Percutian bersama ahli keluarga memang menyeronokkan lebih-lebih lagi jika berkunjung ke luar negara. Namun salah satu perkara yang menjadi kerumitan apabila berkunjung ke negara asing ialah dari segi kesukaran untuk mendapatkan makanan halal. Malah jika ada pun, harganya pasti lebih mahal.  Bagi yang bercadang untuk pergi bercuti ke luar negara dan bercadang untuk memasak sendiri, tips perkongsian dari Puan Mona Din ini boleh anda cuba.

Menurut Puan Mona Din, tatkala berkunjung ke luar negara, banyak faktor yang membuatkan beliau memilih untuk memasak sendiri sajian untuk keluarga. Antaranya:

1. Makanan Halal

  • Agar sukar untuk mendapatkan restoran 100% halal. Jika ada pun cuma satu dua dan terpaksa ‘travel’ jauh untuk mencarinya. Dan jika ‘simply’ nak makan di restoran, harapkan perkataan ‘seafood’ je. Kadang-kadang tekak tak mampu nak menelan. Jadi untuk makan tanpa was-was, eloklah masak sendiri.

2. Makan Puas-Puas

  • Andai hanya makan sekadar pizza seafood, spageti carbonara dan spageti seafood, kadang-kadang tak mengenyangkan dan tekak berasa tak puas. Apatah lagi saya yang ada 5 ‘heroes’. Orang lelaki kalau makan nak kenyang betul-betul. Jadi masak sendiri ‘is the best’ sebab kena citarasa dan boleh masak banyak-banyak.

3. Lebih Jimat

  • Di luar negara, tukaran mata wang kita sangatlah rendah. Jadi kadang-kadang sekali makan sekeluarga, memang mahal nak kena bayar. Kalau makan tiga kali sehari (minimum)? Berapa banyak dah habis. Dikira pula jika percutian tersebut untuk tempoh satu minggu. Memang banyak perlu ‘spend’ untuk makan sahaja. Kalau masak sendiri, cuma perlu beli sayur dan telur pun dah cukup uumphh!

4. Cari Pahala & Pintal Rasa Kasih Sayang

  • Pengorbanan untuk masak dan sediakan hidangan buat keluarga, pasti ada ganjaran pahala yang menanti. Malah ia juga dapat membina serta mengeratkan rasa kasih sayang antara suami isteri serta anak-anak.

 5. Bina Memori & Kenangan

  • Percutian adalah saat untuk cipta memori dan bina kenangan baru. Jadi rebutlah masa bercuti ini untuk berkelah di tempat-tempat yang cantik. Sambil makan sambil dapat merapatkan lagi kemesraan.

 

 

BAGAIMANA NAK MEMASAK SEMASA BERCUTI?

kredit: the travel world guide

1. RANCANG AWAL

Rancang dan sediakan menu lebih awal untuk setiap waktu makan pada setiap hari semasa berada di sana nanti. Jadi anda akan tahu apa bahan yang perlu dibawa dari rumah, dibeli di sana serta kuantiti yang perlu diguna. Be smart!

kredit: google.com

IKLAN

2. BAWA BAHAN MASAK DARI RUMAH

Semak sama ada tempat penginapan yang anda tempah ada menyediakan dapur serta kemudahan memasak atau tidak. Jika ada, bolehlah bawa bahan untuk memasak seperti serbuk kari dan lain-lain. Jika tempat penginapan anda tidak menyediakan kemudahan ini ( jika tinggal di hotel), bawalah makanan segera yang boleh dipanaskan sahaja seperti sardin, sambal bilis, acar, nasi goreng segera dan bermacam-macam lagi. Cuma perlu masak nasi je masa disana.

kredit: Puan Mona Din

3. PERIUK NASI ELEKTRIK JANGAN LUPA!

Bawa periuk nasi elektrik kecil serbaguna. Selain memasak nasi, periuk ini juga sangat berguna untuk memasak kari, sup, tomyam dan bermacam-macam lagi. Ia juga berfungsi macam termos. Senang dipegang dan dibawa. Jadi makanan yang dimasak boleh kekal panas berjam-jam lamanya.

