Cara Buat Kerepek Gunting Air Tangan Mertua Paling Sedap.

Share

Kerepek Gunting adalah antara snek tradisional yang ramai peminatnya. Makan sambil tonton tv memang best. Bahan-bahan untuk membuat snek ini sangat senang dan mudah. Tapi kalau beli, boleh tahan harganya.  Menurut Haniza Angah Ija, resipi yang dikongsi ini adalah resipi mak mertuanya. Nampak sedap kan? Jom cuba.

 

RESIPI KEREPEK GUNTING

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 10 tangkai cili kering (*)
  • 2 sudu besar udang kering/udang kepal (*)
  • 1/2 sudu kecil jintan manis (*)
  • 1/2 sudu kecil jintan putih (*)
  • Secubit garam
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 120ml air – campurkan sikit-sikit masa menguli
  • Sedikit daun kari – guna masa menggoreng
  • Minyak untuk menggoreng

(* dikisar)

 

CARA MEMASAK:

1. Satukan bahan-bahan (*) dan kisar kering hingga menjadi seperti serbuk.

2. Masukkan bahan kisar ke dalam tepung.

3. Tambahkan garam dan minyak masak. Gaul rata.

4. Masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sampai adunan menjadi kenyal. ( adunan akan jadi macam doh karipap)

5. Buat doh-doh kecil untuk memudahkan proses mencanai.

6. Canai doh tadi menjadi nipis dan panjang. Tabur tepung supaya permukaan doh tidak berminyak dan melekat.

7. Potong nipis menggunakan pisau. Doh juga boleh digunting.

8. Tabur sedikit tepung supaya doh yang digunting tidak melekat.

9. Panaskan minyak dengan banyak dan goreng bersama daun kari sehingga garing.

10. Angkat dan sedia untuk dinikmati.

 

TIP RASA: Untuk kuih yang kekal rangup, pastikan sejuk dahulu sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.

Kredit resipi & foto: Haniza Angah Ija

IKLAN