Kurang 4 jam sahaja lagi, tahun 2020 akan melabuhkan tirai dan 2021 bakal memulakan ceriteranya. Setahun berlalu, banyak pahit manis, suka duka yang dirasa. Ada kisah yang gembira tidak kurang juga mendukakan.

Awalannya kedatangan 2020 paling dinanti kerana dianggap tahun paling bersinar dari segala segi. Namun siapa kita untuk menidakkan kuasa dan ketentuan Ilahi? Penularan wabak yang tidak dijangka, pandemik Covid-19 yang melanda dunia memberikan kesan yang sangat besar pada kita semua.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diambil oleh kerajaan menjadi satu pengalaman yang bakal dikenang sepanjang hayat lebih-lebih lagi bagi rakyat Malaysia yang baru pertama kali menghadapi situasi genting ini. ‘Seakan negara tengah berperang’ – Ada yang beranggapan sebegitu. Mana tidaknya, jalan raya senyap sunyi. Kedai dan perkhidmatan hampir semuanya ‘lumpuh’ dan tidak beroperasi. Rindu terhadap keluarga terutamanya masakan ibu yang jauh dimata, memang tidak boleh disangkal lagi. Nak keluar makan di kedai pun, semuanya tutup.

Situasi ini mencetuskan fenomena yang tidak disangka-sangka iaitu ‘kegilaan’ masak-memasak dan mencipta resipi. Bermacam-macam menu muncul. Roti sandwic homemade, Dalgona Latte, Roti Korean Cream Cheese Garlic, Lotus Biscoff Cheesecake dan macam-macam lagi sajian enak yang viral di laman sosial. Sampaikan yis pun ‘sold out’ di kedai tau. Hebat!

PKP juga membawa hikmah dan kebaikan dimana ramai yang kurang mahir di dapur sebelum ini, sekarang sudah pandai masak dan boleh hasilkan bermacam hidangan enak untuk keluarga. Yang bertambah berat badan pun ramai kan? Ha… Tapi paling penting, kesihatan juga harus dijaga.

Bagi menutup tirai tahun ini, RASA ingin kongsikan kembali seleksi resipi-resipi terbaik yang menjadi pilihan para pembaca di laman web www.rasa.my di sepanjang tahun 2020. Terima kasih atas sokongan anda semua kerana menjadikan RASA sebagai laman web masakan No 1 di Malaysia. Diharap semoga tahun 2021 memberikan lebih banyak sinar kegembiraan dan permulaan yang lebih baik buat kita semua. Insya-Allah.

 

KOLEKSI  12 RESIPI TERBAIK, PALING POPULAR 2020

 

1. DAGING DENDENG DAGING

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ulas bawang putih
  • 4 biji bawang merah – lebih lagi sedap
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas
  • 3 batang serai – lebih lagi sedap
  • 3 senduk besar lada kisar
  • 1/2 mangkuk kicap – untuk perap bersama daging
  • 2 senduk kicap lemak manis
  • 1 kg daging – hiris
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Perap daging bersama 1/2 mangkuk kicap.

2. Kisar bawang putih, bawang merah, halia, lengkuas dan serai. Tumis hingga naik bau.

3. Seterusnya masukkan lada kisar. Masak hingga sedikit garing.

4. Masukkan daging yang telah diperap dengan kicap tadi. Biarkan daging dengan api kecil @ sederhana dan kacau sentiasa agar tidak hangus di bahagian bawah. Jika kurang rasa, tambahkan kicap.

5. Masak hingga daging menjadi kering. Angkat dan hidangkan.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi & foto: Putri Bungsu

 

2. CHICKEN WINGS SWEET SPICY

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg kepak ayam – bersihkan
  • Kicap manis secukupnya
  • 1-2 sudu makan sos tiram
  • 2-3 sudu makan madu
  • 2-3 sudu makan sos cili pedas
  • Serbuk sweet paprika atau serbuk cili secukupnya
  • 1 sudu makan serbuk lada hitam
  • 10 ulas bawang putih – tumbuk lumat
  • 2 inci halia – tumbuk lumat
  • Sedikit kunyit hidup – tumbuk lumat
  • Perencah cukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Bersihkan ayam dan toskan airnya.

