
Nasi kukus memang enak. Teksturnya yang gebu membuatkan ia tidak puas dimakan. Lebih-lebih lagi jika dinikmati bersama kuah gulai, ayam goreng berempah panas serta sambal. Bagi yang nak cuba buat nasi kukus ni, bolehlah guna teknik serta sukatan perkongsian saudari Yatie Tie. Resipi ni juga sesuai untuk berniaga. Selamat mencuba!
Cara-Cara Masak Nasi Guna Teknik Kukus
Bahan-Bahan:
Beras
Air
Bekas (seperti dalam gambar)
Cara Memasak:
1. Basuh beras seperti biasa dan toskan airnya.
2. Sukat 1 bekas beras dan 1 bekas air. Guna sukatan yang sama untuk kedua-dua bahan ini.


3. Masukkan beras dan air ke dalam bekas kukusan dan kukus selama 30 minit. Jika menggunakan api yang besar, lagi cepat nasi masak.

4. Angkat dan nasi boleh dinikmati bersama ayam goreng berempah, sambal belacan dan kuah gulai/kari.

Resipi Sambal

Bahan-Bahan Sambal:
Cili merah
Cili padi
Air asam jawa
Belacan
Garam secukup rasa
Perisa | jika suka
Limau nipis @ limau kasturi
*Jumlah bahan adalah mengikut kesesuaian dan citarasa masing-masing.
Cara-Cara:
1. Kisar cili merah, cili padi, asam jawa, belacan, garam dan serbuk perasa.
2. Kemudian perah limau nipis atau limau kasturi secukupnya.
3. Gaul rata dan sedia untuk dinikmati.
Info: Jika mahukan nasi yang lebih wangi, boleh mengukus nasi bersama daun pandan. Ia akan mengharumkan nasi serta mempunyai rasa lebih enak.
Kredit resipi & foto: Yatie Tie
Kelebihan utama menggunakan teknik kukusan ini ialah nasi lebih gebu, tidak patah, dan sangat sesuai dipadankan dengan lauk seperti ayam goreng berempah atau sambal pedas. Bagi sesiapa yang suka berniaga, teknik ini juga membantu menghasilkan nasi kukus yang konsisten setiap kali penyediaan.
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Ini Cara Masak 4 Hidangan Nasi Lengkap Tanpa Perlu Lauk

Menjadi ibu pada masa kini, perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Walaupun sibuk, ibu tetap menyediakan sajian terbaik buat suami dan anak-anak tercinta walaupun ianya tidak semudah yang disangka.
Perencah Nasi Goreng Seri-Aji® adalah perencah masakan terbaik yang si ibu perlukan untuk memasak juadah enak dan berkhasiat yang memberikan tenaga optimum sepanjang hari. Tidak perlu bertungkus lumus masak dua tiga lauk. Ini sahaja sudah cukup. Malah kerja di dapur pun jadi lebih cepat dan mudah.
Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Kampung, Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Cina, Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Ayam dan Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Ikan Bilis. Hanya ini yang anda perlukan. Pilih saja ikut cita rasa.

Istimewa buat para ibu di luar sana, Seri-Aji® berkongsi empat resipi terbaik yang boleh dicuba untuk hidangan buat keluarga. Semuanya enak dan senang dimasak. Lagi sedap dimakan panas-panas. Selamat mencuba!
1. NASI GORENG IKAN MASIN

Cadangan hidangan: 4-5 orang
BAHAN-BAHAN:
- 4 sudu besar minyak masak
- 30g ikan masin tenggiri | dibasuh dan dipotong dadu
- 150g sayur kalian | dipotong
- 2 biji telur
- 4 cawan/550g nasi putih
- 1 paket Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Kampung (26g)
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak masak, goreng ikan masin sehingga garing. Ketepikan.
- Kacau goreng kalian sehingga separuh masak.
- Masukkan telur dan goreng sehingga menjadi telur hancur.
- Masukkan nasi dan taburkan 1 paket Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Kampung 26g.
- Masukkan ikan masin yang telah digoreng, kacau hingga sekata. Hidangkan ketika panas.
2. NASI GORENG CENDAWAN

