
Kali ini RASA ingin kongsikan resipi ayam goreng style mamak yang sangat sedap. Ayamnya kelihatan berwarna agak kemerah-merahan. Sudah semestinya, cita rasanya juga amat menyelerakan.
Jom kita lihat resipinya.
AYAM GORENG MAMAK
BAHAN KISAR
4 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering
2 inci halia
BAHAN LAIN
1 ekor ayam (belah 8 atau ikut suka)
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar tepung beras
1 tangkai daun kari
1 sudu besar rempah kari ayam
1 sudu besar rempah kari ikan
Garam
1 sudu kecil serbuk lada
1 biji telur ayam
Minyak masak untuk menggoreng
CARA MEMBUAT
1. Dalam bekas, masukkan bahan kisar.
2. Masukkan ayam yang telah dipotong-potong dan dibersihkan.
3. Masukkan tepung jagung, tepung beras, daun kari, rempah kari ayam dan ikan, garam, serbuk lada dan telur ayam.
4. Gaul semuanya sehingga sebati dan perap selama 1 jam.
5. Panaskan minyak masak. Goreng ayam sehingga masak.
Siap! Sedap dimakan bersama sos cili kegemaran.
Selamat mencuba!
Sumber: Iedaa Jahaya
Terima kasih berkongsi resipi di Rasa Share Resipi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ayam Panggang Peri Peri, Rupa-rupanya Mudah Je Buat Di Rumah

Sebut sahaja ayam panggang, terus rasa berselera nak makan. Apatah lagi, jika ayam tersebut rasa seperti ayam panggang peri peri ala Nando’s. Aromanya saja dah tambat selera.
Dicicah pula dengan sos peri peri pedas ataupun bawang putih. Memang buat terliur!
Kali ini, Roslan Rusly sudi berkongsi resipi mudah dan cepat untuk membuat ayam panggang peri peri ala Nando’s. Jom kita buat.
BAHAN UTAMA:
½ ekor ayam
2 biji kentang (dipotong wedges)
BAHAN KISAR:
2 batang serai
2 inci halia
4 ulas bawang putih
1 kiub pati ayam – Boleh beli online di sini
Sedikit air (tak perlu cair)
BAHAN KERING:
4 sudu besar sos tiram – Boleh beli online di sini
4 sudu besar madu
4 sudu besar lada hitam
3 sudu kecil oregano – Boleh beli online di sini
3 sudu kecil mix herbs – Boleh beli online di sini
2 sudu kecil minyak zaitun – Boleh beli online di sini
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
Campurkan kesemua bahan kisar dan bahan kering. Perap ayam dengan bahan tersebut selama beberapa jam.
Lebih lama tempoh perapan, lebih berperisa dan berjus rasa ayam yang dipanggang.
Letakkan ayam bersama lebihan bahan perapan dan juga kentang yang dipotong wedges di sekeliling ayam. Boleh dialas dengan aluminium foil.
Bakar di dalam oven sehingga masak mengikut suhu dan tempoh masa oven masing-masing.
Siap! Ayam panggang peri peri sedia untuk dinikmati.
Kredit: Roslan Rusly
[ Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi ]
Dapatkan lebih banyak resipi di laman web RASA:
Resipi Biskut Mama Carey, Biskut Raya Popular Kegemaran Ramai
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Resipi Ayam Masak Merah Versi Utara. Boleh Makan Dengan Aneka Nasi

Ayam masak merah bersantan ini mungkin biasa dimasak oleh orang Utara, tapi tak semua pernah mencubanya. Memang sedap, cukup rasa dan paling penting banyak kuah. Sesuai dimakan dengan nasi tomato, nasi minyak dan macam macam nasi.
Walau nampak seakan sama tapi bahan-bahan sedikit berbeza. Memang sesuai dengan nasi tomato dan lain-lain.
Ayam masak merah bersantan stail utara
Bahan-bahan:
1 ekor ayam dipotong ikut suka – dibersihkan digaul dengan garam, kunyit dan digoreng tapi jangan goreng terlalu lama nanti keras
Bahan tumis:
1/2 biji bawang besar dipotong nipis
2 ulas bawang putih
2 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 biji cengkih
Bahan kisar:
20 biji cili kering dipotong direbus dikisar halus (jika suka pedas guna 25-30 biji cili kering)
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 batang serai
1cm halia
2cm lengkuas
Bahan lain
1 tin kecil tomato puri
1 cawan santan pekat
1 tin kecil kacang peas
Cara membuat:
1. Tumis bawang besar dan bawang putih yang dihiris nipis.
2. Bila bawang dah layu baru masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan cengkih. Goreng sebentar kemudian terus masukkan bahan kisar.
3. Gaul rata kemudian masukkan tomato puri. Masak sampai tumisan pecah minyak dan biarkan sedikit kering (periuk kena sentiasa ditutup sebab masakan ini merecik).
