
Bagi penggemar cakoi, memang kena cuba resipi cakoi simple ini. Rasanya yang rangup dan sedap. Boleh dimakan dengan kaya manis atau dicicah sos karamel.
Menerusi resipi yang dikongsi Suraya Yaacob, bahan yang digunakan pun mudah didapati dan caranya sangatlah senang.
Resipi kuih cakoi ringkas
BAHAN-BAHAN:
300gm / 1 mangkuk / ⅓ peket tepung gandum i
2 sudu makan gula
½ peket yis mauripan
1 sudu teh baking powder
1 biji telur
1 cawan air
⅓ cawan minyak masak
Cara membuat:
1. Campurkan semua bahan kering. Gaul biar rata.
2. Masukkan air dan telur. Uli sampai jadi doh.
3. Masukkan minyak masak dan uli sampai jadi doh lembut
4. Canai doh dan potong menjadi empat segi panjang.
5. Lekatkan 2 doh menggunakan air dan tunggu kembang.
6. Goreng dalam minyak panas sehingga perang.
SOS KARAMEL
1 cawan gula
½ cawan susu pekat
½ cawan air
1 sudu penuh mentega/marjerin
CARA-CARA:
1. Masakkan gula atas dapur sampai cair dan berwarna perang.
2. Masukkan susu pekat sampai gula jadi cair.
3. Setelah itu masukkan pula air dan kacau rata sampai karamel jadi cair.
4. Masukkan mentega dan kacau lagi. Bila mentega dah cair boleh tutup api dan tunggu sejuk.
5. Sos karamel ni masa panas sangat cair, tapi bila sejuk dia akan jadi dua kali ganda pekat
Kredit resipi: Suraya Yaacob
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa:
Lembut Seperti Air Embun Pagi, Mudah Je Nak Buat Rain Drop Cake
Ropa Inti Daging, Mudah Je Nak Buat Kuih Warisan Orang Terengganu Ni
Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap di YouTube @Majalah Rasa Official:
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Makanan Kelantan Yang Anda Mungkin Tak Pernah Dengar Tapi Sedap! Kalau Jumpa, Wajib Cuba.

Kelantan Darul Naim sememangnya cukup terkenal dengan aneka makanan serta kuih muih yang sedap-sedap serta manis. Bukan itu sahaja, lauk pauknya juga memang meriah. Jika berkunjung ke negeri ini, lokasi yang wajib dituju semestinya di pasar-pasar tradisional atau pasar-pasar kampung yang ada di setiap daerah. Lihat aneka makanan yang dijual. Memang sangat banyak dan boleh rambang mata dibuatnya. Harganya pun murah. Lagilah sakan memborong.
Makanan-makanan ni ada diantaranya mempunyai nama yang pelik dan menggerikan. Tapi rasanya sangat sedap. Oleh itu, jika anda ada jumpa, cubalah. Pasti tak menyesal.
1. KATOR
Kuih tradisional Kelantan yang semakin jarang dijumpai. Ia dihasilkan dari tepung beras dan dimakan bersama air gula melaka. Biasanya kuih ini ditabur dengan kepala parut serta beras pulut goreng sebelum dimakan. Memang sedap! Lebih istimewa kuih ini menggunakan gambir sebagai bahan pewarna serta memberikan rasa yang unik.
BAHAN A:
- 250gm tepung pulut
- 180ml air
BAHAN B:
- Sebesar ibu jari gambir
- 60ml air panas
- 1/2 sudu teh air kapur
( Larut semua dan tapis)
SIRAP GULA MERAH:
- 120gm gula merah
- 50gm gula pasir
- 150ml air
(Satukan semua bahan, larutkan dan tapis)
SAMPINGAN:
- 100gm beras pulut – sangai hingga garing
- 1/2 biji kelapa parut | campur dengan sedikit garam
CARA MEMASAK:
- Satukan bahan A dan B. Uli hingga jadi doh.
- Didihkan air dalam periuk.
- Gentel doh seperti buah melaka. Masukkan ke dalam air. Rebus sehingga doh timbul.
- Angkat dan toskan air. Golek dalam kelapa parut hingga tersalut sempurna.
- Untuk menghidang, tabur beras pulut sangai dan tuang sirap gula merah.
- Sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & gambar: http://resipicitarasawan.blogspot.com
2. TERESEK
Sejenis hidangan sampingan diperbuat daripada jantung pisang yang biasanya disediakan di majlis-majlis kenduri pada zaman mak-mak kita dulu. Untuk menyediakannya, jantung pisang akan dihiris, kemudian dimasak bersama serbuk kari serta bahagian-bahagian ayam yang biasanya tidak dimasak sewaktu kenduri. Contohnya seperti tengkuk, kaki, hempedal dan hati. Sekarang, masih ada yang menyediakan hidangan ini namun agak jarang dan susah untuk dijumpai. Sesekali ke pasar, ada juga peniaga yang menjual hidangan ini tapi tidak selalunya ada. Sedap! Rasanya seakan rendang atau kari pekat.
BAHAN-BAHAN:
- 1 tongkol jantung pisang-dibelah dua dan kerat melintang halus-halus.
- 1 mangkuk besar campuran organ ayam (seperti hati, pedal,jantung,leher dan kaki ayam dipotong kecik)
- 2 sudu besar rempah gulai darat-kalau tak ada boleh guna rempah gulai kawah atau kari daging.
- 10 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- Sedikit halia- tak letakpun tak apa
- 2 inci lengkuas
- 5 biji cili kering
- 1 sudu besar rempah ketumbar-ada orang goreng tanpa minyak dulu, saya tak buat
- 3-4 sudu kerisek
- 1 kotak 200ml santan
- 2 keping asam gelugor/asam keping
- Sedikit budu-kalau tak suka tak payah letak
- Garam Gula
CARA MEMASAK: (Caranya seperti memasak gulai darat Kelantan)
- Hiris jantung pisang. Untuk mengelakkan jantung pisang menjadi hitam, rendamkan dalam air garam sebaik dipotong. Ramas dan perahkan sebelum dicelur dalam air yang banyak bersama sedikit garam. Celur hingga lembut, tapiskan dan perah. Ketepikan.
- Kisar semua bawang, cili, halia, lengkuas dan ketumbar.
- Masukkan bahan mesin dalam kuali bersama-sama bahan ayam.
- Masukkan juga rempah gulai darat/kari. Masak hingga naik bau.
- Masukkan santan, asam keping dan garam/budu serta gula. Masak hingga pecah minyak.
- Masukkan kerisekserta jantung pisang yang telah dicelur tadi. Kacau mesra.
- Masak hingga kuah pekat/bahan menjadi lembab2 sikit.
Kredit resipi & gambar: http://duniacikguwan.blogspot.my
3. ASAM GUMPAL
Kuih Asam Gumpal merupakan sejenis manisan tradisional yang dibuat menggunakan sagu mata ikan, dimasukkan inti dan dimasak dalam kuah santan manis. Ia sangat laris dan menjadi pilihan ramai terutamanya di bulan puasa.
BAHAN-BAHAN:
- 1 cawan sagu
- 2 cawan santan pekat
- 1/2 sudu makan halba
- gula secukup rasa
- secubit garam
INTI:
- Kacang hijau secukupnya | direndam
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Basuh sagu dan rendam sehingga kembang.Kemudian kukus hingga separuh masak. Sejukkan.
- Bagi menyediakan inti, rebus kacang hijau hingga lembut dan masukkan gula. Masak hingga inti kering.
- Ambil sagu dan masukkan inti. Jadikan seperti bentuk bebola.
- Masukkan santan ke dalam periuk, masukkan halba, garam dan gula dengan secukup rasa. Bila kuah dah sedikit mendidih serta gula larut, masukkan sagu yang digumpal tadi.
- Masak hingga sagu masak sepenuhnya. Sedia untuk dinikmati.
Kredit gambar: http://kisahsayatulis.blogspot.my
4. GERODOK TELUR
Kuih tradisional yang sangat popular di Kelantan. Seperti namanya, bahan utama untuk menghasilkan kuih ini adalah telur itik. Teksturnya lembut, bertelur dan manis. Enak dimakan sejuk-sejuk. Ada juga yang memanggil kuih ini dengan nama Kuih Sekaya.
BAHAN-BAHAN:
- 4 biji telur itik
- 9 biji telur ayam
- 2 helai daun pandan/daun sireh
- 100ml santan kotak
- 250gm gula melaka
- 70gm gula pasir
- 1/2 cawan air
- 1 sudu makan air kapur
- 1/4 sudu teh garam
- 6 kuntum bunga cengkih
CARA MEMASAK:
- Masak gula melaka, gula pasir, daun pandan dan bunga cengkih hingga larut. Simpan semalaman.
- Satukan telur, air kapur dan garam. Pukul hingga berbuih.
- Masukkan santan dan air gula melaka. Kocok sebati, tapis dan tuangkan ke dalam loyang.
- Panaskan kukusan dan kukus selama 30 minit atau hingga masak.
Kredit resipi & gambar: http://resipicitarasawan.blogspot.com
5. NASI TUMPANG
Hidangan yang biasa dinikmati sewaktu sarapan. Ia adalah berupa nasi putih yang dimasak sedikit lembik dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kelongsong daun pisang dan kemudiannya dilapisi dengan pelbagai jenis lauk seperti gulai ikan, telur dadar, sambal udang, serunding dan sebagainya. Memang sedap! Jika anda biasa dengan Nasi Kerabu dan Nasi Dagang, kali ini cuba pula Nasi Tumpang.
BAHAN-BAHAN:
- ½ kg beras
- 1000ml air
- 6 helai daun pisang
BAHAN GULAI IKAN:
- 200gm ikan kembung
- 2.5cm kunyit hidup | dikisar halus
- 2.5cm lengkuas | dikisar halus
- 6 ulas bawang merah | dikisar halus
- 4 biji cili kering | dikisar halus
- 500ml santan pekat
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
BAHAN TELUR DADAR:
- 5 biji telur ayam
- 1 biji bawang besar | dimayang
- 50gm daun bawang | dimayang
- 1 biji cili merah | dimayang
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Nasi: Cuci beras hingga bersih dan masak bersama 1000ml air sehingga nasi itu lembut (seperti nasi himpit) kemudian biarkan ia suam. Ketepikan.
- Gulai ikan: Semua bahan yang dikisar dicampurkan dengan santan, masak sehingga mendidih.
- Kemudian masukkan ikan biarkan masak.
- Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa. Kacau rata sehingga kuahnya pekat. Ketepikan.
- Telur dadar: Pecahkan telur dan campurkan bahan yang dimayang dan garam secukup rasa. Pukul sebati.
- Panaskan kuali dan goreng sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
- Untuk membungkus nasi tumpang: Kelongsongkan daun pisang kemudian masukkan nasi lembik 1/3 kelongsong tadi dan tekan hingga padat.
- Kemudian masukkan hirisan telur dadar.
- Masukkan satu lapis lagi tekan sehingga padat dan masukkan lagi lauk gulai ikan.
- Masukkan pula nasi ke atas lauk tadi dan bungkuskan.
- Sedia dihidangkan dan dinikmati.
6. LAWAR
Hidangan sampingan yang dihasilkan dari isi ikan mentah yang dimasak menggunakan jus limau nipis. Ia kemudiannya digaul dengan pelbagai jenis ulam-ulaman dan dimakan bersama nasi.
BAHAN PERAP:
- 5 ekor ikan tamban (dibuang sisik dan dibuang tulang)
- Cuka makan
- (Perap ikan bersama cuka dalam 10 minit)
- 3-4 biji limau nipis (kena masam)
BAHAN ULAM:
- Kacang panjang
- Daun kesum
- Bunga kantan
- Pucuk janggus/gajus
- Cili padi
- Garam secukup rasa
CARA-CARA:
- Ikan yang diperap tadi diperap dibuang air perapannya. Kemudian potong kecil isinya.
- Tumbuk cili padi mengikut tahap kepedasan yang digemari.
- Masukkan cili tumbuk kedalam isi ikan yang telah dipotong tadi. Perah jus limau nipis.
- Masukkan daun kesum, pucuk janggus dan bunga kantan. Perasakan dengan garamdengan secukup rasa.
- Akhir sekali masukkan hirisan kacang panjang. Gaul sebati. Sedia untuk dinikmati.
Kredit gambar& resipi: Mastura Hassan via MAHN
7. NEKBAT

Sejenis kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras dan telur. Rupanya seakan kuih bahulu namun tawar. Untuk menikmatinya, nekbat perlu dimasak bersama air gula terlebih dahulu. Nekbat biasanya banyak dijual dalam bentuk kering ( seperti bahulu) dan tahan lebih lama serta boleh disimpan di dalam peti sejuk.
Kredit gambar: http://resipicitarasawan.blogspot.com
8. GELEMBUNG BUAYA
Kuih tradisi yang dihasilkan dari kelapa parut. Ia banyak dijual di pasar seperti di Pasar Siti Khadijah.
BAHAN-BAHAN:
- 1kg kelapa parut | dibuang kulit hitamnya
- 1 cawan santan sederhana pekat
- 120gm tepung beras | di bancuh dengan sedikit air
- 480gm gula pasir
- 1 helai daun pandan | dikisar dan diambil airnya
- Pewarna oren secukupnya
- Pewarna hijau secukupnya
CARA MEMASAK:
- Masukkan kelapa parut dan gula pasir ke dalam kuali. Kacau rata sehingga sebati.
- Selepas itu masukkan santan dan tepung beras. Kacau lagi sehingga semua bahan sebati.
- Bila sudah agak kering, kedua-dua bahan dibahagikan kepada dua bahagian.
- Satu adunan dimasukkan air daun pandan dan pewarna hijau dan satu adunan lagi dimasukkan pewarna oren.
- Setelah selesai masukkan adunan hijau ke dalam loyang dan lapiskan dengan adunan warna oren di atas. Biarkan sejuk seketika.
- Bila dah sejuk bolehlah di hidangkan.
9. KERABU SARE
Kerabu yang dihasilkan dari rumpai laut kering yang dipanggil ‘sare/sarey’. Menu ini mudah didapati pada bulan puasa. Dahulu kala, di majlis-majlis kenduri, kerabu sare ini antara hidangan wajib dihidangkan buat tetamu namun kini, agak sukar untuk melihatnya disajikan di majlis-majlis sebegitu. Ia mungkin disebabkan oleh proses penyediaannya yang rumit serta sukar untuk memperolehi bekalan rumpai laut.
BAHAN-BAHAN:
- 150 gm sare | direndam 8 jam dan ditoskan
(BAHAN A)
- 7 biji cili kering | dikisar
- 2 ulas bawang putih | dikisar
- 10 ulas bawang merah | dikisar
- 2 cm halia | dikisar
- 1/2 biji kelapa | ambil santan pekat
- 1/2 sudu teh cuka
- 1/2 sudu teh budu
(BAHAN B)
- 1 biji kelapa | dibuat kerisik
- 3 ulas bawang putih
- 5 ulas bawang merah
- 2 cm halia
- 2 ekor ikan kembung | direbus dan diambil isinya
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAKNYA:
- Tumis bahan (a) sehingga pecah minyak. Ketepikan.
- Kemudian gaul bahan (b) dengan bahan (a) dan sare hingga mesra.
- Sedia untuk dihidang.
10. PUTU HALBA
Putu halba adalah antara kuih yang popular di Kelantan terutamanya ketika tibanya musim tengkujuh. Rupanya seakan putu piring namun ia dihasilkan dari parutan ubi kayu segar yang digaul bersama halba, dimasak bersama gula merah dan dimakan bersama kelapa parut. Memang sedap jika dimakan panas-panas. Teksturnya sedikit liat memang mengasyikkan lebih-lebih lagi dimakan sewaktu cuaca sejuk.
Kredit gambar: http://www.bicaradariaku.com
Cara Buat Pulut Serunding Kelapa Yang Sedap, Makan Dua Biji Pun Dah Kenyang

Cara buat pulut serunding kelapa, kuih ini memang antara juadah tradisi yang tak pernah lapuk ditelan zaman. Walaupun ringkas, kombinasi pulut yang lembut bersama serunding kelapa yang pedas manis beraroma memang membuka selera. Lagi satu kuih ini memang cepat kenyang, makan dua biji pun dah puas.
Menariknya resipi serunding kelapanya tak gunakan bawang merah, jadi rasa kelapa lebih menyerlah dengan gabungan udang kering, serai dan lada kering.
Cara Buat Pulut Serunding Kelapa
Bahan untuk serunding kelapa
2 biji kelapa tua – ambil bahagian putih sahaja
1 senduk gula pasir
1 paket udang kering (RM5) – bilas dan kisar
1 sudu teh serbuk perasa
3 sudu teh garam
Bahan Kisar
10–15 biji lada kering (ikut tahap kepedasan)
1 inci halia tua
1 labu bawang putih
4 batang serai
Bahan Pulut
Pulut secukupnya – ditanak hingga masak (tanpa santan)
Garam
Sedikit minyak masak
Air secukupnya
Cara Penyediaan Pulut Serunding Kelapa
1. Tanak pulut seperti biasa hingga lembut, ketepikan.
2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar sampai garing dan naik bau.
3. Masukkan gula, garam dan serbuk perasa. Gaul rata dan sesuaikan rasa.
4. Masukkan kelapa parut. Kacau sentiasa dengan api perlahan supaya tidak hangit.
5. Terus kacau hingga kelapa ringan, kering dan bercerai. Tutup api.
6. Ambil pulut yang sudah masak, bentukkan bulat, masukkan serunding kelapa sebagai inti atau gaulkan terus dengan pulut hingga rata.
TIP
- Gunakan kelapa tua bahagian putih sahaja supaya hasil serunding lebih cantik dan tidak terlalu berminyak.
- Api mesti perlahan semasa menumis kelapa, kalau hangit rasa serunding akan pahit.
- Serunding boleh juga dijadikan inti cucur badak, nasi ambeng dan sebagainya.
Kredit Resipi & Foto: Rozita Daud
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA
Resipi Kuih Seri Muka Mini. Sedap, Mudah & Tak Perlu Kukus Lama

Bagi yang baru nak belajar buat kuih Seri Muka, boleh cuba resipi perkongsian saudari Wan Siti Halijah Dzulkifly ni. Caranya mudah dan boleh kukus guna acuan kuih lompang. Senang kan? Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.
CARA MASAK KUIH SERI MUKA MINI GUNA ACUAN LOMPANG
BAHAN BAWAH:
- 1 cawan beras pulut
- 1 cawan santan cair
- 1 sudu makan minyak masak
- Secubit garam
CARA MEMASAK:
1. Rendam beras pulut selama 1 jam. Kemudian toskan air dan masukkan ke dalam periuk nasi bersama bahan-bahan yang lain.
2. Bila pulut dah masak, masukkan ke dalam acuan lompang. Tekan pulut hingga padat menggunakan satu lagi acuan lompang yang telah dibalut plastik. Tidak perlu sapu minyak kerana pulut dah seakan berminyak.
BAHAN UNTUK LAPISAN ATAS:
- 1 cawan tepung gandum
- 1 cawan santan pekat
- 3 sudu makan tepung ubi
- 1 cawan air pandan (1 cawan air kisar dengan 5 helai daun pandan)
- 1 biji telur
- 1/2 cawan gula – lebihkan jika nak lebih manis
- 1/2 sudu teh kulit kayu manis
- 1/2 sudu teh jintan manis
- Secubit garam dan pewarna hijau
CARA MEMASAK:
1. Satukan santan, telur dan gula. Kacau hingga sebati barulah dimasukkan semua bahan-bahan yang lain.
2. Masak atas dapur seketika sehingga naik wap.
3. Tapis bancuhan kemudian tuang ke dalam acuan lompang yang telah dimasukkan pulut tadi.
4. Kukus kuih selama 30 minit. Bila sampai 5 minit terakhir, buka penutup dan kukus tanpa penutup. Ia bertujuan untuk mengeringkan air.
5. Sejukkan kuih dan boleh dikeluarkan dari acuan. Sedai untuk dinikmati.
6. Sedia untuk dinikmati.
Anggaran jumlah kuih: 30 biji / acuan lompang
Kredit resipi & foto: Wan Siti Halijah Dzulkifly
Tercari-cari PERIUK KUKUSAN yang murah & berkualiti? Boleh pilih DISINI.
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
https://www.rasa.my/koleksi-resipi-lauk-pauk-bajet-mudah-masak-sedap/
https://www.rasa.my/kompilasi-resipi-lauk-masak-lemak-sedap-mudah-buka-selera/
https://www.rasa.my/aneka-resipi-telur-dadar-yang-diolah-lebih-sedap-mudah-masak/
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official