
Isi Kandungan
ToggleJom cuba resipi Daging Goreng Ketumbar yang sangat sedap perkongsian saudari Aisyah Humaira. Ringkas dan tidak menggunakan banyak bahan. Sesuai untuk anda yang nak makan sedap tapi tak ada banyak masa di dapur. Lauk ni makan dengan telur mata kicap pun layan. Jom cuba resipi di bawah.
CARA MASAK DAGING GORENG KETUMBAR
BAHAN-BAHAN:
1 kg daging batang pinang – hiris nipis
1-2 biji bawang besar – hiris bulat
2 sudu besar biji ketumbar – tumbuk sedikit separuh hancur
Garam,serbuk kunyit dan serbuk perasa secukupnya
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Satukan daging, biji ketumbar, garam, serbuk kunyit dan perasa dalam bekas. Ratakan daging dengan semua bahan tersebut.
2. Panaskan minyak dan goreng hingga masak.
3. Tabur bawang besar dan kacau sekejap hingga bawang layu.
4. Daging Goreng Ketumbar siap dan sedia untuk dihidang.
TIP:
- Jika guna daging bahagian lambat masak (lambat empuk) daging kena masak guna teknik “daging goreng kelantan” dimana minyak tu kena tukar kepada air.
Maksudnya, lepas daging dah digaul dengan ketumbar, garam, kunyit dan perasa, masukkan ke dalam kuali dan masukkan air. - Masak guna api perlahan dan reneh daging hingga lembut/empuk dan air kering. Kalau air dah kering tapi daging masih liat, tambah lagi air dan teruskan mereneh.
Setelah daging lembut dan air kering, boleh masukkan minyak dan goreng. Tambah bawang dan goreng hingga layu. Siap.Kredit resipi & foto: Aisyah Humairah
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Resipi Daging Masak Merah, Ini Rahsia Masak Sedap Macam Dekat Kedai
Resipi Cucur Bilis Tambah Kucai & Cili Kering Tumbuk, Sangat Sedap!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Daging Goreng Thai, Sedap Buat Lauk Bersahur.

Untuk anda yang suka masakan daging secara ringkas dan menyukai rasa pendas, masam dan manis serta aroma ketumbar. Anda wajib cuba menu Daging Goreng Thai ni, ia sangat mudah disediakan dan sangat sedap.
RESEPI DAGING GORENG THAI
BAHAN-BAHAN
800gm daging | hiris nipis, cuci dan tos
4 sudu makan ketumbar | kisar
ulas bawang putih |kisar
1sudu makan lada hitam | kisar kasar
2 sudu makan sis tiram
Garam secukup rasa
4 sudu mentega |dicairkan
BAHAN SOS:
3 sudu makan serbuk cili Thai | serbuk cili biasa pun boleh
2 sudu makan gula melaka | boleh juga guna gula pasir
2 sudu makan air limau nipis
2 sudu makan sos ikan atau sotong
BAHAN HIRISAN:
3 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
Daun ketumbar secukupnya
CARA MEMBUAT:
- Gaulkan daging bersama bahan dengan bahan kisar, ketumbar, bawang putih, lada hitam dan sos tiram serta garam.
- Gaul rata dan perap. Sekurang-kurangnya 30 minit, sebaiknya 2 jam.
- Panaskan mentega dalam kuali, tumis bahan hirisan bawang merah dan putih, kemudian masukkan daging.
- Kacau rata hingga daging kecut.
- Masukkan bahan sos, dan kacau rata hingga daging empuk, baru masukkan hirisan daun ketumbar.
- Perasakan dengan garam dan perasa secukupnya.
- Sedia dihidangkan
kredit: resipi_ala_kampung
Ayam Panggang, Daging Dendeng, Sambal Ikan Masin. 3 Menu Pasti Puas Hati

Isi Kandungan
Toggle
RASA cadangkan tiga menu ini untuk anda masak sebagai hidangan makan tengah hari atau makan malam. Sedap betul. Rasa lengkap je hidangan tu sebab ada ayam panggang, daging dendeng dan sambal ikan masin.
Makan pulak dengan nasi panas-panas. Ayam panggang tu kalau nak ratah macam tu je pun boleh. Cubalah. Sedap sesangat ni.
AYAM PANGGANG KENTANG BERKEJU
Bahan-bahan
500 gram isi dada ayam (potong dadu)
2 biji kentang (belah empat)
1/2 biji cili benggala hijau (potong dadu)
1/2 biji cili benggala merah (potong dadu)
1 biji bawang Holland (potong dadu besar)
2 tangkai daun rosmary segar
1 sudu teh serbuk thyme
1 sudu teh empingan cili
1 sudu teh serbuk lada hitam
4 sudu makan minyak zaitun
2 sudu makan yogurt
½ cawan parutan keju
3 sudu minyak zaitun
1/2 biji lemon (jus sahaja)
Garam secukup rasa
Cara memasak
1. Campurkan ayam, kentang, cili benggala merah dan hijau, bawang Holland, daun rosemary, serbuk thyme, serbuk lada hitam, empingan cili, jus lemon, yogurt dan minyak zaitun. Gaul rata.
2. Perap lebih kurang 15 minit di dalam peti sejuk.
3. Sementara itu panaskan ketuhar dengan kepanasan 180C.
4. Keluarkan ayam dan letakkan di atas aluminium foil dan taburkan parutan keju di atasnya.
5. Balut bahan perapan dan kemaskan balutan.
6. Akhir sekali bakar dalam ketuhar lebih kurang 15 minit.
7. Keluarkan dari ketuhar dan sedia dihidangkan panas-panas.
DENDENG DAGING BERLADO
Bahan-bahan
500 gram daging (rebus dan hiris nipis dan lebar)
10 biji cili merah
8 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 biji tomato (potong dadu)
1 batang serai (ketuk)
2 cm halia
Minyak masak secukupnya
Garam dan gula secukupnya
Sedikit air rebusan daging
Cara memasak
1. Tumbuk kasar bawang merah, bawang putih dan cili merah. Ketepikan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng daging yang telah direbus terlebih dahulu hingga garing. Angkat dan ketepikan.
3. Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bahan yang telah ditumbuk kasar tadi hingga terbit harum.
4. Setelah itu masukkan daging yang telah digoreng tadi. Tambahkan serai dan hirisan halia. Perasakan dengan garam, dan gula secukup rasa.
5. Jika suka, tambahkan sedikit air rebusan daging agar tidak kering. Masak hingga semua rempah meresap ke dalam daging.
6. Angkat dan sedia dimakan dengan nasi panas.
IKAN MASIN JENAHAK SAMBAL PETAI
Bahan-bahan
100 gram isi ikan masin jenahak (dipotong dadu)
100 gram isi petai
1 biji bawang besar (dihiris)
3 ulas bawang merah (dikisar kasar)
2 ulas bawang putih (dikisar kasar)
3 sudu makan pes cili kering
1 sudu makan air asam jawa
1 sudu makan sos cili
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak untuk menggoreng dan menumis
Cara memasak
1. Cuci ikan masin dan petai kemudian toskan berasingan.
2. Panaskan minyak goreng ikan masin dan petai secara berasingan dan ketepikan.
3. Keluarkan minyak tinggalkan sedikit untuk menumis.
4. Tumiskan bawang merah dan putih kisar hingga wangi kemudian masukkan pes cili.
5. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa dan pecah minyak.
6. Masukkan ikan masin dan petai kemudian gaul rata.
7. Tutup api dan hidangkan.
Selamat memasak!
Koleksi Lauk Kampung Yang Enak & Jadi Kegemaran Ramai

Memasak menu-menu ‘rare’ dan dulu-dulu memerlukan ketelitian dari segi bahan dan cara-cara menyediakannya. Kebanyakan resipi ini adalah turun-temurun sejak dahulu lagi. Untuk mendapatkan resipi asli dengan bahan-bahan yang tepat, saya telah menghubungi beberapa orang yang pakar dalam masakan dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Menurut kakak ipar Chef Sue yang berasal dari Kedah, generasi lama masih lagi mengekalkan menu masakan tradisonal dalam kehidupan seharian mahupun ketika mengadakan kenduri-kendara.
Gulai batang pisang misalnya, sangat sinonim dengan masyarakat kampung di Kedah. Sering dihidangkan ketika kenduri dan menjadi hidangan yang sangat-sangat dinantikan orang ramai. Biasanya batang pisang yang digunakan ialah dari pokok pisang awak namun pada zaman dahulu, ada juga mereka menggunakan batang pokok pisang hutan. Empulur bahagian dalam batang pokok yang bewarna putih dan lembut itulah yang digunakan dalam membuat gulai ini. Selepas dibersihkan empulur pisang tersebut hendaklah dicelur terlebih dahulu sebelum dimasak.
Satu lagi contoh ialah kerabu selom beras goreng. Kaedah pembuatannya lebih kurang sama seperti membuat kerabu lain. Bezanya di sini, masyarakat sebelah utara menambah beras goreng tumbuk ke dalam kerabu tersebut. Beras digoreng/sangai tanpa minyak hingga perang. Kemudian ditumbuk atau kisar halus lalu digaul sekali dengan bahan-bahan lain hingga sebati. Bau harum beras sangai itu sungguh menambahkan selera.
GULAI SEPAT MASIN DAN NANGKA MUDA TUMIS DARAT
Bahan-bahan:
- 4-5 ekor ikan masin sepat – potong, rendam dan toskan
- 400ml santan
- 300gram nangka muda – potong kecil & rebus empuk
- 2 biji cili hijau – belah dua
- 3 sudu makan air asam jawa
- 3 sudu makan rempah kari ikan
- 1 labu bawang besar – kisar halus
- 4 ulas bawang putih – kisar halus
- Minyak dan air secukupnya
- Garam dan gula
- Bahan-bahan tumis:
- 5 ulas bawang merah – mayang halus
- 3 ulas bawang putih – mayang halus
- ½ sudu teh halba campur
- 2 tangkai daun kari
Cara memasak:
- Satukan santan cair, air asam jawa, rempah kari ikan dan bahan-bahan kisar halus lalu didihkan hingga hilang bau rempah.
- Masukkan ikan masin dan didihkan lagi dengan api kecil hingga ikan masak. Tambah sedikit lagi air jika kuah terlalu pekat. Kuah gulai haruslah sedikit cair.
- Masukkan nangka muda rebus dan cili hijau.
- Sesuaikan rasanya dengan menambah garam dan gula. Tutup api.
- Sementara itu, di dalam kuali lain, panaskan 2 sudu makan minyak di dalam kuali. Tumiskan bahan-bahan tumis hingga wangi dan naik bau.
- Tuangkan bahan-bahan tumis berserta minyaknya ke dalam periuk berisi kuah gulai ikan masin tadi dan tutup untuk 10-15 minit.
- Sedia dihidangkan.
Waktu memasak: 40 minit
Cara memasak: Reneh & tumis
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Hidangan lengkap ada sayur dan ikan masin
Anggaran kos: RM15 untuk 4 orang makan
Info chef: nangka muda dipotong kecil, bersihkan dan hilangkan getah yang ada. Rebus dulu sehingga empuk lebih kurang setengah jam.
GULAI DAGING BATANG PISANG
Bahan-bahan :
- 600gram daging lembu – potong kecil
- 1 mangkuk batang pisang (empulur/bahagian dalam batang pisang) – potong kecil dan rebus
- 2 cawan santan cair
- 2 cawan santan pekat
- 2 biji tomato – cincang kasar
- 3 labu bawang besar – mayang halus
- 10 ulas bawang merah – kisar halus
- 5 ulas bawang putih – kisar halus
- 3sm halia – kisar halus
- 5 sudu makan serbuk kari daging
- 2 sudu makan kerisek
- 3 kuntum bunga lawang
- 4 biji buah pelaga
- 1 batang kulit kayu manis
- 1 tangkai daun kari
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak:
- Panaskan tiga sudu makan minyak di dalam periuk. Tumis bawang besar dan tomato hingga layu dan keperang-perangan.
- Masukkan buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis dan daun kari hingga wangi.
- Satukan rempah kari daging dengan campuran bawang kisar. Campur sedikit air dan kacau hingga menjadi pes yang pekat. Tuang ke dalam periuk. Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan daging dan santan cair. Didihkan hingga daging benar-benar empuk.
- Masukkan batang pisang yang telah direbus beserta santan pekat dan kerisek. Didihkan hingga semua bahan masak sebati.
- Apabila semua bahan telah masak, tambah garam dan gula secukup rasa.
Waktu memasak :45 minit
Cara memasak: Tumis & reneh
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Batang pisang yang lembut sangat sesuai dimasak dengan daging
Anggaran kos:RM15 untuk 4 org
Info chef: empulur pisang hendaklah dicelur terlebih dahulu sebelum dimasak.
MASAK TEMPOYAK TAUGEH KASAR
Bahan-bahan:
- 2-3 cawan air
- 200gram taugeh kasar – bersihkan
- 4 ekor ikan selar sederhana besar
- 4 sudu makan tempoyak
- Segenggam daun kesum
- 1 kuntum bunga kantan – belah dua
- 1 batang serai – ketuk
- Garam & gula secukup rasa
Bahan-bahan B (tumbuk):
- 10 biji cilipadi
- 4 ulas bawang merah
- 1 inci kunyit hidup
- 1 inci belacan
Cara memasak:
- Tumbuk bahan-bahan B hingga lumat.
- Di dalam periuk; satukan bahan tumbuk bersama air, tempoyak, serai, bunga kantan, daun kesum dan serai. Didihkan hingga semua bahan masak sebati.
- Masukkan ikan dan taugeh kasar. Didihkan beberapa minit.
- Tambah garam dan gula secukup rasa.
- Jika suka boleh tambahkan cili padi beberapa biji (tanpa dipotong).
Waktu memasak:25 minit
Cara memasak: Rebus
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Taugeh kasar yang jadi ‘star’ selain tempoyak
Anggaran kos:RM10 utk 4 org
Info chef: Tempoyak dibancuh dengan sedikit air supaya tidak terlalu pekat
DAGING MASAK ASAM UTARA
Bahan-bahan:
- 500gram daging – hiris kecil
- 3 biji ubi kentang
- 1 cawan air asam jawa
- 1 batang serai – titik
- 1 genggam daun kesum
- Garam dan gula secukup rasa
- Air secukupnya
Bahan-bahan B (kisar):
- 5 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 labu bawang besar merah
- ½ inci kunyit hidup
- ½ inci halia
Cara memasak:
- Tumbuk halus semua bahan B.
- Panaskan sedikit minyak di dalam periuk lalu tumis bahan-bahan B (kisar) hingga wangi.
- Masukkan daging dan tumis beberapa minit hingga daging kecut. Tuang air secukupnya (lebih kurang 2 cawan lebih) lalu didihkan hingga daging empuk.
- Masukkan ubi kentang, air asam jawa dan daun kesum. Didihkan lagi hingga semua bahan masak dan kuah agak pekat.
- Tambah garam dan gula secukup rasa dan sesuaikan rasa masam dan masinnya.
Waktu memasak:45 minit
Cara memasak: Rebus
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Rasa masam masin yang menggamit selera
Anggaran kos:RM10-12 utk 4 org
Info chef: air asam jawa menjadikan rasa enak pada menu ini
SAMBAL SERAI
Bahan-bahan:
- 20 batang serai (tak terlalu tua) – hiris nipis (senipis yang boleh)
- 10 ulas bawang merah – mayang halus
- 4 ulas bawang putih – mayang halus
- 2 labu bawang besar merah – mayang halus
- 4 labu bawang besar merah – kisar halus
- 10 biji cilipadi
- 4 biji cili merah – hiris
- 4 biji cili hijau – hiris
- 1 cawan santan
- 1 cawan udang kering (atau udang geragau)– cuci dan tumbuk kasar
- Garam & gula secukup rasa
Cara memasak:
- Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan mayang hingga wangi.
- Masukkan bawang yang dikisar halus bersama udang kering. Tumis lagi hingga pecah minyak.
- Masukkan santan dan serai. Didihkan hingga semua bahan masak dan agak kering sambil dikacau berterusan.
- Masukkan hirisan cili merah, cili hijau dan cilipadi. Kaup-balikkan sebati.
- Tambah garam dan gula secukup rasa.
Waktu memasak: 45 minit
Cara memasak: Tumis dan reneh
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Harum serai dalam sambal sangat menarik perhatian
Anggaran kos: RM8-10 utk 4 org
Info chef: cari serai yang tidak terlalu tua
KARI AYAM DAN BETIK MUDA
Bahan-bahan:
- ½ ekor ayam – potong kecil
- 1 biji betik muda/mengkal (saiz sederhana) – bersihkan, potong kecil & celur
- 4 cawan santan
- 4 sudu makan rempah kari daging
- 1 sudu makan kerisek
- 1 tangkai daun kari
- 1 keping asam keping/gelugur
- 1 tangkai daun kari
- Garam dan gula perang secukup rasa
Bahan-bahan B (kisar):
- 5 ulas bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 3sm halia
Bahan-bahan C (tumis):
- 1 labu bawang besar merah – mayang halus
- 2 ulas bawang putih – mayang halus
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
Cara memasak:
- Kisar bahan-bahan B hingga menjadi pes yang lumat.
- Panaskan dua sudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga wangi.
- Masukkan daun kari dan bahan-bahan C lalu tumis lagi beberapa minit.
- Masukkan rempah kari . Tambah sedikit air dan didihkan hingga rempah pecah minyak.
- Masukkan ayam, santan, asam keping dan didihkan hingga semua bahan empuk.
- Masukkan kerisek dan betik muda. Didihkan beberapa minit.
- Tambah garam dan gula perang secukup rasa.
Waktu memasak: 40-45 minit
Cara memasak: Tumis & reneh
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Rasa manis betik mengkal memberi kelainan dalam masakan
Anggaran kos:RM15 utk 4 org
Info chef: buah betik sangat praktikal sebagai bahan pelembut daging ayam kampung yang liat.
KERABU DAUN SELOM BERAS TUMBUK
Bahan-bahan:
- 1 mangkuk besar daun selom – hiris halus
- 1 biji kelapa parut – sangai & tumbuk kasar
- ½ cawan beras – sangai perang & tumbuk halus
- 3 biji cili merah
- 5 bij cilipadi
- 3 ulas bawang merah – bakar
- 2 ulas bawang putih – bakar
- 1 inci belacan – bakar
- Perahan limau secukupnya
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak:
- Cili padi, cili merah, bawang merah bakar, bawang putih bakar dan belacan ditumbuk lumat.
- Di dalam mangkuk besar, satukan kelapa parut dengan bahan-bahan tumbuk dan kacau rata.
- Masukkan hirisan daun selom. Kacau lagi hingga sebati.
- Tambah garam dan gula secukup rasa. Perahkan limau ke dalam kerabu dan sesuaikan rasanya.
Waktu memasak: 15-20 minit
Cara memasak: Mentah & sangai
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Bau wangi beras goreng/sangai memberi kelainan
Anggaran kos:RM8 utk 4 org
Info chef: Beras digoreng/sangai tanpa minyak hingga perang. Kemudian ditumbuk atau kisar halus lalu digaul sekali dengan bahan-bahan lain hingga sebati.
NASI ULAM UTARA
Bahan- bahan A;
- 4 cawan nasi – sejukkan sedikit dan biar berderai
- 1 cawan kelapa yang telah disangai dan ditumbuk kasar
- 1 sudu makan kerisek
- Garam secukup rasa
Bahan-bahan B:
- 2 batang serai muda
- 1 inci lengkuas muda
- 1 inci halia
- 10 biji lada hitam
- 5 biji cili padi
- Seketul kecil ikan kurau/talang masin (yang telah digoreng)
Bahan-bahan C (Ulam):
- Daun kaduk
- Daun cekur
- Pucuk tenggek burung
- Daun limau purut
- Daun sekentut
- Pucuk gajus
- Ulam raja
- Pegaga
- Daun selom
- Pucuk mengkudu
- Pucuk putat
- Pucuk daun kari
- Pucuk samak
- 1 batang bunga kantan
- 1 biji timun
- 1 labu bawang besar
Cara memasak:
- Tumbuk bahan-bahan B hingga lumat.
- Hiris semua jenis ulam-ulaman halus. Kuantiti ulam/pucuk-pucuk memadai segenggam setiap jenis.
- Di dalam mangkuk besar; satukan bahan tumbuk beserta hirisan ulam-ulaman.
- Masukkan nasi sejuk, kelapa sangai dan kerisek. Gaul semua bahan hingga sebati.
- Tambah garam secukupnya dan sesuaikan rasanya. Sedia dihidangkan.
*Nota; pucuk-pucuk dan ulam-ulaman boleh ditambah lagi dan dipelbagaikan.
Waktu memasak: 30 minit
Cara memasak: Mentah & tanak
Jenis masakan: Hidangan utama
Keistimewaan: Hidangan lengkap ada sayur, ikan masin & nasi
Anggaran kos: RM15 untuk 4 orang makan
Info chef: ulam kalau terlalu banyak , jangan letak semuanya. Letak agak-agak je, dikhuatiri jika terlalu banyak nasi akan pahit.
NASI LEMUNI
Bahan-bahan:
- 3 cawan beras – basuh dan tos
- 3 cawan santan pekat
- 1 cawan air segenggam daun lemuni – kisar & tapis airnya
- 3 biji buah pelaga
- 2 kuntum bunga lawang
- 3sm halia – mayang halus
- 1 sudu teh garam
- ½ sudu teh halba
- Sehelai daun pandan – siat & simpul
Cara memasak:
- Masukkan beras ke dalam periuk bersama santan dan air lemuni.
- Tambahkan hirisan halia, halba daun pandan, bunga lawang dan buah pelaga.
- Tanak beras hingga masak.
- Hidangkan bersama sambal tumis atau kari ayam/daging.
Waktu memasak: 20-30 minit
Cara memasak: Rebus
Jenis masakan: Hidangan utama
Keistimewaan: Bau harum dari daun Lemuni dan rasa lemak dari santan.
Anggaran kos: RM8 untuk 4 orang makan
Info chef: Bila masak nasi kacau dengan senduk batang lemuni khasiat dari batang tersebut akan masuk ke dalam nasi.
NASI KACANG DHAL PENANG
Bahan-bahan:
- 2 cawan beras basmathi
- 3 cawan air
- 40 gram kacang dhal
- 1 labu bawang besar – mayang halus
- 3 ulas bawang putih – kisar
- 3sm halia – kisar
- 2-3 sudu makan minyak sapi
- 1 sudu makan tomato puri
- 1 sudu teh serbuk jintan manis
- 2 helai daun salam kering
- Sedikit serbuk kunyit
- Garam dan gula secukup rasa
- Bawang goreng & daun pudina – untuk hiasan
- Bahan-bahan B (tumis):
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 4 kuntum bunga cengkih
- ½ sudu teh halba
Cara memasak:
- Beras direndam bersama kacang dhal selama sejam atau lebih kemudian toskan.
- Panaskan minyak sapi di dalam periuk lalu tumis bahan-bahan B hingga wangi.
- Masukkan bahan-bahan kisar, daun salam, serbuk jintan manis, serbuk kunyit dan bawang hiris lalu tumis lagi hingga naik bau.
- Masukkan tomato puri, air, campuran beras dan kacang dhal serta garam dan gula secukup rasa.
- Masak hingga nasi hingga tanak.
- Taburkan bawang goreng dan daun pudina diatas nasi untuk hiasan.
- Jika suka boleh tambah pewarna kuning.
Masa memasak: 30-40 minit
Cara memasak: tumis & rebus
Jenis masakan: hidangan utama
Keistimewaan: rasa kacang dhal dalam setiap gigitan dan harum bau mentega/minyak sapi
Anggaran kos: RM10 untuk 4 orang makan
Info chef: nasi kacang dhal enak dimakan dengan apa saja terutama sambal tumis
RESIPI: CHEF SUE M.ARUKIN
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Gulai Pede Cara Mak, Resipi Lauk Kampung Istimewa Orang Pahang
Resipi Kuih Gunting Mudah & Dijamin Menjadi. Sedap Buat Macam Ni!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official