Cadangan hidangan: 4-5 orang
BAHAN-BAHAN:
- 4 sudu besar minyak masak
- 200g isi ayam, dipotong kecil
- 50g lobak merah, dipotong dadu
- 50g cendawan butang | dihiris
- 50g cendawan tiram
- 2 biji telur
- 4 cawan/550g nasi putih
- 1 paket Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Cina (26g)
- 1 tangkai daun bawang, dipotong dadu
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak masak, kacau goreng ayam sehingga separuh masak.
- Masukkan lobak merah dan kacau sebentar.
- Masukkan cendawan butang dan cendawan tiram, goreng seketika.
- Masukkan telur, goreng sehingga masak.
- Masukkan nasi dan taburkan 1 paket Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Cina® 26g, kacau goreng hingga sekata.
- Taburkan daun bawang dan gaul sebentar.
- Hidangkan ketika panas.
3. NASI MAKANAN LAUT

Cadangan hidangan: 4-5 orang
BAHAN-BAHAN:
- ¼ cawan minyak masak
- 1 biji bawang merah | dicincang
- 3 ulas bawang putih | dicincang
- ½ biji lada benggala merah
- 1 biji tomato | dipotong dadu
- Secubit serbuk kunyit
- 2 cawan air
- 1 paket Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Ikan Bilis (26g)
- 1 ½ cawan beras
- 5 ekor udang
- 2 ekor sotong | dipotong
- 20 ekor kepah
- 10 batang kacang buncis | dipotong dadu
- 2 tangkai daun ketumbar | dihiris
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak masak, tumis bawang merah, bawang putih, lada benggala merah dan tomato sehingga naik bau.
- Masukkan serbuk kunyit dan kacau sebentar.
- Tuangkan air dan perasakan Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Ikan Bilis.
- Masukkan beras dan ratakan.
- Susun makanan laut di atas beras dan masak seperti biasa.
- Taburkan kacang buncis dan daun ketumbar. Tutup periuk selama 10 minit.
- Sedia untuk dihidang.
4. NASI AYAM TOMATO

Cadangan hidangan: 4-5 orang
BAHAN-BAHAN:
- 300gm isi ayam
- 1 paket Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Ayam (26g)
- 2 sudu besar minyak masak
- ½ biji bawang kuning | dipotong dadu
- ½ cawan tomato puri
- 1 ¼ cawan beras
- 1 ¼ cawan air
- 1 batang cili merah | dihiris
- 2 tangkai daun ketumbar | dihiris
CARA MEMASAK:
- Perapkan ayam bersama 1 sudu kecil Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Ayam.
- Panaskan minyak masak, tumis ayam dan bawang kuning.
- Masukkan tomato puri, tumis seketika. Masukkan beras, gaul rata.
- Perasakan dengan lebihan Seri-Aji® Perencah Nasi Goreng Ayam.
- Tuangkan air, gaul rata dan biarkan nasi masak seperti biasa.
- Taburkan cili merah dan daun ketumbar, sedia untuk dihidang.
Anda Handal Di Dapur? Ayuh Sahut Cabaran Dengan Menyertai Peraduan Seri Aji® Jaguh Memasak!
Jom sertai Peraduan 𝐒𝐞𝐫𝐢-𝐀𝐣𝐢® 𝐉𝐚𝐠𝐮𝐡 𝐌𝐞𝐦𝐚𝐬𝐚𝐤 dan rebut peluang memenangi Thermomix 6 dan pelbagai hadiah menarik yang lain!
Caranya mudah sahaja. Hanya ikut 3 langkah mudah ini:
- Pilih kategori yang anda ingin bertanding dan rakam video kreatif ‘boomerang’ yang mengandungi mana-mana produk Seri-Aji®.
- Muat naik video ‘boomerang’ di laman sosial (facebook/Instagram) anda dan tetapkan pada tetapan umum (public).
- Tuliskan kapsyen mengenai kenangan indah anda ketika memasak menggunakan produk Seri-Aji® dan letakkan ‘hashtag’ #SeriAjiJaguhMemasak #SeriAji & tag @HiAjinomoto.
HADIAH INI BAKAL MENJADI MILIK ANDA!
- HADIAH UTAMA: Thermomix 6 Kitchen Gadget (layak jika anda menyertai kesemua tiga kategori)
- PEMENANG JAGUH NASI GORENG: “Molly” Kuvings Multi-Function Cooker
- PEMENANG JAGUH AYAM GORENG: PerySmith 30L Air-Fryer Oven (saiz XXL)
- PEMENANG JAGUH SNEK PETANG: Le Creuset Signature Round French Oven 18cm + Venus Spatula Spoon
ISTIMEWA UNTUK 50 PESERTA TERAWAL: Baucar Shopee bernilai RM10
Tempoh Peraduan: 8 November – 19 Disember 2021
Untuk info lanjut mengenai kategori, hadiah, dan cara menyertai peraduan, sila layari – http://www.ajinomoto.com.my/seriajijaguhmemasak/
Jom hantar penyertaan anda sekarang!
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Buboq Kanji Daging Berempah Hot & Spicy, Dapat Semangkuk Pasti Kenyang

