Wajib Cuba: Resipi Ikan Percik Kuah Merah Kelate & Sinugno Filipina.

Share

Dalam episod terbaru Rasa: Jelajah Rasa Nusantara, kali ini Adam Didam sekali lagi berkunjung ke Filipina untuk belajar cara-cara menyediakan sajian Sinugno yang sedap. Sinugno merupakan sajian Filipina yang berupa ikan yang dipanggang dan kemudiannya dimasak bersama kuah santan. Sekali pandang seakan ikan percik yang popular di Malaysia. Manakala Ili Sulaiman pula mempelajari teknik-teknik menyediakan hidangan Ikan Percik yang terkenal di negeri Kelantan. Nak cuba? Jom lihat resipi-resipi yang dikongsikan di bawah ini.

1. IKAN PERCIK KUAH MERAH

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ekor ikan kembung

BAHAN KISAR:

  • 2cm halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KUAH PERCIK:

  • 3 batang serai | kisar
  • 6 biji bawang kecil | kisar
  • 4 ulas bawang putih | kisar
  • 2cm halia | kisar
  • 1cm lengkuas | kisar
  • ½ sudu serbuk kunyit | kisar
  • ½ sudu serbuk cili | kisar
  • 250ml santan
  • Air secukupnya
  • Gula dan garam secukup rasa
  • Sedikit minyak masak

CARA MEMASAK:

1. Lumur ikan bersama bahan kisar serta garam dan gula hingga rata. Ketepikan seketika.
2. Untuk menyediakan kuah percik, satukan bahan-bahan dan kisar hingga halus.


3. Tuang ke dalam kuali berisi sedikit minyak masak. Tumis hingga wangi dan rempah masak.
4. Masukkan santan diikuti garam serta gula dengan secukupnya. Kacau rata dan angkat.


5. Panggang ikan kembung tadi menggunakan arang hingga masak.
6. Ambil sedikit kuah percik tadi dan campurkan dengan sedikit air supaya jadi sedikit cair.


7. Kemudian tuangkan kuah percik tadi pada ikan. Bakar selama 1 minit kemudian terbalikkan. Tuang lagi kuah percik. Ulang langkah beberapa kali hingga ikan berbau harum.
8. Angkat ikan percik tadi dan siramkan dengan lebihan kuah percik yang pekat. Sedia untuk dinikmati.

INFO: Semasa memanggang ikan, siram menggunakan kuah percik cair supaya kuah dapat diserap elok pada isi ikan.

 

2. SINUGNO

BAHAN-BAHAN:

  • Ikan | boleh guna tenggiri atau kembung
  • Garam dan sebuk lada hitam secukupnya
  • 1-2 biji cili hijau
  • 1-2 inci halia | hiris
  • 2-3 ulas bawang putih | cincang
  • 3 biji bawang merah | hiris
  • 1 paket santan
  • Sos ikan secukupnya
  • Sedikit minyak masak
  • Garam secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Ambil ikan, kelar sedikit dan lumurkan dengan garam serta lada hitam dengan secukupnya. Perap seketika dan panggang hingga masak. Ketepikan.

2. Untuk menyediakan sos Sinugno, masukkan minyak ke dalam kuali dan tumis separuh dari halia, bawang putih dan bawang merah. Masak hingga wangi dan sedikit garing.

3. Masukkan santan, cili hijau dan baki bawang, halia dan bawang putih tadi. Kacau dan biarkan ia memekat.

4. Perasakan dengan sos ikan dan garam secukup rasa.

5. Tuang sos pada ikan yang dipanggang tadi. Sedia untuk dinikmati.

Cuba Juga:

  • Resipi Nasi Lemak & Nasi Uduk dalam Rasa: Jelajah Rasa Nusantara Episod 1
  • Resipi Ayam Masak Kicap & Chicken Adobo dalam Rasa: Jelajah Rasa Nusantara Episod 2
  • Resipi Mi Celup & Pho dalam Rasa: Jelajah Rasa Nusantara Episod 3
  • Resipi Somtam & Kerabu Mangga dalam Rasa: Jelajah Rasa Nusantara Episod 4
  • Resipi Singgang Asam Pedas Terengganu & Sinigang Filipina dalam Rasa: Jelajah Rasa Nusantara Episod 5
  • Resipi Sate Ayam &  Sate Padang dalam Rasa: Jelajah Rasa Nusantara Episod 6
  • Resipi Char KuetiawPad Thai dalam Rasa: Jelajah Rasa Nusantara Episod 7
  • Resipi Daging Asam &  Bo Tai Chanh dalam Rasa: Jelajah Rasa Nusantara Episod 8
IKLAN