Bayam merupakan sejenis sayuran berdaun yang sangat mudah didapati di negara ini. Terdapat dua jenis bayam yang sangat popular di Malaysia dan mudah didapati iaitu bayam hijau dan bayam merah. Biasanya sayur ini hanya dimasak tumis air atau masak lemak sahaja. Namun, sebenarnya banyak lagi hidangan enak yang kita boleh hasilkan menggunakan sayur berkhasiat ini. 

Khas buat anda yang nak kurus, kulit cantik, lambat nyanyuk dan mata terang benderang, amalkanlah makan sayur bayam. Ini kerana bayam juga terkenal sebagai sayuran yang mengandungi sumber zat besi yang tinggi. Ia berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh, mencegah anemia, meningkatkan metabolisma, membantu fungsi otak agar berjalan normal, meningkatkan sistem imun badan dalam melawan penyakit dan banyak lagi.

Selain itu sayur ini juga mengandung perbagai kandungan nutrisi lain yang diperlukan oleh tubuh. Bayam merupakan sumber vitamin A dan K, magnesium, asid folik, serat, protein, kalsium dan sebagainya. Bayam juga rendah kalori. Hal ini menjadikan ayam sebagai salah satu makanan yang bernutrisi lengkap.

Antara manfaat bayam yang menakjubkan bagi kesihatan tubuh ialah:

 

 

KOLEKSI RESIPI SEDAP & MUDAH MENGGUNAKAN BAYAM

 

1. CENDAWAN TUMIS BAYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 150gm cendawan Shitake -hiris
  • 250gm  bayam hijau
  • 50gm mentega
  • 3 ulas bawang putih-cincang
  • 1 biji bawang holand-hiris bulat
  • 1 biji tomato- hiris
  • Sedikit daun rosemary segar
  • Sedikit minyak masak
  • Garam dan perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak bersama mentega dalam kuali.
  2. Kemudian tumiskan bawang putih dan bawang Holand sehingga wangi.
  3. Masukkan cendawan, kacau rata kemudian diikuti hirisan tomato dan bayam.
  4. Lengkapkan rasa bersama garam dan perasa secukupnya.\
  5. Sedia dihidangkan.

 

2. CREAMY RAVIOLI

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm doh pasta segera |nyah bekukan
  • 120gm dada ayam | cincang halus
  • 120gm hirisan cendawan
  • 50gm cincangan bayam muda
  • 1 labu bawang besar | cincang halus
  • 3 ulas bawang putih |cincang halus
  • 6 sudu makan parutan keju romano
  • 2 sudu makan cincangan daun basil segar
  • 1 cawan krim masakan
  • 2 biji telur | pukul dengan garpu
  • Secubit serbuk buah pala
  • Garam dan lada sulah secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat inti; Satukan ayam, separuh daripada bayam, bawang besar di dalam mesin pengisar hingga hancur.  Tuang ke dalam mangkuk. Ketepikan.
  2. Tambahkan separuh daripada keju, sebiji telur dan serbuk buah pala.  Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.  Gaul sebati.
  3. Doh pasta yang lebar dipotong dua. Sendukkan sesudu teh inti ayam tadi dan letakkan berjarak di atas dos pasta hingga menjadi 10-15 ketul.  Ambil sekeping lagi doh pasta dan tutup ke atas doh yang berinti tadi.  Potong setiap bahagian yang berinti menggunakan pemotong bergerigi dan membentuk ravioli segi empat sama bersaiz 4-5cm.  Beruskan sebiji lagi telur ke bahagian tepi ravioli bagi mengelakkannya terbuka.
  4. Sementara itu, di dalam periuk, panaskan air dalam kuantiti yang banyak lalu celur ravioli selama 5 minit dan toskan. Letak ravioli ke dalam pinggan menghidang. Ketepikan.
  5. Di dalam kuali leper, panaskan krim masakan selama seminit. Tambah cincangan bawang putih, hirisan cendawan, lebihan daun bayam dan lebihan keju lalu didihkan seminit lagi. Sesuaikan rasanya dengan menambah garam dan lada sulah secukup rasa.
  6. Tuang kuah krim ke atas ravioli dan hias dengan cincangan daun basil dan parutan keju. Hidangkan segera.

