
Setuju tak kalau dikatakan masakan Melayu kaya dengan bahan ramuan dan rempah ratus, Hal inilah yang menjadikan rasa dan aroma masakan tradisi ini agak unik dan setiap masakan yang dimasak mempunyai aroma dan rasa yang tersendiri, tidak sama antara satu sama lain. Namun bukan mudah untuk membangkitkan aroma dan rasa istimewa ini, bagi mendapatkan manfaat, berikut empat cara mudah boleh korang praktikan.
Ketuk Atau Titik
Bahan ramuan keras seperti lengkuas, halia dan serai mesti di titik atau diketuk sebelum digunakan, cara ini membuat aroma dan rasanya lebih mudah keluar dan dirasai. Anda boleh menggunakan anak lesung batu atau belakang pisau untuk mengetuknya. Atau boleh juga kisar, sementara untuk daun kunyit boleh saja dicarik-carik dan disimpulkan.
Goreng Sangai
Aroma dan rasa rempah akan lebih terasa jika ia digoreng sangai lebih dahulu. Antara rempah ratus yang boleh disangai, ia termasuklah ketumbar biji, jintan manis, jintan putih, buah pelaga dan juga bunga cengkih. Kemudian baru dikisar kasar atau halus. Goreng sangai adalah proses menggoreng tanpa minyak di atas api kecil dan sentiasa dikacau. . Rempah ratus yang digoreng sangai juga boleh tahan lebih lama.
Carik-Carik Dan Simpul
Daun kunyit, pandan dan limau purut adalah daun-daun yang digunakan dalam masakan kerana aromanya. Untuk memastikan aromanya keluar dan sebati dalam masakan, koyak atau carikkan dedaun tersebut sebelum masukkan dalam masakan dan menjadikan araoma dan rasa masakan tersebut lebih sedap. Untuk daun pandan dan daun kunyit boleh dicarik kemudian simpul.
Hiris Atau Ikat
Dedaun seperti daun bawang, ketumbar dan saleri perlu dihiris sebelum dimasukkan dalam masakan. Sedangkan tujuan menghiris itu adalah untuk mengeluarkan baud an rasa. Tetapi jik anda tidak mahu tergigit daun ini semasa makan, an da masih boleh mendapatkan aromanya dengan cara simpulkan sahaja daun ini selepas dicuci bersih.
Jangan lupa dipraktikan info ini supaya masakan anda semakin lebih sedap dan kaya dengan aromanya.
Ini Cara Masak Salmon Yang Sungguh Senang.

Ikan Salmon kaya dengan Omega-3 yang sangat baik untuk kesihatan. Kini semakin ramai orang menggemari menu salmon yang sedap dan dianggap mewah ini. Kepada anda yang ingin membeli dan memasak salmon secara homemade, jangan risau berikut RASA kongsikan beberapa tip mudah membeli dan cara memasaknya sekali supaya segala kebaikan Omega-3 boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
Pilih Salmon Segar
Jika ingin terus memasak, anda boleh terus beli salmon segar. Sampai rumah terus perapkan dengan bahan perapan dan simpan dalam peti sejuk sementara menunggu masa untuk dimasak.
Tambah Rempah Ratus Sebagai Penambah Rasa.
Tidak kira kukus atau panggang, sebaiknya gaulkan dengan sedikit garam, lada hitam dan rempah ratus atau sos sebelum dipanggang, digoreng atau dikukus. Isi salmon juga enak dihidangkan bersama pasta,campuran dalam salad atau dijadikan inti untuk sandwich.
Masak hanya 6-8 Minit.
Apapun cara anda memasak salmon, sebaiknya jangan lebih dari 6-8 minit, tujuan untuk mengekalkan kandungan zat dan memberikan rasa yang lazat. Jika dipanggang, sebaiknya selepas tiga minit segera terbaikkan. Jika dimasak dengan kuah, masukkan salmon selepas kuah menggelegak.
Frozenkan Jika Belum Sedia Digunakan.
Apabila anda membeli salmon dan tidak bercadang untuk menggunakannya terus, sebaiknya simpan di dalam freezer, kemudian letakkan di dalam peti sejuk biasa bila ingin memasaknya. Ia bertujuan untuk mengelakkan kesegaran ikan salmon.
Anak Berjiwa Besar Bermula Dengan Didikan Pemakanan Sihat

