Minum petang tanpa hidangan kuih muih dan bubur bagai tidak lengkap. Kebiasaannya hidangan pemanis mulut seperti aneka bubur dan pengat manis sering menjadi pilihan ramai.  Rasanya yang manis, lemak dan pelbagai perisa, memang tak jemu makan. Nikmatnya dapat bubur yang disukai. Sempena  ulang tahun ke 20 Majalah RASA, dikongsikan resipi pelbagai jenis bubur dan pengat untuk anda cuba.

1. BUBUR BARLI DAN KELEDEK

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm barli
  • 200gm keledek yang dipotong dadu
  • 250gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 600gm air
  • 1 helai daun pandan
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus barli dan keledek hingga kembang dan empuk.  Setelah empuk masukkan gula, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.
  2. Apabila kuah telah menggeleggak dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

Info chef: Hidangan yang boleh mengenyangkan.

 

2. BUBUR ANEKA UBI

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 50gm keledek berwarna oren yang dipotong dadu
  • 50gm ubi keledek kuning yang dipotong dadu
  • 50gm ubi kayu yang dipotong dadu
  • 50gm ubi keladi yang dipotong dadu
  • 250gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 650gm air
  • 1 helai daun pandan | simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus keledek, ubi kayu dan keladi hingga kembang dan empuk.
  2. Setelah empuk masukkan gula, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar, kemudian masukkan santan pekat.
  3. Apabila kuah telah menggelegak dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

Info chef: Boleh gunakan jenis ubi lain juga jika suka.

 

3. BUBUR BUTIR NANGKA

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm tepung pulut
  • 1-2 titis pewarna merah
  • 1-2 titis pewarna hijau
  • 1-2 titis pewarna kuning
  • 250gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 400gm air | kuah santan
  • 600gm air | untuk rebus butir nangka
  • 1 helai daun pandan |simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Jerang air di dalam periuk hingga menggelegak.
  2. Untuk membuat butir nangka; gaulkan tepung pulut bersama garam dan sedikit air. Gaul hingga menjadi seperti doh.  Bahagikan kepada tiga bahagian dan titiskan pewarna kepada setiap bahagian.  Gaul hingga warna sekata dan bentuk seperti butir nangka.
  3. Masukkan butir-butir nangka tadi ke dalam air yg telah menggelegak.  Tunggu sehingga butir nangka itu timbul barulah diangkat.  Redam butir nangka yang telah masak di dalam air sejuk supaya tidak melekat. Ketepikan.
  4. Untuk kuahnya pula; rebus air sebanyak 400gm hingga menggelegak. Kemudian masukkan butir nangka, gula, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.
  5. Apabila kuah telah menggeleggak  dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

Info chef: Warna butir nangka terpulang kepada cita rasa masing-masing. Jika tidak suka, tidak perlu warnakan.

 4. PENGAT PISANG CAMPUR MI SIPUT

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji pisang nangka | bentuk bunga
  • 1 keping mi siput
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 50gm gula merah/melaka
  • 250gm santan
  • 650gm air
  • 1 helai daun pandan
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus mi siput sehingga agak kembang, kemudian masukkan pisang.
  2. Biar ia mereneh sebentar kemudian masukkan gula, gula merah/Melaka, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.
  3. Apabila kuah telah menggelegak dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

Info chef: Pisang nangka menambah kesedapan pada bubur kerana rasanya yang lemak.

5. PENGAT KELADI, PISANG DAN KELEDEK

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 biji pisang nangka | dibentuk bunga
  • 100gm keladi |potong dadu sebesar lebih kurang 2cm x 2cm
  • 100gm keledek |potong dadu lebih kurang 2cm x 2cm
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 50gm gula merah/melaka
  • 250gm santan
  • 650gm air
  • 1 helai daun pandan |simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus keladi dan keledek sehingga empuk, kemudian masukkan pisang.
  2. Masaklah sebentar kemudian masukkan gula, gula merah/Melaka, garam dan daun pandan.
  3. Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat. Apabila kuah telah menggelegak  dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

Info chef: Tidak perlu masukkan gula merah/melaka jika ingin kuah putih.

 

6. BUBUR ANAK LEBAH

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan  

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm tepung gandum
  • 100gm pulut | rendam selama 1 jam, tos airnya
  • 1-2 titis pewarna hijau
  • 1-2 titis pewarna merah
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 600gm air
  • 1 helai daun pandan | simpul
  • 1 sudu sudu teh garam

 

CARA MEMASAK:

  1. Jerang air di dalam periuk hingga menggelegak.
  2. Sementara itu, untuk membuat anak lebah; gaulkan tepung gandum bersama garam dan sedikit air. Gaul hingga menjadi seperti doh.
  3. Cubit sedikit doh tadi dan gentel-gentel masukkan ke dalam air yang telah menggelegak.  Buatlah sehingga habis.
  4. Tunggu sehingga tepung itu timbul dan terapung di permukaan air. Setelah itu masukkan gula, 1/2 sudu teh garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.  Apabila kuah telah menggeleggak dan agak pekat, tutup api. Ketepikan.
  5. Gaulkan garam pada pulut kemudian bahagikan kepada dua bahagian.Titiskan pewarna merah dan hijau. Gaulkan rata dan kukus sehinga pulut masak.  Apabila sejuk bolehlah dibentuk dan dicurahkkan sekali bersama kuah santan yang telah dimasak tadi.
  6. Sedia untuk dihidangkan.

Info chef: Pulut menambah perisa pada masakan.

7. BUBUR BUAH DELIMA

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm biji buah delima
  • 250gm santan pekat
  • 450gm air
  • 100gm gula atau secukup rasa
  • 1 1/2 sudu teh tepung jagung
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 helai daun pandan | simpul

CARA MEMASAK:

  1. Jerang air sehingga mendidih, masukkan biji delima, masaklah sehingga biji delima timbul.  Angkat dan disejukkan. Ketepikan.’
  2. Di dalam periuk satukan santan, air, gula, garam, tepung jagung dan daun pandan. Kacau sehingga sebati kemudian hidupkan api.  Kacau senantiasa sehingga kuah agak memekat, tutupkan api.
  3. Setelah itu bolehlah dihidangkan dengan meletakkan santan dahulu di dalam bekas bubur kemudian barulah diletakkan biji delima utnuk mendapatkan rupa yang menarik.

Info Chef: Boleh dimakan sejuk atau panas.

 

8. BUBUR SOM-SOM

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm tepung beras
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 1/2 cawan air
  • 50gm gula merah/melaka
  • 50gm gula pasir

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam periuk, renehkan air bersama gula melaka dan gula pasir sehingga agak pekat. Ketepikan.
  2. Di dalam kuali kacau tepung beras, santan, air dan garam. Kacau hingga sebati dan beras tidak berketul.
  3. Kemudian hidupkan api, kacau hingga tepung menjadi kental. Masukkan ke dalam acuan yang sesuai untuk membentuknya, apabila sejuk bolehlah dihidangkan bersama air gula.

9. PENGAT KELEDEK UNGU

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm keledek ungu |potong dadu lebih kurang 2cm x 2cm
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 50gm gula merah/melaka
  • 250gm santan
  • 600gm air
  • 1 helai daun pandan | simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Rebus keledek sehingga empuk, kemudian masukkan gula, gula merah/melaka, garam dan daun pandan.
  2. Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.  Apabila kuah telah menggelegak  dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

Info chef: Warna ungu yang cantik, tanpa tambah sebarang pewarna.

 

10. BUBUR JAGUNG DAN KIDNEY BEANS

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan  BAHAN-BAHAN:

  • 1 tongkol jagung manis | dihiris
  • 100gm kidney beans |rebus hingga empuk
  • 100gm gula pasir atau secukup rasa
  • 250gm santan
  • 400gm air
  • 1 helai daun pandan | simpul
  • 1/2 sudu teh garam

CARA  MEMASAK:

  1. Rebus rebus biji jagung lebih kurang 15 minit untuk mengeluarkan rasa jagung, kemudian masukkan kidney beans yang telah direbus  sebentar.
  2. Setelah itu masukkan gula, garam dan daun pandan.  Kacau sebentar kemudian masukkan santan pekat.
  3. Apabila kuah telah menggeleggak  dan agak pekat, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

 

11. ASAM GUMPAL

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

UNTUK INTI ASAM GUMPAL:

  • 100gm kacang hijau
  • 1 keping gula melaka
  • 1 liter air

BAHAN SAGU MATA IKAN:

  • 100gm biji sagu
  • 2 1/2 cawan air suam

BAHAN UNTUK KUAH:

  • 250gm santan pekat
  • 2 cm halia yang dihiris halus
  • 1/2 sudu teh halba
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 biji bawang merah yang dihiris

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat inti; Rebus kacang hijau hingga empuk masukkan gula melaka masaklah sehingga menjadi pes kacang hijau. Ketepikan.
  2. Seterusnya gaulkan sagu mata ikan bersama 1/2 cawan air suam, bentukkan sagu mata ikan di tapak tangan. Masukkan inti dan bentukkan bulat.  Buatlah sehingga selesai. Kukus selama 20-30 minit atau sehingga masak.
  3. Untuk kuahnya; Di dalam periuk masaklah santan bersama  dua cawan air, halba, halia, bawang merah  dan garam. Apabila mendidih masukkan asam gumpal yang telah dikukus tadi.  Masaklah sehingga kuah agak memekat.
  4. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

Info chef:  Boleh masukkan daun pandan untuk aroma.

Resipi: Terima kasih Nur Adlina Badarudin, Putrajaya

 

12. BUBUR BARLI DAN PISANG

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji pisang nangka
  • 100gm barli|rebus sehingga empuk
  • 600ml santan
  • 150gm gula
  • 100gm gula merah
  • 2 helai daun pandan|disiat&simpul
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Potong pisang setebal 2cm dan celur sebentar. Toskan.
  2. Satukan santan, gula, gula merah dan daun pandan di dalam periuk.
  3. Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
  4. Masukkan pisang yang telah dicelur berserta barli dan secubit garam.
  5. Didihkan dengan api yang kecil sehingga semua bahan sebati.

Info Chef: Pisang nangka boleh digantikan dengan penggunaan pisang awak.

 

13. BUBUR CANDIL PANDAN 

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

IKLAN
  • 600ml santan pekat
  • 200gm tepung gandum
  • 250gm gula
  • 250ml air perahan daun pandan
  • 2 helai daun pandan|disiat & simpul
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Uli tepung gandum bersama air perahan daun pandan sehingga menjadi doh yang agak lembut.
  2. Bentukkan doh menjadi bebola kecil atau lonjong atau mengikut bentuk yang diingini.
  3. Celur doh sehingga ia menjadi lembut kemudian toskan.
  4. Di dalam periuk yang berlainan, satukan santan, gula dan daun pandan.  Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
  5. Masukkan doh candil yang telah direbus terlebih dahulu berserta secubit garam.  Didihkan lagi untuk beberapa minit sehingga semua bahan menjadi sebati.

Info Chef: Jika doh terlalu keras, tambah sedikit air dan jika doh terlalu lembik tambahkan sedikit tepung

14. BUBUR JAGUNG SAGU 

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm jagung
  • 100gm sagu|rendam hingga kembang dan tos
  • 700ml santan
  • 250gm gula melaka
  • 100gm gula
  • 2 helai daun pandan|disimpul

CARA MEMASAK:

  1. Satukan separuh santan bersama jagung, gula melaka, gula dan daun pandan.
  2. Didihkan sehingga gula menjadi hancur dan jagung menjadi lembut.
  3. Masukkan separuh lagi santan dan sagu.
  4. Didihkan hingga semua bahan sebati dengan menggunakan api yang kecil.

Info Chef: Untuk hidangan ini, gunakan jagung segar yang telah dihiris dari tongkolnya.

 

15. BUBUR PULUT HITAM 

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

BAHAN-BAHAN:

  • 600ml santan
  • 250gm pulut hitam
  • 250gm gula
  • 2 helai daun pandan|disiat dan simpul
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Rendam pulut hitam di dalam periuk  selama sejam kemudian rebus sehingga ia menjadi empuk.
  2. Di dalam periuk, satukan santan, gula dan daun pandan.  Didihkan sehingga ia hampir mendidih.
  3. Masukkan pulut hitam dan secubit garam.
  4. Didihkan lagi sehingga semua bahan menjadi sebati.

Info Chef: Rendam bubur hitam selama satu jam agar ia bersih dan kembang dengan sempurna

 

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

16.BUBUR CHA CHA CEMPEDAK

BAHAN–BAHAN:

100g cha cha kering
200g keladi
100g keledek kuning
100g keledek oren
100g keledek ungu
50g sago

5 ulas isi cempedak

Bahan-bahan (kuah santan):
750ml air
150g gula batu
2 cawan santan
Daun pandan
1/2 sudu kecil garam

CARA MEMASAK :
1. Rebus cha cha kering. Angkat apabila sudah terapung dan rendam di dalam air.

2. Rebus keladi dan keledek hingga empuk. Angkat dan toskan.
3. Rebus sago hingga masak. Angkat dan toskan.
4. Untuk memasak kuah santan, larutkan gula batu di dalam air.
5. Masukkan santan, daun pandan, dan garam. Kacau dan biar reneh.
6. Masukkan cha cha, keladi, keledek, isi cempedak dan sago.
7. Hidang panas atau sejuk.

IKLAN

Info chef:  Sago direndam semalaman untuk cepatkan ia kembang dan cantik jika dimasak dengan api yang perlahan supaya santan tidak  pecah minyak

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

17. PENGAT BEBOLA LABU MANIS
Bahan-bahan:
2 cawan labu yang siap dikukus dan dilenyek
2 cawan lebih tepung pulut
2 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar air kapur sirih
1 sudu teh garam
sedikit pewarna kuning
Tak perlu tambah air semasa menguli doh
1/2 cawan sagu direbus sehingga masak dan lalukan di bawah air untuk buang kanji, ketepikan.

Cara memasak:
1.Gaulkan semua bahan sehingga menjadi doh yang tak melekat pada tangan.Kalau nampk lembut sangat boleh tambah kan tepung pulut lagi.
2.Panaskan air sehingga mendidih, kemudian bulatkan doh tadi, masukkan ke dalam air yang mendidih.
3.Apabila doh dah timbul maknanya kuih dah masak, angkat yang dah timbul kemudian masukkan ke dalam air biasa supaya tak bagi melekat.

Untuk kuah:
4 cawan santan sederhana pekat
1 keping gula Melaka
1/2 cawan gula pasir .Kalau tak nak manis boleh kurangkan.
sedikit garam
1 helai daun pandan

Cara memasak:
1.Masukkan santan ke dalam periuk kemudian masukkan gula Melaka dan gula pasir,1 helai daun pandan dan sedikit garam.
2.Kacau hingga santan mendidih.
3.Kemudian masukkan bebola labu tadi dan sagu yang telah direbus terlebih dahulu.

Kredit: Noriza Awang Hamat

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

18.PENGAT PISANG

Bahan-bahan:
5 biji pisang tanduk
3 sudu besar sagu
3 senduk kecil gula pasir
Secubit garam
1 batang kulit kayu manis- BELI ONLINE DI SINI
2 helai daun pandan

Cara memasak:
1.Rebus air dan larutkan gula bersama garam.
2.Masukkan biji sagu.
3.Masukkan daun pandan dan kulit kayu manis dan kacau hingga sagu kembang.
4.Masukkan pisang dan juga santan.
6.Kacau rata biar santan dan kuah mendidih.
7.Tutup api dan pengat sedia dihidangkan panas atau sejuk.

Kredit: Rozel Linda

19.PENGAT LABU

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

 

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm labu
  • 1 liter air
  • 200gm santan pekat
  • 1 ketul gula Melaka
  • 2 sudu besar gula pasir atau secukup nya
  • 100gm sagu mata ikan
  • 1 helai daun pandan
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Rebus labu bersama air secukupnya, gula melaka dan daun pandan hingga labu empuk.
  2. Setelah itu, masukkan gula pasir, sagu mata ikan, garam dan santan. Masaklah sehingga kuah agak memekat.
  3. Angkat dan sedia untuk dihidang.

Info chef: Jangan masak labu terlalu lama untuk menggelakkan ia terlebih lembik.

20.PENGAT NANGKA

20 Koleksi Pengat & Bubur Lemak Manis Memang Tak Jemu Makan

 

BAHAN-BAHAN:

  • 6 ulas nangka yang dihiris
  • 1 liter air
  • 100gm gula pasir atau mengikut selera
  • 200gm santan pekat
  • 100gm sagu mata ikan
  • 1 helai daun pandan
  • 1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

  1. Masak air, nangka, gula, daun pandan hingga menggelegak.
  2. Setelah itu masukkan sagu mata ikan, garam dan santan. Masak selama 5 minit atau sehingga kuah agak memekat.
  3. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

Info chef: Manis bubur terpulang kepada selera masing-masing. Jika mahu kurang manis, ubahsuai jumlah gula mengikut citarasa.

Buat Sendiri Burger Omelette, Puas Hati Bila Anak Puji Sedap

Tips Elakkan Adunan Bahulu Melekat

Sambal Garing Ikan Bilis Ala-Ala Che Nor, Padu Rasa Buat Ketagih Nak Makan

 

 

 

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI