Korang ingin memulakan diet sihat dan masih tercari-cari menu yang mudah dan sedap? Atau baru baik demam tekak tak sedap, Jangan Risau  ini RASA kongsikan lima  resipi ringkas yang bebas santan  dan minyak. Gerenti jika anda cuba tidak menyesal mencuba.

 SUP BEBOLA IKAN TELUR PUYUH

 BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji bawang putih
  • 1 biji bawang merah
  • 3cm halia
  • 2 sudu rempah sup
  • 1 paket stok ayam
  • 1 tangkai daun sup | racik
  • 1 batang daun leek | potong kasar
  • ½ biji lobak merah | potong kasar
  • 5 biji tomato ceri
  • 10 biji bebola ikan
  • 10 biji telur puyuh      | rebus dan buang kulit
  • Lada sulah secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Bawang merah, bawang putih dan halia dihiris halus. Kemudian, panaskan satu sudu minyak masak dan tumiskan bahan yang dihiris bersama rempah sup.
  2. Kemudian, masukkan air sehingga mendidih dan masukkan lobak merah, stok ayam dan bebola ikan.
  3. Setelah bahan empuk, masukkan hirisan daun leek, daun sup dan tomato ceri, bersama telur puyuh beserta lada sulah dan garam secukup rasa.
  4. Sedia dihidangkan.

SUP TELUR BERSAYUR  

 BAHAN-BAHAN:

  • 5 biji telur
  • 3 ulas bawang merah | hiris
  • 2 ulas bawang putih | hiris
  • 2.5cm halia | hiris
  • 3 biji kentang | potong empat
  • 1 batang lobak merah | potong
  • 500gm suhun
  • Garam dan bahan perasa secukupnya
  • Air secukupnya
  • Sedikit daun sup dan daun bawang untuk hiasan |racik

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan air dalam periuk bersama hirisan bawang merah, bawang putih dan halia.
  2. Masak di atas api sederhana hingga kuah mendidih. Masukkan kentang, lobak merah serta stok ayam. Kacau sekata.
  3. Setelah kentang empuk, kecilkan api.
  4. Perlahan-lahan pecah telur ke dalam sup satu persatu.
  5. Biarkan dan jangan kacau supaya telur menjadi keras dan tidak pecah kuningnya.
  6. Kemudian masukkan suhun, perasakan dengan garam dan bahan perasa secukupnya. Kacau perlahan dan biar mereneh seketika.
  7. Sebelum dihidangkan, hiaskan dengan hirisan daun bawang dan bawang goreng.

KENGSOM SIAKAP

 BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan siakap
  • 4 biji bawang merah
  • 4 biji bawang putih
  • 10 batang cili kering
  • 2cm kunyit hidup | separuh racik
  • 3 keping asam gelugur
  • 1 batang serai | titik
  • 3 helai daun limau purut
  • 1 batang bunga kantan| racik
  • Garam, gula dan bahan perasa secukupnya
  • Minyak masak secukupnya
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Cuci ikan siakap sehingga bersih. Ketepikan.
  2. Bawang merah, bawang putih, cili kering, separuh daripada kunyit dikisar halus.
  3. Kemudian, panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar hingga terbit bau wangi.
  4. Setelah naik bau, masukkan air, asam gelugur, hirisan daun limau purut, serai dan bunga kantan. Tunggu sehingga mendidih.
  5. Langkah seterusnya, tambahkan garam, gula dan bahan perasa secukup rasa. Kacau sebati.
  6. Akhir sekali, masukkan ikan siakap. Masak hingga ikan masak.
  7. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

PEPES AYAM KUKUS

 BAHAN-BAHAN:

  • 500gm isi ayam| potong kecil
  • 2 biji limau nipis | ambil air
  • 10 batang pucuk daun kemangi | racik
  • 2 ulas cili merah | racik
  • 1 biji tomato | potong dadu
  • 4 batang daun salam | hiris
  • ½ sudu teh gula pasir
  • Minyak masak  secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Daun pisang secukupnya | sapu minyak dan layurkan sedikit
  • Lidi secukupnya

 BAHAN UNTUK PES (KISAR):

  • 4 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 batang cili merah
  • 2cm kunyit
  • 5 tangkai cili kering

CARA MEMASAK:

  1.  Gaulkan isi ayam dengan air limau nipis, perap seketika, cuci dan toskan.
  2. Campurkan isi ayam dengan bahan hirisan iaitu tomato, daun pucuk kemangi, daun salam, dan cili merah. Gaul sebati.
  3. Masukkan pula bahan yang telah dikisar dan kemudian garam dan gula secukup rasa. Gaul rata untuk dijadikan pes.
  4. Bungkus isian pepes di dalam daun pisang dan kemaskan di kedua-dua hujung dengan lidi.
  5. Panaskan pengukus dan kukus lebih kurang 30 minit.

GARAM ASAM IKAN MERAH

 BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan merah | saiz sederhana
  • 200ml air asam jawa
  • 2cm kunyit
  • 5 ulas cili merah
  • 5 ulas cili padi
  • 1 batang serai | dititik
  • 2 biji bawang merah
  • 2 biji bawang putih
  • Garam, gula secukupnya

 CARA MEMASAK:

  1. Ikan merah dicuci bersih.
  2. Kunyit, cili merah, cili padi, bawang putih dan bawang merah dihiris halus.
  3. Kemudian, bahan hirisan direbus bersama air asam jawa dan serai sehingga mendidih.
  4. Setelah air mendidih, masukkan ikan merah dan masukkan garam dan gula secukup rasa sehingga masak . Kacau perlahan. Angkat dan sedia untuk dihidang dengan nasi putih.