau sehingga sebati.

11. Bila sudah semerbak bau daun kari, masukkan pula susu segar.

12. Masukkan pula tepung jagung. Fungsinya supaya kuah jadi pekat.

13. Seterusnya masukkan gula. Garam tidak perlu letak kerana mentega sudah bergaram dan ayam juga sudah mempunyai rasa masin. Namun jika kurang rasa, tambah ikut selera.

14. Bila kuah mendidih dan pekat sedikit, terus masukkan ayam yang telah goreng tadi.

15. Kacau sehingga sebati dan pekat. Kalau nak berkuah, jangan masak lama sangat.

16. Butter Chicken siap dimasak dan enak dinikmati bersama nasi.

17. Sepinggan ini bolehlah makan 5-6 orang.

Petua Supaya Butter Chicken Lebih Sedap
1. Gunakan mentega untuk aroma lebih harum
Mentega merupakan bahan utama yang memberikan rasa lemak dan aroma istimewa kepada hidangan ini. Gunakan mentega berkualiti dan pastikan api tidak terlalu kuat supaya mentega tidak mudah hangus.
2. Goreng ayam sehingga keemasan
Gabungan tepung gandum dan tepung jagung membantu menghasilkan salutan ayam yang lebih rangup. Pastikan minyak cukup panas sebelum memasukkan ayam supaya salutan tidak menyerap terlalu banyak minyak.
3. Jangan abaikan daun kari
Daun kari memberikan aroma yang cukup sinonim dengan hidangan Ayam Mentega. Tumis bersama bawang sehingga naik bau sebelum memasukkan susu.
4. Kawal kepekatan kuah
Kalau suka kuah yang lebih cair, boleh tambahkan sedikit susu segar. Jika mahukan kuah yang lebih pekat, gunakan bancuhan tepung jagung secara berperingkat.
Anda mungkin berminat dengan
5. Gaulkan ayam ketika hendak dihidangkan
Jika mahu mengekalkan kerangupan ayam, asingkan ayam goreng dan kuah terlebih dahulu. Gaulkan kedua-duanya sejurus sebelum makan supaya ayam tidak terlalu lembik.
Sedap Dimakan Dengan Nasi Panas!
Butter Chicken bukan sahaja sesuai dinikmati bersama nasi putih, malah boleh dipadankan dengan nasi mentega, nasi goreng kosong atau dijadikan lauk dalam bekal anak-anak ke sekolah.
Rasa kuahnya yang berlemak, sedikit manis dan harum dengan daun kari menjadikan hidangan ini pilihan menarik untuk seisi keluarga. Kalau suka pedas, boleh tambahkan hirisan cili padi ketika menumis bawang dan daun kari.
Jadi, kalau masih tercari-cari idea lauk ayam yang mudah dan menyelerakan, bolehlah masukkan resipi Ayam Mentega ini dalam senarai menu minggu ini. Selamat mencuba!
Kredit resipi & foto: Ariana Sofia Ahmad
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Resipi Mushroom Chicken Pie Mudah, Tanpa Uli. Hanya Guna Pastri Segera
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

sekarang!