4. SUMBAT BEG DENGAN BAHAN MASAK

Bawa bahan-bahan mentah yang sukar diperolehi di luar negara. Antaranya seperti beras, serbuk santan, cili boh, serbuk-serbuk perasa yang halal, garam, kicap, sos tiram, minyak masak, rempah kurma, kari, asam pedas, tomyam, bihun dan sebagainya. Lebih selamat jika bahan-bahan yang dipek dalam bekas atau botol plastik. Jika tempat percutian anda mudah untuk mendapatkan barang-barang diatas, tak perlulah bawa dengan banyak. Hanya perlu bawa ‘potion’ untuk memasak pada hari pertama sahaja. Hari-hari lain anda boleh keluar dan beli bahan basah untuk kegunaan sepanjang percutian.Tapi jika harga barang-barang di atas sangat mahal di luar negara, lebih baik bawa siap-siap dari Malaysia. Bawa juga bahan-bahan basah yang perlu dan susah dapat di sana seperti daun kunyit, daun pandan, serai, daun kari dan sebagainya.

IKLAN

5. STANDBY MAKANAN ‘READY TO EAT’

Sebagai persediaan, jangan lupa untuk bawa makanan siap masak dalam paket seperti aneka produk Brahims, sardin, serunding, sambal bilis dan mi segera. Ia sebagai persediaan dikala anda tak sempat memasak atau tidak boleh memasak.

kredit: rasa.my

6. BAWA PES SAMBAL TUMIS KOSONG 

Lebih bagus jika boleh bawa sambal tumis kosong yang telah siap dimasak. Bungkus dengan elok dan bila disana, hanya perlu tambah telur rebus atau ikan bilis sahaja. Malah jika letak santan, boleh jadi menu masak lemak. Dah ada beberapa menu berbeza untuk anda nikmati.

kredit: google.com

7. IKAN BILIS GORENG PENAMBAH SELERA

IKLAN

Anda juga boleh bawa ikan bilis atau ikan kering ( pilih yang kurang berbau) yang telah siap digoreng. Masukkan ke dalam bekas, balut dengan plastik dan ikat dengan kemas agar baunya tidak keluar dari beg yang di daftar masuk.

kredit: google.com

8. BAWA BARANGAN PAKAI BUANG

Bawa pinggan, cawan dan sudu plastik yang ringan, boleh dicuci dan diguna kembali. Ia untuk memudahkan anda makan serta bawa untuk berkelah. Ada sesetangah tempat penginapan yang menyediakan kemudahan pinggan. Namun jika was-was, tidak perlulah guna. Guna sahaja pinggan yang dibawa.

9. BELI KUALI MURAH-MURAH

Bila sampai di destinasi dan berkunjung ke pasaraya untuk beli sayur, telur, ikan, udang dan lain-lain, beli juga satu periuk atau kuali yang paling murah untuk masak lauk dan sayur. Bila habis bercuti, boleh ditinggalkan sahaja. Ia bertujuan untuk memasak tanpa rasa was-was.

kredit: travelzoo

10. LETAK BAHAN MAKANAN DALAM BEG KHAS

Semua bahan-bahan makanan ( kering dan basah) perlu diletakkan dalam satu beg khas. Ia bertujuan untuk memudahkan proses ‘declaration’ serta pemeriksaan kastam sewaktu di lapangan terbang. Bila nak masak nanti pun senang untuk cari bahan.

 

Info penting: Jika bawa makanan yang mudah pecah, jangan lupa balut sekurang-kurangnya dengan dua kantung plastik. Ia sebagai langkah keselamatan jika ia terpecah, bahan tersebut terperangkap dalam plastik dan tidak terkena barang-barang lain.

 

Kredit info & gambar: Puan Mona Din