Marjerin dan mentega adalah dua bahan penting yang selalu digunakan dalam masakan. Tidak kira sama ada untuk menyediakan kek, biskut mahupun lauk pauk, kedua-duanya mempunyai peranan penting dalam menyedapkan sesuatu masakan.
Jika dilihat secara sekali imbas, mentega dan marjerin kelihatan tiada beza. Namun kedua-duanya sebenarnya mempunyai perbezaan. Oleh yang demikian, jika dalam sesuatu resipi menggunakan mentega, anda tidak digalakkan menggantikannya dengan marjerin dan begitulah sebaliknya kerana ia akan menghasilkan hasil yang tidak seperti dijangka.
Antara perbezaannya adalah:
MENTEGA
- Diperbuat daripada lemak haiwan iaitu lemak susu.
- Berwarna lebih pucat berbanding marjerin.
- Dari segi tekstur, mentega lebih mudah lembut dan cair pada suhu bilik.
- Mempunyai kandungan vitamin yang lebih tinggi seperti Vitamin A, E, K yang tidak larut dalam air.
- Cara penyimpanannya adalah perlu disimpan di dalam peti sejuk.
- Sesuai digunakan untuk memasak makanan barat, menumis sup pekat, membuat kek, pastri dan sebagainya.
MARJERIN
- Diperbuat daripada kombinasi lemak haiwan dan lemak sayuran.
- Marjerin mempunyai warna yang lebih kuning berbanding mentega.
- Boleh dibiarkan agak lama pada suhu bilik tanpa merubah teksturnya.
- Mengandungi kurang vitamin berbanding mentega.
- Marjerin boleh disimpan diluar tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.
- Sesuai digabungkan bersama mentega untuk menghasilkan nasi tumis yang enak, membuat biskut, kek-kek tradisional, kuih muih dan lain-lain.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cara-Cara Buat Air Rebusan Yang Sedap Tanpa Perlu Keluar Belanja Yang Mahal.
Rahsia sup dan aneka hidangan berkuah yang enak terletak pada air rebusan yang digunakan. Anda pun boleh buat sendiri dirumah hanya dengan menggunakan bahan-bahan yang sedia ada. Tak perlu lagi keluarkan duit untuk membeli bahan perasa tambahan.
Jika beli udang, kulit dan kepalanya biasanya kita buang. Lepas ni dah boleh simpan. Ini kerana dengan bahan-bahan ni, anda boleh hasilkan air rebusan yang boleh digunakan dalam menyedapkan lagi masakan anda.
Menerusi perkongsian dari Chef Sue M Arukin, beliau mengajar cara-cara untuk menghasilkan air rebusan menggunakan bahan-bahan ini.
CARA BUAT AIR REBUSAN UDANG
1. Basuh bersih kulit dan kepala udang.
2. Kemudian rebus dengan air yang penuh seperiuk hingga air rebusan tinggal separuh. Boleh juga dikisar kulit & kepala udang rebus tu jika suka.
3. Tapis, sejukkan dalam sejam pada suhu bilik dan simpan air rebusan udang di dalam bekas lalu sejuk-bekukan. Selalunya Chef Sue simpan dalam bekas kecil-kecil dalam potion untuk sekali guna. Air rebusan ini boleh disimpan beberapa bulan lamanya.
4. Gunakan air rebusan udang ini untuk menambah perisa dalam pelbagai masakan seperti kuah Mi Bandung, Mi Kari, Mi Udang, Mi Goreng, Sambal Tumis, Laksa dan macam-macam lagi.
Bahkan beliau juga berkongsi cara-cara membersihkan udang.
“Untuk bersihkan udang pula, buang kulit dan kelar bahagian atas yang mengandungi bahan toksid (macam jalur hitam/hijau), buang kotoran tersebut lalu basuh udang bersih-bersih.”
Kredit gambar & resipi: Chef Sue M Arukin
Cara Goreng Kacang Tanah Tak Hangus & Masak Sempurna.
Goreng kacang tanah, dengar macam senangkan, tapi sebenarnya ia bukan senang yang pro pun kerap juga gagal, sebabnya menggoreng kacang ada tekniknya supaya ia tidak pahit atau liat sebab kurang masak. Nak tahu macam mana cara yang sempurna goreng kacang tanah, korang kena baca tip yang RASA kongsikan ini:-
Pilih Kacang Tanah Yang Elok
Ini penting, kualiti kacang yang elok mempunyai kulit ari yang terang dan saiz biji kacang adalah sama. Jangan beli kacang yang tak sama saiz, ia akan menyebabkan kacang tidak masak sekata bila digoreng.
Gunakan Minyak Banyak Semasa Menggoreng
Semasa menggoreng pastikan semua kacang tenggelam dalam minyak masak yang panas. Oleh itu korang perlu menggunakan minyak lebih banyak dari kacang. Seperkata lagi korang perlu sentiasa kacau supaya kacang masak sekata. Tidak ada istilah menyambil semasa menggoreng kacang tanah.
Angkat Kacang Sebelum Kacang Betul-Betul Masak
Perhatikan betul, bila kacang tanah yang digoreng bertukar warna kuning muda atau rasa hampir masak, segera angkat kerana ia akan betul-betul masak dan garing dalam beberapa saat semasa proses mengangkatnya. Jangan tunggu kulit kacang sudah berwarna kecoklatan atau masak sepenuhnya. Akibatnya kacang akan berasa sedikit pahit kerana terlalu ‘over cook’. Atau biarkan kacau dalam kuali walaupun api sudah ditutup. Kuali panas akan jadikan kacang anda hangus.
Rendam Dalam Air Mendidih
Jika korang ingin menggoreng tanpa kulit arinya, sebaiknya rendam kacang dalam air mendidih lebih kurang 10 minit supaya kulit arinya lembut dan senang dibuang. Kemudian tos sebelum sedia digoreng. Pastikan semua kulit ari dibuang, jika tidak ada sisa kulit ia akan cepat hangus dan menjadikannya pahit.
Guna Api Sederhana
Jika anda goreng kacang tanpa minyak (sangai) pastikan anda menggunakan api sederhana dan sentiasa kacau supaya kacang masak sekata. Cara ini agak lambat berbanding menggoreng menggunakan minyak.
Selamat mencuba ye…
Anda Bakal Pergi Bercuti? Ini Tip Memasak Yang Boleh Dibuat Panduan Bila Melancong Ke Luar Negara.
Percutian bersama ahli keluarga memang menyeronokkan lebih-lebih lagi jika berkunjung ke luar negara. Namun salah satu perkara yang menjadi kerumitan apabila berkunjung ke negara asing ialah dari segi kesukaran untuk mendapatkan makanan halal. Malah jika ada pun, harganya pasti lebih mahal. Bagi yang bercadang untuk pergi bercuti ke luar negara dan bercadang untuk memasak sendiri, tips perkongsian dari Puan Mona Din ini boleh anda cuba.
Menurut Puan Mona Din, tatkala berkunjung ke luar negara, banyak faktor yang membuatkan beliau memilih untuk memasak sendiri sajian untuk keluarga. Antaranya:
1. Makanan Halal
- Agar sukar untuk mendapatkan restoran 100% halal. Jika ada pun cuma satu dua dan terpaksa ‘travel’ jauh untuk mencarinya. Dan jika ‘simply’ nak makan di restoran, harapkan perkataan ‘seafood’ je. Kadang-kadang tekak tak mampu nak menelan. Jadi untuk makan tanpa was-was, eloklah masak sendiri.
2. Makan Puas-Puas
- Andai hanya makan sekadar pizza seafood, spageti carbonara dan spageti seafood, kadang-kadang tak mengenyangkan dan tekak berasa tak puas. Apatah lagi saya yang ada 5 ‘heroes’. Orang lelaki kalau makan nak kenyang betul-betul. Jadi masak sendiri ‘is the best’ sebab kena citarasa dan boleh masak banyak-banyak.
3. Lebih Jimat
- Di luar negara, tukaran mata wang kita sangatlah rendah. Jadi kadang-kadang sekali makan sekeluarga, memang mahal nak kena bayar. Kalau makan tiga kali sehari (minimum)? Berapa banyak dah habis. Dikira pula jika percutian tersebut untuk tempoh satu minggu. Memang banyak perlu ‘spend’ untuk makan sahaja. Kalau masak sendiri, cuma perlu beli sayur dan telur pun dah cukup uumphh!
4. Cari Pahala & Pintal Rasa Kasih Sayang
- Pengorbanan untuk masak dan sediakan hidangan buat keluarga, pasti ada ganjaran pahala yang menanti. Malah ia juga dapat membina serta mengeratkan rasa kasih sayang antara suami isteri serta anak-anak.
5. Bina Memori & Kenangan
- Percutian adalah saat untuk cipta memori dan bina kenangan baru. Jadi rebutlah masa bercuti ini untuk berkelah di tempat-tempat yang cantik. Sambil makan sambil dapat merapatkan lagi kemesraan.
BAGAIMANA NAK MEMASAK SEMASA BERCUTI?
1. RANCANG AWAL
Rancang dan sediakan menu lebih awal untuk setiap waktu makan pada setiap hari semasa berada di sana nanti. Jadi anda akan tahu apa bahan yang perlu dibawa dari rumah, dibeli di sana serta kuantiti yang perlu diguna. Be smart!
2. BAWA BAHAN MASAK DARI RUMAH
Semak sama ada tempat penginapan yang anda tempah ada menyediakan dapur serta kemudahan memasak atau tidak. Jika ada, bolehlah bawa bahan untuk memasak seperti serbuk kari dan lain-lain. Jika tempat penginapan anda tidak menyediakan kemudahan ini ( jika tinggal di hotel), bawalah makanan segera yang boleh dipanaskan sahaja seperti sardin, sambal bilis, acar, nasi goreng segera dan bermacam-macam lagi. Cuma perlu masak nasi je masa disana.
3. PERIUK NASI ELEKTRIK JANGAN LUPA!
Bawa periuk nasi elektrik kecil serbaguna. Selain memasak nasi, periuk ini juga sangat berguna untuk memasak kari, sup, tomyam dan bermacam-macam lagi. Ia juga berfungsi macam termos. Senang dipegang dan dibawa. Jadi makanan yang dimasak boleh kekal panas berjam-jam lamanya.
4. SUMBAT BEG DENGAN BAHAN MASAK
Bawa bahan-bahan mentah yang sukar diperolehi di luar negara. Antaranya seperti beras, serbuk santan, cili boh, serbuk-serbuk perasa yang halal, garam, kicap, sos tiram, minyak masak, rempah kurma, kari, asam pedas, tomyam, bihun dan sebagainya. Lebih selamat jika bahan-bahan yang dipek dalam bekas atau botol plastik. Jika tempat percutian anda mudah untuk mendapatkan barang-barang diatas, tak perlulah bawa dengan banyak. Hanya perlu bawa ‘potion’ untuk memasak pada hari pertama sahaja. Hari-hari lain anda boleh keluar dan beli bahan basah untuk kegunaan sepanjang percutian.Tapi jika harga barang-barang di atas sangat mahal di luar negara, lebih baik bawa siap-siap dari Malaysia. Bawa juga bahan-bahan basah yang perlu dan susah dapat di sana seperti daun kunyit, daun pandan, serai, daun kari dan sebagainya.
5. STANDBY MAKANAN ‘READY TO EAT’
Sebagai persediaan, jangan lupa untuk bawa makanan siap masak dalam paket seperti aneka produk Brahims, sardin, serunding, sambal bilis dan mi segera. Ia sebagai persediaan dikala anda tak sempat memasak atau tidak boleh memasak.
6. BAWA PES SAMBAL TUMIS KOSONG
Lebih bagus jika boleh bawa sambal tumis kosong yang telah siap dimasak. Bungkus dengan elok dan bila disana, hanya perlu tambah telur rebus atau ikan bilis sahaja. Malah jika letak santan, boleh jadi menu masak lemak. Dah ada beberapa menu berbeza untuk anda nikmati.
7. IKAN BILIS GORENG PENAMBAH SELERA
Anda juga boleh bawa ikan bilis atau ikan kering ( pilih yang kurang berbau) yang telah siap digoreng. Masukkan ke dalam bekas, balut dengan plastik dan ikat dengan kemas agar baunya tidak keluar dari beg yang di daftar masuk.
8. BAWA BARANGAN PAKAI BUANG
Bawa pinggan, cawan dan sudu plastik yang ringan, boleh dicuci dan diguna kembali. Ia untuk memudahkan anda makan serta bawa untuk berkelah. Ada sesetangah tempat penginapan yang menyediakan kemudahan pinggan. Namun jika was-was, tidak perlulah guna. Guna sahaja pinggan yang dibawa.
9. BELI KUALI MURAH-MURAH
Bila sampai di destinasi dan berkunjung ke pasaraya untuk beli sayur, telur, ikan, udang dan lain-lain, beli juga satu periuk atau kuali yang paling murah untuk masak lauk dan sayur. Bila habis bercuti, boleh ditinggalkan sahaja. Ia bertujuan untuk memasak tanpa rasa was-was.
10. LETAK BAHAN MAKANAN DALAM BEG KHAS
Semua bahan-bahan makanan ( kering dan basah) perlu diletakkan dalam satu beg khas. Ia bertujuan untuk memudahkan proses ‘declaration’ serta pemeriksaan kastam sewaktu di lapangan terbang. Bila nak masak nanti pun senang untuk cari bahan.
Info penting: Jika bawa makanan yang mudah pecah, jangan lupa balut sekurang-kurangnya dengan dua kantung plastik. Ia sebagai langkah keselamatan jika ia terpecah, bahan tersebut terperangkap dalam plastik dan tidak terkena barang-barang lain.
Kredit info & gambar: Puan Mona Din