2. Masukkan semua bahan-bahan ke dalam mangkuk berisi ayam.

3. Gaul rata dan perap ayam selama 1 jam atau lebih. lebih lama perap lagi sedap rasanya.

4. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Masak ayam menggunakan api perlahan hingga masak sepenuhnya. Disarankan menggunakan kuali non-stick. Boleh juga dibakar menggunakan arang atau ketuhar.

5. Angkat dan sedia untuk dinikmati.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi & foto: Amira Hasan

 

3. AYAM GORENG SERINGGIT

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN A:

  • 1 ekor ayam – potong 18
  • 2 senduk tepung bestari perisa asli
  • Sedikit air
  • Minyak masak untuk menggoreng

BAHAN B:

  • 500 gm tepung bestari asli
  • 100 gm tepung gandum
  • 100 gm tepung beras

CARA MEMASAK:
1. Ayam dibasuh bersih dan toskan. Bahagian kulit jangan dibuang untuk memberikan rasa ayam goreng rangup yang sebenar.

2. Dalam bekas bersesuaian, masukkan tepung bestari. Tambah sedikit air. Pastikan kelikatannya tidak terlalu cair.

3. Gaulkan dengan ayam. Perap selama 5 jam.

4. Dalam bekas berasingan, satukan bahan-bahan B. Adun rata.

5. Ambil seketul ayam yang diperap tadi, lumurkan ke dalam campuran tepung. Tekap hingga mampat untuk menghasilkan salutan yang berkerak. Boleh salut 5-6 ketul sekaligus untuk sekali gorengan.

6. Panaskan minyak masak yang banyak di dalam periuk. Empunya resipi goreng guna periuk kerana ia dalam dan boleh memuatkan minyak yang banyak. Ayam pun boleh masak dengan sekata.

7. Masukkan ayam yang telah disalut tadi satu persatu. Goreng guna api sederhana kuat. Balikkan ayam sekali sekala.

8. Bila ayam telah berwarna coklat keemasan, angkat dan toskan minyaknya.

9. Sedia untuk dinikmati.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi & foto: Afy Al Habibi

 

4. NASI AYAM SUKATAN 1 EKOR

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

RESIPI AYAM
BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

BAHAN SAPU:

  • 5 sudu makan sos tiram
  • 2 sudu makan kicap manis
  • 1 sudu makan madu
  • 1 sudu makan minyak bijan

CARA MEMASAK:

1. Kisar bawang besar, bawang putih dan halia. Lumurkan pada ayam dan perap selama 30 minit atau lebih.

2. Panaskan air hingga mendidih dan masukkan ayam. Tutup penutup periuk dan rebus selama 5-6 minit.

3. Angkat ayam dan sapukan dengan sos tiram, kicap manis, madu dan minyak bijan.

4. Gantungkan ayam sekejap anggaran ½ jam atau lebih supaya ayam menjadi kering. Ia bertujuan menghasilkan ayam yang cantik dan berkilat apabila digoreng.

5. Panaskan minyak hingga betul-betul panas, Kemudian jirus ayam menggunakan minyak tadi sehingga rata. Bila kulit ayam dah kering, benamkan ayam dalam minyak panas dan goreng hingga masak.

6. Angkat ayam dan sapukan dengan madu secukupnya supaya kelihatan berkilat. Ketepikan.

 

RESIPI NASI

BAHAN-BAHAN:

  • 4 cawan beras
  • 1 biji bawang besar – kisar
  • 3 ulas bawang putih – kisar
  • 1 inci halia – kisar
  • 2 ketul kiub pati ayam
  • 2 sudu teh garam
  • 2 sudu makan marjerin
  • 2 helai daun pandan
  • ¼ sudu teh serbuk kunyit
  • Air rebusan ayam secukupnya – jumlah air bergantung pada jenis beras yang diguna. Sukatan air 2 kali ganda dari sukatan untuk masak nasi biasa.

CARA MEMASAK:

1. Cairkan marjerin dan tumis bahan kisar dan daun pandan hingga wangi.

2. Kemudian masukkan kiub pati ayam, garam dan serbuk kunyit.

IKLAN

3. Masukkan juga air rebusan ayam dan beras. Kacau rata dan biar nasi hingga masak.

 

RESIPI SOS CILI

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 senduk (nasi) cili kering kisar
  • 4 biji cili merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1/2 cawan sos cili
  • Gula, garam dan cuka secukup rasa
  • Air secukupnya
  • Bancuhan tepung jagung secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Satukan semua bahan kecuali air dan tepung jagung dan masak atas api sederhana. Tambah sedikit air.

