Bertih jagung karamel ni antara snek ringan yang popular lebih-lebih lagi kalau pergi menonton wayang. Susah sangat ke nak buat benda ni? Jawapannya, tak pun. Mudah sahaja. Dengan hanya guna periuk biasa, anda boleh hasilkan bertih jagung enak buat anak-anak. Bolehlah makan sambil menonton TV di hujung minggu. Pasti best!
POPCORN HOMEMADE
BAHAN-BAHAN POPCORN :
1/3 cawan jagung popcorn
1 sudu besar mentega
2 1/2 sudu besar minyak masak
BAHAN-BAHAN CARAMEL :
Ads
1/3 cawan gula castor/gula pasir
1 sudu besar mentega
CARA MEMASAK:
1. Keluarkan periuk bertutup yang sederhana besar saiznya. Jangan guna periuk kecil. Tak muat popcorn nak mengembang nanti. Panaskan minyak dan mentega dengan api sederhana. Api jangan terlalu besar, nanti popcorn hangit.
2. Bila minyak dan mentega dah panas, masukkan satu biji jagung dalam periuk dan tunggu sampai dia bunyi ‘pop’. Bila dah dengar bunyi ‘pop’ tu, jagung tadi dah kembang. Jadi, bolehlah masukkan semua jagung tadi dalam periuk. Kacau rata bagi semua kena minyak dan mentega tadi.
3. Tutupkan periuk dengan penutup dia. Pastikan api sederhana kecil. Dan tunggu jagung dalam tu meletup-letup bunyinya. Jangan buka penutup periuk sebab jika buka, popcorn akan bersembur keluar. Tunggu sampai habis ‘meletup’ dalam tu, sekali sekala, goyang dan goncangkan periuk manja-manja supaya semua jagung dapat ‘meletup’ dengan sempurna. Tunggu sampai dah tak ada bunyi ‘pop’ baru buka dan tengok kejadiannya. Api jangan lupa tutup.
4. Ha, inilah hasilnya lepas habis semua ‘letupan pop’ tadi. Cantikkan? Keluarkan dari periuk dan letakkan dalam bekas lain. Kita nak buat caramel dia pula.
Ads
5. Dalam kuali lain, masukkan gula pasir. Panaskan dengan api sederhana. Tunggu sampai gula mencair dan jadi caramel tetapi jangan sampai hangit sebab bila salut dengan popcorn, ia akan menjadi pahit. Agak-agak gula tadi dah jadi warna perang-perang coklat, masukkan mentega. Kacau sampai mentega cair.
6. Tutup api. Masukkan popcorn yang dah siap tadi dalam kuali, dan kacau sehingga rata.
Ads
7. Bila dah rata semuanya, pindahkan popcorn bercaramel tadi dalam dulang untuk disejukkan. Sambil-sambil tu boleh lerai-leraikan popcorn yang melekat. Dah sejuk, boleh simpan dalam bekas kedap udara dan bolehlah makan sambil tengok drama kegemaran.
Info RASA:
Semasa menyejukkan popcorn, dulang boleh dilapik menggunakan ‘baking paper’ bagi memudahkan popcorn sejuk serta tidak melekat pada dulang.
Anda pasti selalu dengar sajian fusion. Fusion adalah sajian barat yang diberi olahan semula ikut selera Asia dan juga Melayu.
Contohnya Shepard Pie jika diolah menjadi fusion terhasil lah Shepard Pie Rendang.
Begitu juga menu seperti betis kambing, kentang, tulang rusuk boleh sahaja diolah dengan rempah ratus menjadi resepi Asia dan Melayu yang lazat. Jom kita cuba ilham sajian fusion dari chef PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kl, iaitu Chef Muhammad Suhaifi Idris, Mohd Suhaize Hasim, Isa Abu Bakar, Azrin Nuruddin Kamarul Azhar.
1.Tulang Rusuk Lembu Masak Hitam
BAHAN-BAHAN :
4 kg tulang rusuk/siap direbus dengan air selama 3 jam
250 ml ml air rebusan daging
300 gm bawang besar /dikisar
2 batang kayu manis
5 biji buah pelaga
10 gm bunga cengkih
5 sm halia /dikisar
7 ulas bawang putih
2 sudu makan serbuk cili
2 sudu makan serbuk ketumbar
2 sudu makan serbuk jintan manis
1 sudu makan jintan putih
50 gm kicap pekat
2 keping asam keping
1/2 biji santan kelapa
Garam dan gula secukupnya
CARA MEMASAK : 1. Rebus tulang rusuk selama tiga jam. Keluarkan daging dari air. 2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dengan rempah empat sekawan hingga naik bau. 3. Masukkan serbuk jintan dan ketumbar dan tuangkan sedikit air rebusan daging (250) ml. 4. Kemudian masukkan tulang rusuk dan didihkan. 5. Masukkan asam keping dan kicap pekat 6. Masukkan santan dan reneh selama 30 minit. Perisakan dengan gula dan garam secukupnya. 7. Biarkan daging betul-betul empuk 8. Tulang rusuk siap dihidang.
Saiz hidangan : 7- 8 orang Waktu memasak : 2 jam Cara memasak : Tumis dan reneh Jenis hidangan : Lauk utama fusion Keistimewaan : Ramuan kicap, rempah dan santan beri keenakan rasa
INFO CHEF : Kicap pekat memberikan warna dan rasa tulang yang sungguh enak.
2.Mousakka Kambing
BAHAN-BAHAN :
Bahan A (inti) :
800 gm daging kambing cincang
250 gm puri tomato
1 sudu makan serbuk jintan manis
1 sudu makan serbuk jintan putih
1 sudu makan serbuk ketumbar
300 gm bawang besar /dihiris
7 ulas bawang putih /dihiris
Garam secukup rasa
1 biji terung panjang / potong bulat menjadi beberapa keping
Bahan B:
1 liter susu segar
250 gm mentega
250 gm tepung gandum
250 gm keju mozarella
CARA MEMASAK : 1. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga wangi dan kemudian masukkan puri tomato. 2. Tumis selama 7 minit dan masukkan semua rempah setelah tumisan sebati dan wangi. 3. Kemudian masukkan daging cincang, perlahankan api dan biarkan sejuk. 4. Ambil kuali lain panaskan mentega hingga cair dan kemudian masukkan tepung gaul sehingga kelihatan seperti doh dan masukkan susu. 5. Kacau sehingga pekat dengan suhu 60-70 celcius, tutup api. (becahamel sos siap) 6. Sediakan dulang pembakar, susun terung sehingga menutupi bahagian dulang 7. Kemudian masukkan inti daging cincang tadi dan diikuti bancuhan susu 8. Ulangi sebanyak 2 lapisan dan taburkan keju di atas lapisan tadi 9. Bakar dalam ketuhar selama 25 minit, dengan suhu 160 darjah celcius. Siap dihidang.
Saiz hidangan : 4-5 orang Waktu memasak : 30 minit Cara memasak : Tumis dan bakar Jenis hidangan : Mediterranean Keistimewaan : Inti daging dilapisi bechamel dan terung ciri utama moussaka
INFO CHEF : Moussaka dipercayai berasal dari Greece tetapi cukup terkenal di negara Arab dan Mediterranean.
3.Gulai Kawah Betis Kambing (Lamb Shank)
BAHAN-BAHAN :
4 kg betis kambing/direbus dengan air selama 1 jam
300 gm bawang besar /dikisar
5 sm halia /dikisar
7 ulas bawang putih /dikisar
2 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
10 gm bunga cengkih
2 sudu makan serbuk cili
2 sudu makan serbuk jintan manis
1 sudu makan serbuk jintan putih
200 gm rempah kari daging
2 keping asam keping
1/2 biji santan kelapa
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK : 1 .Rebus kambing dengan kadar menutupi daging, apabila masak keluarkan dagingnya. 2. Pijarkan minyak dan tumis bahan kisar bersama rempah 4 sekawan. 3. Masukkan serbuk kari, jintan dan ketumbar,tumis hingga pecah minyak dan masukkan air rebusan daging 4. Kemudian masukkan kambing dan didihkan 5. Masukkan asam keping, dan perisakan dengan garam .Masukkan santan dan reneh selama 20 minit 6. Biarkan daging empuk 7. Gulai kawah siap dihidang
Saiz hidangan : 7- 8 orang Waktu memasak : 40 minit Cara memasak : Tumis dan renih Jenis hidangan : Lauk utama fusion Keistimewaan : Lauk ini bertambah lazat apabila sudah semalaman
INFO CHEF : Sedap dimakan bersama roti dan nasi. Anda boleh menggunakan rempah gulai yang siap dijual, didalamnya tersedia segala campuran rempah ratus.
