Marjerin dan mentega adalah dua bahan penting yang selalu digunakan dalam masakan. Tidak kira sama ada untuk menyediakan kek, biskut mahupun lauk pauk, kedua-duanya mempunyai peranan penting dalam menyedapkan sesuatu masakan.
Jika dilihat secara sekali imbas, mentega dan marjerin kelihatan tiada beza. Namun kedua-duanya sebenarnya mempunyai perbezaan. Oleh yang demikian, jika dalam sesuatu resipi menggunakan mentega, anda tidak digalakkan menggantikannya dengan marjerin dan begitulah sebaliknya kerana ia akan menghasilkan hasil yang tidak seperti dijangka.
Antara perbezaannya adalah:
MENTEGA
- Diperbuat daripada lemak haiwan iaitu lemak susu.
- Berwarna lebih pucat berbanding marjerin.
- Dari segi tekstur, mentega lebih mudah lembut dan cair pada suhu bilik.
- Mempunyai kandungan vitamin yang lebih tinggi seperti Vitamin A, E, K yang tidak larut dalam air.
- Cara penyimpanannya adalah perlu disimpan di dalam peti sejuk.
- Sesuai digunakan untuk memasak makanan barat, menumis sup pekat, membuat kek, pastri dan sebagainya.
MARJERIN
- Diperbuat daripada kombinasi lemak haiwan dan lemak sayuran.
- Marjerin mempunyai warna yang lebih kuning berbanding mentega.
- Boleh dibiarkan agak lama pada suhu bilik tanpa merubah teksturnya.
- Mengandungi kurang vitamin berbanding mentega.
- Marjerin boleh disimpan diluar tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.
- Sesuai digabungkan bersama mentega untuk menghasilkan nasi tumis yang enak, membuat biskut, kek-kek tradisional, kuih muih dan lain-lain.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Chef Selebriti Ili Sulaiman Kongsi 3 Resipi Dari Air Tangannya
Perniagaan menjual makanan menggunakan mangkuk tingkat menjadi titik tolak buat chef selebriti Khalisah Sulaiman atau lebih mesra digelar Ili sebaik dilamar Astro Ria menerusi program Diari Mangkuk Tingkat Ili pada Februari 2015.Menerusi program ini, Ili semakin dikenali ramai.
Menurut anak tunggal itu, dunia masakan bukan perkara yang asing baginya kerana sejak kecil lagi, dia sudah didedahkan dengan aktiviti di dapur.
“ Memang selalu dengan nenek di dapur, dorong minat Ili dalam masakan. Nenek selalu galakkan saya untuk memasak atau tolong dia di dapur. Ibu dan nenek memang handal bab memasak. Jadi, sedikit sebanyak bakat itu turun kepada Ili.
Ibu dan ayah memiliki keluarga yang besar. Kami selalu mengadakan aktiviti rewang jika terdapat majlis kesyukuran atau sambutan hari jadi. Dengan masakan menjadikan kami sekeluarga sering bersama ( bonding) .
Makanan yang dihidangkan juga mempunyai tema. Umpamanya hari ini kita masak kari. Jadi tema hari itu semua berkaitan masakan india memandangkan sebelah ayah Ili ada kacukan Sri Langka,”cerita Ili.
Tambah anak jati Kuala Lumpur itu, semasa melanjutkan pelajaran di London, England, dia juga sering menjadi tukang masak kepada kawan-kawannya. “Bila rindu keluarga di Malaysia, Ili akan masak untuk pelajar universiti contohnya ketika hari raya. Ketika itu rumah jadi tumpuan dari petang sampai ke malam,” imbau Ili .
Masih kekal di ingatan masakan pertama yang dipelajari dari neneknya ialah bagaimana untuk masak nasi. Petua menyukat paras air dan beras ialah perkara pertama yang dipelajarinya.
Kongsi Ili bukan hanya dirinya bijak memasak malah beberapa sepupu dan makciknya juga turut handal memasak.
“Nenek cakap jangan kedekut tentang makanan. Jangan kedekut untuk berkongsi ilmu. Berniaga pun kena ikhlas. Kalau tidak ikhlas memang tidak jadi. Itu adalah petua yang sampai sekarang Ili ingat. Ada yang tanya Ili tak rasa rugi kongsi resipi . Ili cakap bila kita ikhlas, rezeki akan bertambah lagi,” akuinya
Malah dalam apa jua yang dilakukan, terutama yang melibatkan makanan, kalau tidak dilakukan dengan ikhlas, memang tidak akan sukses atau dalam erti kata lain tidak berkat.
Inspirasi/mentor
Akui Ili lebih selesa bersama orang-oang tua yang banyak menjadi mentor buat dirinya. “ Ili lebih menghargai orang tua sebab mereka sudah memasak untuk kelaurga bertahun lama dan ilmu mereka banyak. Bila ili di dapur dengan orang tua, pergerakan menjadi lebih mudah. Ini kerana sejak kecil bersama nenek. Jadi bila Ili masak dengan orang tua, tidak merasa kekok langsung. I feel like I’m at home.
Pencapaian diri
“Saya tidak menganggap diri saya sebagai seorang chef ataupun selebriti. Saya tidak terima apa-apa latihan profesional kecualilah yang diperoleh daripada nenek saya. Perjalanan saya masih jauh lagi.”ujar Ili.
Sekembali ke Malaysia pada tahun 2014, Ili mengusahakan perniagaan menjual makanan siap dimasak menerusi Instagram, Dish by Ili. Lebih istimewa, makanan itu dijual di dalam mangkuk tingkat. Kejayaan Dish by Ili memarakkan lagi api kesungguhan dalam diri Ili untuk menabur bakti dalam dunia masakan.
Perniagaan menjual makanan menggunakan mangkuk tingkat menjadi titik tolak dalam hidup wanita itu apabila dia dilamar Astro Ria menerusi program Diari Mangkuk Tingkat Ili.
Selepas program itu, Ili telah menyertai pertandingan Food Hero anjuran Asian Food Channel (AFC) pada tahun 2015.walaupun masih baru dalam lapangan masakan, Ili berjaya menjuarai pertandingan itu. Sejak itu, beliau mula muncul di kaca televisyen dengan rancangan masakan.
Ili kemudian menyahut cabaran dengan membuka restoran dikenali Agak Agak yang terletak di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur.
“Membuka restoran, adalah satu proses pembelajaran bagi Ili kerana pada ketika itu berfikir mudah untuk run restoran. Tapi kemudiannya saya sedar tidak boleh melakukannya kerana bukannya mudah kerana memerlukan Ili sentiasa ada di restoran. Tidak lama hanya lebih kurang setahun setengah dan Ili sedar , perlu fokus apa yang Ili mahukan untuk branding diri Ili. What is my stand and my voice. Create a brand that people can fall in love. Admire and look up to,” cerita Ili
Bekerja dengan jenama besar TEFAL sebagai duta produk adalah satu penghargaan buat Ili. Akui Ili kini dirinya lebih banyak memberi tumpuan untuk program di televisyen.
Harapan
Hasrat Ili mahu menjadi no.1 malaysian food export. Bila masyarakat ingat tentang makanan Malaysia, mereka akan terus mengingati Ili. “ Tak kira where u are in the world. If u want to know about Chinese Malaysia food, apa yang orang Melayu makan di rumah, mereka akan cari Ili.
Berdarah kacukan memberi kelebihan buatnya untuk memasak pelbagai jenis masakan. Semua masakan Ili boleh menikmatinya. I want to showcase what malaysian hospitality, what Malaysian food have and to offer the world.
Program terbaru siaran di Astro Jelajah RASA Nusantara Rancangan yang diacarakan Ili bersama Adam Didam ini memang sangat menepati jiwanya. Berjalan-jalan sambil mencari ilmu masakan. Tengok apa kesamaan dan dan perbezaan masakan di Nusantara. Bila tengok memang makanan ini berbeza, contohnya satay, bila tengok konsepnya sama daging yang dicucuk pada lidi dan dibakar.