2. Bila cili kelihatan masak, masukkan bancuhan tepung jagung secukupnya untuk memekatkan sedikit kuah.

 

RESIPI KICAP AYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 5 ulas bawang putih – cincang
  • 1/2 cawan sos tiram
  • 1/2 cawan kicap manis
  • Gula secukup rasa
  • Sedikit minyak masak
  • Air secukupnya
  • Sedikit bancuhan tepung jagung

CARA MEMASAK:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih. Masukkan kicap, sos tiram,gula dan tambahkan air. Kacau hingga sedikit mendidih.

2. Tambahkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan.

3. Angkat dan hidangkan bersama nasi, ayam, sos cili dan juga sup.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi & foto: Sur Aida

 

5. IBU SAMBAL KICAP

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN-BAHAN:

  • 2 genggam cili padi hijau
  • 8 ulas bawang putih
  • Kicap lemak manis secukupnya
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 2 sudu makan kicap cair
  • Sedikit gula
  • Secubit garam jika perlu

CARA MEMASAK:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng cili padi serta bawang putih hingga kekuningan. Angkat. ( Cili padi perlu dipatahkan terlebih dahulu bagi mengelakkan ia meletup masa menggoreng.)

2. Masukkan bahan goreng tadi ke dalam bekas pengisar.

3. Masukkan kicap. Kuantitinya sehingga menutupi paras bahan tadi.

4. Tambahkan kicap pekat dan kicap cair untuk warna sambal yang cantik.

5. Perasakan dengan sedikit gula mengikut cita rasa. Tambahkan juga secubit garam jika perlu.

6. Kisar sambal hingga lumat. Tuang ke dalam mangkuk dan kacau sebati. Boleh tambah perisa jika perlu.

7. Ibu Sambal Kicap ni sesuai dinikmati bersama pelbagai sajian makanan seperti Soto, Bihun Sup, Bergedil Tauhu dan lain-lain lagi.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi & foto: Afy Al Habibi

 

6. SAMBAL BELACAN SEDAP

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ketul belacan melaka 
  • 1 biji (saiz sedang) bawang besar 
  • 40-50 biji cili api 
  • 5-8 biji cili besar 
  • 10-15 biji limau kasturi
  • 2 sudu makan gula – agak-agak sahaja 

CARA MEMASAK:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng sebentar belacan dan bawang besar. Pastikan bawang tidak terlalu layu. Bila nampak agak-agak layu sikit, terus angkat.

2. Masukkan belacan dan bawang yang telah digoreng bersama cili api, cili besar dan gula.
(INFO:

  • Cili tidak perlu goreng. Tapi kalau nak goreng sekejap pun boleh.
  • Gula jangan banyak sangat. Agak-agak sahaja untuk seimbangkan rasa.
  • Tidak perlu letak garam kerana belacan Melaka sudah masin. Tapi boleh ditambah jika perlu.)

3. Kemudian perahkan limau kasturi anggaran dalam 10 – 15 biji. Sambal belacan ini tidak menggunakan air. Hanya air limau kasturi sahaja.

4. Kisar kasar. Jika buat dalam kuantiti sedikit, boleh guna lesung batu sahaja.

5. Semasa kisar, Sambal ini tidak menggunakan sebarang air. Hanya guna air limau kasturi sahaja untuk menggerakkan blender.

6. Sambal ini kena ada rasa pedas, masam, manis dan masin. Rasa untuk seimbangkan dengan cita rasa anda.

7. Hidangkan bersama ulam-ulaman.

(klik DISINI untuk resipi by step bergambar)

Kredit resipi & foto: Rosni Musa

 

IKLAN

7. DONAT GEBU

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN PERAPAN YIS:

  • 1 1/2 cawan air suam – isi dalam gelas besar @mangkuk untuk elak buih yis melimpah
  • 2 sudu makan gula pasir
  • 1 sudu makan yis Mauripan@Saf
  • 1 biji kuning telur gred A@2 biji kuning telur B yang dibuang pusat & dikacau terlebih dahulu (rahsia lembut gebu)

BAHAN-BAHAN LAIN:

  • 4 cawan tepung gandum – ayak (Empunya resipi guna 2 cawan tepung gandum + 2 cawan tepung high protein (tepung roti).
  • 1/2 sudu teh garam halus
  • 2 sudu makan shortening
  • 2 sudu makan marjerin (kalau tak ada Shortening boleh guna 3 sudu makan marjerin,cairkan dan biar sejuk)
  • 2-3 sudu makan susu tepung Nespray
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1 sudu teh Bread Softener @sebarang pelembut roti yang ada ( empunya resipi guna pelembut serbaguna Cream Super).
  • Sedikit air jika perlu

CARA MEMASAK:
1. Satukan air suam dan gula. Kacau hingga gula larut.

