
Bihun Sup Utara ni memang padu. Nak buat pun senang. Jadi jika ada kawan-kawan dan saudara mara datang bertandang ke rumah hujung minggu ni, bolehlah cuba menu ni. Sangat sedap dan mudah nak masak.
Gabungan bihun kuning, kuah sup daging yang beraroma rempah dan sambal merah memang cukup menyelerakan. Ditambah pula dengan hirisan daging yang empuk, tauhu goreng, lobak asin serta taburan bawang goreng. Memang nikmat bila makan panas-panas.
Kalau nak cuba masak sendiri Bihun Sup Utara di rumah, bolehlah ikut perkongsian resipi oleh Nasariah Aziz ini. Bahan-bahannya mudah didapati dan cara penyediaannya juga tidak rumit.
RESIPI BIHUN SUP UTARA PALING MENYELERAKAN

BAHAN UNTUK SUP:

- 1/2 kg daging (campur tulang lagi sedap)
- 1/2 kiub pati daging
- 1 batang kulit kayu manis
- 1 kuntum bunga lawang
- Sedikit bunga cengkih
- Air secukupnya
- Garam dan serbuk perasa
- Sup bunjut tulang
- Sedikit lada hitam
BAHAN TUMIS:
- 1 inci halia – dikisar
- 2 biji bawang merah – dikisar
- 3 biji bawang putih – dikisar
- 1/2 sudu makan rempah sup
BAHAN SAMPINGAN:
- Bihun – celur kejap dengan sedikit serbuk kunyit
- Daun bawang/daun sup
- Bawang goreng
- Tauhu – digoreng dan dipotong
- Lobak asin

CARA MEMASAK SUP:
1. Rebus daging sebentar untuk buang air darah. Ia bertujuan untuk hilangkan hanyir daging. Tapi jika nak masak terus pun boleh. Ikut cita rasa.
2. Dalam periuk lain, tumis bahan kisar kemudian masukkan bunga lawang, kayu manis, bunga cengkih dan sup bunjut. Masukkan juga rempah sup. Gaul sebentar.
3. Masukkan daging yang dah direbus tadi diikuti 3 cawan air. Masak sehingga daging empuk.
4. Masukkan serbuk lada hitam, garam, perasa dan kiub pati daging.
5. Bila daging dah masak, keluarkan dan hiris nipis. Siap!

Untuk mendapatkan kuah sup yang lebih enak, boleh gunakan campuran daging dan tulang. Masak menggunakan api sederhana kecil supaya daging menjadi empuk. Jika air rebusan semakin berkurangan sebelum daging empuk, boleh tambah sedikit air panas mengikut keperluan.
CARA BUAT SAMBAL MERAH BIHUN SUP UTARA
Selain kuah sup, sambal merah juga antara pelengkap hidangan yang membuatkan menu ini bertambah sedap. Rasa pedas, masam dan sedikit manis memang sesuai dinikmati bersama kuah sup daging.

BAHAN SAMBAL MERAH:
- Sedikit cili kering – dicelur dan dikisar
- 2 biji bawang merah – dikisar
- 2 ulas bawang putih – dikisar
- Garam dan perasa secukupnya
- Sedikit gula dan cuka makan secukupnya
CARA-CARA:
1. Kisar bahan-bahan sambal merah kemudian tumis hingga agak garing.
2. Masukkan garam, serbuk perasa dan cuka makan secukupnya. Masak hingga sambal agak pekat, barulah masukkan sedikit gula. Padamkan api.
3. Hidangkan bihun bersama sup, bahan-bahan sampingan dan sambal merah.

4. Boleh juga tambahkan sambal kicap (optional) ikut cita rasa.

TIP PENYEDIAAN BIHUN SUP UTARA SUPAYA LEBIH SEDAP
Untuk menyediakan bihun kuning, celur bihun bersama sedikit serbuk kunyit. Bila bihun dah lembut, angkat dan toskan. Tak perlu celur terlalu lama kerana nanti bihun akan menjadi terlalu lembik apabila dituang kuah sup panas.
Jika suka makan pedas, boleh lebihkan sedikit cili kering ketika menyediakan sambal merah. Namun jika menyediakan hidangan ini untuk anak-anak, asingkan sambal supaya masing-masing boleh mengambil mengikut cita rasa.
Anda mungkin berminat dengan
Lobak asin pula boleh dibilas terlebih dahulu jika rasanya terlalu masin. Potong tauhu goreng mengikut saiz yang disukai dan sediakan daun bawang, daun sup serta bawang goreng untuk ditabur ketika menghidang.
CARA MENGHIDANGKAN BIHUN SUP UTARA
Masukkan bihun yang telah dicelur ke dalam mangkuk. Letakkan hirisan daging, tauhu goreng dan lobak asin. Kemudian tuang kuah sup panas secukupnya.
Taburkan daun bawang, daun sup dan bawang goreng. Jangan lupa letakkan sambal merah untuk menambahkan lagi keenakan hidangan ini.
Jika nak hidangkan untuk tetamu, boleh sediakan semua bahan sampingan dalam bekas berasingan. Jadi tetamu boleh mengambil sendiri bahan-bahan yang disukai dan menikmati sup ketika masih panas.
Memang sesuai sangat nak jadikan Bihun Sup Utara ni sebagai menu makan tengah hari atau hidangan istimewa buat keluarga pada hujung minggu. Selamat mencuba!
Kredit resipi & foto: Nasariah Aziz
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & YouTube @Majalah Rasa Official

sekarang!