4. Masukkan ayam yang siap digoreng tadi bersama santan pekat. Gaul rata kemudian masukkan gula dan serbuk secukup rasa. Biarkan mendidih.
5. Perlahankan api kemudian biarkan kuah ayam sampai berminyak baru tutup api. Akhir sekali masukkan kacang peas hijau sebagai hiasan.
Selamat mencuba.
Sumber: Makcik Ratu
Koleksi Pelbagai Resipi Western Food Yang Mudah & Sedap.

Sering kali para ibu mengalami kebuntuan memikirkan apakah resipi yang hendak dimasak setiap hari. Tak naklah berulang memasak juadah yang sama. Sesekali teringin juga masak sesuatu yang istimewa. Nah, 8 resipi citarasa Mat Salleh yang boleh anda masak secara homemade. Jangan risau, semuanya ringkas dan mudah disediakan. Paling penting, rasanya dijamin lazat! Selamat mencuba.
1. SHEPERD PIE DAGING
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 kilo daging lembu atau kambing | dipotong dadu
- 100gm daging tetel lembu |dipotong kecil
- 5-6 biji kentang russet |direbus empuk
- 2 biji bawang besar |dicincang
- 3 ulas bawang putih | dicincang
- 1 1/2 sudu besar serbuk brown sauce ( dilarutkan di dalam 125ml air suam)
- 1/2 kiub stok daging lembu |mengikut cita rasa
- 1 batang lobak merah |potong sebesar 2.5cm
- 2 batang seleri |potong sebesar 2.5cm
- 6-7 biji cendawan butang segar |dihiris kasar
- 2 helai daun bay
- Sedikit herba rosemary dan thyme
- 2 sudu teh sos Lea & Perrins
- Sedikit tepung gandum yang dilarutkan ke dalam 125ml air
- 180ml susu segar
- 100gm mentega ( untuk dimasukkan ke dalam kentang lenyek)
- 100gm mentega ( untuk menumis bersama minyak zaitun)
- 2 sudu makan minyak zaitun
- Lada hitam dan garam mengikut cita rasa
CARA MEMASAK:
- Lenyek kentang rebus bersama susu, mentega dan garam, untuk diletakkan di bahagian atas daging yang telah dimasak. Ketepikan.
- Rebus daging sehingga empuk. Ketepikan.
- Tumis bawang merah dan bawang putih bersama minyak zaitun dan sedikit mentega. Masukkan sos Lea & Perrins, air, stok daging, lobak merah, saleri, cendawan, daun bay, rosemary, thyme, lada hitam dan garam. Biarkan sehingga mendidih. Masukkan daging yang telah direbus tadi dan gaul sehingga sebati. Apabila sudah masak, masukkan tepung dan sedikit mentega. Jangan masak hingga ia terlalu pekat. Biar ia basah dan lembap, tidak terlalu kering.
- Setelah itu, masukkan semua bahan yang dimasak tadi ke dalam kaserol dan ratakan. Setelah itu masukkan kentang yang sudah dilenyek di bahagian atas dan ratakan.
- Bakar dengan suhu 180 C selama setengah jam sehingga kentang menjadi garing sedikit.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
Info chef: Inti yang tidak terlalu kering akan menambah kesedapan Sheppard Pie itu ketika dinikmati.
2. LASAGNA
BAHAN-BAHAN:
- 1 kotak ‘oven- ready’ pasta lasagna
- 650gm daging kisar
- 2 batang seleri |panggang dan dikisar
- 2 biji tomato |panggang dan dikisar
- 2 batang lobak merah |panggang dan dikisar
- 2 biji bawang besar |panggang dan dikisar
- 3 biji bawang putih
- 1 tin kecil tomato puri
- 6-7 biji cendawan butang
- 500ml air
BAHAN HERBA:
- 2 sudu kecil oregano
- 2 sudu kecil paprika
- 2 helai daun bay
- 1 sudu kecik thyme
- Lada hitam dan garam mengikut cita rasa
- 125ml susu cair (evaporated)
- 2 sudu makan serbuk keju parmesan
- 1 kiub stok daging
- 100gm mentega
- 2-3 sudu makan minyak zaitun
BAHAN UNTUK SOS KEJU:
- 60gm tepung gandum
- 375ml susu cair segar
- 100gm mentega
- 7 keping kepingan keju cheddar
- Secubit garam
CARA MEMASAK:
- Kisar bahan-bahan yang telah dipanggang iaitu seleri, tomato, lobak merah dan bawang besar dengan 500ml air. Ketepikan.
- Panaskan mentega dengan minyak zaitun. Goreng bawang putih sehingga kekuningan dan masukkan daging kisar.
