
Sedapnya makan cokodok pisang panas-panas. Luarnya sedikit rangup, dalamnya pula lembut dengan rasa manis buah pisang. Memang sedap dibuat minum petang bersama secawan kopi atau teh panas.
Bagi yang teringin sangat nak makan, ni ada resipi Cokodok Pisang sedap dan mudah perkongsian saudari Cik Pooja yang boleh dicuba.
Menurut empunya resipi, resipi ni memang hasilnya lembut dan tak serap minyak. Pendek kata, pasti puas hati. Tengok gambar je pun dah dapat rasa sedap. Kalau ada lebihan pisang di rumah, bolehlah terus buat. Jom cuba.
Resipi Cokodok Pisang Lembut & Cantik

Resipi ni menggunakan bahan-bahan yang cukup mudah. Antara rahsia untuk mendapatkan hasil yang sedap ialah penggunaan marjerin dalam adunan. Selain membantu menghasilkan bahagian luar yang lebih rangup, marjerin juga membantu mengelakkan minyak daripada terlalu banyak meresap ke dalam isi.
Bahan-Bahan Cokodok Pisang
- 5 biji pisang bersaiz besar – jika kecil, boleh guna 8-10 biji. Empunya resipi guna pisang bunga.
- 2 sudu makan marjerin
- 5 sudu makan gula pasir
- 1 sudu teh soda bikarbonat – sukatan tidak terlalu membukit
- 1 sudu teh garam
- 2 cawan tepung gandum
Pastikan pisang yang digunakan cukup masak kerana pisang yang masak memberikan rasa manis dan aroma yang lebih sedap. Jika pisang yang digunakan sudah sangat manis, jumlah gula juga boleh disesuaikan mengikut cita rasa masing-masing.
Cara Memasak Cokodok Pisang
- Satukan semua bahan kecuali tepung gandum dan lenyek hingga sebati. Pastikan pisang benar-benar dilenyek supaya mudah bercampur dengan bahan lain dan menghasilkan adunan yang sekata.

2. Bila dah sebati, masukkan tepung gandum. Gaul lagi hingga sekata bersama adunan pisang tadi. Tidak perlu menggaul terlalu lama, cukup sekadar semua bahan bercampur dengan baik.

3. Rehatkan adunan selama 10-15 minit. Pastikan adunan tidak terlalu cair. Tekstur adunan yang sesuai penting supaya bancuhan mudah dijemput dan boleh membentuk bulatan cantik ketika masuk ke dalam minyak panas.

4. Panaskan minyak dan jemputkan adunan tadi menggunakan jari. Goreng guna api perlahan hingga garing dan masak. Elakkan menggunakan api terlalu besar kerana bahagian luar boleh menjadi gelap dengan cepat sedangkan bahagian dalam masih belum masak sepenuhnya.

5. Apabila sudah bertukar warna keemasan dan masak sekata, angkat serta toskan minyak. Sedia untuk dinikmati ketika masih panas.

Petua Cokodok Pisang Lembut Dan Tak Serap Minyak
Ada beberapa perkara yang boleh diberi perhatian supaya hasil gorengan menjadi lebih cantik, lembut di bahagian dalam dan tidak terlalu berminyak. Petua daripada empunya resipi ini juga sangat mudah untuk diikuti.
- Tujuan guna marjerin ialah untuk merangupkan tekstur luaran kulit cekodok bila digoreng nanti. Malah ia juga menghalang minyak dari terserap ke dalam isi. Sebab itu jangan tinggalkan bahan ini jika mahukan tekstur seperti yang dikongsikan dalam resipi.
- Cekodok akan menjadi wangi tetapi masih mengekalkan rasa asli. Aroma pisang tetap menjadi rasa utama dan tidak tenggelam dengan bahan-bahan lain yang digunakan.
- Jangan goreng cekodok dengan api besar kerana nanti akan hangit dan tidak masak di dalam. Api perlahan memberi masa kepada bahagian dalam untuk masak sambil bahagian luar bertukar keemasan.
- Untuk hasil cekodok yang cantik, hanya jemputkan bancuhan ke dalam minyak. Nanti ia akan membulat dengan sendiri jika bancuhan tu dibuat dengan baik. Jadi tak perlu susah-susah nak bentukkan satu persatu menggunakan sudu.
Pastikan Bancuhan Tidak Terlalu Cair
Satu lagi perkara penting ialah tekstur bancuhan. Bancuhan yang terlalu cair boleh menyebabkan bentuk cekodok sukar menjadi bulat dan adunan mudah merebak apabila dimasukkan ke dalam minyak. Sebab itulah adunan perlu direhatkan selama 10-15 minit seperti dalam langkah resipi.
Bila minyak sudah panas, gunakan api perlahan dan jemput bancuhan sedikit demi sedikit. Jangan masukkan terlalu banyak dalam satu masa supaya suhu minyak tidak turun dengan mendadak dan setiap biji mempunyai ruang untuk masak dengan sekata.
Resipi cokodok pisang ni memang sesuai dicuba bila ada pisang masak di rumah. Bahan yang digunakan ringkas, cara membuatnya pun mudah dan tak memerlukan banyak persediaan. Paling penting, ikut petua menggoreng menggunakan api perlahan supaya bahagian luar cantik dan bahagian dalam betul-betul masak.
Anda mungkin berminat dengan
Nikmati panas-panas waktu minum petang. Dengan bahagian luar yang sedikit rangup dan isi lembut serta harum pisang, memang susah nak berhenti makan.
Kredit resipi & foto: Cik Pooja
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Pengat Pisang Bersagu Lemak Manis, Resipi Kampung Paling Nostalgia

sekarang!
