Ikan Keli Berlada menu yang cukup sedap dan menyelerakan. Paling penting goreng ikan keli bagi garing baru padu.
Nak masak ikan keli ni kena pandai basuh supaya tak hanyir. Empunya resipi turut berkongsi tip bagaimana nak basuh ikan air tawar ini supaya sedap dimakan dan tidak hanyir.
Agak renyah nak buat tapi hasilnya memang buatkan makan nasi bertambah. Yang suka makan ikan keli kena cuba buat menu ni.
Ikan Keli Berlada
Bahan-bahan:
6 ekor ikan keli
4 biji cili merah besar
10-12 biji cili hijau
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
Garam
Gula
Serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng.
CARA MEMASAK:
- Siang dan basuh ikan keli sehingga bersih. Tip dia basuh guna limau nipis. Bebas bau hanyir dan lendir.
- Kemudian gaulkan ikan keli bersama garam dan kunyit.
- Bawang dan cili dipotong kecil-kecil untuk mudah ditumbuk menggunakan lesung.
- Boleh juga guna pengisar tapi untuk mendapatkan tekstur yang kasar sebaiknya guna chopper atau lesung batu.
- Panaskan minyak, goreng ikan hingga garing. Tutup kuali ketika menggoreng untuk elak minyak terpecik.
- Gunakan minyak menggoreng ikan tadi dan tumis bahan yang ditumbuk. Goreng hingga naik bau. Kacau sekata
- Kemudian, masukkan sedikit gula dan garam. Dah nampak hampir garing boleh tutup api.
- Akhir sekali curahkan atas ikan tadi.
- Siap untuk dihidangkan.
Kredit: Cheyah Saripuddin
Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan pelbagai resipi terkini yang mudah & enak di laman web RASA
Ikan Siakap Stim Limau Masak Dalam Kuali Pun Jadi. Sedap Macam Kedai Thai
Ikan Kerisi Masak Kicap Pedas, Makan Dengan Nasi Panas Memang Padu!
Ikan Tenggiri Berlado Menu Mudah & Sedap. Nak Pedas Berapi Boleh Guna Cili Padi
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official
https://www.youtube.com/watch?v=lntfg3uf4fw
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Siakap Tiga Rasa, Versi Ringkas Tapi Sedap
Siakap tiga rasa, sedap dan tak susah sangat nak memasaknya. Kalau keluar makan dengan famili, ia antara lauk yang kita selalu pesan kan? Anak-anak pun suka.
Resipi yang dikongsikan oleh puan Anita Sahara ini nampak simple. Tapi tetap sedap. Cubalah.
Siakap Tiga Rasa
Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap – bersihkan – Boleh beli online di sini
3 sudu makan cili kisar – boleh beli online di sini
2 sudu sos tiram
3-4 sudu sos cili
2 sudu tepung jagung – boleh beli online di sini
200ml air
Minyak masak – boleh beli online di sini
Bahan-bahan potong:
Nanas – potong dadu
1 labu bawang merah besar – potong dadu
Sedikit cili padi – racik halus
1 biji tomato – potong dadu
**Sukatan semua agak-agak je ye.
Bahan Kisar:
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih – boleh beli online di sini
1 inci halia – boleh beli online di sini
Cara Memasak:
Potong dadu bawang, cili, nanas dan tomato. ketepikan.
Panaskan minyak ke dalam kuali. Tumis hingga naik bau dan sedikit pecah minyak.
Masukkan cili kisar dan tumis lagi sampai pecah minyak.
Masukkan sos tiram dan sos cili. Kacau lagi. Tambahkan air. Tunggu sampai agak pecah minyak, masukkan cili potong dan bahan yang dipotong dadu tadi. Kacau.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau sebati. Tutup api. Ketepikan.
Untuk menyediakan ikan, lumur ikan dengan sedikit garam dan tepung jagung. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing. Angkat dan toskan.
Letakkan ke dalam pinggan dan tuang kuah ke atas ikan. Siap!
SERTAI TELEGRAM GENG RASA SHARE RESIPI
Dapatkan lebih banyak resipi di laman web RASA:
Perap Dulu Guna Pes 3 Bahan Ni, Baru Sotong Bakar Rasa Kebih Sedap
Resipi Langkah Demi Langkah Ikan Siakap 3 Rasa Versi Thailand.