 

3. CHICKEN TORTELINNI

BAHAN-BAHAN:

  • 450gm doh pasta segera |nyah bekukan
  • 120gm dada ayam |cincang dan celur hingga empuk
  • 1 labu bawang Bombay | cincang halus
  • 2 sudu makan cincangan daun parsli
  • 50gm bayam muda
  • 2 sudu makan parutan keju parmesan
  • 1 biji telur |pukul dengan garfu
  • Secubit ‘allspice’
  • Garam dan lada sulah secukup rasa

BAHAN-BAHAN SOS:

  • 1 ½ cawan krim masakan
  • 120gm cendawan butang | hiris nipis
  • 3 ulas bawang putih | cincang halus
  • 4 sudu makan parutan keju parmesan
  • Garam dan lada sulah secukup rasa
  • Cincangan daun parsli |untuk hiasan

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat inti; Di dalam mesin pengisar, satukan ayam, bayam dan bawang lalu kisar halus dan sebati.
  2. Tuang ke dalam mangkuk. Tambah allspice, parutan keju, telur, garam dan lada sulah secukup rasa.  Gaul sebati. Ketepikan.
  3. Potong doh pasta kepada 4-5 cm dalam bentuk bulat.  Sudukan inti tadi ke dalam doh pasta dan lipat dua (seperti membuat karipap).  Kemudian temukan kedua-dua hujung doh dan pintal sedikit agar tidak terbuka untuk membentuk tortellini. Ketepikan.
  4. Sementara itu, di dalam periuk, panaskan air yang banyak dengan sedikit garam.  Celur tortellini selama 5 minit dan toskan.  Letakkan tortellini ke dalam pinggan menghidang. Ketepikan.
  5. Untuk membuat sos; panaskan krim masakan di dalam kuali selama tiga minit. Tambah hirisan cendawan, separuh parutan keju lalu perasakan dengan garam dan lada sulah secukup rasa. Tutup api dan tuang sos ke atas tortellini. Tabur lebihan keju dan hias dengan cincangan daun parsli. Hidangkan segera.

 

4. MUFIN BAYAM BERKEJU

BAHAN-BAHAN:

  • 25gm mentega
  • 200ml susu
  • 100gm bayam
  • 1 2/3 cawan tepung gandum | diayak
  • 1 sudu makan serbuk penaik
  • 1 sudu teh soda  bikarbonat
  • 1 sudu teh serbuk buah pala
  • 1/3 cawan keju parmesan |  diparut
  • 1 biji telur
  • 120gm keju krim
  • 8 biji tomato ceri

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan mentega dan susu di dalam periuk. Masukkan bayam dan layurkan.
  2. Kisarkan campuran bayam dan susu sehingga halus. Biarkan sejuk.
  3. Di dalam mangkuk besar, ayak tepung gandum, serbuk penaik, soda bikarbonat dan serbuk buah pala. Adun rata.
  4. Masukkan kisaran bayam, telur, keju parmesan dan krim keju ke dalam bancuhan tepung. Gaul hingga sebati.
  5. Tuang adunan ke dalam acuan. Letakkan tomato ceri dan bakar dalam ketuhar pada suhu 190C selama 20 minit atau sehingga masak.
  6. Hidangkan.

Info chef: Bagi memudahkan proses mengadun, krim keju hendaklah dipecah-pecahkan menggunakan tangan kepada ketulan kecil.

 

5. QUICHE BAYAM BERKRIM

BAHAN-BAHAN A (PASTRI):

  • 300gm tepung gandum
  • 120gm shortening
  • 120gm mentega
  • 1 biji telur
  • 2 sudu makan air sejuk (berais)
  • Sedikit garam

BAHAN-BAHAN INTI:

  • 150gm bayam | bersihkan dan celur
  • 1 cawan krim masakan
  • 1 sudu makan mentega
  • 1 labu bawang besar | cincang dadu
  • 2 ulas bawang putih | cincang halus
  • ½ sudu teh oregano kering
  • ½ sudu teh basil kering
  • Garam, serbuk lada hitam dan lada sulah secukup rasa
  • Parutan keju parmesan/cheddar secukupnya  | pilihan

CARA MEMASAK:

  1. Satukan kesemua bahan A dan uli hingga sebati.
  2. Simpan doh di dalam peti sejuk selama 30 minit. Ketepikan.
  3. Sementara itu, buat inti quiche. Panaskan mentega di dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi.  Masukkan bayam celur yang dicincang sedikit, krim masakan dan kacau rata. Tambah oregano, basil, lada hitam, lada sulah dan garam secukup rasa.  Tutup api. Ketepikan.
  4. Keluarkan doh dari peti sejuk.  Canaikan doh dan letak doh di dalam acuan tart/pai.
  5. Tuang inti ke dalam acuan doh dan kemaskan keliling acuan.
  6. Tabur parutan keju secukupnya jika suka.
  7. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 170-180C hingga keperang-perangan.
  8. Angkat dan sedia dinikmati.

 

6. BUBUR SAYURAN BERKEJU

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm beras
  • 1 1/2 liter air
  • 200ml susu segar
  • 100gm isi ayam ] hiris kecil
  • 200gm daun bayam ] hiris halus
  • 200 gm brokoli ] potong kecil
  • 200gm sawi cina/jepun ] potong kecil
  • 100gm sayur campur ] potong kecil
  • 2 keping keju cheddar
  • 1 labu bawang besar ] dihiris
  • 2 ulas bawang putih ] dihiris
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • Garam secukup rasa
  • 1 tangkai daun bawang ]dihiris
  • Bawang goreng untuk hiasan
  • Cili merah untuk hiasan

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan air dan beras di dalam periuk, rebus beras hingga kembang. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali, tumiskan bawang besar dan bawang putih  hingga wangi.
  3. Setelah itu, masukkan bahan yang ditumis, isi ayam, brokoli, sayur campur, susu segar, keju cheddar, garam dan serbuk lada hitam ke dalam periuk bubur tadi. 
  4. Masak selama 15 minit atau sehingga bubur agak memekat dan akhir sekali masukkan daun bayam dan sawi. Kacau sebentar dan segera tutupkan api.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.
  6. Taburkan daun bawang, bawang goreng dan cili merah di atas bubur sebelum dihidangkan.

 

7.  LEMPENG BAYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 3gm bayam hijau |dicincang halus
  • 150gm tepung gandum serba guna
  • 1 sudu makan gula
  • 2 sudu teh serbuk penaik
  •  ¼ sudu teh garam
  • 1 biji telur |dipukul
  • 200ml susu segar
  • 2 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Satukan tepung, gula, serbuk penaik dan garam di dalam satu bekas. Ketepikan.
  2. Di dalam bekas berasingan, satukan telur, susu dan minyak masak dan tuang ke dalam adunan tepung tadi. Gaul sebati dan masukkan bayam yang telah dicincang. Gaul hingga adunan sebati. Ketepikan.
  3. Panaskan kuali leper dengan api sederhana dan sapukan sedikit minyak di permukaan kuali. Tuang sedikit adunan membentuk bulat leper. Biar sehingga bahagian tepi pankek kering dan ada gelembung udara, terbalikkan pankek dan biar sehingga perang kedua-dua permukaan pankek.
  4. Angkat dan ulangi langkah hingga selesai.
  5. Sedia dihidangkan suam.

Info chef: Sesuai dijadikan sandwic berinti hidangan pagi.  Boleh dihidangkan bersama madu dan mentega atau sosej dan sos.