Salah satu cara untuk mendapat anak berjiwa besar adalah dengan mengawal pemakanannya. Justeru ibu bapa perlu tahu makanan yang banyak khasiat untuk anak misalnya sayur. Mendidik anak menyukai sayur memerlukan teknik berkesan.
RASA mendapatkan tip bagi ibu bapa untuk mendidik anak menyukai sayur. Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat, Norazizah Ruslan berkongsi tip yang boleh ibu bapa lakukan untuk mencapai matlamat ini.
"Ibu bapa kena tahu, anak akan menyukai sayur apabila mereka kenal dengan sayur tersebut. Memperkenalkan sayur kepada anak memang antara cabaran kepada ibu bapa. Tidak hanya sekadar mengulang kebaikan sayuran tetapi ada langkah-langkah yang boleh dicontohi."
10 TIP DIDIK ANAK SUKA MAKAN SAYUR
Sayur dimasukkan dalam lauk ayam.
1. Pendedahan sewal usia amat penting. Sebaik sahaja boleh diberi makanan pencerai susu, perkenalkan rasa sayur-sayuran dahulu sebelum makanan lain. Jus dan puri adalah cara yang terbaik dan boleh dicampur dengan susu ibu yang anak sudah terbiasa. Anak yang menyusu ibu lebih mudah menerima rasa sayur sekiranya ibunya juga makan sayur.
2. Beri anak mainan berkonsepkan sayur. Biar mereka kenal nama sayur melalui permainan dan pembacaan. Terdapat rancangan televisyen, video dan di media sosial yang menerapkan konsep sebegini.
3. Biar anak terlibat sama dalam proses mendapatkan sayur. Cara untuk dapatkan sayur adalah menanam sendiri sayur yang hendak dimakan. Ibu bapa juga boleh mulakan dengan projek membuat taugeh atau menanam sayur yang cepat mendapat hasil. Misalnya kangkung, bayam dan tomato. Hasil tanaman boleh dimasak mengikut cita rasa mereka.
4. Selain tanam, ibu bapa perlu bawa anak ke pasar. Tujuannya adalah biar mereka memilih sendiri sayur untuk dimakan. Misalnya mulakan dengan baca buku mengenai lobak merah. Kemudian ajak mereka ke pasar beli lobak merah. Teruskan dengan masak lobak merah itu di dapur dan nikmati sama-sama. Mereka tentu seronok.
5. Untuk menggalakkan anak suka makan sayur, ibu bapa juga haruslah menunjukkan teladan yang baik iaitu ibu bapa juga suka makan sayur. Jadi, makanlah sayur di hadapan mereka. Jadikan sayur termasuklah ulam sebagai satu hidangan wajib ada di atas meja makan.
.
Sayur bening atau sayur air memang digemari oleh kanak-kanak.
6. Pelbagai jenis sayur di rumah. Tidak terhad kepada yang berdaun dan berbuah sahaja. Kenalkan dengan sayur berasaskan ubi dan akar seperti kentang, keledek dan lobak merah. Sayur dalam bentuk batang juga sedap untuk dicuba seperti asparagus dan celery. Sayur daripada keluarga bunga seperti bunga kobis dan brokoli juga mudah menarik selera anak.
