Pasti ramai yang gemar menikmati hidangan pencuci mulut selepas menikmati hidangan utama. Bahkan, seolah-olah ada yang ‘tidak kena’ jika tidak menjamahnya. Terdapat pelbagai jenis hidangan pencuci mulut sama ada pastri, bubur, kuih muih dan sebagainya. Tepuk dada, tanya selera.

PUDING SANTAN PISANG 

BAHAN-BAHAN:

400ml santan pekat

200ml air

5gm serbuk agar-agar

65gm gula pasir

½ sudu teh garam

Pisang berangan secukupnya |potong dadu kecil

1 helai daun pandan

Air secukupnya

BAHAN AIR SUSU GULA MELAKA:

60gm gula Melaka

120gm susu segar

Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan santan, air, serbuk agar-agar, garam secukup rasa dan daun pandan sehingga mendidih dan sentiasa dikacau agar santan tidak pecah.
  2. Kacau adunan sehingga adunan sedikit likat.
  3. Tuangkan ke dalam acuan yang dikehendaki. Dan taburkan pisang yang telah dipotong dadu.
  4. Biarkan sejuk. Ketepikan.
  5. Untuk menyediakan air susu gula Melaka; Satukan semua bahan iaitu gula Melaka, susu segar dan sedikit garam. Kemudian panaskan dan kacau hingga sebati dan sedikit likat.
  6. Sebelum dihidangkan, tuangkan sedikit air susu gula melaka. Sedia untuk dinikmati.

Info chef: pisang juga boleh dihancurkan dan dimasukkan ke dalam puding semasa memasak proses memasak.

Saiz hidangan: 2-3 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Rasa lemak dan manis pisang dan santan

Jenis masakan : Pencuci mulut

Cara memasak : Rebus

Anggaran kos: RM10

 

LEMON CREAM CHEESE BAR 

BAHAN-BAHAN:

180gm tepung gandum

70gm gula perang

40gm gula aising

120gm mentega

100gm oat

60gm walnut dibakar dan dihancurkan sedikit

220gm krim keju

1 biji telur

2 sudu makan jus lemon

1 sudu makan parutan kulit lemon

CARA MEMASAK:

  1. Satukan tepung, gula aising dan gula perang. Masukkan juga mentega dan gaul menggunakan jari hingga menjadi seperti serbuk roti.
  2. Masukkan oat dan kacang walnut. Dan tekankan adunan ke dasar Loyang bersaiz 10 x 10 yang telah disapu sedikit mentega pada keliling dan dasarnya.
  3. Pukul krim keju bersama telur hingga sebati dan masukkan jus lemon dan parutan kulit lemon. Gaul hingga sekata. Tuangkan adunan keju tadi ke atas adunan yang ditekan di dalam Loyang tadi. Ratakan dan tabur kacang walnut di atasnya.
  4. Bakar pada suhu 200 ⁰C selama 30 minit hingga perang permukaan atasnya.
  5. Keluarkan dari oven dan biarkan sejuk sebelum dipotong kepada kepingan sama besar dan dihidangkan.

Info chef: Taburkan juga oat pada lapisan atas keju untuk rasa dan rupa yang menarik.

Saiz hidangan:3-4 orang

Jenis hidangan : Barat

Keistimewaan : Rasa lemak dan masam bangkitkan selera

Jenis masakan : Pencuci mulut

Cara memasak : Bakar

Anggaran kos: RM14

 

SERAWA LABU 

BAHAN-BAHAN:

300gm labu |potong dadu saiz sederhana

40gm gula

50gm gula Melaka

200ml santan pekat

2 helai daun pandan

3 cawan air

Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Masak air bersama labu sehingga labu sedikit empuk.
  2. Masukkan gula melaka, gula, garam, daun pandan dan gaul sekata hingga gula larut.
  3. Kecilkan api dan masukkan santan. Kacau supaya santan tidak pecah.
  4. Kacau sehingga labu betul-betul empuk dan kuah menjadi sedikit pekat.
  5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Info chef: Tambahkan biji sagu semasa memasak untuk lebih keenakan.

Saiz hidangan: 3-4 orang

Jenis hidangan : Melayu

Keistimewaan : Rasa lemak dan manis labu

Jenis masakan : Pembuka selera

Cara memasak : Rebus

Anggaran kos: RM9

 

BEBOLA KELAPA COKLAT 

BAHAN-BAHAN:

50gm kacang walnut |bakar dan dihancur kasar

130gm mentega |cairkan

250gm gula bising

120gm kelapa parut kering

130gm susu pekat

300-400gm Coklat |untuk celup bebola kelapa

Coklat putih secukupnya untuk hiasan

CARA MEMASAK:

  1. Satukan mentega, kelapa kering, gula aising dan tuangkan susu pekat. Gaul hingga sebati.
  2. Masukkan kacang walnut dan gaul hingga sekata.
  3. Bahagikan kepada beberapa biji bebola dengan berat lebih kurang 13-15 gram setiap satu.
  4. Masukkan beberapa minit ke dalam peti sejuk.
  5. Sementara itu cairkan coklat dengan kaedah ‘double boiler’ ataupun menggunakan microwave.
  6. Keluarkan bebola kelapa dan celupkan ke dalam coklat. Letakkan di atas loyang yang telah disapu sedikit minyak supaya bebola tidak melekat. Ulangi langkah hingga selesai.
  7. Apabila coklat mulai mengeras. Cairkan coklat putih dan picit ke atas bebola.
  8. Biarkan bebola seketika hingga coklat mengeras.
  9. Sedia untuk dihidangkan.

Info chef:  Bebola coklat kelapa sesuai dihidangkan sama ada dalam suhu bilik mahupun dihidangkan secara sejuk. Boleh dibalut dengan kertas pembalut coklat untuk memudahkan penyimpanan.

Saiz hidangan: 4-5 orang

Jenis hidangan : Barat

Keistimewaan : Rasa lemak kelapa dan manis coklat serasi

Jenis masakan : Pencuci mulut

Cara memasak : ‘Double Boiler’

Anggaran kos: RM15

 

KEK KEJU PISANG 

BAHAN-BAHAN:

2 biji pisang berangan

225gm krim keju

150gm biskut marie |hancurkan

80gm mentega |cairkan

75gm gula aising

100gm yogurt

2 sudu teh esen vanila

2 biji telur

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan biskut marie yang telah dihancurkan dan mentega yang telah dicairkan hingga sebati dan tekankan pada acuan mufin atau bekas kek berukuran 7 x 7.
  2. Kemudian bakar sekejap dengan suhu 200⁰C selama 5-8 minit. Keluarkan dan letakkan di dalam peti sejuk sementara membuat lapisan kek. Ketepikan.
  3. Pukul krim keju bersama gula aising hingga sebati dan masukkan pisang. Pukul sehingga pisang hancur.
  4. Selepas itu masukkan yogurt bersama esen vanila hingga sebati. Kemudian masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul hingga sebati.
  5. Tuangkan adunan kek ke atas lapisan biskut tadi. Dan bakar 30-35 minit dengan suhu 200
  6. Keluarkan dan biarkan sejuk pada suhu bilik.
  7. Sesuai dihidangkan sejuk.

Info chef: Hidangkan dengan sedikit krim atau ais krim di atas kek.

Saiz hidangan: 3.5 orang

Jenis hidangan : Barat

Keistimewaan : Rasa lemak keju dan manis pisang

Jenis masakan : Pembuka selera

Cara memasak : Bakar

Anggaran kos: RM15

 

Resipi: Terima kasih Mohamad Norazlan bin Husin dan Megat Isahmudin bin Suliman, Kolej INSTECH Koperasi Belia Islam