Selain menu nasi, bubur kanji juga mengenyangkan. Dapat semangkuk di isi telur masin, daun bawang dan daun sup memang meriah rasanya. Kalau nak jamu untuk kenduri keluarga pun boleh. Kalau ada yang nak cuba buat dikongsikan resipi membuat.
BUBUR KANJI DAGING BEREMPAH HOT AND SPICY STAIL

Bahan-bahan:
(untuk 8L pressure cooker)
- 1 bahagian – 3 pot
- 5 bahagian air (atau lebih) daripada beras
- 500gm daging – potong kecil
- 500gm udang sederhana besar
- 4 sudu besar udang kering
- 2 batang serai -diketuk
- 2 batang lobak merah
- 1 kotak santan
- Halia sebesar 3 jari dihiris/dirincik
- 2 sudu teh halba campur
- 2 sudu besar lada hitam kasar
- 1 sudu besar lada sulah
- 1 paket kecil rempah sup
- 1 paket kecil rempah kurma
- Daun bawang
- Daun sup
- Telur masin
- Bawang goreng
(Saya masak guna pressure cooker)
Cara memasak:
- Masukkan beras yang dibasuh, air, halia, serai, daging, lobak merah, udang kering, rempah sup, kurma, serbuk lada hitam, lada sulah, halba dan santan.
- Ambil mode ‘porridge’ selama 5 minit.
- Kemudian masukkan daun bawang dan daun sup yang dipotong kasar dan udang.
- Perasakan dengan garam. Saya letak 2 sudu besar garam kasar.
- Ambil mode porridge lagi 5 minit.
- Tambah air untuk kurangkan kepekatan.

- Hidang bersama telur masin, daun bawang, daun sup dan bawang goreng.
Kredit: Erny Yusniza Saad
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Resipi Udang Kam Heong Yang Mudah, Sedap Macam Makan Di Kedai!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion RASA:
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
10 Idea Menu Sarapan Yang Mudah, Sedap & Mengenyangkan!

Saban hari, pasti ramai yang mengalami masalah yang sama, terfikir apakah hidangan yang hendak dimasak sebagai sarapan untuk sekeluarga. Tidak kira sama ada suri rumah tangga, mahu pun ibu bekerja. Inilah dilema yang sering dihadapi. Jangan pening sebab RASA ada beberapa menu sarapan yang nak dikongsi bersama anda. Jom cuba!
1. BAKED BREAKFAST OMELETTE

BAHAN-BAHAN:
- 4 biji telur gred A
- ½ cawan susu segar
- ¼ cawan cincangan sosej/pepperoni
- 1 biji tomato | cincang
- 2 sudu makan parutan keju – Mozarela/Romano/Parmesan
- 1 sudu makan cincangan daun basil
- Garam, lada hitam dan lada sulah secukupnya
- Mentega secukupnya
CARA MEMASAK:
- Di dalam satu mangkuk, pukul telur bersama susu segar hingga sedikit kembang (jangan pukul berlebihan).
- Kemudian masukkan cincangan sosej/pepperoni. Tambah tomato, garam, serbuk lada hitam dan lada putih secukup rasa. Ketepikan.
- Sediakan loyang/bekas pembakar yang telah disapu sedikit mentega di sekelilingnya.
- Tuang bancuhan telur tadi ke dalam bekas tersebut.
- Tabur cincangan daun basil dan parutan keju.
- Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 190-200C selama 15-20 minit atau hingga telur masak.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
2. BUBUR NASI AYAM

BAHAN-BAHAN:
- 1 cawan beras wangi
- 1 keping dada ayam | dadu kecil
- ½ batang lobak merah | dadu kecil
- 2cm halia muda |mayang halus
- Air secukupnya
- Cincangan daun bawang secukupnya
- Garam dan lada sulah secukupnya
CARA MEMASAK:
- Rebus beras dengan air yang banyak sehingga beras hancur.
- Dada ayam dan lobak merah didadu kecil dan masukkan ke dalam bubur ayam. Masukkan hirisan halia. Gaul sekata.
- Didihkan bubur ayam beberapa minit lagi hingga semua bahan masak sepenuhnya. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
- Tutup api dan angkat.
- Tabur cincangan daun bawang ketika menghidang.
3. NASI GORENG PEDAS SOSEJ