4.Rendang Daging Shepherd Pie
BAHAN-BAHAN:
4 kg daging batang pinang /dipotong dadu
300 gm bawang besar /dikisar
7 ulas bawang putih/dikisar
5 sm halia /dikisar
2 sm lengkuas/ dikisar
2 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
10 gm bunga cengkih
4 sudu makan serbuk cili
4 batang serai /diketuk
200 gm kerisek
2 keping asam keping
1 biji santan kelapa
Bahan B:
5 biji kentang
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK : 1. Kupas kentang dan tebus sehingga lembut dan lenyek, sejukkan 2. Panaskan minyak dan masukkan bahan kisar tadi bersama rempah empat sekawan sehingga naik bau. 3. Masukkan cili dan tumis hingga cili masak. 4. Kemudian masukkan daging dan didihkan 5. Masukkan kerisik, bersama santan dan renehkan selama 20 minit, Perasakan dengan garam. 6. Pastikan daging betul-betul empuk, dan padamkan api. Biarkan sejuk dan masukkan dalam acuan kecil. 7 .Ambil beg piping dan masukkan kentang yang telah dilecek tadi 8. Tekan di atas rendang tadi seperti membuat aising di atas kek 9 .Pastikan kentang menutupi rendang tadi 10. Dalam ketuhar bakar selama 13 minit dalam suhu 170 darjah celcius 11. Hidangkan bersama salad segar
Saiz hidangan : 7- 8 orang Waktu memasak : 45 minit Cara memasak : Reneh dan bakar Jenis hidangan : Masakan barat diberi sentuhan fusion Keistimewaan : Kentang dan rendang menjadi kudapan yang lazat
INFO CHEF : Sheperd Pie berinti rendang beri kelainan dan kelazatan baru untuk sajian barat yang diolah dengan inti rendang.
5. Ayam Panggang Gulung Madu & Sos Percik Berkeju
BAHAN-BAHAN :
Bahan A:
4 keping paha ayam tanpa tulang (chicken chop)
1 ketul dada ayam /dicincang
1 biji telur
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa
2 sudu makan madu
Bahan B (kuah percik berkeju) :/dikisar
2 biji bawang besar India
1 sm hali
2 ulas bawang putih
2 batang serai
1 sm kunyit hidup
1/2 biji kelapa (santannya)
50 gm keju mozzarella @ keju cheddar
CARA MEMASAK : Cara membuat ayam gulung : 1. Cincang dada ayam bersama kunyit dan garam. 2. Campurkan telur dan kacau hingga sebati. 3. Gulung dada ayam cincang bersama paha ayam dan ikat dengan menggunakan tali ‘butcher’. 4. Tabur sedikit garam dan serbuk kunyit. Dan perap Cara membuat kuah percik : 5. Kisar semua bahan B 6. Panaskan kuali , dan tumiskan bahan-bahan kisar. 7. Tumiskan hingga wangi dan masukkan ayam gulung tadi 8. Masak ayam selama 10 minit , keluarkan ayam dan biarkan seketika. 9. Masukkan santan ke dalam bahan-bahan tadi dan masukkan garam secukup rasa 10. Setelah mendidih masukkan keju dan kacau hingga keju betul-betul larut. 11. Dengan menggunakan kuali yang lain, goreng ayam dengan minyak sedikit. Sapukan madu sebelum itu. 12. Buang tali dan hiris ayam. Susun ayam mengikut kreativiti dan tuang kuah di atas ayam gulung tadi 13. Hidangkan bersama nasi putih atau roti
Saiz hidangan : 2– 3 orang Waktu memasak : 15 minit Cara memasak : Tumis dan goreng minyak sedikit Jenis hidangan : Lauk utama fusion Keistimewaan : Lemak berkeju dan sedap Anggaran kos : RM 15
INFO CHEF: Gabungan keju dan sos percik, gandingan citarasa barat dan timur yang berperisa.
Terima kasih : PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kl,
Makanan sejuk beku memang memudahkan kerja-kerja memasak namun kandungannya adakalanya tinggi garam, mengandungi msg, lemak tepu dan sebagainya. Oleh itu, jika anak-anak suka makan kentang goreng, anda sebenarnya boleh hasilkan sendiri. Menerusi perkongsian Mung Ris, beliau kongsikan resipi Homemade French Fries. Rupa sebijik macam kentang sejukbeku yang dibeli tetapi lebih sihat & tentunya jimat wang!
KENTANG GORENG HOMEMADE
BAHAN-BAHAN:
1 kg ubi kentang
2 sudu makan jus limau nipis
1 sudu teh garam
Air secukupnya
1 sudu makan tepung ubi kayu – untuk salut 150gm ubi kentang. Jika nak goreng banyak, gandakan jumlahnya. 1 kg kentang anggaran 7-8 sudu makan tepung ubi kayu.
Minyak untuk menggoreng secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Kupas kulit ubi kentang dan potong mengikut saiz yang bersesuaian.
2. Rendam potong ubi kentang di dalam air yang telah dicampur dengan jus limau nipis. Rendam selama 5 minit kemudian toskan.
3. Seterusnya, didihkan air yang telah dicampur dengan 1 sudu teh garam. Rebus ubi kentang tadi selama 4 minit sahaja.
4. Angkat dan tapis ubi kentang hingga airnya kering. Biar ubi kentang sejuk.
5. Masukkan 150gm ubi kentang ke dalam bekas berpenutup dan masukkan juga 1 sudu makan tepung ubi kayu. Goncangkan hingga ubi kentang bersalut sempurna.
6. Panaskan minyak masak dan goreng ubi kentang untuk kali pertama selama 4-5 minit sahaja. Angkat dan sejukkan.
7. Jika buat dalam jumlah yang banyak, lebihan ubi kentang yang telah digoreng kali pertama ni boleh disimpan dalam bekas dan disejuk bekukan.
8. Untuk gorengan kali kedua, masukkan ubi kentang tadi dan goreng selama 2 minit. Angkat dan rehatkan selama 4 minit.
9. Untuk gorengan terakhir, masukkan ubi kentang dan goreng selama 1 minit sahaja. Angkat dan toskan minyaknya. Pastikan goreng guna api besar.
Apa kudapan minum petang anda? Mungkin idea buat cucur bihun boleh anda
pertimbangkan.Barulah ada kelainan rasa.Sangat sesuai dihidangkan untuk minum petang.Gerenti habis sepinggan.Istimewanya menu ini menggunakan bihun di dalamnya.Bila dimakan dengan sos lagilah enak rasanya.
CUCUR BIHUN
BAHAN-BAHAN:
1/2 bungkus bihun (rebus hingga lembut dan potong pendek)
1 1/2 cawan tepung gandum
1 batang lobak merah – dihiris halus
1 biji bawang besar – dihiris halus
2 biji cili merah – hiris halus dan buang biji
Daun bawang – hirus halus
2 biji telur
1 cawan udang
Ikan bilis secukupnya
Serbuk perasa secukupnya
1/2 cawan air
Minyak masak
CARA MEMASAK:
1. Panaskan air dan rebus bihun hingga lembut. Kemudian potong pendek.
2. Masukkan tepung, lobak merah, bawang besar, cili merah, daun bawang, ikan bilis, udang, telur dan air. Gaul hingga sebati.
3. Panaskan minyak masak dan goreng cucur seperti biasa hingga garing kekuningan.
4. Angkat dan toskan. Sedia untuk dinikmati.
Pertandingan Teh Tarik King & Queen tajaan OKI Malaysia yang berjaya mengumpulkan ramai pengunjung hadir menyaksikan aksi menarik penuh gaya oleh para peserta.