
Bagi anda yang suka makan ikan sardin, menu Ikan Sardin homemade ni memang kena cuba. Barulah rasa lebih yakin, tanpa pengawet dan tentunya lebih sedap! Caranya mudah sahaja. Jom cuba resipi perkongsian saudari Alia Farhan Said ni.
RESIPI IKAN SARDIN HOMEMADE
BAHAN-BAHAN:
- Ikan selayang/sardin – nak guna mackerel pun boleh
- Sos tomato – boleh guna sos tomato readymade atau boleh juga buat sos tomato homemade
- Sos Cili – untuk beri rasa pedas.
- Air secukupnya
( jumlah sos bergantung pada jumlah ikan dan juga citarasa masing-masing. Boleh ubah suai ikut selera.)
CARA MEMASAK:
1. Bersihkan ikan sardin dan buang kepala, sirip dan perut sebersih-bersihnya.
2. Goreng ikan terlebih dahulu namun jangan sampai terlalu garing. Angkat dan toskan minyaknya.
3. Ambil periuk tekanan ( pressure cooker), masukkan sos tomato dan sos cili.
4. Kemudian masukkan ikan yang digoreng tadi dan masukan air pada paras ikan sahaja. ( Masak guna pressure cooker air tak akan berkurang. Sebab tu kena guna air pada jumlah yang sepatutnya sahaja.)
5. Tutup penutup periuk tekanan dan pulas tombol ke SEAL. Set bahagian pressure dan pilih STEAM.
6. Tekan KEEP PRESSURE dan tambah masa ( tekan MIN) hingga ke 59. ( untuk periuk Phillip, settingnya sampai 59 sahaja. Selepas 59 minit, tambah lagi setting yang sama untuk 30-35 minit lagi.
7. Bila dah siap, bunyi ‘beep’ akan berbunyi. Lepaskan wap tekanan terlebih dahulu. Kemudian buka penutup dan keringkan air pada sardin menggunakan mode BAKE. Jika nak tekan butang CHICKEN pun boleh.
8. Bila agak-agak air dah kering dan berpadanan, boleh padamkan api dan masukkan sardin dalam bekas bersesuaian.
9. Sejukkan sardin terlebih dahulu sebelum disimpan di dalam peti sejuk beku.
10. Bila nak makan, hanya perlu panaskan sahaja.
Selamat mencuba!
Kredit resipi & foto: Alia Farhan Said
Link asal resipi: http://www.aliafarhan.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gulai Lemak Kelantan Paling Sedap. Ikut Resipi Ni Pasti Jadi

Isi Kandungan
ToggleJom cuba masak Gulai Lemak Kelantan ni! Ikan Ayo / Ikan Aya / Ikan Tongkol sememangnya sangat sedap. Boleh dimasak perlbagai cara namun jika di Kelantan, salah satu resipi yang sedap dimasak menggunakan ikan ini adalah Gulai Kunyit Lengkuas @ Gulai Lemak Kelantan. Sangat enak dimakan bersama nasi putih panas dan juga sambal. Nak cuba? Saudara Suriani Mohd ada kongsikan resipi. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.
RESIPI GULAI LEMAK KELANTAN YANG SEDAP & MUDAH
BAHAN-BAHAN:
Ikan tongkol hitam
3 keping asam gelugur – beli online disini
2 inci lengkuas
Sedikit garam
1 keping nise (gula merah keping) – beli online disini
200ml santan kotak – beli online disini
1 sudu besar rempah kari ikan – beli online disini
1 sudu biji ketumbar – tumbuk
Air rebusan ikan
Garam & perasa secukupnya
BAHAN KISAR:
4-5 tangkai cili kering
5 tangkai cili Api
½ sudu besar serbuk kunyit (guna kunyit hidup lagi sedap)
1 inci lengkuas
1 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
BAHAN SAYUR:
Timun dan kacang panjang
Cili api merah & hijau
CARA MEMASAK:
1.Bersihkan ikan dan masukkan ke dalam periuk.
