
Sedapnya Telur Masak Tomato. Bagi yang dah mula tak tahu nak masak apa dan nak makan apa, RASA kongsikan satu resipi paling ringkas perkongsian saudari Dilla Min yang boleh dicuba. Menurut beliau, resipi mudah ni memang sedap. Anak-anak yang tak makan tomato pun boleh suka menu ni. Jadi, jom cuba.
CARA MASAK TELUR MASAK TOMATO YANG SEDAP & MUDAH
BAHAN-BAHAN:
3 biji telur
2 biji tomato – potong dadu
3 ulas bawang putih – cincang
Garam secukupnya
Kicap manis secukupnya – beli online disini
Sos cili secukupnya – beli online disini
Sedikit minyak masak
Sedikit air
Hirisan daun bawang – jika suka
CARA MEMASAK:
1.Cincang bawang putih, tomato dipotong dadu dan telur dipukul macam nak buat telur dadar.
2. Panaskan kuali dan goreng telur seperti nak masak ‘scramble egg’. Angkat dan ketepikan seketika.
3. Tuang sedikit minyak dalam kuali dan tumis tomato. Tumis sekejap sahaja.
4. Kemudian masukkan sos cili untuk dapatklan sedikit rasa pedas dan sedikit kicap manis untuk cantikkan warna merah tomato.
5. Jika anda suka rasa lebih pedas, boleh tambahkan hirisan cili padi atau cili merah. Terpulang pada selera masing-masing.
6. Perasakan garam dan tambah sedikit air untuk kuah.
7.Masukkan kembali telur tadi. Sebelum tutup api masukkan bawang putih. Kacau kacau manja.
8. Tabur daun bawang dan siap untuk dihidang.
Kredit resipi & foto: Dilla Min
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Terung Bakar Bersantan Paling Sedap, Ikut Resipi Ni Pasti Jadi
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Serunding Telur Pedas Lauk Ngam Untuk Sahur

Selalunya kalau waktu sahur masakan yang dihidangkan mestilah yang mudah dan sedap dimakan. Apa kata cuba resipi yang Azzaliza kongsikan ni, serunding telur pedas nampak menarik dan menyelerakan!
Kalau ada sambal belacan lebih tu jangan dibuang. Kalau dulu rumah saya wajib ada sambal belacan tiap kali makan tapi ayah, dia nak sambal belacan yg fresh. So saya kumpul sambal belacan tu buat serunding telur. Makan dengan nasik panas buat pedas-pedas perghhhhh lawan plak ngn ikan masin memang terbaik la. Selain buat lauk sahur, makan dengan roti, moi/bubur nasi pun sedap. – Azzaliza
RESIPI SERUNDING TELUR PEDAS

Bahan-bahan:
- Cili merah
- Cili api -lagi pedas lagi sedap
- Belacan
- Garam sikit
- Gula sikit
* semua tumbuk lagi sedap. Sbb nk kurangkan air masa menumis
- Bawang besar 2 biji potong dadu
- 5 ulas bawang putih cincang
- Sos tiram 1 sudu besar
- Asam jawa paste 1 sudu kecik or bleh ganti ngn lemon juice
- Telur 3-5biji
Cara memasak:
- Tumis bawang besar dan bawang putih sampai kekuningan dengan 1 senduk minyak. Pakai minyak banyak sikit nanti telur tak garing.
- Lepas tu masukkan bahan tumbuk. Tumis sampai garing. Kalau kisar jangan guna air banyak, lepas tu tak perlu tambah air.
- Masukkan sos tiram dan asam jawa kacau sebati kemuadian pecahkan telur. Goreng sampai telur tu garing dan keluar minyak.
- Jika nak kurangkan minyak lepas masak dah siap masak letak atas kitchen towel/ tisu. Siap !
Nota: Kalau tak makan belacan boleh tukar letak ikan bilis tumbuk atau udang kering tumbuk tapi jangan letak banyak sebab akan menghilangkan rasa telur. Saya pernah improvise resipi asal ni letak kentang potong dadu dan tambah lada hitam bagi lagi pedas menyengat pun sedap jugak!
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Putih Telur Kena Pukul Asing, Baru Dapat Telur Dadar Gebu & Lembut Macam Ni

Telur dadar memang dah jadi lauk kebiasaan kita dan ada banyak versi. Ada yang suka telur dadar garing tapi yang pasti ramai suka ia lembut dan gebu di dalam. Nak dapat hasil telur dadar gebu ini boleh gunakan teknik kedua yang dikongsi oleh Nur Mashitah.
Teknik buat telur dadar gebu
Teknik masakan yang berbeza mampu menghasilkan hidangan yang berbeza meski pun menggunakan bahan yang sama. Begitu juga apabila anda ingin menghasilkan telur dadar yang gebu.
Ada teknik atau cara yang boleh diguna pakai bagi menghasilkan telur dadar yang gebu. Cuba bezakan dua teknik di bawah:
Teknik Pertama
Pukul telur putih dan telur kuning di dalam satu bekas dan kemudian goreng.
Teknik Kedua
Asingkan kuning telur dan putih telur. Pukul kedua bahan di dalam bekas yang berasingan. Putih telur dipukul sehingga kembang seakan-akan awan putih. Kemudian kuning telur di gaul dengan perlahan ke dalam bekas yang mengandungi putih telur tadi dan kemudian goreng.

Kedua-dua teknik ini menggunakan bahan yang sama, tetapi hasilnya berbeza. Telur dadar yang dihasilkan dengan teknik kedua akan lebih gebu daripada teknik pertama.
Hasilnya…
Apabila putih telur dipukul, anda sebenarnya sedang menambahkan udara pada putih telur.
Udara yang terperangkap menghasilkan buih-buih seperti awan putih tadi dan meningkatkan isipadu telur. Hasilnya telur tampak lebih gebu dan lebih besar berbanding teknik pertama.
Hebat bukan, hanya dengan mengubah cara atau teknik masakan mampu menghasilkan produk yang berbeza.
Selain teknik pukulan, kesegaran dan suhu telur juga memainkan peranan dalam penghasilan buih yang stabil.
Jom kongsikan cara anda menghasilkan telur dadar yang gebu.
Sumber rujukan: Lomakina, K., Míková, K. (2006). A study of the factors affecting the foaming properties of egg white – a review. Czech Journal of Food Sciences, 24(No. 3), 110–118.
Gambar: Sumber Google
Sumber: Nur Mashitah
Sembang Science
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
10 Menu Berbuka & Sahur Yang Boleh Masak Guna Telur.

Kadangkala bahan yang ringkas, jika kena dengan cara masaknya, tetap sedap untuk dijadikan lauk utama. Sebagai contoh, masakan menggunakan telur ni. Bukan setakat goreng cicah kicap je tau. Macam-macam boleh buat. Nak-nak di bulan puasa ni, lauk telur memang boleh jadi penyelamat dikala tak ada selera makan atau kesuntukan masa memasak. Selamat mencuba!
1. RENDANG TELUR CILI KERING

BAHAN-BAHAN:
- 4 biji telur |rebus
- 6 biji bawang merah | kisar
- 3 ulas bawang putih | kisar
- 1 inci halia | kisar
- 1 inci kunyit hidup |kisar
- 2 batang serai | hiris
- 1 helai daun kunyit | hiris
- 3 sudu makan cili kering kisar
- 1 sudu makan kerisik
- 1 mangkuk santan
- Sedikit minyak
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar serta cili kisar hingga terbit wangi.
- Setelah bahan tumisan garing dan pecah minyak, masukkan santan dan hirisan serai. Kacau sekata.
- Masukkan telur dan biarkan mendidih hingga kuah pekat.
- Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit dan perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau sebati.
- Angkat dan sedia dinikmati.
2. ASAM PEDAS TELUR MASIN

BAHAN-BAHAN:
- 2 biji telur masin
- 1 sudu teh halba
- 4 sudu makan cili kering kisar
- 5 biji bawang merah | kisar
- 2 ulas bawang putih |kisar
- ½ inci halia |kisar
- ½ inci kunyit hidup |kisar
- Sedikit air asam jawa
- 2 tangkai daun kesum
- Minyak untuk menumis
- Garam secukup rasa
- 1 mangkuk air
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan halba dan terus masukkan bahan kisar serta cili kering kisar. Bila cili sudah garing dan pecah minyak, masukkan air dan perahan air asam jawa. Kacau sebati.
- Bila kuah mendidih, pecahkan telur masin satu persatu. Apabila telur sudah keras, masukkan daun kesum. Kacau perlahan untuk menggelakkan telur hancur. Biar ia mereneh dan perasakan dengan garam secukup rasa.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
3. SAMBAL TELUR BERSERAI

BAHAN-BAHAN:
- 4 biji telur | rebus dan goreng
- 8 biji cili merah | dikisar
- 5 biji bawang merah | dikisar
- 2 ulas bawang putih |dikisar
- 1 batang serai | titik
- Sedikit air asam jawa
- Sedikit air
- Minyak untuk menumis
- Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan bahan kisar. Apabila sudah naik baru, masukkan serai, air asam jawa dan sedikit air. Kacau perlahan.
- Akhir sekali masukkan telur. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau seketika.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
4. PAIS TELUR MASIN

BAHAN-BAHAN:
- 2 biji telur masin
- 1 biji telur biasa
- Sedikit hirisan daun kunyit
- Sedikit hirisan daun limau purut
- Sedikit hirisan serai
- 2 sudu makan santan pekat
- Daun pisang untuk membungkus secukupnya
CARA MEMASAK:
- Sediakan daun pisang.
- Pecahkan telur masin satu persatu ke dalam daun pisang.
- Kemudian pecahkan dan hancurkan telur ayam biasa dan tuang ke atas telur masin tadi.
- Taburkan daun kunyit, daun limau purut dan serai yang telah dihiris.
- Akhir sekali, tuangkan santan pekat. Kesemua bahan jangan dikacau. Bungkus telur tersebut.
- Kukus kira-kira 5 minit dan selepas itu dibakar sekitar 5 minit lagi.
- Keluarkan dan sedia dihidangkan.
5. SUP TELUR CENDAWAN TIRAM

BAHAN-BAHAN:
- 2 biji telur
- 5 biji bawang merah | dikisar
- 2 ulas bawang putih | dikisar
- 10 tangkai cendawan tiram |potong
- Sedikit bunga kubis |potong
- Sedikit daun sup |racik kasar
- Sedikit suhun
- 1 mangkuk air
- Garam secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan kisar. Tumis hingga terbit wangi. Apabila sudah naik baru, masukkan air. Kacau perlahan.
- Apabila kuah sudah mendidih, masukkan cendawan tiram, bunga kubis dan suhun.
- Kecilkan api untuk masukkan telur satu persatu. Biarkan kira-kira tiga minit.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
6. SAMBAL TELUR HANCUR

BAHAN-BAHAN:
- 4 biji telur
- 5 biji bawang merah | kisar
- 2 ulas bawang putih |kisar
- 5 sudu makan cili kisar
- Minyak untuk menumis
- Garam dan gula secukup rasa
- Sedikit asam jawa
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan yang dikisar sehingga pecah minyak.
- Setelah pecah minyak, masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Kacau perlahan.
- Setelah kuah mendidih dan sedikit kering airnya, masukkan telur satu persatu.
- Jangan kacau dahulu, biarkan telur sedikit keras barulah digaulkan keseluruhan.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
7. TELUR MASAK KICAP

BAHAN-BAHAN:
- 4 biji telur | rebus dan digoreng
- 5 biji bawang merah | kisar
- 3 ulas bawang putih | kisar
- 1 inci halia | kisar
- Sedikit kicap manis + kicap masin
- 2 helai dau bay
- Sedikit cuka
- Sedikit hirisan cili benggala hijau
- Sedikit hirisan cili benggala merah
- Minyak untuk menumis
- Sedikit air
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan kisar. Tumis hingga terbit bau. Masukkan daun bay dan masak sehingga bahan garing dan pecah minyak.
- Masukkan sedikit air, cuka, dan kicap manis serta kicap masin. Biarkan mendidih. Bila kuah agak pekat, masukkan telur dan hirisan cili benggala. Kacau sekata.
- Angkat dan sedia dinikmati.
8. MUFFIN TELUR