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @RASA dan Youtube Majalah RASA Official
Koleksi Resipi Pelbagai Jenis Sambal Bilis. Sedap & Mudah.
Orang kata, ikan bilis ni menu sementara menunggu gaji masuk. Kini tidak lagi. Ikan bilis pun mahal ye harganya. Jika dah bosan atau tak ada selera makan, ikan bilis ni boleh jadi lauk penyelamat. Ia boleh dimasak dengan pelbagai jenis masakan dan salah satu yang paling menambat selera ialah jika dimasak sambal. Memang padu! Makan dengan nasi panas je pun dah cukup menyelerakan. Jom cuba!
1. SAMBAL HIJAU PETAI BILIS
BAHAN-BAHAN:
- 250gm ikan bilis | kopek
- 200gm cawan isi petai
- 1 biji bawang besar | hiris
- 1 sudu makan air asam jawa
- Minyak secukupnya
- Garam dan gula secukupnya
BAHAN KISAR:
- 6 biji cili hijau
- 10 biji cili padi hijau
- 3 ulas bawang putih
- 6 ulas bawang merah
CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak, goreng ikan bilis separuh masak. Angkat dan ketepikan.
2.Kemudian goreng pula petai. Angkat dan ketepikan.
3.Menggunakan minyak yang sama tumis, bawang merah bersama bahan kisar.
4.Kacau sehingga wangi dan pecah minyak.
5.Masukkan ikan bilis dan petai, kacau rata.
6.Seterusnya, masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
7.Kecilkan api terus kacau sambal hingga garing.
8.Angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Jika tidak mahu terlalu pedas, tidak perlu tambah cili padi.
2. SAMBAL TEMPOYAK IKAN BILIS PETAI
BAHAN-BAHAN:
- 200gm ikan bilis | kopek
- 200gm isi petai
- 3 sudu makan tempoyak | bancuh dengan sedikit air
- 1 biji bawang besar | hiris
- Garam dan gula secukup rasa
- 3-4 sudu makan minyak masak
BAHAN KISAR:
- 15 biji cili padi
- 3 tangkai cili merah
- 6 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak dalam kuali, goreng ikan bilis sehingga separuh masak, angkat dan ketepikan.
2.Goreng pula petai sehingga layu, angkat dan ketepikan.
3.Menggunakan kuali yang sama, tumiskan bahan kisar hingga pecah minyak.
4.Masukkan hirisan bawang bersama tempoyak. Kacau rata 2-3 minit.
5.Seterusnya masukkan pula ikan bilis dan petai yang telah digoreng tadi.
6.Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
7.Kecilkan api, kacau hingga kuah pekat dan timbul minyak.
8.Tutup api dan sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jika suka, untuk aroma boleh tambahkan hirisan daun kunyit di dalam sambal ini.
3. SAMBAL GORENG JERING BERSAMA IKAN BILIS
BAHAN-BAHAN:
- 300gm jering tua | hiris melintang
- 200gm ikan bilis | kopek
- 1 biji bawang besar | hiris
- 3 sudu makan pes cili kering
- 1 sudu makan pes asam jawa
- 3-4 sudu makan minyak masak
- Garam dan gula secukup rasa
BAHAN KISAR:
- 3 biji cili merah
- 6 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 2cm halia muda
CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak, goreng ikan bilis tiga perempat masak. Angkat dan ketepikan.
2.Seterusnya goreng jering hingga garing, angka dan ketepikan.
3.Menggunakan kuali yang sama tumiskan bahan kisar hingga wangi, masukkan pes cili.
4.Kacau hingga pecah minyak.
5.Masukkan air asam jawa, diikui dengan ikan bilis dan jering goreng tadi.
6.Kecilkan api, kacau rata lebih kurang 2-3 minit.
7.Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
8.Apabila sambal sudah kelihatan kering dan warna coklat kehitaman, tutup api.
9.Sambal sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jering selain goreng boleh juga rebus dahulu, jika tidak mahu ia terlalu keras.
4. SAMBAL IKAN BILIS GARING
BAHAN-BAHAN:
- 200gm ikan bilis | dikopek
- 1 biji bawang besar | dihiris
- 6 ulas bawang merah | dikisar
- 2 ulas bawang putih | dikisar
- 15-20 tangkai cili kering | dikisar
- 1 sudu makan sos cili
- 3 sudu makan air asam jawa
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak untuk menggoreng dan menumis
CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak, goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan.
2.Keluarkan sedikit minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis.
3.Tumiskan bahan kisar hingga pecah minyak.
4.Masukkan air asam jawa gula secukupnya.
5.Kecilkan api dan terus kacau sehingga pes cili agak pekat.
6.Masukkan pula hirisan bawang besar.
7.Apabila pes telah pekat dan secukup rasa masam, masin dan manisnya tutup api.
8.Masukkan ikan bilis goreng dan kacau rata.
INFO CHEF:
1.Gunakan ikan bilis saiz sederhana dan putih kerana ia lebih ranggup.
2.Untuk pastikan pes cukup masam masin dan manisnya, pes akan bertukar warna merah menjadi merah kehitaman.
5. SAMBAL IKAN BILIS TERUNG PIPIT
BAHAN-BAHAN:
- 150gm ikan bilis telah dikopek | dikisar kasar
- 150 gm terung pipit | dibelah tengah tidak putus
- 6 ulas bawang merah | dikisar kasar
- 2 ulas bawang putih | dikisar kasar
- 10 tangkai cili kering | dikisasr halus
- 10 biji cili padi | dikisar halus
- 1 sudu besar air asam jawa
- Garam dan gula secukupnya
- Minyak untuk menggoreng dan menumis
CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak, goreng terung pipit lebih kurang 2-3 minit. Angkat dan ketepikan.
2.Keluarkan sebahagian minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
3.Tumiskan bahan kisar kasar hingga wangi, kemudian masukkan cili kering dan padi yang dikisar halus.
4.Masukkan air asam jawa dan terung pipit yang telah digoreng tadi.
5.Kecilkan api dan lengkapkan rasa dengan garam dan gula secukupnya.
6.Angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Selain terung pipit boleh juga gunakan lobak jeruk manis atau masin. Tetapi potong dadu kecil.
6. SAMBAL BILIS TUMBUK
BAHAN-BAHAN:
- 100gm ikan bilis | dikopek
- 10 tangkai cili padi
- 1/2 biji tomato | dibuang biji dadu kecil
- 1 biji limau nipis
- Sedikit garam
CARA MEMASAK:
1.Cuci ikan bilis dan toskan.
2.Tumbuk cili padi hingga lumat, masukkan ikan bilis dan tumbuk lagi hingga bilis hancur kasar.
3.Keluarkan dari lensung batu dan masukkan dalam mangkuk.
4.Perahkan jus limau nipis, masukkan sedikit garam dan tomato yang telah didadu.
5.Gaul rata, dan sedia dihidangkan.
6.Jika terlalu masam boleh tambah sedikit gula untuk mengimbangi rasa.
INFO CHEF: Selain tomato, boleh juga gunakan belimbing buluh (hiris nipis atau tumbuk bersama ikan bilis).
7. SAMBAL BILIS BERTELUR
BAHAN-BAHAN:
- 150gm ikan bilis | dikopek
- 2 biji telur
- 20 biji cili padi
- 1 biji bawang besar
- 1 ulas bawang putih
- Sedikit air asam jawa
- Garam dan gula secukupnya
- Minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
1.Masukkan ikan bilis, cili padi, bawang besar dan bawang putih dalam pengisar .
2.Kisar kasar tanpa air. Atau gunakan pengisar kering.
3.Panaskan minyak, tumiskan bahan kisarkasar hingga sedikit garing.
4.Masukkan air asam dan lengkap rasa dengan garam dan gula.
5.Akhir sekali pecahkan telur di dalamnya, kacau rata sehingga telur sebati dengan sambal ikan bilis.
6.Tutup api angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Isi ikan masin talang juga enak dimasak seperti ini tetapi ia perlu didadu kecil sebelum dijadikan sambal dan dicampurkan telur.
Aneka Resipi Asam Pedas Homemade Yang Mudah & Sedap.
Asam pedas adalah masakan Melayu yang cukup popular dengan gabungan rasa masam dan pedasnya. Ada pelbagai jenis asam pedas seperti Asam Pedas Johor, Asam Pedas Melaka, Asam Pedas Nyonya, Asam Pedas Utara dan banyak lagi. Bagi anda yang sukakan hidangan ini, bolehlah cuba.
1. IKAN TONGKOL ASAM PEDAS
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ikan tongkol | potong kecil
- 2 batang serai | diketuk
- 1 sudu makan kicap manis
- Sedikit belacan | dibakar
- 2 biji tomato | dibelah empat
- 2 biji bawang besar | dihiris bulat
- 4 sudu makan kacang tanah tumbuk
- Air asam jawa secukupnya
- Sedikit serbuk kunyit
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak untuk menumis dan menggoreng
BAHAN KISAR:
- 20 tangkai cili kering
- 6 biji cili padi
- 15 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar
CARA MEMASAK:
1. Ikan dilumur dengan garam serta kunyit. Goreng hingga garing.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang-bawang yang dikisar sehingga kekuningan.
3. Masukkan belacan, cili padi dan cili kering kisar. Tumis sehingga pecah minyak.
4. Masukkan serai, kicap, air asam jawa, garam dan juga gula dengan secukup rasa. Biarkan mendidih.
5. Selepas itu, masukkan ikan, tomato, bawang besar dan kacang tanah. Kacau rata.
6. Biarkan mendidih seketika. Angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Pastikan cili betul-betul masak sebelum dimasukkan air asam jawa.
2. SOTONG MASAK ASAM PEDAS
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 kg sotong sederhana besar | bersihkan dan potong kecil
- 20 tangkai cili kering | dikisar
- 10 biji bawang merah | dikisar
- 2 ulas bawang putih | dikisar
- 2 biji bawang besar | dikisar
- 2 batang serai | dititik
- 200gm asam jawa | dicampur air dan ditapis
- 1 biji buah tomato | dicincang halus
- Minyak masak secukupnya
- Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang yang dikisar sehingga kekuningan.
2. Masukkan cili kering dan serai. Tumis sehingga pecah minyak.
3. Masukkan air asam jawa, tomato, garam dan gula dengan secukup rasa.
4. Akhir sekali, masukkan sotong dan gaul hingga rata. Biar sehingga sotong masak.
5. Sedia untuk dinikmati.
INFO CHEF: Cili kering boleh digantikan dengan cili boh.
3. ASAM PEDAS AYAM
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 kg ayam
- 3 batang serai | dititik
- 1 pokok daun ketumbar | dihiris
- 1 cawan air asam jawa
- 4 helai daun limau purut
- Air secukupnya
- Minyak masak untuk menumis
- 1 biji terung | dipotong kecil
- Garam dan gula secukup rasa
BAHAN KISAR:
- 20 tangkai cili kering
- 6 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 5cm halia
- 2 biji buah keras
- 3 biji tomato
- 2cm belacan | disangai
- 1 sudu makan lada hitam
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga garing.
2. Masukkan ayam dan biarkan sehingga isi ayam lembut dan cili kelihatan pecah minyak.
3. Kemudian masukkan serai, daun limau purut, air asam jawa. Biarkan seketika barulah dimasukkan air.
4. Sesuaikan rasa dengan menambah garam serta gula dengan secukupnya. Biarkan mendidih sehingga isi ayam benar-benar empuk.
5. Masukkan daun ketumbar dan terung. Biarkan mendidih seketika.
6. Angkat dan sedia untuk dinikmati.
INFO CHEF: Jika kurang gemar aroma belacan, abaikan bahan tersebut.
4. ASAM PEDAS TUMIS TENGGIRI
BAHAN-BAHAN:
- 2 keping ikan tenggiri
- 3 sudu makan cili kisar
- 5 biji bawang merah | dikisar halus
- 4 ulas bawang putih | dikisar halus
- 2cm halia | dikisar halus
- 2cm belacan | disangai
- 2 batang serai | dititik
- 3 tangkai daun kesum
- 2 kuntum bunga kantan | dibelah dua
- 2 biji tomato | dibelah empat
- 1 cawan air asam jawa
- 5 batang bendi
- Air secukupnya
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar, belacan dan serai sehingga pecah minyak.
2. Tuang air asam jawa dan air. Masukkan ikan, daun kesum dan bunga kantan. Gaul rata.
3. Setelah kuah mendidih, masukkan bendi dan tomato. Biarkan sehinga masak.
4. Perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya. Apabila kuah kelihatan pecah minyak, angkat dan sedia untuk dinikmati.
INFO CHEF: Tumis cili menggunakan api perlahan dapat menghasilkan rasa asam pedas yang enak kerana rempahnya masak dengan sekata.