Tetapi sebab latar belakang di tempat berbeza umpamanya di Jakarta sataynya beza dengan satay di Jawa begitu juga di Medan. Begitu juga di Malaysia menyebabkan ia berbeza rasa, That’s the beauty of food.
“Impian akan datang Ili ingin mengeluarkan lifestyle product untuk kegunaan dapur yang boleh memenuhi keperluan pengguna,” akhiri Ili.
MANGO TRIFLE
Bahan-bahan:
2 Swiss Rolls/Kek Marble
500gm mangga manis
2 paket jeli perisa mangga
4 sudu makan gula
1 sudu teh garam
300ml santan
Cara memasak:
- Potong swiss roll kepada saiz kecil dan letakkkan dalam mangkuk jernih, lapis kek tadi di bahagian bawah diikuti dengan buah mangga. Ulang proses ini.
- Panaskan jeli mengikut arahan dan tuang adunan tersebut ke dalam mangkuk. Biarkan sejuk dan masukkan dalam peti sejuk lebih kurang dua jam.
- Gunakan periuk kecil, letakkan santan, gula dan garam. Kacau sehingga ia menjadi pekat.
- Sebaik jeli di letakkan di dalam trifle dan adunan santan sejuk, tuang santan tadi dan sedia dihidangkan.
Penyediaan : 10 minit
Masak : 10 minit
Siap : 2 jam
Hidangan : 10-12 orang
SPAGHETTI VONGOLE
Bahan-bahan:
150gm lala
150gm kepah
6 ulas bawang putih ( dicincang)
2 sudu makan enmpingan cili
6 sudu makan minyak zaitun
1/2 cawan jus epal
1 sudu teh cuka
Italian atau English parsley (dicincang)
250gm spagheti
1 liter air
Garam secukup rasa
Cara memasak:
- Sediakan periuk berisi air panas, letakkan lebih kurang 2-3 sudu teh garam dan kemudian masukkan pasta dan rebus.
- Dengan menggunakan kuali, tambah separuh minyak zaitun bersama bawang putih dan empingan cili,, goreng sehingga 30 saat sebelum menambah kepah dan lala, cuka dan jus epal. Tutup dan biarkan kepah dan lala masak hingga terbuka kulitnya.
- Bila kepah dan lala masak, tambahkan pasta yang telah dimasak, parsley yang dicincang. Gaulkan sebati.
- Perasakan mengikut cita rasa.
- Sedia dihidangkan.
Penyediaan : 10 minit
Masak : 15 minit
Siap : 30 minit
Hidangan : 3-4 orang
Sambal Kelapa dan Kacang Buncis
Bahan-bahan:
4 sudu makan minyak sayuran
1 sudu bij sawi, basuh dan tos hingga kering
3 biji cili kering, dibasuh, dibuang biji dan potong 1/2 cm keping
1/2 cawan kacang dhal, basuh dan tos kering
1 tangkai daun kari, basuh dan keringkan
2 sudu teh jintan putih
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu teh serbuk garam masala
1 biji tomato ( dipotong dadu)
350gm kacang buncis, dipotong miring
1 sudu teh garam ( secukup rasa)
1 biji kentang, potong kiub dan goreng sehingga kekuningan
1 cawan kelapa segar, masak dalam kuali tidak melekat hingga warna kekuningan
1 cawan air
Gula secukup rasa
Cara memasak:
- Panaskan minyak di dalam kuali dengan kepanasan sederhana. Masukkan biji sawi, tutup dan goreng hingga bunyi pop.
- Buka penutup, masukkan cili dan dhal, goreng hingga cili jadi rangup dan dhal jadi keperangan.
- Tambah daun kari dan jintan putih. Goreng hingga daun kari bertukar menjadi hijau terang.
- Tambah serbuk rempah, tomato, kacang buncis dan garam. Goreng sekejap lebih kurang 5 minit.
- Tambah kentang, kelapa dan air. Masak sehingga kacang buncis lembut dan air menyerap lebih kurang lima minit. Perasakan dengan gula dan garam. Hidang ketika panas.
Penyediaan : 30 minit
Masak : 20 minit
Siap : 50 minit
Hidangan : 4 orang
Foto: Nurul Niza & Ili Sulaiman
Resipi & Foto: DISH BY ILI
7 Manfaat & Khasiat Terung Ungu Terhadap Kesihatan.
Terung adalah sejenis sayur yang mudah didapati dan banyak digunakan dalam masakan rakyat Malaysia. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari India dan Sri Langka serta mempunyai beberapa warna antaranya berwarna ungu, hijau dan putih. Terung merupakan sayuran yang pelbagai guna dan ia mudah diolah dengan pelbagai cara masakan seperti kari, gulai, goreng, sambal, bakar dan bermacam-macam lagi.
Namun tahukah anda bahawa terung terutamanya yang berwarna ungu mempunyai pebagai khasiat yang baik untuk kesihatan? Kandungan nutrisinya sangat luar biasa, ia kaya dengan kalsium, mineral, serat, bioflavonoid serta vitamin K. Malah kajian pakar turut mengakui terung juga baik untuk kesihatan otak dan jantung. Jadi, tidak salah jika terung dijadikan menu sihat anda sekeluarga.
KHASIAT TERUNG
1. KAYA ZAT BESI
Dengan kandungan zat besi yang tinggi, ia membantu anda sihat dan kuat. Tidak kiralah dimasak dengan cara apa sekalipun, dipaggang atau dibuat ulam, ia paling baik untuk kesihatan tulang dan mencegah anemia.
2. RENDAH KALORI
Terung adalah sayur yang rendah kalori dan bebas lemak. Jika ingin berdiet, dengan makan terung anda lebih kenyang sepanjang hari.
3. TINGGI SERAT
Kandungan serat yang tinggi baik untuk membantu sistem penghdaman. Pengambilan terung secara rutin dikatakan mampu mencegah risiko kanser usus.
4. MENJAGA KESIHATAN JANTUNG
Terung mengandungi bioflaconoid yang tinggi dan ia baik untuk kesihatan hati, mengawal tekanan darah tinggi dan meredakan stres. Masa yang sama membantu menurunkan kadara kolestrol jahat yang berisiko membahayakan jantung.
5. MENCEGAH DIABETES
Terung juga mempunyai serat yang tinggi, rendah lemak dan karbohidrat. Tidak hairanlah ia membantu mencegah anda dari diabetes.
6. TULANG LEBIH SIHAT DAN KUAT
Kandungan kalsium dalam terung boleh menguat sendi dan tulang.
7. MAKANAN OTAK
Kandungn nutrisi phyti dalam terung adalah salah satu nutrisi yang sangat diperlukan oleh otak. Jadi anda tidak perlu fikir lagi, makan sahaja terung untuk otak yang cergas dan sihat.
Teringin nak masak menu terung hari ni? Ini antara hidangan mudah dan sedap yang boleh anda cuba.
KOLEKSI RESIPI MASAKAN TERUNG
Jom kita variasikan menu dengan menggunakan terung..Macam-macam boleh dimasak dan bila dapat hidangan-hidangan ni rasa macam tak perlu lauk lain dah..Nak ratah macam tu je pun sedap!
1. LAWA TERUNG
BAHAN-BAHAN:
- 3 biji terung panjang
- 1 cawan santan pekat
- 1 biji limau nipis
- 3 ulas bawang merah-hiris
- 5 tangkai cili padi
- Sedikit garam
CARA MASAK:
- Terung belah dia dan bakar
- Campurkan garam dalam santan sehingga cecukup rasa.
- Letakkan terung dalam pinggan hidang, tuangkan santan di atasnya.
- Kemudian taburkan hirisan bawang dan cili.
- Sedia dihidangkan.
2. PAJERI TERUNG
BAHAN-BAHAN:
- 3 biji terung panjang- belah dua
- 200 ml santan pekat
- 3 sudu besar rempah kari daging
- 1 sudu besar kerisik
- 2sm kulit kayu manis
- 4.kuntum bunga lawang
- 4biji buah pelaga
- 3 ulas bawang putih-kisar
- 3 ulas bawang merah-kisar
- 1cm halia-kisar
- 1 sudu besar undang kering-kisar
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:1.
- Potong terung memanjang bersaiz lebih kurang sejengkal.
- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar bersama rempah sehingga naik bau.
- Kemudian masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. Kacau hingga pecah minyak.
- Masukkan terung, kacau seketika dan masukkan santan.
- Masak sehingga kuah menjadi pekat atas api sederhana.
- Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
3. TERUNG GORENG BERLADA
BAHAN-BAHAN:
- Terung (dibelah)
- 1 bawang besar (dipotong)
- Segenggam udang kering (direndam dulu)
- 4 biji cili merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar
- Asam jawa
- Garam & gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Gorengkan terung & kemudian ketepikan dulu.
- Tumbuk cili, bawang besar & putih & udang kering yg sudah ditoskan airnya.
- Tumiskan semua bahan tumbuk tadi.
- Masukkan sedikit air & asam jawa serta bawang potong.
- Masukkan gula & garam secukup rasa.
- Masukkan terung & gaulkan rata..Siap!
Kredit resipi & foto: Tiara Rahman
4. TERUNG BAKAR AIR ASAM
BAHAN-BAHAN:
- Terung (bakar)
- 2 biji cili padi
- 2 biji cili besar
- Belacan (tumbuk kasar)
- Santan
- Perahan limau
- Garam gula
- Bawang besar-di mayang
- Cili padi-potong
CARA MEMASAK:
- Bakar terung (terbakar hitam itu yang buat lagi sedap)
- Cili padi, cili merah dan belacan ditumbuk kasar.
- Masukkan bahan tumbuk dalam mangkuk kecil.
- Selepas itu masukkan terung, santan, bawang besar, cili padi potong dan perahan limau. Gaul hingga sebati.
- Jangan lupa perasakan dengan garam dan gula.
- Bila rasa sudah sedap boleh makan dengan nasi panas.
Kredit resipi & foto: Arieza Riez
5. SAMBAL TERUNG BILIS RANGUP
- 4 biji terung saiz sedang (potong serong, rendam, cuci & tos )
- 2 sudu besar cili kisar
- 3 ulas bawang merah (hiris)
- 2 ulas bawang putih (hiris)
- Segengam ikan bilis
- 1/2 kiub ikan bilis
- Garam, serbuk perasa & sikit gula
- Sikit serbuk kunyit
- Minyak
- Terung digaul dengan garam dan kunyit. Panaskan minyak agak byk. Goreng terung hingga nampak lembut. Angkat dan ketepikan dulu. Goreng pulak ikan bilis hingga garing, angkat dan ketepikan dalam pinggan berasingan.
- Kurangkan minyak dalam kuali tadi untuk menumis. Tumis bahan-bahan mayang hingga bawang layu. Masukkan cili kisar & tumis hingga wangi.
- Masukkan kiub bilis, sedikit garam, serbuk perasa dan sikit gula. Masukkan 2, 3 sudu air jika sambal terlalu kering. Kacau hingga sebati.
- Masukkan terung dan gaul sebati. Akhir sekali taburkan ikan bilis dan gaul lagi. Hidang panas-panas semasa ikan bilis masih rangup. (Jika belum mahu makan, masukkan ikan bilis kemudian apabila dah sedia untuk dihidangkan. Hanya masukkan ikan bilis & gaul. Tidak perlu dipasangkan api dapur)
Kredit resipi & foto: MaDiHaA a.k.a Ratna
Semua orang suka menu telur dadar ni. Sedap malah sangat mudah nak masak. Bagi yang terasa nak makan telur dadar panas-panas, ni ada resipi yang diolah menjadikan menu ini lebih menarik dan lebih sedap! Salah satu resipi yang best adalah yang dikongsi oleh saudari Jastia Taza ni. Nampak sempoi je tapi memang sedap. Anda boleh cuba.
6. TELUR DADAR TERUNG BAKAR
BAHAN-BAHAN:
- 2 biji terung
- 2 biji telur
- Garam dan perasa secukupnya
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Bakar terung atas api sekali dengan kulit hingga warna ungu bertukar hitam.
2. Biarkan sejuk dan buang kulit terung yang kehitaman tadi.
3. Pecahkan telur dalam bekas dan pukul sekejap. Masukkan garam dan perasa tambahan lain. Boleh juga tambah lada sulah atau lada hitam.
4. Masukkan terung dalam bekas berisi telur tadi, lenyekkan pakai garpu.
5. Masukkan dalam kuali yang berisi minyak panas. Goreng macam buat telur dadar biasa tu.
6. Siap! Sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Jastia Taza
6 Kebaikan & Khasiat Timun Terhadap Kesihatan Yang Perlu Anda Tahu.
Timun atau mentimun merupakan tanaman sayur yang sangat mudah ditanam dan mudah diperoleh di seluruh dunia. Timun khususnya di Malaysia sering disajikan sebagai ulam bersama nasi lemak dengan sambal belacan.
Timun yang sifatnya menyejukkan itu juga digunakan secara meluas di dalam masakan di negara kita. Ada yang gemar memakannya secara mentah iaitu dibuat ulam, diminum dalam bentuk jus dan ada juga yang memasaknya seperti masak bening dan sebagainya. Sebenarnya masih banyak lagi hidangan yang boleh dimasak berasaskan timun.
Timun mengandungi perbagai nutrisi yang mampu menjaga dan meningkatkan kesihatan tubuh. Antara kebaikan timun terhadap kesihatan tubuh manusia ialah:
KHASIAT TIMUN
1. MENGHIDRATKAN TUBUH BADAN
- Sekiranya kita terlalu sibuk untuk minum air secukupnya, kita boleh terus makan timun yang sejuk kerana timun yang sejuk mengandungi 99% air.
2. MENYINGKIRKAN TOKSIN DALAM BADAN
- Kandungan air yang terdapat dalam timun bertindak sebagai ‘penyapu’ yang akan membersihkan semua sisa buangan yang terdapat dalam tubuh kita. Dikatakan dengan memakan timun secara kerap, ia dapat melarutkan batu karang.
3. MEMBEKALKAN MINERAL KEPADA KULIT
- Timun merupakan sayuran yang mengandungi potasium, magnesium dan silikon yang tinggi. Oleh sebab itu, kita dapat lihat kebanyakan pusat spa menggunakan timun sebagai bahan untuk kecantikan.
4. SUMBER VITAMIN HARIAN
- Timun mengandungi semua jenis vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan kita sehari iaitu vitamin A, B, dan C yang menggalakkan sistem imunisasi agar lebih bertenaga dan berseri. Timun ini lebih sesuai dijadikan jus minuman yang dicampurkan dengan lobak merah dan daun bayam. Jus ini elok untuk kulit kerana ia mengandungi 12% vitamin C yang mana cukup untuk keperluan kulit kita dalam sehari.
5. DIKATAKAN DAPAT MERAWAT DIABETES, MENGURANGKAN KOLESTEROL DAN MENGAWAL TEKANAN DARAH
- Jus timun mengandungi sejenis hormon yang diperlukan oleh pankreas untuk menghasilkan insulin yang kebaikan kepada pesakit diabetes. Ada penyelidik telah menemui sejenis bahan sebatian yang disebut sebagai ‘sterol’ pada timun yang dapat menurunkan paras kolesterol. Timun juga kaya dengan serat, potasium dan magnesium. Bahan ini sangat efektif untuk menstabilkan tekanan darah. Oleh itu, timun sangat baik untuk merawat tekanan darah tinggi mahupun tekanan darah rendah.
6. MEMBANTU BUAH PINGGANG BERADA DALAM KEADAAN BAIK
- Timun mampu merendahkan paras asid urin dalam tubuh kita sekali gus mampu memastikan buah pinggang kita sentiasa dalam keadaan baik.