2. Masukkan asam gelugur, lengkuas, garam dan nise. Rebus hingga masak. Sebaiknya, rebus ikan dan biarkan semalaman supaya rasa meresap ke dalam isi ikan.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar.
4. Masukkan rempah kari ikan (tak letak pun tak apa) dan juga biji ketumbar yang telah ditumbuk.
5. Seterusnya masukkan santan.
6. Masukkan juga air rebusan ikan. Kacau sebati. Jumlahnya bergantung pada pekat mana anda nak.
7. Seterusnya masukkan ikan. Kacau lagi.
8. Bila telah sebati, masukkan kesemua sayuran. Masak lagi hingga sayur lembut.
9. Gulai Lemak Kelantan sedia untuk dinikmati. Paling enak makan bersama ikan masin dan cili api cuka.
Kredit resipi & foto: Suriani Mohd
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Resipi Daging Masak Merah, Ini Rahsia Masak Sedap Macam Dekat Kedai
Resipi Cucur Bilis Tambah Kucai & Cili Kering Tumbuk, Sangat Sedap!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Keenakan Masakan Puan Sri Nisa Dapat Liputan TV Sepanyol. Jom Cuba Dua Resipi Best Ni!

Isi Kandungan
TogglePuan Sri Shariffa Nisa Bakri kelihatan anggun mengenakan kebaya labuh rona merah jambu menyambut ketibaan kami dengan ramah ditemani Dato’ Azlin. Terdetik di hati sudahlah cantik pandai pula memasak. Sebelum ini hanya mendengar cerita dan menonton Puan Sri memasak di dalam satu program TV sahaja. Namun tanpa disangka kami bertuah dapat melihat dan menjamah masakan dari air tangan beliau yang khabarnya akan menyediakan dua menu, iaitu Kari Ikan Masin Kurau Dengan Udang dan Asam Pedas Ikan Tenggiri Ala Nyonya.
Memandangkan Puan Sri Nisa sudah siap berdandan, kami terus sahaja memulakan sesi fotografi di ruang tamu sambil beliau bercerita mengenai bukunya ‘I am Not A Chef’ dan pes kari dan asam pedas yang diformulasikan sendiri oleh beliau dan kini ada dijual di beberapa pasar raya terpilih.
Selesai fotografi, Puan Sri Nisa segera ke tingkat atas untuk menukar pakaian sebelum masuk dapur untuk memasak. Selang beberapa minit, beliau turun dengan gaya kasual yang cukup santai namun tetap cantik dengan gaya sederhana itu.
“Usah bimbang saya masak tak lama. Semua bahan sudah siap tinggal masak saja tak sampai setengah jam boleh siap dan kita boleh terus rasa masakan saya ini,” ujar Puan Sri sambil memberikan tip menjadikan memasak sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan.
Tidak sampai 30 minit, dua masakan yang dimasak menggunakan pes kari dan pes asam pedas siap dimasak oleh Puan Sri dan terus dihidangkan panas-panas di meja makan sambil mempelawa kami menjamah masakannya itu. Ternyata ia tidak mengecewakan sedap dan menyelerakan.
MINAT MEMASAK
Sambil menikmati hidangan, Puan Sri Nisa bercerita tentang minat beliau yang suka memasak dan tanpa disangka minat itu terus berkembang dan kini membuka peluang bisnes pula.
“Minat memasak tu memang sejak daripada kecil, bila remaja saya luaskan pengalaman dengan belajar memasak berpandukan buku resipi. Rujukan pertama saya adalah buku resipi chef Wan, bila sekali masak menjadi, keterujaan untuk memasak itu semakin kuat. Hingga bila anda rakan-rakan suruh masak, saya tidak membantah sebaliknya seronok memasak untuk mereka.
Keseronokan itulah yang mendorong saya untuk mencuba lebih banyak resipi baru dan cuba mengolah semula sebahagian resipi mengikut selera. Bila sudah berkeluarga, saya menjadi lebih cerewet terutama dalam soal apa yang mahu dimasak. Sekarang menyediakan makanan sihat dan sedap adalah keutamaan saya,” ujar beliau lagi.