5. ASAM REBUS IKAN SELAR
BAHAN-BAHAN:
- 2 ekor ikan selar
- 4 keping asam gelugur
- 3 tangkai daun kesum
- 1/4 biji nanas | dipotong kecil
- Sedikit kunyit hidup | ditumbuk
- 1 kuntum bunga kantan | dibelah dua
- 4 biji cili merah | ditumbuk halus
- Sedikit belacan | ditumbuk halus
- 2 biji bawang merah | ditumbuk halus
- 1 ulas bawang putih | ditumbuk halus
- Air secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Bersihkan ikan dan potong kecil.
2. Masukkan semua bahan ke dalam periuk. Masak sehingga air mendidih.
3. Apabila ikan kelihatan masak, perasakan dengan garam serta gula dengan secukup rasa.
4. Siap untuk dihidangkan.
INFO CHEF: Boleh juga menggunakan ikan kembung.
6. KEMBUNG MASAK REBUS PEDAS
BAHAN-BAHAN:
- 3 ekor ikan kembung | dibelah dua
- 4 sudu makan cili kering kisar
- 4 cm lengkuas | dikisar
- 3 biji bawang merah | dikisar
- 2 ulas bawang putih | dikisar
- Sedikit belacan | dikisar
- 6 batang bendi
- 2 tangkai daun kesum
- 3 keping asam gelugur
- Garam secukup rasa
- 1 biji buah tomato | dibelah empat
- 4 cawan air
CARA MEMASAK:
1. Masukkan air ke dalam periuk diikuti cili kisar dan bahan lain yang telah dikisar. Biarkan sehingga agak mendidih.
2. Kemudian masukkan ikan, asam gelugur, daun kesum diikuti garam serta gula dengan secukupnya.
3. Akhir sekali masukkan bendi dan tomato. Biarkan sehingga sayuran menjadi lembut.
4. Angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Selain dikisar, bawang merah, belacan, lengkuas dan bawang putih boleh juga ditumbuk kasar. Ia memberikan lebih rasa pada masakan.
7. UDANG MASAK ASAM PEDAS
BAHAN-BAHAN:
- 500gm udang
- 2 tangkai daun kesum
- 1 biji tomato | dibelah empat
- Air secukupnya
- 1 cawan air asam jawa
- 2 batang serai | diketuk
- Garam secukup rasa
- Minyak untuk menumis
BAHAN KISAR:
- 5 tangkai cili kering
- 4 biji bawang merah
- 2cm halia
- 2 biji buah keras
- Sedikit belacan | dibakar
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai sehingga garing dan wangi.
2. Kemudian masukkan udang dan biarkan sehingga pecah minyak.
3. Masukkan air asam jawa. Biarkan seketika. Tambahkan air secukupnya. Biarkan mendidih.
4. Tambahkan daun kesum dan tomato. Biarkan masak sehingga kuah pekat dan pecah minyak.
5. Perasakan dengan garam dengan secukupnya. Sedia untuk dihidangkan.
INFO CHEF: Jika mahu lebih masam, lebihkan jumlah air asam jawa.
8. KERANG MASAK ASAM PEDAS
BAHAN-BAHAN:
- 1 mangkuk isi kerang rebus
- 8 biji cili merah | dikisar
- 1 biji bawang besar | dipotong dadu
- 1 batang serai | dihiris
- 2 helai daun limau purut
- 1 sudu makan sos tiram
- 1 sudu makan sos cili
- Minyak untuk menumis
- Air asam jawa secukupnya
- Garam & gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar sehingga kuning. Kemudian masukkan kisaran cili merah.
2. Tambahkan sos tiram, sos cili, serai, daun limau purut, garam dan gula dengan secukup rasa. Tumis sehingga naik minyak.
3. Masukkan isi kerang dan air asam jawa dengan secukupnya. Gaul rata.
4. Sedia untuk dinikmati.
INFO CHEF: Selain kerang, boleh juga menggunakan kepah.
ANDA BOLEH CUBA:
Percayalah Bila Makan Asam Rebus Ikan Kunyit & Nenas Nasi Sepinggan Tak Akan Cukup
Masakan Mudah Sotong Masak Asam. Perrgh..Memang Kenyanglah Perut Hari Ni…
http://www.rasa.my/seleranya-rendang-kerang-pedas-lagi-terangkat/