BAHAN-BAHAN:
- 2 cawan nasi sejuk
- 2 batang sosej | bulat nipis
- 2 sudu makan cincangan daun bawang
- 3 ulas bawang putih
- 8-10 biji cili padi
- 2cm belacan
- Garam dan lada sulah secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Cili padi, bawang putih dan belacan ditumbuk lumat. Ketepikan.
- Sosej dihiris nipis dan goreng garing. Ketepikan.
- Di dalam kuali, panaskan sesudu makan minyak. Tumis bahan-bahan tumbuk hingga wangi.
- Masukkan nasi, sosej goreng dan daun bawang. Goreng sebati.
- Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
- Jika suka hidangkan bersama telur goreng, cincangan daun bawang atau hirisan timun.
4. BURITOS CHICKEN AND MUSHROOMS

BAHAN-BAHAN:
- 2 keping tortilla
- 2 keping dada ayam
- 10 biji cendawan butang |hiris nipis
- 150gm1/2 cawan hirisan cili benggala merah & kuning
- 2 sudu makan mayones
- 1 sudu teh oregano kering
- Daun salad secukupnya
- Garam, lada hitam dan lada sulah secukup rasa
- Minyak zaitun secukupnya
CARA MEMASAK:
- Tabur dan lumur sedikit garam, lada hitam, lada sulah dan oregano kering pada kepingan ayam lalu dipanggang dengan sedikit minyak zaitun hingga perang. Kemudian hiris memanjang. Ketepikan.
- Cendawan dan cili benggala dilayurkan sedikit di dalam kuali bersama sedikit minyak zaitun. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa. Angkat dan ketepikan.
- Tortilla dipanaskan sedikit di dalam kuali leper. Angkat dan ketepikan.
- Untuk menghidang, letakkan sekeping daun salad pada tortilla, beberapa keping hirisan ayam dan cendawan.
- Paipkan mayones secukupnya ke atas campuran ayam dan cendawan tadi. Gulung tortilla rapi dan hidangkan.
5. EGG PRATA ROLL

BAHAN-BAHAN:
- 2-3 keping roti prata segera | nyah bekukan
- 1 labu bawang besar | cincang halus
- 3 biji telur
- 1 sudu makan cincangan daun bawang
- Garam dan lada sulah secukup rasa
- Minyak zaitun secukupnya
CARA MEMASAK:
- Di dalam mangkuk, pukul telur bersama garam dan lada sulah secukup rasa.
- Masukkan cincangan bawang besar dan cincangan daun bawang lalu gaul rata. Ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak zaitun di dalam kuali leper.
- Panaskan roti prata di kedua-dua bahagian hingga agak perang. Angkat. Ketepikan. Ulangi langkah hingga selesai.
- Menggunakan kuali yang sama, tambah sedikit minyak zaitun lalu tuang bancuhan telur ke dalam kuali. Biar telur masak di kedua-dua bahagian.
- Letak telur ke dalam prata dan gulung kemas. Potong mengikut cita rasa masing-masing dan sedia dihidangkan.
6. ROTI GULUNG BERINTI TUNA

BAHAN-BAHAN:
- 2-4 keping roti
- 3 biji telur |pukul sedikit dengan garpu
- 1 cawan tuna flakes (dalam tin) | toskan
- 1 labu bawang besar |cincang halus
- 1 biji cili merah |cincang halus
- 1 biji cili hijau | cincang halus
- 1 sudu teh paprika
- Garam dan lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Di dalam mangkuk, satukan tuna flakes, bawang, cili merah, cili hijau, paprika, garam dan lada sulah secukup rasa. Gaul sebati. Ketepikan.
- Roti dibuang tepinya dan dileperkan.
- Ambil sesudu campuran tuna dan letakkan di atas roti yang telah dileperkan. Sapu sekeliling roti dengan sedikit telur. Gulung dan kemaskan.
- Celup roti ke dalam bancuhan telur.
- Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng gulungan roti hingga keperang-perangan. Toskan dan sedia hidangkan.
7. PANKEK MINI GULA MERAH KELAPA