SERONOK DI DAPUR
Selain seronok memasak, Puan Sri Nisa juga mengakui bahawa makanan adalah agen mengeratkan hubungan dan kasih sayang keluarga kekeluargaan serta menjalin kemesraan sesama rakan-rakan dan. Kata beliau, lebih baik lagi jika masakan itu dimasak dengan hati yang ikhlas.
“Sebenarnya, saya kalau tidak ada apa nak dibuat bila berada rumah, ke dapurlah saya masuk. Tengok apa yang boleh dimasak, tak kisahlah walau hanya buat jemput-jemput. Kadang-kadang dengan melihat barang yang ada di dapur di kepala sudah ada idea nak masak apa. Lebih seronok lagi kalau masakan tu dinikmati dengan berselera oleh keluarga atau tetamu yang datang ke rumah.
“Bila kita seronok memasak, keikhlasan itu hadir dalam diri dan mulalah kita akan mendoakan yang baik-baik untuk ahli keluarga, rakan mahupun tetamu yang akan menikmati hidangan itu nanti. Sekurangnya biarlah mereka dengan puas makan dan seronok dijamu. Secara tidak langsung ia pasti dapat menyatukan hubungan suami isteri, menyuburkan kasih sayang anak-anak dan mengeratkan hubungan sanak saudara serta rakan bila kita sama-sama duduk di meja makan menikmati hidangan tersebut,” ujar Puan Sri yang sangat suka ke pasar.
Katanya, kalau beliau sudah ke pasar terutama di pasar yang menjual barang-barang segar, pasti tidak sedar ada barang yang tidak sepatutnya dibeli akan beliau beli. “Kepantangan saya kalau ke pasar yang menjual ikan, seafood dan sayur-sayur segar, habislah semua nak beli dan nampak sedap. Saya tak kisah walaupun lama ke pasar yang penting puas hati, mungkin disebabkan saya ni suka memasak,” cerita Puan Sri lagi.

PELUANG BISNES
Melihatkan bakat dan minat Puan Sri yang suka memasak, rakan-rakan mula menyarankan beliau membuat buku masakan dan menjadikan ia sebagai satu cabang bisnes.
Atas dorongan itulah, beliau telah menerbitkan sebuah buku berkaitan pengalaman beliau dengan masakan serta resipi yang dicuba. Tanpa diduga buku tersebut sudah beberapa kali diulang cetak. Dari situ timbul idea untuk membuat pes masakan.
“Dari buku, kemudian saya buat pula pes, buat masa ini saya sudah pasarkan dua jenis pes, kari dan asam pedas. Kedua-dua pes ini sebenarnya, jika anda kreatif ia boleh dipelbagaikan cara memasak. Contoh pes asam pedas, selain boleh digunakan untuk asam pedas biasa, ia boleh dijadikan asam pedas Nyonya atau pun tomyam. Semuanya atas kreativiti memasak. Beliau juga mempunyai restoran di Bangunan Tabung Haji di Damansara Utama yang sentiasa mendapat sentuhan air tangannya.

Terbaru, dalam usaha melebarkan sayap perniagaan dan memperkenalkan masakan tradisional Malaysia, Puan Sri Nisa telah berkunjung ke Sepanyol dan membuat beberapa demo memasak serta turut memasak di dapur Chef Antonio, Chef terkenal di Sepanyol. Kunjungan dan aktiviti mendapat liputan televisyen. Tahniah Puan Sri semoga usaha Puan Sri akan terus mendapat perhatian dunia.