BAHAN-BAHAN:
- 5 biji telur
- 2 sudu susu cair
- Sedikit daun ketumbar
- 4-5 ekor udang hidup | buang kulit dan potong kecil
- Sedikit daging ayam | potong kecil
- Sedikit cili benggala merah | potong dadu
- Sedikit cili benggala hijau |potong dadu
- Garam secukupnya
CARA MEMASAK:
- Masukkan kesemua bahan ke dalam bekas dan pukul hingga telur hancur.
- Masukkan dalam bekas muffin. Bakar selama 10 minit pada suhu 170C. Keluarkan.
- Sedia untuk dihidangkan.
9. MASAK KURMAK TELUR REBUS DENGAN CILI HIJAU

BAHAN-BAHAN:
- 50 biji telur gred B | direbus dan dibuang kulit – boleh juga guna telur itik
- 400gm serbuk rempah kurma | dibancuh dengan sedikit air
- 8 biji ubi kentang | dibuang kulit dipotong empat
- 12 biji cili besar hijau | dikisar halus
- 300ml air
- 8 biji bawang besar saiz sederhana | dibelah empat
- 2 biji bawang besar | dihiris halus
- 2 labu bawang putih | dihiris
- 4 inci halia | diketuk kasar atau dihiris halus
- Rempah 3 beradik secukupnya
- Minyak untuk menumis
- 3 helai daun pandan | disimpul
- 4 keping asam gelugur
- Garam secukup rasa
- Hirisan cili merah dan cili hijau secukupnya
CARA MEMASAK:
- Tumiskan bawang besar yang telah dihiris sehinga naik bau . Kemudian masukkan bawang putih, halia bersama rempah tiga beradik .
- Masukkan rempah kurma dan cili hijau kisar. Masak sehingga pecah minyak.
- Kemudian masukkan daun pandan dan bawang besar yang telah dibelah empat tadi. Gaul rata.
- Masukkan air diikuti santan. Kacau rata. Apabila menggelegak, masukkan telur rebus dan perasakan dengan garam dengan secukupnya.
- Masukkan hirisan cili merah dan hijau sebagai hiasan. Siap untuk dihidangkan.
10. MASAK LEMAK TELUR ITIK DENGAN MANGGA MUDA

BAHAN-BAHAN:
- 50 biji telur itik
- 200gm cili padi akar | dikisar
- 200gm cili padi kampung | dikisar
- 4 helai daun kunyit | dihiris halus
- 5 biji kunyit hidup anggaran sebesar ibu jari | dikisar
- 4kg santan pekat
- 4 batang serai
- 7 biji mangga muda | dipotong panjang
- Garam dan perisa secukup rasa
- Sedikit air
BAHAN MEREBUS TELUR:
- 2 mangkuk air
- Sedikit cuka makan
CARA MEMASAK:
- Kisar halus cili padi dan kunyit. Ketepikan.
- Masukkan air ke dalam periuk dan campurkan sedikit cuka makan. Didihkan dengan api yang kuat.
- Setelah menggelegak, kecil api dan pecahkan telur itik satu persatu. Jumlah telur yang dimasukkan bergantung kepada saiz periuk.
- Setelah telur itik masak, angkat dan asingkan ke dalam penapis. Ulang langkah sehingga telur itik.
- Dalam periuk lain, campurkan bahan kisar, serai, 1kg santan dan sedikit air. Biarkan sehingga sedikit mendidih.
- Kemudian masukkan kesemua telur itik yang telah dimasak tadi.
- Masukkan lebihan santan dan kacau perlahan sehingga mendidih.
- Akhir sekali masukkan mangga dan perasakan dengan garam, gula serta taburkan daun kunyit.
- Sedia untuk dinikmati.
Info chef: Kaedah merebus telur terlebih dahulu digunakan untuk memasak dalam kuantiti yang banyak. Jika masak dalam kuantiti sedikit, terus pecahkan telur ke dalam kuah masakan .
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!

BAHAN-BAHAN: