Keenakan manisan sememangnya tidak dapat dinafikan apatah lagi jika dinikmati di waktu-waktu petang begini. Manisan seperti aneka bubur tradisional sentiasa mendapat tempat di kalangan peminatnya. Kombinasi rasa lemak serta manis yang seimbang menjadikan hidangan ini tidak puas dinikmati. Khas buat anda, RASA kongsikan aneka resipi bubur tradisional yang manis dan mudah masak yang boleh dicuba.

1. BUBUR BARLI DAN PISANG

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji pisang nangka
  • 100gm barli|rebus sehingga empuk
  • 600ml santan
  • 150gm gula
  • 100gm gula merah
  • 2 helai daun pandan|disiat&simpul
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Potong pisang setebal 2cm dan celur sebentar. Toskan.
  2. Satukan santan, gula, gula merah dan daun pandan di dalam periuk.
  3. Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
  4. Masukkan pisang yang telah dicelur berserta barli dan secubit garam.
  5. Didihkan dengan api yang kecil sehingga semua bahan sebati.

Info Chef: Pisang nangka boleh digantikan dengan penggunaan pisang awak.

2. BUBUR BUTIR NANGKA

BAHAN-BAHAN:

  • 250gm tepung pulut
  • 2800gm gula
  • 800ml santan pekat
  • 2 helai daun pandan|disimpul
  • Secubit garam
  • 4 pewarna makanan pilihan
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan air yang banyak di dalam periuk yang besar.
  2. Masukkan tepung ke dalam mangkuk berserta secubit garam. Tuang air sedikit demi sedikit dan uli tepung hingga menjadi doh yang lembut.
  3. Bahagikan doh kepada tiga bahagian. Warnakan setiap bahagian dengan pewarna makanan pilihan.
  4. Bentukkan doh menjadi butir-butir kecil dan masukkan ke dalam air yang mendidih tadi. Apabila butir-butir tepung naik ke permukaan, angkat dan toskan.
  5. Di dalam periuk lain, satukan santan, gula, daun pandan dan secubit garam. Biarkan mendidih dengan api yang kecil untuk beberapa minit.
  6. Masukkan butir-butir nangka dan didihkan untuk beberapa minit hingga semua bahan sebati.

Info Chef: Pastikan doh diuli sebati bagi mendapatkan tekstur bubur yang cantik.

3. BUBUR CANDIL PANDAN

BAHAN-BAHAN:

  • 600ml santan pekat
  • 200gm tepung gandum
  • 250gm gula
  • 250ml air perahan daun pandan
  • 2 helai daun pandan|disiat & simpul
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Uli tepung gandum bersama air perahan daun pandan sehingga menjadi doh yang agak lembut.
  2. Bentukkan doh menjadi bebola kecil atau lonjong atau mengikut bentuk yang diingini.
  3. Celur doh sehingga ia menjadi lembut kemudian toskan.
  4. Di dalam periuk yang berlainan, satukan santan, gula dan daun pandan. Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
  5. Masukkan doh candil yang telah direbus terlebih dahulu berserta secubit garam. Didihkan lagi untuk beberapa minit sehingga semua bahan menjadi sebati.

Info Chef: Jika doh terlalu keras, tambah sedikit air dan jika doh terlalu lembik tambahkan sedikit tepung

4. BUBUR JAGUNG SAGU

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm jagung
  • 100gm sagu|rendam hingga kembang dan tos
  • 700ml santan
  • 250gm gula melaka
  • 100gm gula
  • 2 helai daun pandan|disimpul

CARA MEMASAK:

  1. Satukan separuh santan bersama jagung, gula melaka, gula dan daun pandan.
  2. Didihkan sehingga gula menjadi hancur dan jagung menjadi lembut.
  3. Masukkan separuh lagi santan dan sagu.
  4. Didihkan hingga semua bahan sebati dengan menggunakan api yang kecil.

Info Chef: Untuk hidangan ini, gunakan jagung segar yang telah dihiris dari tongkolnya.

5. BUBUR PULUT HITAM

BAHAN-BAHAN:

  • 600ml santan
  • 250gm pulut hitam
  • 250gm gula
  • 2 helai daun pandan|disiat dan simpul
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Rendam pulut hitam di dalam periuk selama sejam kemudian rebus sehingga ia menjadi empuk.
  2. Di dalam periuk, satukan santan, gula dan daun pandan. Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
  3. Masukkan pulut hitam dan secubit garam.
  4. Didihkan lagi sehingga semua bahan menjadi sebati.

Info Chef: Rendam bubur hitam selama satu jam agar ia bersih dan kembang dengan sempurna

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA:

Resipi Donat Pandan Susu Gebu. Terlajak Mudah & Senang Nak Buat. Memang Wajib Cuba!