Ibu-ibu berkerjaya atau yang tak cukup masa nak dok lama-lama memasak di dapur, bolehlah siapkan awal awal stok pes untuk memasak lauk pauk kegemaran famili nanti.
Ni dia min kongsikan resipi cara nak buat pes kari, pes rendang dan pes sambal tumis dari Suhaidah Ahmad . Resipi asal daripada Asrimah Bakri.
Kalau tetamu datang secara mengejut, ni pes ini sangat berguna. Buat stok lebih sikit boleh simpan dalam freezer. Nak masak nanti boleh defrost dan terus tumis. Boleh pelbagai gunakan dengan bahan utama seperti ayam dan daging atau pun ikan.
1. PES KARI
BAHAN-BAHAN:
5 biji bawang besar *
10 biji bawang kecil*
6 ulas bawang putih*
5 inci halia*
6 sudu besar Rempah kari daging Faezah (Pek kuning)*
5 sekawan rempah
1 sudu halba
CARA MEMASAK :
1. Blender semua bahan kecuali rempah 5 sekawan.
Ads
2. Tumiskan rempah 5 sekawan terlebih dahulu. Kalau yang suka light,tak payah gunakan rempah ini ya. Kemudian dah naik bau,bolehlah masukkan bahan blender tadi. Tumis hingga pecah minyak.
3. Masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air dan tumis lagi 2 minit. Akhir sekali, perasakan dengan garam gula dan perasa.
4. Siap. Bekukan.
5. Bila nak makan, ambil pes dan masukkan dalam kuali. Masukkan air, asam jawa dan tambahkan ayam / daging / ikan segar bersama sayur pilihan. Boleh juga dibuat makan dengan mi kari. Bubuh ayam yang dipotong kecil.
2.PES RENDANG
BAHAN-BAHAN :
5 biji bawang besar
10 biji bawang kecil
6 ulas bawang putih
3 inci halia
2 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup(optional)
6 batang serai
2 genggam cili kering( rebus dulu )
2 kotak santan kecil
Daun kunyit dan daun limau purut | hiris halus.
CARA MEMASAK :
1. Blend dan tumis semua bahan di atas sampai pecah minyak dan naik bau.
2. Masukkan santan, garam, gula, perasa, daun limau purut, dan daun kunyit.
3. Dah siap, macam biasa boleh bekukan dalam freezer.
4. Bila nak makan, ambil pes dan masukkan dalam kuali dengan air secawan. Masukkan ayam, masak sampai kering atau hingga ayam empuk.
3. PES SAMBAL TUMIS
BAHAN-BAHAN :
Ads
2 biji besar besar
2 biji bawang besar (hiris bulat)
5 ulas bawang putih
4 genggam cili kering (potong, rebus, basuh, kisar)
Asam jawa
Garam, gula, perasa
CARA MEMASAK :
1. Tumis semua serentak sampai pecah minyak dan naik bau.
2. Masukkan asam jawa, garam, gula, perasa dan hirisan bawang. (seimbangkan rasa)
3. Apabila siap, biarkan sejuk. Boleh bekukan.
4. Bila nak makan nanti boleh defrost dan goreng ikan bilis untuk masukkan ke dalam sambal tumis itu. Boleh juga digunakan untuk memasak mi goreng, bihun goreng dan sebagainya.
Resepi asal :Puan Asrimah Bakri Dicuba oleh: Suhaidah Ahmad
JIKA ANDA SEDANG MENCARI PERKAKAS DAN PERALATAN DAPUR DAN RUMAH YANG TERBAIK, BOLEH MELIHAT PELBAGAI PILIHAN MENARIK DI SINI.
Siapa kata menu untuk diet tak sedap? Salah ye, banyak je menu sedap yang boleh diolah semula ikut cita rasa. Asalkan anda tahu kalori yang perlu diambil dan menggunakan cara memasak yang sihat. Berikut RASA bawakan dua resipi menu sihat yang pantas disediakan dan sihat.
SANDWICH PESTO AYAM
BAHAN-BAHAN:
1 cawan daun ketumbar
1 ulas bawang putih
15gm daun pudina
1 sudu makan kacang tanah, dibakar
1/3 cawan minyak zaitun
Garam dan lada hitam secukup rasa
1/4 cawan keju cheddar
1 biji limau nipis | diambil jus
2 keping dada ayam | direbus dan dicarik
1 buku roti Perancis
1 biji tomato | dihiris
3 helai daun salad | dihiris
CARA MEMASAK:
Kisar daun ketumbar, daun pudina, bawang putih dan kacang secara kasar.
Masukkan minyak zaitun secara sedikit demi sedikit secara perlahan-lahan. Kisarkan sehingga lumat.
Perasakan dengan garam, limau nipis dan lada hitam secukupnya.
Masukkan pesto ke dalam mangkuk berisi isi ayam. Gaul rata.
Potong roti Perancis dan susun daun salad serta tomato dengan secukupnya.
Sudukan pesto ayam. Sedia untuk dinikmati.
WRAP CAPATI KAMBING MASALA
BAHAN-BAHAN:
5-6 kepingan daging kambing (lamb chop)
250ml santan
Kepingan tortilla secukupnya
5 helai daun salad | dihiris
Sedikit daun ketumbar | dihiris
2 biji tomato | dihiris
Air secukupnya
BAHAN REMPAH:
2 sudu makan serbuk jintan putih
2 sudu makan serbuk ketumbar
2 sudu makan serbuk paprika
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam masala
1 sudu teh serbuk pala
2 sudu makan puri tomato
BAHAN TUMIS :
1 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
2 biji bawang besar | dipotong dadu
2 biji buah tomato | dicincang
3 inci halia | ditumbuk lumat
6 ulas bawang putih | ditumbuk lumat
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
Bagi menyediakan sos masala, panaskan minyak dan tumiskan kulit kayu manis serta buah pelaga sehingga naik bau. Kemudian masukkan bawang besar dan kacau perlahan sehingga garing.
Masukkan halia dan bawang putih yang telah ditumbuk. Kacau perlahan sehingga garing. Seterusnya masukkan bahan rempah dan sedikit air. Kacau perlahan sehingga pecah minyak.
Seterusnya masukkan puri tomato. Kacau lagi sehingga pecah minyak.
Akhir sekali masukkan santan. Kacau sehingga kuah pekat. Tutup api.
Sapukan sedikit kuah masala yang dimasak tadi ke atas kepingan kambing dan panggang hingga masak.
Ambil dagingnya, letakkan di atas tortilla. Taburkan hirisan salad, daun ketumbar dan tomato. Sudukan sedikit sos masala. Gulung kemas dan hidangkan.
Petai, masak sambal, campur dalam gulai atau buat ulam begitu je, pun sedap. Soal bau tolak tepi itulah yang selalu dikatakan oleh penggemar petai. Bukan sekadar cerita, ini dua resipi petai yang boleh anda semua cuba. Memang terangkat bila rasa.
IKAN BAWAL BAKAR SAMBAL PETAI
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ikan bawal saiz sederhana | bersihkan
1 helai daun kunyit
2 keping aluminium foil
Garam dan gula secukupnya
1 sudu makan air asam jawa
Bahan-bahan kisar:
10 biji cili kering
5 biji cili merah
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 batang serai
1 inci halia
2 biji buah keras
Sedikit kunyit hidup
Sedikit air
CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan sambal, panaskan sedikit minyak, tumiskan bahan-bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak.
Kemudian masukkan air asam, garam dan gula secukup rasa. Angkat dan ketepikan.
Untuk menyediakan ikan bakar, panaskan ketuhar pada 180 C.
Kemudian letakkan daun kunyit di atas aluminium foil kemudian letakkan sambal dan ratakan.
Seterusnya letakkan ikan di atas sambal dan tutup atas ikan dengan lebihan sambal.
Taburkan petai di atas sambal dan tutup dengan daun kunyit.
Akhir sekali balut ikan dengan aluminium foil dan bakar antara 20-25 minit.
Setelah masak hidang ikan dengan nasi panas serta ulam-ulaman.
SAMBAL TELUR PUYUH BERSAMA PETAI
BAHAN-BAHAN:
30 biji telur puyuh | rebus dan buang kulit
200gm isi petai
1 biji bawang besar | hiris
1 sudu makan pes asam jawa
4 sudu makan pes cili
Garam dan gula secukup rasa
4 sudu makan minyak masak
BAHAN KISAR:
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang kisar
3 biji cili merah
2cm halia muda
2cm belacan | jika suka
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak, kemudian goreng petai hingga layu. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan kuali yang sama, tumis bawang besar hingga layu, kemudian masukkan bahan kisar.
Setelah wangi masukkan pes cili bersama asam jawa. Kacau lagi hingga pecah minyak.
Masukkan petai, dan telur burung puyuh yang telah direbus dan dibuang kulit tadi.
Kacau rata dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
Kecilkan api biarkan sambal mereneh hingga pecah minyak lebih kurang 2-3 minit.
Angkat dan sedia dihidangkan.
NAK MASAK SAMBAL GUNA AIR FRYER, JOM SEMAK PELBAGAI PILIHAN MENARIK DI SINI.