- Goreng sehingga naik bau wangi dan masukkan bahan-bahan yang telah dikisar. Kacau sehingga sebati dan masukkan air sekiranya pekat. Setelah mendidih masukkan tomato puri dan semua bahan herba, kiub stok daging, lada hitam, sedikit garam dan sedikit gula. Kacau sekata. Apabila hampir masak, masukkan susu dan keju parmesan dan kacau lagi sehingga sebati. Masak jangan sampai ia terlalu cair. Angkat dan sejukkan. Ketepikan.
- Untuk sos keju; Panaskan mentega dan masukkan tepung gandum dan kacau sehingga rata.
- Masukkan susu dan keju dan kacau sehingga sebati. Pastikan sos tidak terlalu cair atau pekat/kental. Angkat dan sejukkan.
- Untuk membuat lapisan lasagna; Sapukan mentega secara rata pada kaserol atau bekas pembakar. Letakkan sos daging dan ratakan.
- Susunkan lasagna pasta di seluruh permukaan bekas.
- Sapukan sos keju dan taburkan serbuk keju parmesan.
- Sapukan sos daging lagi dan ratakan. Seterusnya susunkan pasta lasagna.
- Sapukan sos keju dengan rata. Taburkan keju mozarela di seluruh permukaan.
- Bakar pada suhu 180 C selama 1/2 jam sehingga keju mozarela cair dan kekuningan. Barulah angkat dan enak dimakan ketika panas.
Info chef: Hanya masukkan sedikit sahaja garam untuk menggelakkan ia masin memandangkan sudah ada aneka jenis keju.
3. AYAM PANGGANG KETUHAR
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam saiz sederhana
- 1 batang seleri |potong empat
- 1 sudu teh herba thyme
- 1 sudu teh rosemary
- 1 biji bawang besar |belah dua
- Beberapa tangkai daun parsli
- 1 helai daun bay
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 2 sudu makan sos tiram
- 1 sudu makan sos Lea & Perrins
- 4 ulas bawang putih |tumbuk halus
- 1-2 sudu teh serbuk brown sauce (untuk membuat sos)
- Sedikit tepung jagung/ gandum (untuk membuat sos)
CARA MEMASAK:
- Perapkan ayam bersama rosemary, thyme, sos tiram, sos Lea & Perrins, lada hitam, bawang putih dan garam.
- Sumbatkan hirisan seleri, parsli, separuh daripada bawang besar di dalam perut ayam. Perap di dalam peti sejuk selama 2-3 jam.
- Kemudian, keluarkan ayam dan bakar selama 1 jam atau lebih mengikut cita rasa pada suhu 200 C. Sapukan mentega dua atau tiga kali di permukaan ayam sehingga masak dan kulitnya garing.
- Apabila ayam masak, rehatkan buat seketika. Ketepikan.
- Untuk membuat sos; lebihan jus ayam yang dipanggang tadi diambil dan campurkan bersama baki bawang besar yang dihiris, seleri, parsli yang telah dipanggang dan daun bay.
- Masak kesemua bahan di dalam kuali dan campurkan brown saucedan sedikit tepung untuk memekatkannya. Boleh juga ditambahkan sedikit air mengikut cita rasa anda.
- Angkat dan tapis, ambil jusnya sahaja.
- Hidangkan bersama kentang rebus dan sayur-sayuran mengikut cit rasa masing-masing.
Info chef: Selepas sos ditapis, masukkan sedikit mentega ke dalam sos agar lebih sedap dan sos nampak berkilat cantik.
4. SPAGETI AGLIO E OLIO
BAHAN- BAHAN:
- 70gm spageti |rebus dan toskan
- 2 ulas bawang putih
- 2 ekor sotong |buang kulit dan dipotong bulat
- 4-5 ekor udang | buang kulit
- 10 ekor kupang segar atau 100gm isi kupang
- 2 tangkai daun parsli |cincang kasar
- 1 sudu teh herba cajun
- 2 sudu makan minyak zaitun
- 4 biji buah zaitun hitam jeruk
- 1 sudu teh ikan bilis
- Lada hitam dan garam secukupnya
- Sedikit air untuk melembapkan
CARA MEMASAK:
- Tumis bawang putih bersama minyak zaitun sehingga naik bau dan masukkan tomato, serbuk ikan bilis, herba cajun, lada hitam, buah zaitun, garam dan sedikit air.
- Masukkan kupang, sotong dan udang. Biar masak seketika kemudian barulah masukkan pula spageti yang telah direbus dan daun parsli. Gaul rata sehingga masak.
- Hidangkan dengan serbuk keju parmesan dan lemon jika suka.
- Sedia dihidangkan.
Info chef: Jika ingin lebih pedas, boleh juga taburkan cili api yang dicincang halus.
5. CHICKEN ROULADE CREAMY
BAHAN – BAHAN:
- 1 keping dada ayam
- 50gm serbuk roti
- Tali untuk mengikat
BAHAN PERAPAN:
- 1 sudu makan madu
- 2 tangkai herba thymes
- 1/4 sudu teh serbuk lada hitam
- Garam dan serbuk perasa secukupnya
BAHAN SOS:
- 2 ulas bawang merah | dicincang halus
- 1 ulas bawang putih | dicincang halus
- 1 helai daun bay
- 3 sudu makan mentega
- 300ml susu
- 3 keping keju cheddar
- 1 sudu teh keju parmesan
- 2 sudu makan roux
- Garam dan serbuk perasa secukupnya
CARA MEMASAK:
- Ketuk dada ayam bagi menipiskan dan memudahkan proses menggulung dan mengikat. Lumur bahan perapan dan biarkan seketika.
- Letakkan serbuk roti pada ayam dan gulung ayam dengan kemas. Ikat dada ayam supaya serbuk roti tidak keluar.
- Bakar ayam dengan suhu 180C selama 30 minit.
- Untuk menghasilkan sos, cairkan mentega dan tumis bawang merah serta bawang putih hingga wangi.
- Kemudian masukkan susu dan daun bay.
- Setelah sedikit mendidih, masukkan keju cheddar dan parmesan.
- Pekatkan sos dengan sedikit roux dan perasakan dengan garam serta serbuk perasa dengan secukupnya.
- Sedia dihidangkan bersama ayam tadi.
Info chef: Roux adalah campuran mentega cair dan tepung yang dipanaskan sehingga menjadi bahan pemekat.
6. AYAM STEW TOMATO SAYURAN
BAHAN-BAHAN:
- 300 gm isi ayam | dipotong kiub
- 50gm lobak merah | dipotong kiub
- 50gm epal hijau | dipotong kiub
- 1 biji bawang besar Holland | dipotong kiub
- 3 ulas bawang putih | dicincang halus
- 1/3 sudu teh herba thyme
- 5 biji cendawan butang
- 1 biji tomato | dipotong kiub
- 3 sudu makan puri tomato
- Garam secukup rasa
- Sedikit air
- Sedikit minyak
CARA MEMASAK:
- Tumis bawang besar Holland dan bawang putih. Setelah naik bau masukkan puri tomato.
- Kemudian masukkan lobak merah, epal hijau, cendawan, tomato dan herba thyme.
- Masukkan sedikit air dan tambahkan ayam. Biarkan mereneh sehingga ayam masak.
- Tambahkan garam sebagai pelengkap rasa. Sedia untuk dinikmati.
7. SALMON GRIL BERSAMA SOS MENTEGA LEMON
BAHAN-BAHAN:
- 2 keping stik salmon
BAHAN PERAPAN:
- 1 sudu makan jus lemon
- 1/4 sudu teh serbuk lada hitam
- Herba dill dan thyme secukupnya
- Garam secukup rasa
BAHAN SOS:
- 250gm mentega
- 2 sudu makan jus lemon
- 2 ulas bawang putih | dicincang halus
- Sedikit herba thyme
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Bersihkan salmon dan perap dengan bahan perapan selama 20 minit.
- Gril salmon lebih kurang 15 minit sehingga ikan masak.
- Bagi menghasilkan sos, panaskan mentega dengan api perlahan.
- Masukkan herba dan jus perahan lemon. Kacau sebati.
- Padamkan api dan perasakan dengan sedikit garam. Hidangkan bersama salmon.
Info chef: Gril ikan pada bahagian kulit terlebih dahulu bagi mendapatkan kulit yang garing.
8. KETAM SUMBAT BAKAR
BAHAN-BAHAN:
- 4 ekor ketam | kukus dan ambil isi. Kulitnya disimpan
- 1 labu bawang besar | potong dadu
- 3 ulas bawang putih | cincang
- 1/2 biji tomato | potong dadu
- 1 pokok daun bawang | hiris
- 2 tangkai daun parsley | cincang halus
- 100 ml santan pekat
- 1 sudu besar serbuk roti
- 1 sudu teh keju parmesan
- 1/2 sudu teh serbuk lada sulah
- Sedikit garam | jika perlu
- Sedikit minyak carotino untuk menumis
CARA MEMASAK:
- Tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga wangi.
- Kemudian masukkan tomato, isi ketam, daun parsli, serbuk lada hitam, garam dan santan.
- Kacau sebati sehingga agak kering. Tutupkan api.
- Masukkan isi ketam itu ke dalam cengkerang ketam tadi sehingga penuh.
- Satukan serbuk keju parmesan dan serbuk roti taburkan di atas ketam.
- Bakar di dalam ketuhar selama 15 minit dengan suhu 100 celcius.
INFO CHEF: Selain dibakar, hidangan ini juga boleh dikukus.