
Jom belajar cara-cara buat sambal garing. Sambal ni memang tahan lama dan buat pun mudah. Hanya guna bahan-bahan yang ada di dapur je. Jika tak ada selera, makan nasi dengan sambal ni pastinya memukau deria anda. Kalau nak bawa sambil travel ke luar negara atau buat bekalan anak di asrama pun boleh sebab memang tak akan basi. Garing pulak tu. Sedap weh. Jom cuba resipi perkongsian saudari Nur Faridah Shahidah.
SAMBAL GARING
BAHAN-BAHAN:
- Ikan bilis halus – jangan guna bilis yang lebar dan tebal. Nanti tak berapa rangup
- Tempe atau kacang tanah – jika suka. Nak abaikan pun boleh.
- Cili kering – kalau suka pedas, beli cili kering india. Kalau suka ratah sambal, beli yang kurang pedas.
- Kiub pati ikan bilis @ cukup rasa
- Gula
(Goreng ikan bilis, tempe, kacang dan cili kering sampai garing. Setiap bahan kena goreng asing. Toskan minyak guna tisu dapur.)
CARA PENYEDIAAN:
1. Kisar cili kering yang digoreng tadi. Pastikan cili digoreng garing jika tidak ia susah nak jadi flakes sebab liat. Biji boleh dibuang. Kalau nak kisar sekali pun boleh. Guna pengisar kering.
2. Ambil kuali gorengan tadi dan masukkan kiub pati bilis. Tak perlu letak minyak. Cukup sekadar saki baki lebihan minyak gorengan awal tadi. Masak guna api kecil.
3. Biar sampai kiub pati bilis berbuih manja macam ni.
4. Masukkan cili flakes.
5. Kemudian tambahkan semua bahan-bahan lain. Untuk sambal yang dibuat ni, empunya resipi guna 1 sudu gula. Anda boleh adjust ikut citarasa masing-masing.
6. Setelah semua bahan digaul rata dan sebati, padamkan api dan biarkan sejuk. Kemudian bolehlah disimpan dalam balang.
7. Sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Nur Faridah Shahidah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Datin Hajar Abdul Rahman Kongsi Petua Sedapkan Sajian Autentik Johor.

Masakan autentik Johor adalah kepakaran Ketua Wanita UMNO, Cawangan Kg Istana, Batu Pahat, Datin Hajar Abdul Rahman. Beliau membuka rahsia dan petua amalan memasak yang diwarisi dari arwah bapanya kepada RASA.
Menurut Datin Hajar dia mampu menyediakan tiga jenis lauk pauk dalam masa setengah jam. “Sebenarnya untuk menyedapkan sajian ada langkah urutan dan petuanya yang tertentu. Contohnya dalam masakan Asam Pedas Kerisik, kalau masak lauk ini saya akan memasukkan serbuk lada hitam dan kerisik setelah pes cili kering pecah minyak dan naik bau.
Bila nak masukkan daun kesum saya masukkan batangnya dahulu bersama isi bunga kantan dan setelah mendidih baru dimasukkan daun kesumnya. Batangnya lebih wangi dan masakan jadi lebih lazat. Bagi memekatkan kuah, saya letakkan juga buah keras,” ceritanya membuka petua yang diwarisi dari arwah ayahnya.
Masak Lemak Cendawan juga sungguh lazat. Cendawannya rangup dan kuahnya lemak manis terasa ikan bilisnya. Pesan beliau pilih cendawan hutan yang berkualiti, jika tersalah pilih ia boleh menyebabkan lauk menjadi tidak berapa sedap.
Sambal geledek pula menu ‘wajib’ yang perlu ada di meja hidangan keluarganya.
“Sambal geledek atau sambal ketuk ni sebenarnya boleh dijadikan rencah nasi goreng, jadi jika dibuat lebih pun elok untuk dibuat stok dan jadi rencah kepada lauk lain,” kongsinya lagi.
Jom semak 3 resipi istimewa air tangan Datin Hajar Abdul Rahman iaitu Asam Pedas Kerisik Ikan Merah, Sambal Belacan Geledek dan Masak Lemak Cendawan Hitam.
1. ASAM PEDAS KERISIK IKAN MERAH
BAHAN- BAHAN :
- 500 gm keping ikan merah (anggaran 2 keping)
- 3 sudu makan pes cili kering
- 1.5 sm halia | dikisar
- 2 ulas bawang putih | dikisar
- 1 biji bawang besar | dikisar
- 1/2 sudu makan kunyit serbuk
- 1/2 sudu makan kerisik
- 1/2 tangkai bunga kantan | ambil isi dan kelopak dari sebelah hirisan yang dibelah dua
- 3-4 batang daun kesum
- Beberapa helai daun kesum
- 1/2 sudu makan asam jaya | dicampur suku cawan air
- 1 sudu teh buah keras
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- 500 ml atau air secukupnya | bergantung kepada kepekatan yang anda suka
- 1 biji tomato | dibelah empat
- 4 batang bendi
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- Minyak masak secukupnya untuk menumis
CARA MEMASAK :
- Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan kisar.
- Tumis hingga naik bau, dan masukkan pes cili kering dan serbuk kunyit. Gunakan api sederhana, tumis hingga pecah minyak dan wangi. Masukkan batang daun kesum dan air asam jawa.
- Kemudian masukkan serbuk lada hitam, kacau dan kemudian masukkan air.
- Tutup periuk dan biarkan mendidih. Apabila mendidih masukkan ikan, daun kesum, bunga kantan.
- Masukkan buah keras untuk memekatkan kuah. Masukkan pula bendi dan tomato.
- Kecilkan api dan biarkan mereneh seketika.
- Perasakan dengan garam dan gula
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 20 minit
Cara memasak : Tumis, didih dan reneh
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan : Resepi asam pedas warisan dari generasi ‘lama’ Johor
Anggaran kos : RM30
- SAMBAL GELEDEK
BAHAN-BAHAN :
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar | dihiris kasar
- 6 biji cili merah
- 6 biji cili hijau
- 2 biji cili padi
- Dua genggam bilis
- Gula secukup rasa
- Minyak masak secukupnya untuk menumis
CARA MEMASAK :
- Panaskan minyak dan goreng kesemua bawang, cili merah, cili hijau dan cili padi sampai kekuningan.
- Angkat dan toskan.
- Kemudian gorengkan ikan bilis hingga garing, angkat dan toskan.
- Kemudian tumbuk bawang, cili padi dan hingga lumat, kemudian masukkan gula dan tumbuk sekali.
- Masukkan ikan bilis goreng tadi dan tumbuk sampai ikan bilis hancur.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Tumis
Jenis masakan : Sambal
Keistimewaan : Boleh dijadikan rencah nasi goreng jika ada lebihan.
Anggaran kos : RM6
- MASAK LEMAK CENDAWAN HITAM
BAHAN-BAHAN:
- 100 gm cendawan hitam | rendam bagi kembang
- 3 biji bawang kecil | dikisar
- Segenggam ikan bilis | digoreng dan ditumbuk
- 220 ml santan kotak
- 2 helai daun limau purut |dicarik
- 1/4 sudu teh serbuk kunyit
- 2 batang serai | dititik
- 1 sudu makan sambal geledek (atau apa apa sambal)
- 500 ml air
- Minyak masak secukupnya untuk menumis
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
- Panaskan minyak dalam kuali.
- Tumiskan bawang hingga naik bau dan masukkan serai dan ikan bilis
- Masukkan satu sudu makan sambal geledek
- Masukkan santan, serbuk kunyit dan kemudian air.
- Bila mendidih masukkan cendawan.
- Akhir sekali masukkan limau purut dan perasakan dengan garam.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Tumis dan didih
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan : Kuah berlemak dan masam serta cendawan hitam yang rangup
Anggaran kos : RM6
Resipi Sambal Tempoyak Petai Bilis Sedap, Masak Macam Ni Memang Padu Betul

Biasanya bila buat Sambal Tempoyak, anda akan guna cili padi. Tapi menerusi perkongsian saudari Fairuz Abu Hassan beliau menunjukkan cara-cara membuat Sambal Tempoyak Petai Bilis yang sedap menggunakan cili besar.
Ha…Walaupun stok cili padi tiada di rumah, masih boleh masak sambal sedap ni tau. Tak payah susah hati kalau bahan tak lengkap, masih boleh masak lagi ya. Anda semua bolehlah cuba. Pasti makan nasi bertambah-tambah.
CARA MASAK SAMBAL TEMPOYAK PETAI BILIS SEDAP
BAHAN-BAHAN:
Tempoyak
8 biji cili besar – dikisar
7 biji bawang merah – dikisar – beli online disini
4 ulas bawang putih (ambil yang kecil sahaja untuk elak lebih rasa bawang putih) – dikisar – beli online disini
Petai yang siap dikupas
Ikan bilis yang telah digoreng – beli online disini
Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Tumis bahan yang dikisar dengan minyak gorengan ikan bilis tadi.
2. Masak sampai agak-agak kering.
3. Masukkan tempoyak. Gaul sebati.
4. Masukkan ikan bilis dan petai. Perasakan dengan gula dan garam dengan secukupnya.
5. Masak sambal hingga pekat. Siap dan sedia untuk dihidang.
6. Jika mahukan sambal yang kelihatan berminyak, boleh masukkan lebih sedikit minyak masak sewaktu menumis.
Kredit resipi & foto: Fairuz Abu Hassan
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Gulai Pede Cara Mak, Resipi Lauk Kampung Istimewa Orang Pahang
Resipi Kuih Gunting Mudah & Dijamin Menjadi. Sedap Buat Macam Ni!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Buat Sendiri 5 Jenis Sos Steak Yang Sedap & Senang Ni, Tak Payah Bazir Duit Beli.

Kalau teringin nak makan steak, mesti korang makan kat luar dan makan pun sekali sekala, maklum jelah harga sepinggan steak pun boleh tahan. Kalau selalu sangat makan kat luar parah dibuatnya. Apa kata korang cuba buat steak sendiri di rumah dan sos boleh dipelbagaikan. Nak tahu macam mana cara buat sos steak, Ini RASA kongsikan cara buat sos steak, bukan satu ye, tapi lima jenis sos sekali. Senang dan jimat banyak kalau buat sendiri.
SOS CENDAWAN
Kalau suka sos yang creamy dengan tekstur pekat, korang boleh buat sos cendawan yang sedap seperti disediakan oleh kebanyakan restoran western. Caranya mudah je, dan ikut resipi ini:-
Bahan-Bahan:
- 200gm cendawan butang (dihiris)
- 50gm mentega
- 2 ulas bawang putih (cincang)
- 1 sudu makan mustard
- 2 sudu makan whipping cream
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Memasak, korang panaskan mentega, kemudian tumis bawang putih, hingga wangi kemudian masukkaan cendawan, kacau rata hingga layu. Kemudian tambah mustard dan whipping cream, terus kacau hingga pekat. Akhir sekali lengkapkan rasa dengan memasukkan serbuk lada hitam, garam dan gula secukup rasa. Tak sampai lima dah siap, dan siram pada steak yang telah siap digrill.
SOS LADA HITAM
Sos ini adalah sos wajib ada di kebanyakan restoran western yang menyediakan menu steak dan paling disukai ramai. Rasanya yang sedap creamy dan sedikit pedas lada hitam memang boleh ketagih dibuatnya. Jangan risau ye, ini caranya kalau korang nak cuba.
Bahan-Bahan:
- 1 sudu makan mentega
- 1 ulas bawang putih |cincang
- 1 sudu teh lada hitam | kisar kasar
- 1/2cawan air stok ayam
- 1 sudu makan kicap masin
- 1 sudu makan sos lada hitam
- 1/2 sudu makan tepung jagung
- 2 sudu makan susu makan susu cair
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak mudah je, korang panaskan mentega dalam kuali, tumis bawang putih, apabila wangi, tambahkan kicap, sos lada hitam. Kacau rata dan masukkan air stok ayam, kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kecilkan api, kemudian masukkan tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air dan tambahkan susu cair dan serbuk lada hitam sebagai penambah perisa, Memang terbaik rasanya.
SOS TOMATO
Sos ini sangat mudah dan bahannya memang sedia ada di dapur kebanyakan rumah korang semua. Cuma rasanya sedikit pedas dan masam. Untuk menyediakan sos ini anda perlu ada:-
Bahan-Bahan:
- 50gm mentega
- 2 biji tomato segar | dadu halus
- 2 sudu makan sos tomato
- 2 ulas bawang putih | cincang halus
- 1 sudu makan daun ketumar | cincang halus
- 2 sudu makan pes cili kering
- 1/2 cawan air stok ayam
- 1/2 sudu makan tepung jagung | bancuh dengan sedikit air
- Garam dan gula secukup rasa
- Keju parmesan secukupnya atau ikut cita rasa
Cara memasaknya, korang panaskan mentega dan tumis bawang putih hingga kekuningan. Kemudian masukkan pes cili, kacau rata, diikuti oleh sos tomato. Seterusnya masukkan air stok ayam, kacau rata dan tambahkan tomato cincang. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Kecilkan api, masukkan tepung jagung dan terus kacau hingga pekat. Tutup api dan tuangkan atas steak dan taburkan keju parmesan di atasnya. Memang mantap sedapnya.
SOS SALSA VERDE
Sos berasal dari Itali ini berwarna hijau, sangat sedap dan sedikit rasa masam, sangat sesuai di makan dengan steak medium rare. Aromanya yang kuat boleh menghilangkan rasa hanyir steak. Macam mana nak buat, ini caranya:-
Bahan-Bahan:
- 2 sudu makan daun peterseli | hiris halus
- 2 sudu makan daun bawang | hiris halus
- 2 sudu makan daun pudina | hiris halus
- 2 ulas bawang putih | cincang halus
- 1 sudu teh capers
- Sedikit hirisan ikan masin
- 1 biji lemon | ambil jusnya
- 3 sudu makan minyak zaitun
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasaknya, semua bahan hirisan daun peterseli, bawang dan pudina dimasukkan dalam mangkuk, kemudian tambahkan cepers hirisan ikan masin dan bawang putih yang telah dicincang. Gaul rata dan tambahkan jus lemon dan minyak zaiton. Lengkapkan rasa dengan garam dan gula secukupnya. Gaul rata. Sos sedia dihidangkan bersama steak yang baru saja dipanggang.
SOS TERIYAKI
Jika ingin steak dengan sos cita rasa Jepun, korang boleh cuba dengan sos teriyaki. Sos ini kaya dengan rasa manis dan masin, sesuai untuk yang tidak suka pedas. Cara menyediakannya juga senang. Korang hanya perlu sediakan:-
Bahan-Bahan:
- 5 sudu makan kicap masin
- 5 sudu makan air sejuk
- 1 ulas bawang putih |cincang
- 2 cm halia | hiris halus
- 1 sudu makan madu
- 1/2 sudu makan tepung jagung | bancuh dengan sedikit air
- Garam dan gula secukup rasa
Untuk menyediakannya, campurkan semua bahan kecuali tepung jagung, garam dan gula.Gaul rata, kemudian renehkan atas dapur menggunakan api sederhana setelah mendidih, kecilkan api dan tambahkan tepung jagung, kacau rata kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Setelah siap, boleh tuangkan sos di atas steak bakar dan untuk penambah rasa boleh taburkan sedikit bijan yang telah digoreng sangai.
Wau korang pasti hebat menyediakan steak dalam pelbagai rasa dan paling penting sangat menjimatkan.