BAHAN-BAHAN:
- 100gm tepung gandum
- 280ml susu segar
- 30gm gula halus
- 50gm kelapa parut | putihnya sahaja
- 1 biji telur | pukul sedikit dengan garpu
- 2 sudu makan mentega | cairkan
- 1 sudu teh serbuk penaik
- Air gula merah secukupnya
CARA MEMASAK:
- Di dalam mangkuk besar, satukan tepung, kelapa parut, serbuk penaik dan gula. Gaul rata.
- Tuang susu segar, telur dan mentega cair lalu kacau rata hingga menjadi adunan yang likat dan tidak terlalu cair.
- Panaskan kuali leper (non stick). Ambil sesenduk adunan dan letakkan di dalam kuali.
- Biarkan beberapa minit hingga pankek kekuningan. Terbalikkan dan masak bahagian yang satu lagi hingga kekuningan. Ulangi langkah hingga selesai.
- Hidangkan pankek bersama air gula merah dan lebihan kelapa parut.
8. LEMPENG SAMBAL HIJAU TAHAI

BAHAN-BAHAN A:
- 1 cawan tepung gandum
- ¾ cawan air
- 1 biji telur
- Secubit garam
BAHAN-BAHAN B (SAMBAL):
- 15 biji cili padi hijau
- 4 biji cili hijau
- 5 ulas bawang merah
- 1 labu bawang besar | potong bulat
- 100gm ikan tahai | bersihkan
- 3cm belacan
- 1 sudu teh air asam jawa
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
- Air secukupnya
CARA MEMASAK:
- Satukan semua bahan A dan kacau rata. Jika bancuhan terlalu pekat tambah sedikit air dan jika terlalu cair tambah sedikit lagi tepung. Jika suka boleh dikisar supaya bancuhan tidak berketul.
- Sapu sedikit minyak pada kuali leper (non-stick). Tuang sesenduk kecil bancuhan tepung dan masak hingga lempeng keperang-perangan di kedua-dua bahagian. Ketepikan. Ulangi langkah hingga selesai.
- Untuk membuat sambal; cili padi, cili hijau, bawang merah dan belacan dikisar halus.
- Panaskan dua sudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau dan cili masak sepenuhnya. Masukkan ikan tahai yang telah dibersihkan dan didihkan hingga beberapa minit.
- Masukkan bawang besar, jus asam jawa, gula dan garam secukup rasa. Didihkan sambal seminit dua lagi dan hidangkan bersama lempeng.
Info chef: Jika tiada ikan tahai, boleh ganti dengan ikan tamban atau ikan bilis.
9. WESTERN EGG SKILLET

BAHAN-BAHAN:
- ½ cawan susu segar + krim masakan
- ¼ cawan air
- 2 sudu makan minyak zaitun
- 2-3 biji telur
- 3 batang sosej |hiris nipis
- 4 keping roti (sourdough bread) |potong dadu
- 1 labu bawang besar | mayang halus
- 1 biji cili benggala |hiris nipis
- 10 bij tomato ceri |belah dua
- 2 sudu makan cincangan parsli
- ¼ sudu teh serbuk cayenne
- ¼ sudu teh serbuk lada hitam
- Garam dan lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Panaskan ketuhar pada suhu 200C.
- Tuang minyak zaitun dalam kuali tahan panas (skillet) dan panaskan di dalam ketuhar.
- Masukkan sosej, cili benggala, bawang dan tomato. Masak dalam ketuhar selama 5-6 minit atau hingga semua bahan lembut.
- Masukkan roti dan ¼ cawan air. Tambah serbuk cayenne, serbuk lada hitam, garam dan lada sulah secukup rasa dan gaul sebati. Masak selama tiga minit lagi. Keluarkan dari ketuhar.
- Lubangkan 2-3 bahagian roti dalam kuali tadi dan pecahkan telur di dalamnya. Perlahan-lahan tuang campuran susu dan krim ke dalam kuali. Masukkan kembali dalam ketuhar dan bakar selama 15 minit. Tabur cincangan parsli dan hidangkan.
10. NASI GORENG MENTEGA TELUR

BAHAN-BAHAN:
- 1 mangkuk nasi sejuk
- 2 sudu makan mentega
- 2 biji telur
- 10 ekor udang segar |bersihkan
- 2-3 ulas bawang putih |cincang halus
- Sedikit cincangan daun bawang |hiasan
- Garam, lada sulah dan lada hitam secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan/cairkan satu sudu mentega di dalam kuali. Masukkan telur dan goreng hancur hingga masak. Angkat dan ketepikan.
- Menggunakan kuali yang sama, panaskan sesudu lagi mentega. Masukkan cincangan bawang putih dan tumis hingga wangi.
- Masukkan udang dan goreng hingga separuh masak.
- Masukkan nasi sejuk dan gaul rata.
- Sesuaikan rasanya dengan menambah garam, lada sulah dan serbuk lada hitam secukupnya.
- Masukkan telur goreng hancur dan gaul rata. Tabur cincangan daun bawang.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!