 

8. BAYAM KACANG KUDA

BAHAN-BAHAN:

  • 70gm bayam hijau  |potong kasar
  • 2 cawan kacang kuda
  • 1 biji bawang besar |cincang
  • 2 ulas bawang putih |cincang
  • 1 sudu teh minyak zaitun
  • 150gm sos tomato
  • 1 sudu teh serbuk oregano
  • 1 sudu teh jus lemon
  • Garam dan lada hitam secukupnya
  • Minyak masak secukupnya
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Rebus kacang kuda bersama air di dalam periuk hingga masak. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Tumiskan bawang besar dan putih dengan minyak zaitun hingga layu dan terbit wangi.
  3. Masukkan puri tomato, oregano dan kacang kuda yang sudah dimasak tadi ke dalam bahan yang ditumis tadi dan kacau sekata sehingga sos mula memekat.
  4. Setelah itu masukkan bayam dan kacau lebih kurang tujuh minit sehingga bayam masak.
  5. Akhir sekali tuang jus lemon  dan perasakan dengan sedikit garam dan lada hitam secukup rasa.
  6. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

 

9. TAT BAYAM DAN BAWANG

BAHAN KULIT TAT:

  • 230gm tepung gandum
  • 100gm mentega
  • 30ml air
  • Garam secukupnya

BAHAN INTI BAYAM:

  • 70gm bayam hijau |cincang halus
  • 1 biji bawang |cincang halus
  • 4 biji telur
  • 150gm susu segar
  • 20gm keju parmesan
  • 1 sudu makan minyak zaitun
  • Garam dan lada hitam secukup rasa
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan oven dengan suhu 200 ⁰ Ketepikan.
  2. Satukan tepung, mentega dan garam. Ramas dengan menggunakan hujung jari hingga menjadi seakan serbuk roti.
  3. Masukkan air dan uli hingga menjadi doh.
  4. Bahagikan doh beberapa bahagian dengan berat lebih kurang 30 gram setiap satu dan tekan pada acuan tat mengikut saiz yang dikehendaki.
  5. Biarkan ia di dalam peti sejuk sementara membuat inti.
  6. Untuk membuat inti: Celurkan bayam di dalam air panas hingga layu, toskan dan cincang halus. Ketepikan.
  7. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan bawang hingga layu dan masukkan garam dan lada hitam secukup rasa. Kemudian masukkan bayam dan gaul sekata. Alihkan dari api dan biarkan sejuk seketika.
  8. Dalam bekas berasingan satukan telur dan susu dan kacau sekata. Masukkan bawang dan bayam yang ditumis tadi. Kacau sekata dan seterusnya masukkan keju parmesan.
  9. Keluarkan kulit tat daripada peti sejuk. Tuangkan ke dalam kulit tat dan bakar pada di dalam oven 35-40 minit hingga kulit tat perang dan inti masak.
  10. Keluarkan dari oven dan biarkan seketika. Sesuai dihidangkan suam.

 

10. PARMESAN SPINACH SOUFFLE

BAHAN-BAHAN:

  • 60gm bayam hijau |cincang halus
  • 60gm keju parmesan
  • 30gm mentega
  • 1 ½ sudu teh tepung gandum
  • 150ml susu segar
  • 3 biji telur |asingkan kuning dan putihnya
  • 2 sudu makan serbuk roti

CARA MEMASAK:

  1. Cairkan mentega di dalam kuali menggunakan api sederhana dan masukkan tepung gandum. Biarkan sehingga berbuih dan setelah itu masukkan susu. Gaul sebati hingga pekat.
  2. Masukkan pula bayam dan kacau hingga bayam layu dan alihkan dari api. Biarkan sejuk sedikit.
  3. Kemudian masukkan keju parmesan dan gaul sebati. Masukkan kuning telur dan gaul hingga adunan sebati.
  4. Pukul putih telur hingga kembang. Masukkan putih telur ke dalam adunan tadi dan kaup balik putih telur di dalam adunan tersebut. Ketepikan.
  5. Sapu sedikit mentega pada bekas ramekin dan taburkan serbuk roti pada keliling bekas ramekin.
  6. Tuang adunan ¾ penuh ke dalam bekas.
  7. Bakar dengan suhu 200⁰C selama 25 minit hingga permukaan atasnya perang keemasan.
  8. Sesuai dihidangkan suam.

Info chef: soufflé bayam lebih sesuai dihidang suam untuk rasa yang lebih lembut dan gebu. Taburkan sedikit keju parmesan di atas soufflé bayam semasa menghidang.

 

Cuba juga:

Jenis-Jenis Makanan Yang Sedap Dibuat Jeruk & Cara Nak Buat Secara Homemade.