2. Masukkan yis dan kacau sekejap. Biarkan selama 15 minit atau hingga berbuih.

3. Bila yis dah berbuih, campurkan kuning telur dan kacau sebati. Ketepikan.

4. Satukan tepung yang telah diayak bersama bahan-bahan lain dalam bekas besar. Gaul rata.

5. Tuang perapan yis yang sudah berbuih, gaul rata dan uli hingga sebati. Tambah sedikit air jika doh terlalu keras dan rasa berat. (Kalau doh rasa ok, tak perlu tambah air lagi. Doh mesti lembut dan sedikit melekit).

6.Terus uli dengan cara tarik tolak doh (seperti memberus baju) hingga doh yang melekit bertukar menjadi licin.
(Boleh juga masukkan doh ke dalam plastik bersih dan ramas sekali sekala dan picit-picit hingga doh menjadi licin dan tak melekit).

7.Keluarkan doh dari plastik dan terus uli lebih kurang setengah jam hingga doh licin, elastik dan terasa lembut ringan. Pada masa ini doh sudah tak melekat pada tangan.

8.Tutup bekas doh dengan penutup@kain lembap @ plastik. Perap doh lebih kurang 1 jam hingga naik 3 kali ganda.

9.Apabila doh dah cantik kembang, tekan @ tumbuk perlahan-lahan untuk buang angin dan bolehlah dibentuk atau direrap guna acuan donat. (Sentiasa lumur tepung pada tangan supaya doh tak melekat.)

10. Dah siap bentuk, rehatkan doh lebih kurang 30 minit bergantung suhu ruang.
(Dulang bekas letak donat mesti ditabur tepung agar donat tidak melekat pada dasar. Jangan rehat doh sampai terlebih kembang kerana nanti donat akan mengecut, lembik dan serap banyak minyak bila digoreng.)

11. Panaskan minyak dan goreng donat dengan api sederhana perlahan sehingga masak sepenuhnya. Toskan minyak dan salut gula.

GULA SALUT DONAT:

  • 1/2 cawan snow Powder @dusting powder
  • Sedikit gula kastor

CARA-CARA:
1. Satukan kedua-dua gula dan kacau rata.
2. Letak donat yang telah digoreng dalam bekas besar bertutup rapat. Goncang perlahan-lahan hingga gula tersalut cantik.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi & foto: Zurina Kifli

 

8. KULIT KARIPAP SEDAP & RANGUP WALAU SEJUK

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN KULIT KARIPAP:

  • 1kg tepung gandum ( empunya resipi guna cap blue key)
  • 1 cawan minyak masak
  • 2 sudu makan marjerin
  • 350ml air
  • 2 sudu makan air rendaman kapur makan (yang jernih)

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak bersama marjerin. Sukatan ini untuk 1 kg tepung. Jika nak buat 2kg, gandakan sahaja bahannya.

2. Kemudian tuangkan ke dalam tepung dan uli menggunakan sudu. Jangan uli dengan tangan kerana tepung sedang panas.

3. Gaul tepung hingga jadi seakan serbuk roti.

4. Kemudian masukkan air dan air kapur. Uli hingga sebati. Jangan risau jika tepung tidak menjadi licin. Asalkan ia sebati, sudah mencukupi.

5. Setelah siap diuli, masukkan ke dalam plastik sebegini. Tujuannya supaya doh tidak terkena angin. Perap selama 4 jam. Tujuan doh diperap pula adalah supaya ia lembut dan berminyak sedikit.

6. Akhir sekali, doh bolehlah dicanai dan dimasukkan inti. Kelim dengan kemas dan goreng hingga garing.

7. Jika nak buat frozen, cukup sekadar goreng karipap separuh masa. Kemudian bekukan.

 

RESIPI INTI KENTANG

BAHAN INTI KARIPAP:

  • 1 kg ubi kentang | dipotong dadu, direbus dan di tos airnya
  • 1/2 biji bawang besar | didadu kecil
  • 4 sudu makan serbuk kari
  • 8 sudu makan gula | boleh dikurangkan jika kurang gemar inti karipap yang manis
  • 3 sudu teh garam
  • 1 sudu teh serbuk perasa | boleh abaikan
  • Sedikit air
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga wangi.