7. Teknik memasak juga perlu dipelbagaikan. Tidak terhad kepada sup atau goreng. Sayur boleh dijadikan jus dan dibekukan menjadi aiskrim seperti jus lobak merah yang dicampur dengan susu. Brokoli boleh dijadikan sup berkrim dan dimakan bersama roti. Kentang yang dipanggang bersama daging cencang berserta sos keju juga sedap untuk dicuba. Piza sayur-sayuran yang dibuat sendiri. Mereka pasti suka membantu menabur sayur-sayuran di atas piza itu nanti.
8. Sayur perlu disediakan dengan pelbagai jenis supaya mereka boleh memilih apa yang mereka suka dulu. Hal ini memang memerlukan kesabaran. Banyak cubaan demi cubaan sebelum mereka terbiasa. Contohnya, masak nasi goreng Cina dengan campuran jagung, kiub lobak merah dan kacang pis. Sup telur juga boleh digabungkan hirisan kobis, tomato, brokoli, seleri dan cendawan. Lihat anak suka makan yang mana satu.
9. Hidang sayur dengan gaya menarik. Misalnya dipotong bentuk bunga, bintang atau dicucuk seperti sate. Gunakan pinggan mangkuk yang istimewa untuk masakan berasaskan sayuran.
10. Ada masakan yang mengandungi sayur tersembunyi seperti sandwich, kek lobak merah, kuih talam keladi dan bingka ubi. Hidangan seperti ini juga lebih mudah menarik selera anak untuk makan sayur tanpa sedar.
"Setiap langkah di atas perlu diulang berkali-kali sehingga berjaya. Tekankan kebaikan makan sayur kepada mereka seperti menjadikan mereka lebih sihat, kulit yang lebih mulus, kurang mendapat penyakit dan berjiwa besar. Jangan kedekut dengan pujian jika mereka berjaya menjamah walaupun sedikit. Selamat berjaya!"
Saya Amalkan Makan Sayur Depan Anak Supaya Mereka Ikut
.
RASA dapatkan respon daripada seorang ibu yang gigih mendidik anak-anaknya makan sayur sejak dari kecil. Walaupun perlu kreatif dan sabar mendidik anak menyukai sayur, namun usaha ibu ini berkesan kerana memang anak-anaknya suka makan sayur.
"Cara saya didik anak makan sayur adalah dengan tunjuk contoh teladan pada anak. Saya dan suami akan makan sayur depan anak-anak. Mereka akan perhati apa yang kami buat. MUdah untuk mereka juga suka makan sayur. Anak-anak saya suka brokoli, lobak merah, jagung muda, bayam dan cendawan. Selalunya saya akan masak sup sayur atau sayur goreng. Sejak dari usia bayi lagi saya dah perkenalkan sayur pada mereka. Apabila anak sudah boleh makan, saya akan kisar sayur bersama bubur nasi."
– Nur Liyana Che Omar, ibu kepada Muhd Hadif (8 tahun), Muhd Aqil (5 tahun) dan Nur Ayesha (3 tahun)
JANGAN LUPA SAKSIKAN RANCANGAN INI

Ibu bapa pasti menginginkan anak-anak yang berjiwa besar. Mempunyai semangat tolong-menolong, akhlak yang baik dan menghormati orang tua. Oleh itu, ibu bapa harus menunjukkan contoh terbaik untuk menjadi ikutan anak-anak. Mereka umpama kain putih, ibu ayah bertanggungjawab untuk mencantikkan hiasannya.
Untuk ketahui lebih lanjut mengenai mendidik anak-anak yang berjiwa besar, jangan lupa saksikan episod ke-8, Pa&Ma Journey Bersama JoviaNina pada 14 Oktober 2020, jam 9 malam hanya di Astro Ria saluran 104/124.
8 Tip Pilih Tembikai Gerenti Manis & Berjus. Pasti Korang Puas Hati

Tembikai ni ada yang sebut semangka, dan di Kelantan dipanggil Timun Cina. Ada yang bujur ada yang bulan. Tekstur kulit, bentuk dan rupanya semua mempengaruhi kualiti tembikai itu.
Kalau tersalah pilih pastilah korang nyesal pulak. Ni min kongsikan 8 tip atau petua nak pilih tembikai yang masak, banyak jusnya dan manis
1. Ketahui Jantina
Ramai yang tidak tahu sebenarnya tembikai mempunyai jantina. Contohnya tembikai jantan ukurannya lebih besar, bentuknya lonjong dan mengandungi banyak air. Manakala tembikai betika berbentuk bulat dan rasanya lebih manis. Tembikai yang lonjong tu sedap dibuat jus kerana airnya lebih banyak dari yang bulat. Manakala yang bulat biasanya dimakan begitu sahaja
2. Tompokan Kuning
Tompokan atau kawasan kuning adalah tempat dimana tembikai terletak di atas tanah. Tembikai yang matang sempurna akan berwarna kuning krim dan kadangkala oren. Jika kawasan tersebut berwarna putih, itu bermaksud tembikai masih belum matang sempurna.
3. Tompokan Jaringan Lebah
Telitikan pada kulit tembikai yang kelihatan seperti jaring labah – labah adalah disebabkan lebah yang menyentuh serbuk debunga berulang kali ketika tembikai masih dalam bentuk bunga. Makin banyak jaringan bermaksud makin manis tembikai.
4. Perhatikan Ukuran dan Beratnya
Pilihan terbaik dalam memilih tembikai adalah tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Dan untuk pengetahuan anda, tembikai yang matang akan lebih berat dari ukurannya. Pilih tembikai yang mempunyai timbangan berat berbanding dengan saiznya. Walaupun kecil saiznya tapi berat bila ditimbang. Ini menandakan isi tembikai segar berair.
5. Tengok Tangkainya.
Tangkai yang kering bermakna tembikai telah matang sempurna dan jika ianya masih hijau, kemungkinan besar tembikai dipetik terlalu awal dan belum matang.
6. Rasa tekstur permukaan kulitnya.

Jika licin seakan berkilat menunjukkan buah tembikai tersebut sudah matang. Manakala jika permukaan luarnya agak kasar, itu menunjukkan buah tersebut masih mentah.
Jalur hijau di kulit buah kelihatan putus-putus atau tidak bersambung terus.
7. Tepuk-tepuk

Tepuk jentik-jentik dengan jari sedikit buah tembikai itu, sekiranya ia mengeluarkan bunyi yang seakan-akan kosong, menandakan ia sudah masak dan elok isinya.
Dah tahu cara pilih jom semak apa khasiatnya pada tubuh badan kita.
KHASIAT TEMBIKAI (sumber Hello Doktor)
1. Kandungan Air Yang Tinggi
Buah tembikai sangat kaya dengan air. Lihat sahaja teksturnya yang lembut dan berair. Memakan buah ini seolah-olah sedang minum jusnya. Lebih-lebih lagi semasa cuaca sedang panas, buah tembikai adalah pilihan yang terbaik untuk menghidrat badan.
2. Baik Untuk Jantung

Kaya dengan sejenis bahan kimia yang digelar lycopene, ia membantu melindungi sel-sel badan dari kecederaan serta merendahkan risiko penyakit jantung. Fakta ini telah disahkan oleh kajian oleh Purdue University.
Kajian yang dimuatkan di dalam American Journal of Hypertension menemui bahawa tembikai membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dan menurunkan berat badan dalam kalangan obes.
3. Anti-Radang
Selain baik untuk jantung, lycopene juga berfungsi sebagai anti-radang. Ia membantu dengan mengurangkan keradangan di dalam badan. Semasa anda sakit disebabkan apa-apa penyakit, radang berlaku di bahagian-bahagian tertentu di dalam badan anda. Buah tembikai secara amnya membantu badan anda melawan radang tersebut, seterusnya membantu proses pemulihan dengan lebih baik.
4. Sistem Penghadaman
Kandungan serat di dalam tembikai merangsang saluran penghadaman yang lebih sihat.
5. Baik untuk kulit dan rambut

Vitamin A adalah penting untuk kulit dan rambut anda. Ia membantu mengekalkan kelembapan kulit dan merangsang pertumbuhan kolagen. Secawan buah tembikai mengandungi hampir satu perempat dari keperluan harian vitamin A anda.