KARI IKAN MASIN BERSAMA UDANG
BAHAN-BAHAN:
- 500gm udang |saiz XL
- 150 gm isi ikan masin kurau | rendam dan goreng
- 2 sudu makan telur masin | kuning sahaja dan hancurkan
- 3 sudu makan pes kari
- 1 sudu kecil halba campur
- 1 biji bawang holland | potong dadu besar
- 2 biji tomato | potong dadu
- 2 batang kacang bendi | potong dua
- 2 tangkai cili hijau | potong dua
- 1 tangkai daun kari
- 1cawan santan pekat
- Air secukupnya
- 2 sudu makan minyak masak
CARA MEMASAK:
- Panaskan periuk tanah, panaskan minyak.
- Tumiskan halba campur bersama daun kari, kacau hingga wangi.
- Seterusnya masukkan masukkan pes dan kacau lagi. Jika terlalu pekat tambah air.
- Kemudian masukkan ikan masin, diikuti dengan sedikit lagi air. Biarkan seketika.
- Masukkan bahan sayuran, kacang bendi, tomato dan cili hijau.
- Ia diikuti dengan udang, kuning telur masin dan santan.
- Kacau dan biarkan mendidih dan udang masak.
- Angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Tidak perlu tambah garam atau perasa kerana ikan masin dan telur asin sudah masin dan pes juga sudah cukup asam garam.
Saiz hidangan : 5 orang
Waktu memasak :15 minit
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan: Enak dan terasa rempah kari
Anggaran kos : RM 35.00
Jika anda penggemar Asam Pedas wajib klik: :http://bit.ly/2z46Xag

ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI ALA NYONYA
BAHAN-BAHAN:
- 500gm ikan tenggiri | bersih dan tos
- 2 sudu makan pes asam pedas
- 2 sudu makan telur masin | bahagian kuning dan dihancurkan
- 2 kuntum bunga kantan | hiris
- 1 biji bawang Holland | potong dadu besar
- 1 biji tomato | belah empat
- Sedikit daun ketumbar | hiris
- 2 tangkai daun kesum | lurut dari tangkai
- 2 biji cili merah | belah dua
- 2 biji cili hijau | potong dua
- 1/2 cawan santan pekat
- Air secukupnya
- 2 sudu makan minyak masak
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak dalam periuk, tumis pes (campur sedikit air jika terlalu pekat).
- Masukkan bawang Holland, kacau seketika dan tambah air secukupnya.
- Setelah mendidih masukkan ikan, bunga kantan, daun kesum, cili merah dan hijau.
- Bila ikan masak, masukkan santan dan telur kuning, biarkan mendidih seketika.
- Sebelum angkat masukkan tomato dan daun ketumbar.
- Sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jika tidak dicampurkan santan, masakan akan menjadi asam pedas biasa.
Saiz hidangan : 5 orang
Waktu memasak :15 minit
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan: Enak dan berperisa
Anggaran kos : RM 35.00
Resipi Lauk Pauk Bersambal Yang Mudah Masak, Sedap & Pedas.

Menu lauk pauk bersambal yang pedas memang boleh jadi ‘pembuka selera’. Mana tidaknya, semakin membahang mulut dan bibir, semakin laju makanan disuap. Peluh pun tak hirau. Bagi anda yang suka layan pedas, aneka lauk pauk berasaskan sambal dan tumisan cili ini boleh dijadikan pilihan sama ada berkuah mahupun kering. Memang wajib dicuba!
1. DAGING SAMBAL PEDAS
BAHAN-BAHAN:
- 250gm daging|dihiris nipis dan rebus empuk
- 10 biji cili hijau|dikisar
- 6 biji cili padi|kisar
- 5 ulas bawang merah|kisar
- 4 ulas bawang putih|dikisar
- 4 biji buah keras|dikisar
- 1 labu bawang besar|dibelah empat
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Tabur sedikit garam dan lada sulah pada daging yang telah direbus terlebih dahulu lalu goreng beberapa minit sehingga ia keperangan. Ketepikan.
- Panaskan minyak masak di dalam kuali lalu tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga cili masak.
- Masukkan bawang besar, daging yang telah direbus dan sedikit air. Didihkan selama seminit.
- Tambah garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.
Info Chef: Pastikan cili merah digoreng sempurna bagi memastikan cili masak.
2. AYAM PANGGANG SAMBAL HIJAU
BAHAN-BAHAN:
- 5 ketul ayam
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
- 8 biji cili hijau
- 6 biji cili padi hijau
- 1 batang serai
- 4 ulas bawang putih
- 15ml perahan air asam jawa
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- 15ml minyak masak
CARA MEMASAK:
- Lumur garam dan lada sulah ke atas ayam lalu panggang sehingga masak. Ketepikan.
- Kemudian kisar cili hijau bersama cili padi, bawang putih dan serai sehingga ia halus dan menjadi pes.
- Di dalam kuali, panaskan sesudu minyak lalu tumis bahan kisar hingga cili masak.
- Sesuaikan rasanya dengan menambah air asam, garam dan gula secukupnya.
- Tuang sambal ke atas ayam dan hidangkan.
Info Chef: Ayam dipanggang untuk rasa sebati yang lebih enak
3. BAWAL GORENG SAMBAL
BAHAN-BAHAN:
- 2 ekor ikan bawal
- 8 biji cili merah|dikisar
- 5 ulas bawang merah|dikisar
- 4 ulas bawang putih|dikisar
- 3cm halia muda
- 1 tangkai daun bawang|dipotong seinci
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- Sedikit serbuk kunyit
CARA MEMASAK:
- Bersihkan ikan bawal kemudian kelar tengahnya dan lumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam. Goreng sehingga garing dan ketepikan.
- Kisar cili merah bersama bawang merah, bawang putih dan halia sehingga halus.
- Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bahan-bahan kisar sehingga cili masak.
- Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
- Tambah daun bawang dan tutup api. Tuang sambal ke atas bawal yang telah digoreng terlebih dahulu.
Info Chef: Pastikan cili merah digoreng sempurna bagi memastikan cili masak.
4. AYAM MASAK SAMBAL
BAHAN-BAHAN:
- 5 ketul ayam
- 90gm cili kisar
- 30gm cili sos
- 4 ulas bawang merah|dikisar
- 3 ulas bawang putih|dikisar
- 3cm halia|dikisar
- 1 batang serai|dititik
- 1 labu bawang besar|dibelah empat
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
- Minyak masak untuk menggoreng
CARA MEMASAK:
- Lumurkan ayam bersama sedikit garam dan lada sulah. Goreng sehingga masak dan ketepikan.
- Di dalam kuali, panaskan minyak masak kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga wangi.
- Masukkan serai, cili kisar dan sos cili. Tumis hingga pecah minyak.
- Tambah sedikit air, garam dan gula secukup rasa.
- Masukkan bawang besar dan ayam yang telah digoreng. Didihkan seminit dua dan tutup api.
Info Chef: Pastikan ayam digoreng terlebih dahulu untuk memastikan hidangan lebih sebati dengan sambal.
5. IKAN TAMBAN CILI PADI
BAHAN-BAHAN:
- 150gm ikan tamban masin
- 15 biji cili padi hijau|dikisar
- 4 biji cili hijau|dikisar
- 4 ulas bawang merah|dikisar
- 3 ulas bawang putih|dikisar
- 1 labu bawang besar|dipotong bulat
- 5ml perahan air asam jawa
- 3cm belacan
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Bersihkan ikan tamban masin dan buang tulangnya. Tumbuk kasar dan goreng separuh masak. Ketepikan.
- Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar berserta belacan sehingga wangi.
- Masukkan ikan tamban yang telah separuh goreng tadi dan goreng hingga masak.
- Tambah air asam, bawang besar, garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.
Info Chef: Tambah cili padi sekiranya anda ingin rasa yang lebih pedas
6. KEPAH SAMBAL MERAH
BAHAN-BAHAN:
- 250gm isi kepah
- 60gm cili kisar
- 30gm tomato puri
- 30gm sos tomato
- 5 ulas bawang putih|ditumbuk halus
- 3cm halia muda|ditumbuk halus
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan yang telah tumbuk hingga wangi.
- Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak.
- Masukkan tomato puri, sos tomato dan kepah. Tumis sehingga semua bahan sebati dan masak.
- Tambah lada sulah, garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.
Info Chef: Basuh kepah dengan air garam bagi mengeluarkan benda asing yang mungkin melekat di kulit kepah.
7. SOTONG CELUP TEPUNG BERSAMBAL
BAHAN-BAHAN:
- 5 ekor sotong|dipotong bulat
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
- 30gm tepung jagung
BAHAN-BAHAN UNUK SAMBAL:
- 60gm cili kisar
- 30gm sos cili Thai
- 4 ulas bawang merah|ditumbuk halus
- 3 ulas bawang putih|ditumbuk halus
- 1 labu bawang besar |dipotong bulat
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Tabur sedikit garam dan lada sulah ke atas sotong lalu salut dengan tepung jagung.
- Goreng sotong di dalam minyak yang banyak sehingga garing dan tos.
- Di dalam kuali lain, panaskan minyak masak lalu tumis bahan-bahan tumbuk sehingga wangi.
- Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak. Masukkan sos cili Thai.
- Tambah garam dan gula secukup rasa.
- Masukkan bawang besar dan sotong goreng. Kaup-balikkan sebati. Sedia untuk dihidangkan.
Info Chef: Sotong kering atau sotong rendam boleh digunakan di dalam resipi ini.
8. TAUHU GORENG BERLADO
BAHAN-BAHAN:
- 3 biji tauhu |dipotong dadu dan goreng
- 1 labu bawang besar|dicincang halus
- 3 ulas bawang putih|dicincang halus
- 30gm cili kisar
- 5gm sos tiram
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak masak di dalam kuali. Gorengkan tauhu sehingga ia menjadi kekuningan. Asingkan.
- Tumiskan bawang putih sehingga naik baunya. Masukkan bawang besar.
- Tambahkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak. Tambah sos tiram, tauhu goreng, sedikit air, lada sulah dan garam secukup rasa.
- Masukkan tauhu yang telah digoreng ke dalam tumisan cili dan gaulkan sehingga sebati.
9.TEMPE BERLADA
BAHAN-BAHAN:
- 6 biji tempe |dipotong kecil
- 30gm cili kisar
- 4 ulas bawang merah|dikisar halus
- 3 ulas bawang putih|dikisar halus
- 1 labu bawang besar|dipotong bulat
- 30ml air asam jawa
- Sedikit belacan
- Garam secukup rasa
- Lada sulah secukup rasa
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Lumur tempe dengan sedikit garam dan lada sulah. Goreng sehingga ia menjadi perang. Ketepikan.
- Di dalam kuali yang berlainan, panaskan minyak masak. Tumis bahan yang dikisar bersama cili kisar sehingga wangi dan cili benar-benar masak.
- Masukkan air asam jawa, bawang besar, garam dan gula secukup rasa.
- Jika sambal terlalu kering, tambah air dan didihkan.
- Masukkan tempe goreng yang telah digoreng dan gaulkan sehingga sebati
Info Chef: Potong tempe setebal dua inci untuk mendapatkan hidangan tempe cili yang rangup
10. TERUNG GORENG BERLADA
BAHAN-BAHAN:
- 5 biji terung panjang
- 30gm cili kisar
- 4 ulas bawang putih |ditumbuk
- 50gm udang kering|ditumbuk
- 3cm belacan
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Terung dibelah dua dan digoreng sehingga perang. Susun di dalam pinggan. Ketepikan.
- Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumbuk sehingga wangi.
- Masukkan cili kisar dan belacan. Tumis lagi sehingga cili masak. Jika terlalu kering, tambah sedikit air.
- Tambah garam dan gula secukupnya. Tutup api.
- Tuang sambal ke atas terung yang telah digoreng tadi.
Info Chef: Pastikan terung digoreng separuh masak sebelum dimasukkan ke dalam sambal