2. Kemudian masukkan rempah kari serta sedikit air, gula, garam dan perasa.

3. Seterusnya masukkan ubi kentang. Kacau hingga kering.

4. Padamkan api dan sejukkan inti. Boleh digunakan untuk menghasilkan karipap.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi & foto: Che Kelly Muhamad

 

9. MI GORENG BASAH

 

IKLAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1 bungkus mi kuning – dibilas dan tos
  • 10 ekor sotong – dibersihkan, potong dan tos
  • 1 paket Fish ball – dibersihkan potong dan tos
  • 1 ikat sayur sawi jepun – dibersihkan, potong dan tos
  • 1 biji tomato – dibersihkan dan dibelah 6
  • 4 sudu besar cili kisar
  • 5 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 5 sudu besar kicap manis
  • 2 sudu besar kicap mi
  • 1 cawan kecil air
  • 2 sudu besar minyak masak untuk menumis

BAHAN TUMBUK LUMAT:

  • 10 biji cili api
  • 3 ulas bawang putih

CARA MEMASAK:
1. Panaskan kuali, masukkan 2 sudu besar minyak masak.

2. Tumiskan cili kisar dengan bahan-bahan tumbuk tadi sampai garing sedikit.

3. Masukkan sos cili, sos tiram, sos ikan, kicap pekat, kicap manis, kicap mi, dan masukkan sotong dan fish ball.

4. Masukkan air 1 cawan kecil.

5. Masak dan kacau sehingga sebati. Masukkan sayur dan kacau lagi.

6. Selepas itu masukkan mi kuning dan tomato. Kacau bagi sebati dan masak. Siap.

INFO:

  1. Masak mi goreng basah ini tidak guna garam gula dan serbuk perasa sebab rasa kicap-kicap itu semua sudah cukup.
  2. Anda boleh tambah bahan-bahan lain seperti udang, hirisan daging, kerang dan sebagainya.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

KREDIT RESIPI & FOTO: Ieda Roslieda

 

10. KEK SPAN PANDAN SANTAN

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN A:

  • 5 biji putih telur
  • 1/2 cawan gula kastor 
  • 1 sudu teh cream of tartar – boleh ganti dengan 1 sudu makan jus lemon 

BAHAN B:

  • 5 biji kuning telur
  • 1 biji telur
  • 3/4 cawan tepung kek 
  • 1/4 cawan minyak jagung 
  • Secubit garam
  • 1/4 cawan santan kotak
  • 1 sudu teh perisa pandan
  • Sedikit pewarna hijau

CARA MEMASAK:
1. Untuk bahan A, pukul putih telur hingga berbuih.

2. Masukkan gula dan jus lemon.

3. Pukul lagi hingga kental dan bertanduk. Ketepikan.

4. Kemudian, dalam bekas berlainan, satukan bahan B dan pukul hingga sebati dan berkrim.

5. Masukkan bahan A sedikit demi sedikit ke dalam bahan B. Kaup balikkan hingga sebati.

6. Panaskan ketuhar pada suhu 160C. Kemudian ambil loyang yang bersesuaian, lapik dasar loyang menggunakan baking paper. Kemudian oles dengan marjerin dengan secukupnya.

7. Tuang adunan kek tadi. Jika suka, boleh corak bahagian atas kek ikut kreativiti masing-masing.

8. Ambil satu loyang yang lebih besar dari loyang kek tadi. Isikan air panas.

9. Letak loyang kek ke dalamnya dan bakar guna teknik double boiler selama 70 minit menggunakan api atas bawah.

10. Bila kek masak, sejukkan seketika dan bolehlah dinikmati.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi & foto: Opah Mas Cotek

 

11. PUDING KARAMEL TANPA TELUR & TAK PERLU KUKUS

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN GULA HANGUS ( jika guna loyang saiz 7 inci):

  • 2 sudu makan gula pasir
  • 2 sudu makan air panas

CARA MEMASAK:
1. Masukkan gula dalam loyang masak atas api sederhana hingga gula cair keperangan (sentiasa kacau).

