Petang seringkali teringin macam-macam makanan, yang pastinya manis. pemanis mulut tidak dilupai. Andai ada tetamu yang bakal menjengah ke rumah, boleh hidangkan tetamu dengan menu pemanis mulut yang menyelerakan. Mungkin inspirasi kuih muih berasaskan santan, sago dan Gula Melaka ini bakal memberi nikmat buat tetamu yang berkunjung ke rumah nanti.

Bingka Lemak Kus Kus Safron
Saiz Hidangan: 6-8 orang
Masa Memasak: Prep 20 min, Bakar 1 jam
Cara Memasak: Bakar
Jenis Masakan: Manisan
Keistimewaan: Bingka yang mempunyai tektur berbeza oleh butir- butir kus kus dan aroma wangi safron dan rasa lemak santan yang enak.
Anggaran Kos: RM15

Bahan-bahan:

1 cawan kus kus | direndam dengan 2 ½ cawan air panas sehingga kembang
3 biji telur gred A
¾ cawan gula halus
1 ½ cawan santan pekat
½ cawan air
1 cubit safron
1 sudu teh garam
2 cawan tepung gandum | diayak
2 sudu makan mentega

Cara memasak:
1.Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius.
2.Rendam safron bersama air sehingga bertukar warna. Campurkan ke dalam santan pekat. Kemudian masukkan telur,gula, garam dan santan lalu dipukul hingga sebati.
3.Kemudian, kaup balikkan tepung gandum yang sudah diayak tadi. Kacau hingga adunan sebati. Lalu masukkan kus kus dan kacau rata. Tuang adunan ke dalam acuan/loyang yang telah disapu mentega.
4.Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 1 jam atau hingga masak. Sejukkan bingka sebelum dipotong kecil dan boleh dihidangkan.

Puding Roti Pandan Gula Melaka

Saiz Hidangan: 4-6 orang
Masa Memasak: Prep 20 min Bakar 1 jam
Cara Memasak: Bakar
Jenis Masakan: Manisan Moden
Keistimewaan: Puding roti berinspirasikan rasa tempatan yang menggunakan bahan yang mudah didapati.
Anggaran Kos: RM14

Bahan-bahan:
12 keping roti | dipotong
100gm mentega | dicairkan
4 biji telur Gred A
1 kiub gula Melaka | disagat halus
2 cawan santan pekat
½ cawan susu cair
1 sudu teh garam
1 sudu makan pes pandan

Cara memasak:
1. Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius.
2. Pukul telur, gula Melaka, garam, santan, susu cair dan pes pandan sehingga adunan kembang.
3. Susun roti di dalam acuan mengikut kreativiti anda. Lalu tuangkan adunan dan pastikan adunan rata di dalam acuan.
4. Seterusnya bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 1 jam atau hingga masak. Boleh dihidangkan dengan sos santan pekat yang dicampur dengan sedikit gula Melaka.

Agar- Agar Gula Melaka Cincau
Saiz Hidangan: 6-8 orang
Masa Memasak: Prep 20 min Sejukkan 1 jam
Cara Memasak: Rebus dan Sejukkan
Jenis Masakan: Manisan Moden
Keistimewaan: Pelbagai tektur yang menggabungkan rasa lemak masin santan dan manis gula Melaka berserta kenyal cincau.
Anggaran Kos: RM10

Bahan-bahan:
1 tahil agar agar tali
5 cawan air
1 cawan gula Melaka | diparut
1 cawan santan pekat
1 tiub cincau | dicincang
Secubit garam

Cara memasak:
1. Panaskan air sehingga mendidih. Masukkan tahil agar-agar dan masak sehingga larut.
2. Cedok dua cawan agar agar, masukkan ke dalam acuan dan campurkan dengan garam dan santan pekat. Kacau sehingga sebati dan sejukkan.
3. Seterusnya, campurkan gula Melaka ke dalam agar-agar pastikan larut. Sejukkan sedikit dan masukkan cincau. Tuang ke dalam acuan dan sejukkan sehingga beku. Potong sebelum dihidang.

Ais Sago Jagung
Saiz Hidangan: 4-5 orang
Masa Memasak: Prep 20 min
Cara Memasak: Rebus
Jenis Masakan: Pemanis Mulut
Keistimewaan: sangat mudah untuk disediakan terutama sekali jika hendak menjamu tetamu dengan hidangan pemanis mulut yang cepat dan mudah.
Anggaran Kos: RM7

IKLAN

Bahan-bahan:
1 cawan sago | direndam
1 tin krim jagung
½ cawan gula dicairkan dengan 1 cawan air
Ais yang mencukupi

Caranya:
1. Panaskan air sehingga mendidih lalu masukkan sago dan rebus sehingga masak. Toskan.
2.Basuh sago dengan air sehingga kanji yang melekat hilang dan sago menjadi sebutir- sebutir.
3. Kemudian, campurkan air gula dengan krim jagung. Pastikan sebati. Tambahkan sago dan kacau sebati.
4.Seterusnya, masukkan ais dan sedia untuk dihidang.

Sagu Rose Buah Gula Melaka
Saiz Hidangan: 4-6 orang
Masa Memasak: Prep 30 min sejukkan 1 jam atau mengikut citarasa anda
Cara Memasak: Rebus
Jenis Masakan: Pemanis Mulut
Keistimewaan: sesuai untuk jamuan yang ramai tetamu. Ia boleh disediakan malam sebelum dan hidangkan bila tetamu datang.
Anggaran Kos: RM15

Bahan-bahan:
3 cawan sago | direndam
3 sudu makan sirap rose
3 sudu makan gula
½ cawan gula Melaka | parut
1 kotak kecil santan
Sedikit buah longan
Sedikit cincau | dicincang
Sedikit jagung
Air mencukupi untuk merebus sago

Cara memasak:
1. Panaskan air sehingga mendidih lalu masukkan sago, sirap rose, gula dan rebus sehingga masak. Toskan.
2. Kemudian, isikan sago ke dalam bekas atau botol. Kemudian masukkan cincau, jagung dan longan. Seterusnya masukkan santan dan taburkan gula Melaka parut. Sejukkan dahulu sebelum dihidang.

Kuih Koci Pandan
Saiz Hidangan: 25 -40 biji ( bergantung dengan saiz kuih )
Masa Memasak: Prep 45- 1 jam Kukus 15 min
Cara Memasak: goreng, kukus
Jenis Masakan: Kuih Tradisi
Keistimewaan: Kuih tradisi yang enak dan agak mudah disediakan. Menggunakan bahan bahan yang ringkas dan mudah.
Anggaran Kos: RM12

Bahan-bahan:Doh
2 ½ cawan tepung pulut
½ cawan tepung gandum
1 ½ cawan santan sederhana pekat | kisar dengan 5 helai daun pandan dan tapiskan Sedikit pes pandan
Secubit garam

Inti:
1 biji isi kelapa muda parut
1 ketul gula Melaka parut
3 sudu makan gula pasir
3 helai daun pandan | disimpul
½ cawan air

IKLAN

Lain-lain
Daun pisang secukupnya, dibersihkan dan dilayur sehingga lembut. Potong 5 inci x 5 inci
Minyak secukupnya

Cara memasak:Inti
Masukkan gula Melaka ke dalam periuk bersama gula pasir dan air. Masak hingga gula cair. Tapis air gula tadi dan masukkan ke dalam kuali. Campak daun pandan dan juga kelapa parut. Masak hingga inti agak kering sedikit. Angkat dan sejukkan.

Doh
Satukan tepung pulut dan tepung gandum. Tuang santan yang dicampur dengan sedikit garam sedikit demi sedikit sambil digaul hingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di mangkuk adunan. Jika kurang santan tambah sedikit lagi. Ketepikan dulu.

Cara membuat Kuih Koci
1. Ambil sehelai daun pisang, sapu dengan minyak pada permukaan daun pisang tadi.
2. Ambil sejemput doh dan leperkan, letak satu sudu teh inti. Tutup inti dengan doh dan celupkan dengan sedikit minyak.
3. Kemudian lipat daun seperti biasa. Bila siap, susun dalam kukusan dan kukus 15 minit atas air menggelegak sehingga masak.

Lempeng Santan Gula Melaka
Saiz Hidangan: 2-4 orang
Masa Memasak: Prep 15 min Goreng 20 mins
Cara Memasak: goreng
Jenis Masakan: Pemanis Mulut
Keistimewaan: sesuai sebagai hidangan sarapan dan minum petang bersama teh kosong.
Anggaran Kos: RM7

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1 cawan santan pekat
¼ cawan air
½ ketul gula Melaka| parut
Sedikit kelapa yang sudah disangai
1 cawan santan pekat untuk sos
½ cawan air
Secubit garam
Sedikit minyak

Cara memasak:
1. Campurkan tepung, santan, garam dan air sehingga sebati. Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Goreng lempeng sehingga masak. Ketepikan
2. Campurkan sebahagian gula Melaka parut ke dalam santan pekat berserta air dan panaskan sehingga pekat.
3. Kemudian, hidang lempeng dengan sos santan, taburan gula Melaka parut dan sedikit kelapa sangai.

Kuih Bakar Berlauk
Saiz Hidangan: 6-10 orang
Masa Memasak: Prep 20 min Bakar 1 jam sehingga masak
Cara Memasak: Bakar
Jenis Masakan: Kuih Tradisional
Keistimewaan: sesuai sebagai hidangan sarapan dan minum petang bersama teh kosong.
Anggaran Kos: RM12

IKLAN

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum | diayak
2 sudu makan mentega
3 biji telur gred A
1/4 cawan gula halus
1 ½ cawan santan pekat
½ cawan air
2 sudu teh garam
1 cawan serunding daging
Sedikit cili merah | hiris
Sedikit daun ketumbar

Cara memasak:
1. Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius.
2. Masukkan telur, gula, garam dan santan lalu dipukul hingga sebati. Kemudian, kaup balikkan tepung gandum yang sudah diayak tadi. Kacau hingga adunan sebati. Tuang adunan ke dalam acuan/loyang yang telah disapu mentega.
3. Tabur serunding, cili, daun ketumbar di atas adunan sebelum dibakar pada suhu 180 darjah celcius selama 1 jam atau hingga masak. Sejukkan bingka sebelum dipotong kecil dan boleh dihidangkan.

Cucur Lemak Jagung
Saiz Hidangan: 6-8 orang
Masa Memasak: Prep 15 min Goreng sehingga masak
Cara Memasak: Goreng
Jenis Masakan: Cucur
Keistimewaan: sesuai sebagai hidangan untuk sarapan pagi dan minum petang bersama teh kosong.
Anggaran Kos: RM8

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum | diayak
1 peket serbuk santan
1 biji telur
1½ cawan air
½ cawan gula halus
½ cawan gula Melaka parut
1 tin isi jagung manis
Secubit garam
Minyak untuk menggoreng

Cara memasak:
1.Campurkan tepung, serbuk santan, telur, air, gula, gula Melaka dan garam sehingga sebati.
2.Tambahkan jagung dan gaul rata.
3.Panaskan minyak dan goreng cucur sehingga masak. Hidangkan dengan gula Melaka cair jika inginkan ekstra manis.

Mango Banana Sago
Saiz Hidangan: 6-8 orang
Masa Memasak: Prep 20 min rebus sehingga masak
Cara Memasak: Rebus
Jenis Masakan: Pemanis Mulut Moden
Keistimewaan: sangat sesuai dihidangkan ketika hari panas.
Anggaran Kos: RM18

Bahan-bahan:
2 cawan sago | direndam
2 biji mangga masak manis
2 biji pisang masak
½ cawan gula Melaka parut
½ cawan santan
3 scoop ais krim vanila
Ais yang mencukupi

Cara memasak:
1. Panaskan air sehingga mendidih lalu masukkan sago, dan rebus sehingga masak. Toskan.
2. Setelah masak, bahagikan kepada dua dan tambah warna merah dan hijau. Pastikan sebati. Biarkan sebentar sehingga warna meresap ke dalam sago. 3. Kisar mangga, pisang, santan dan vanilla ais krim sehingga sebati. Kemudian masukkan sago yang sudah diwarnakan.
4. Akhir sekali, tambahkan ais dan sedia untuk dihidangkan.

Resipi: CHEF IMELDA HARRIS

Nak dapatkan peralatan memasak yang baru?  jom Klik sini 

Koleksi Puding Yang Sedap , Masukkan Sekali Dalam Sajian Aidiladha

Cara-Cara Buat Jala Mas Sedap & Mudah Secara Homemade

Resipi Pengat Roti Kapal, Menu Tradisional Orang Perak