Dah tahu khaisatnya, jadi bolehlah selalu ambil sayur ini dalam hidangan harian. Selain dimakan segar atau dijadikan jus, timun juga boleh dimasak dengan pelbagai cara hidangan. Antara yang boleh anda cuba ialah:
RESIPI MENGGUNAKAN TIMUN
1. TIMUN GORENG UDANG BERTELUR
BAHAN-BAHAN:
- 1 biji timun |potong kecil
- 5-7 ekor udang |bersihkan
- 1 biji bawang merah |potong halus
- 2 ulas bawang putih |cincang halus
- 2 biji telur |kacau sedikit
- Garam gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau dan layu.
- Kemudian masukkan udang dan timun dan goreng hingga masak.
- Tuangkan telur yang telah dikacau dan biar seketika. Apabila telur kelihatan sudah masak, gaul lagi bagi memastikan telur berketul. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
2. SUP TIMUN
BAHAN-BAHAN:
- 1 sudu makan minyak zaitun
- 5 ulas bawang putih |cincang halus
- 1 biji bawang Holland saiz kecil |cincang halus
- 1 sudu makan lemon jus
- 1 batang timun saiz sederhana |buang isi tengah dan potong dadu kecil
- ½ sudu teh garam
- 125gm yogurt asli
CARA MEMASAK:
- Tumis bawang putih dengan minyak zaitun bersama bawang Holland, kemudian masukkan timun.
- Masukkan pula jus limau dan garam. Kecilkan api dan biar sejuk seketika. Ketepikan.
- Kisar semua bahan yang ditumis tadi hingga halus dan tuangkan ke dalam yogurt. Gaul sebati.
- Boleh dihidangkan secara suam atau disejukkan terlebih dahulu.
3. SMACKED CUCUMBER DRIED SHRIMP
BAHAN-BAHAN:
- 3 biji timun jepun
- 50gm udang kering
- 3 ulas bawang putih
- ½ sudu teh minyak zaitun
- 2 sudu teh jus lemon
- Secubit garam
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Timun diketuk sedikit sama ada menggunakan pisau besar atau diketuk di atas meja hingga agak layu/lembek. Tapi jangan sampai hancur.
- Potong timun menjadi bahagian kecil. Masukkan ke dalam mangkuk dan kemudian ketepikan.
- Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bawang putih dan masukkan udang kering.
- Apabila sudah masak, tuangkan ke dalam mangkuk berisi timun tadi. Masukkan ½ sudu teh minyak zaitun, dua sudu teh jus lemon dan secubit garam. Gaul sekata.
- Sedia dihidangkan.
4. TIMUN SUMBAT BERSAMBAL TOMATO
BAHAN-BAHAN:
- 1 batang timun |hiris memanjang, nipis
BAHAN INTI:
- 7-10 ekor udang |buang kulit dan dicincang
- 1 biji bawang besar |cincang halus
- 3 ulas bawang putih |Cincang halus
- 1 sudu makan mentega
- Gula garam secukup rasa
Bahan sambal tomato:
- 1 biji tomato
- 1 biji bawang Holland
- 3 sudu makan cili giling
- Sedikit jus lemon
- Garam dan gula secukupnya
CARA MEMASAK:
- Untuk membuat inti; Panaskan mentega. Tumis bawang putih dan bawang besar kemudian masukkan udang. Kacau sekata.
- Perasakan dengan gula dan garam. Apabila sudah masak, ketepikan. Biarkan sejuk.
- Untuk menyediakan sambal tomato; Kisar tomato bersama bawang hingga halus.
- Tumis bersama cili giling dan masak hingga pecah minyak dan sambal berubah warna gelap. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
- Masukkan sedikit jus lemon dan gaul sebati. Angkat dan sejukkan.
- Timun dihiris memanjang, masukkan inti dan gulung. Hidang bersama sambal tomato.
5. CUCUMBER MINT DRINK
BAHAN-BAHAN:
- 500 ml air ais krim soda
- Hirisan timun secukupnya
- Daun pudina secukupnya
- 1 sudu teh jus lemon
CARA MEMASAK:
- Tuangkan air ais krim soda di dalam gelas.
- Masukkan hirisan timun dan daun pudina.
- Masukkan jus lemon. Kacau sekata. Sejukkan di dalam peti sejuk.
- Keluarkan ketika hendak minum.
SELAMAT MENCUBA!