2. Bila gula dah agak perang, tutup api dan tuangkan air panas perlahan-lahan.

3. Buka api dan masak lagi hingga gula larut. Padamkan api dan biarkan seketika. Boleh sediakan bahan puding.
Jika guna bekas dadih kecil, sukatan gula berbeza.

BAHAN GULA HANGUS (jika guna bekas dadih):

  • 3/4 cawan gula ( hampir penuh)
  • 1 cawan air panas

CARA MEMASAK:
1. Masukkan gula dalam kuali dan masak atas api sederhana hingga gula cair keperangan (sentiasa kacau).

2. Bila gula dah agak perang, tutup api dan tuangkan air panas perlahan-lahan.

3. Buka api dan masak lagi hingga gula larut. Padamkan api dan sejukkan seketika.

4. Masukkan 1 sudu makan gula hangus ke dalam bekas dadih. Biarkan dan boleh sediakan bahan puding.

BAHAN PUDING:

  • 1 paket serbuk agar-agar @ 10gm (guna serbuk yang kosong @ jernih. Jika guna agar-agar tali, sukatanya 20gm atau 25gm)
  • 4 cawan air
  • 3 sudu makan tepung kastard
  • 1 tin susu cair
  • 1 cawan susu pekat manis

CARA MEMASAK:
1. Satukan semua bahan hingga sebati, tapiskan dalam periuk dan masak guna api sederhana hingga larut.

2. Apabila dah mendidih kuat, tutup api dan tuangkan dalam loyang yang ada gula hangus tadi atau sudukan ke dalam bekas dadih. Biar sedikit suam.

3. Masukkan dalam peti sejuk. Bila dah mengeras, bolehlah dipotong dan dinikmati.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi: Mariana Zainal

 

12. KARIPAP PUSING

12 Resipi Paling Popular Rasa.My Sepanjang 2020. Tahun Penuh Cabaran Buat Ramai Pandai Masak

BAHAN DOH MINYAK:

  • 2 ½ cawan tepung gandum
  • ¼ cawan minyak masak – dipanaskan
  • Secubit garam
  • Air secukupnya ( air suhu biasa)

BAHAN DOH MARJERIN:

  • 1 ½ cawan tepung gandum
  • 2 sudu makan shortening
  • 1/2 cawan marjerin atau lebih

CARA MEMASAK:
1. DOH MINYAK: Satukan semua bahan dan sebatikan. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga doh tidak lekat di tangan.
2. DOH MARJERIN: Satukan semua bahan dan sebatikan hingga jadi doh.
3. Bulat-bulatkan doh minyak dan doh marjerin. Pastikan bilangannya sama banyak.
4. Ambil satu doh minyak. Leperkan. Masukkan doh marjerin di dalamnya.
5. Tutup doh. Bulatkan dengan sempurna sehingga jadi bulatan doh. Rehatkan doh 5 minit.
6. Ambil 1 doh dan canaikan.
7. Kemudian sapu sedikit air di permukaan doh. Jangan banyak nanti doh lembik. Cukup sekadar calit-calit sahaja.
8. Gulung doh tadi dan letak memanjang. Kemudian canai memanjang doh yang digulung tadi.
9. Gulung doh sekali lagi. Potong doh guna pisau anggaran 1/2 inci tebal atau lebih sedikit.
10. Ambil sekeping doh dan canai. Jangan nipis. Jika tebal tidak mengapa.
11. Terbalikkan doh. Isikan inti pada bahagian bawah doh yang dicanai tadi. (bukan bahagian atas). Kelim doh dengan kemas. Inti boleh ikut cita rasa masing-masing.
12. Panaskan minyak dan goreng karipap guna api sederhana hingga keperangan.
13. Siap untuk dinikmati.

(klik DISINI untuk resipi step by step bergambar)

Kredit resipi: Opah Mas Cotek

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah & sedap di laman web RASA:

Beribu Bungkus Laksam Dijual Guna Resipi Ni. Begini Cara Masaknya

Petua Masak Sup Daging Siam Yang Sedap, Cepat Empuk & Tak Guna Banyak Minyak

Cara Buat Kuih Lopes Sagu Yang Sedap & Lembut Untuk Minum Petang

Telur Masak Tomato. Sajian Cina Tanpa Bawang Yang Ringkas, Sedap & Cepat Masak

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI