Kay’s Steak & Lobster yang sudah sedekad mengukuhkan kedudukan sebagai restoran ‘semi fine dining’ yang menyajikan menu stik dan udang kara premium kini melebarkan sayap menerusi pembukaan cawangan keempat di Elmina Temu, Shah Alam.
Lokasi strategik ditambah permintaan pelanggan menjadikan Elmina sebagai pilihan terbaik terutama buat penggemar hidangan enak di pinggir Lembah Kelang.
Pengarah Urusan Kays Steak & Lobster, Muhammad Aizuddin Mohd Khalid berkata Elmina menjadi pelengkap sasaran lokasi di Lembah Klang yang mensasarkan bahagian Utara Lembah Klang seperti mana tiga cawangan sebelum ini.
“Putra Height adalah untuk bahagian barat Lembah Klang, cawangan di Putrajaya di bahagian barat serta Ampang untuk sekitar kejiranan bahagian tengah Lembah Klang.Outlet baharu di Elmina yang boleh memuatkan 50 pelanggan dalam satu masa merupakan cawangan terkini apabila beroperasi sejak Julai tahun lalu. Melihatkan sambutan, nyata pemilihan lokasi ini sangat bertepatan.
Kami percaya, selain hidangan aneka makanan barat yang enak sekali gus menjadi tanda dagang Kay’s Steak & Lobster serta layanan enam bintang, pelanggan juga mendapat kemudahan tambahan iaitu parkir kereta yang banyak,” katanya.
Aizuddin berkata demikian ketika majlis perasmian Restoren Kay’s Steak & Lobster Elmina yang menyaksikan kehadiran lebih 100 jemputan termasuk wakil media, pempengaruh serta rakan niaga.
Menurutnya, hebahan mulut ke mulut daripada pelanggan yang pernah merasai kelazatan hidangan istimewa terutama Beef Wellington di restoran terbabit antara penggalak orang ramai meminta mereka beroperasi di situ.
“Kami tiada formula khas untuk kekal bertahan, sebaliknya terus disokong ramai pelanggan setia serta pelanggan baharu yang kembali semula menikmati makanan kami sama ada bersama keluarga mahupun rakan.
Ads
KUALITI JADI KEUTAMAAN
“Istimewanya, selain menu utama seperti udang kara hidup diterbangkan hidup dari Maine, Boston dan Kanada selain stik dan aneka pasta, Beef Wellington yang juga signature Kays Steak & Lobster merupakan pilihan pelanggan bahkan mendapat sijil halal Jakim.
“Daging stik juga diimport dari ladang terbaik di Australia iaitu daging jenis premium dari pembekal Stanbroke yang terbukti tinggi kualitinya serta sangat juicy serta tidak dibekukan dan paling penting dijamin halal,” ujarnya.
Hidangan premium stik di Kay’s Steak & Lobster masih dikira mampu milik dengan harga bermula RM130 untuk stik ribeye manakala bagi hidangan lobster adalah antara RM300 dengan berat lobster sekitar 800 gram.
Kay’s Steak & Lobster juga adalah lokasi makan seisi keluarga termasuk mereka yang mempunyai anak kecil dan seringkali menjadi lokasi untuk sesetengah pelanggan meraikan detik gembira seperti hari ulang tahun kelahiran atau ulang tahun perkahwinan.
“Dekorasi dalam setiap premis turut menjadi keutamaan kami bahkan cawangan Elmina dilengkapi ruang privasi buat mereka yang ingin menikmati hidangan dalam suasana private,” tambahnya.
Menjelang Ramadan, Aizuddin dan pasukannya bakal menyajikan hidangan tambahan istimewa iaitu nasi lemak lobster berempah Dan Nasi Lemak Rendang Short Rib berempah selain menyajikan menu sedia ada.
Ads
Sementara itu, katanya Kay’s Steak & Lobster turut dalam perancangan membuka satu lagi cawangan baharu di KLGCC Kuala Lumpur pada Ogos ini dengan konsep berbeza.
Seterusnya adalah mengintai untuk memasuki pasaran Johor Bahru dan Pulau Pinang pada suku tahun pertama 2026.
Bagi anda yang berminat untuk mengetahui menu hidangan atau membuat tempahan dapatkan maklumat lanjut di kaysteaklobter.com.
Sempena Ramadan, Mercure Kuala Lumpur Glenmarie sekali lagi mengadakan buffet Ramadan untuk semua pengunjung. Kali ini, konsep yang diketengahkan adalah buffet Ramadan Sajian Darul Ehsan yang menampilkan aneka hidangan autentik dari sembilan daerah di Selangor.
Bertempat di WARNA All Day Dining, restoran ini menyajikan pengalaman berbuka puasa yang penuh dengan cita rasa tradisional dalam suasana yang elegan dan selesa.
Sajian Warisan Selangor Menggamit Nostalgia
Buffet ini mengetengahkan keunikan kulinari Selangor dengan hidangan istimewa seperti Sambal Taun, makanan warisan yang kaya dengan rasa pedas dan berempah serta Nasi Ambeng dari Sabak Bernam yang dimakan bersama nasi serta pelbagai jenis lauk-pauk.
Pencinta makanan laut pasti teruja dengan hidangan seperti Siakap Purbakala dan Siakap Kukus yang diinspirasikan oleh cita rasa pesisir pantai Klang. Bagi yang sukakan sajian berempah, Kari Kepala Ikan dan Gulai Kawah dari Sepang menanti anda.
Peminat Daging boleh menikmati Kambing Bakar dari Hulu Langat dan Ayam Golek yang dipanggang sempurna. Tidak dilupakan hidangan tradisional seperti Satay, Lemang, Ketupat dari Gombak serta Soto Jawa dan Sup Berempah dari Kuala Selangor juga boleh didapati di sini.
Sajian Jalanan & Pemanis Mulut
Buat anda yang suka street food, buffet ini turut menyajikan Char Kuetiau dan Asam Laksa dari Kuala Langat; Murtabak, Roti Canai dan Roti John dari Hulu Selangor serta Shawarma dari Petaling yang menjadi kegemaran ramai.
Tidak lengkap rasanya jika tiada pencuci mulut. Para tetamu boleh menikmati Wadai Kipeng, sejenis manisan beras pulut di dalam santan yang lemak manis serta Jenang Kudus, pencuci mulut yang kaya dengan tekstur lembut dan rasa berkrim.
Pengalaman Berbuka Dengan Suasana Meriah
Ketika berbuka sambil menikmati hidangan yang lazat, anda turut dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung daripada Balle Balle Band sekaligus menjadikan suasana berbuka lebih meriah dan bermakna.
WARNA All Day Dining amat sesuai untuk anda yang mahu bersantai bersama keluarga, rakan-rakan serta rakan sepejabat di mana restoran ini boleh memuatkan lebih daripada 180 tetamu dalam satu masa.
Mercure Kuala Lumpur Glenmarie menawarkan promosi tempahan awal dari 4 – 10 Mac 2025 dengan harga RM128+ untuk dewasa. Selepas tarikh tersebut, harga buffet adalah RM148+ untuk dewasa, RM98+ untuk warga emas (60 tahun ke atas) dan RM68+ untuk kanak-kanak (7-11 tahun). Terdapat juga tawaran istimewa beli 10 percuma 1 untuk tempahan berkumpulan.
Jika anda ingin menikmati pengalaman yang lebih santai, Mercure Kuala Lumpur Glenmarie turut menawatkan pakej penginapan Ramadan bermula RM328+ satu malam, termasuk hidangan berbuka puasa untuk seorang.
Kali ini RASA nak kongsikan tempat makan yang menyajikan hidangan Terengganu. Antara yang femes sudah semestinya keropok lekor. Lokasinya di GM Klang. Restorannya selesa dan makanan yang dihidang juga sedap.
Kalau makan di restoran Terengganu, tak makan keropok lekor memanglah tak sah. Cubalah keropok lekor di sini. Memang penuh isi ikannya.
Selain keropok lekor, ada juga maggi tomyam yang dimasak dengan makanan laut seperti udang dan sotong. Cita rasa enak yang suka rasa pedas.
Bagi yang suka aiskrim, aiskrim coklat yang dimakan dengan biskut ini boleh menarik perhatian.
Kalau tak nak makan hidangan berat, cubalah snek kepak ayam goreng ni. Best makan panas-panas.
White coffee. Sedap betul!
Restoran ini ada di GM Klang. Boleh cuba di sini kalau rindukan makanan Terengganu ya.
Orang Parit Sulong, Johor kini tak perlu lagi tercari-cari lokasi kalau nak makan dimsum. Sebagaimana yang kita tahu, dimsum adalah hidangan masyarakat Cina namun ada ramai peminatnya dalam kalangan masyarakat Melayu. Sejak Disember 2020, Cafe Dimsum menjadi sebutan masyarakat sekitar kerana keenakan dimsum yang dijual.
Paling menarik, di Cafe Dimsum ini terdapat lebih 40 jenis menu dimsum pelbagai perisa yang boleh dipesan. Memang wow! Cakap saja mahu dimsum apa, semuanya ada di sini.
Dihidangkan panas-panas selepas dikukus, pelanggan dapat menikmati kepuasan apabila makan dimsum dicecah dengan sos terpilih. Harga menu dimsum adalah serendah RM5 bagi setiap hidangan.
“Selepas negara kita dilanda wabak daripada virus Covid, memang kafe ini agak terjejas dari segi bilangan pengunjung. Tapi kami tetap berfikiran terbuka dan mengekalkan konsep kedai sebagai tempat lepak dan santai untuk seisi keluarga menikmati momen makan bersama-sama. Saya sendiri tidak berkompromi terhadap keenakan menu yang dihidang. Memang sedap, berbaloi dan puas hati!” kata Nurul Shafawani binti Rozi selaku empunya Cafe Dimsum.
MASAKAN PANAS PUN ADA
Bakso.
Kanafeh.
Jangan risau dengan kepelbagaian. Ini kerana Cafe Dimsum turut menyediakan masakan panas. Misalnya nasi goreng, mi goreng, bakso dan tomyam. Ada shellout juga.
Jika anda peminat hidangan pencuci mulut, turut ada waffle, kek, jagung kukus dan manisan Arab seperti kanafeh, baklava dan donita.
Senang cakap, kalau anda mahu makan-makan sempena hari istimewa pun, boleh datang ke sini kerana ada hidangan berat termasuk kek. Senang, kan?
Cafe Dimsum No. 100 Jalan Sri Sulong, Taman Industri Sri Sulong, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Kedai beroperasi 10 pagi – 10 malam. Tutup hari Ahad.