
Sedapnya Kuah Rojak homemade perkongsian saudari Cik Pooja ni. Kalau makan dengan buah jambu atau mangga, memang terbaik. Bagi para penggemar rojak dan nak buat kuah ni secara homemade, resipi ni amat mudah dan terbaik yang boleh anda cuba.
CARA BUAT KUAH ROJAK HOMEMADE YANG SEDAP & PEKAT
BAHAN-BAHAN:
- 1 genggam cili kering – potong, buang biji dan dibasuh bersih. Rendam sekejap dalam air panas dan toskan
- 1/2 keping belacan
- 1 cawan gula merah
- 3 cawan gula pasir
- 1/2 cawan kicap lemak manis
- 5 sudu makan sos cili
- 3 sudu makan tepung jagung – bancuh dengan ½ cawan air
- 2 sudu makan garam – letak sedikit demi sedikit bagi elak kuah rojak terlalu masin
- Segenggam kacang tanah – goreng tanpa minyak dan kisar kasar
CARA MEMASAK:
1. Kisar cili kering, belacan dan 1 cawan air hingga halus. Masukkan ke dalam kuali.
2. Bancuh gula merah bersama 1 cawan air hingga larut. Tapis dan masukkan ke dalam kuali.
3. Masukkan gula pasir, kicap dan sos cili. Masak semua bahan hingga mendidih dan pastikan sentiasa dikacau.
4. Bila kuah mendidih, masukkan garam secukup rasa. Rasa supaya rasa kuah rojak seimbang.
5. Seterusnya ,masukkan air bancuhan tepung jagung. Kacau sebati sambil dimasak menggunakan api kecil.
6. Bila kuah pekat, masukkan 2 sudu makan bijan dan 2 sudu makan kacang tanah kisar. Teruskan lagi masak hingga kuah rojak jadi hitam berkilat.
7. Siap dan sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Cik Pooja
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jeruk Setoi Curah Kicap Pedas Untuk Pencinta Asam & Jeruk

Jeruk setoi curah kicap pedas, sesuai sangat buat waktu musim buah setoi atau sentul sedang menjadi. Sayang kalau dibiarkan gugur begitu saja, lebih-lebih lagi isi luarnya biasanya kelat dan susah nak dinikmati mentah.
Tapi kalau dibuat jeruk pedas manis dengan curahan kicap begini confirm laku keras.
Resipi ini sangat mudah dan tak memerlukan banyak bahan.
Buah hanya perlu diproses ringkas, direndam dalam air gula dan disiram dengan kicap pedas yang ‘power’. Nak makan sejuk-sejuk pun boleh, sesuai sangat untuk peminat jeruk dan pencinta rasa masam manis pedas yang menyengat.
Jeruk Setoi Curah Kicap Pedas
Bahan-Bahan
Buah sentol / setoi secukupnya
Garam
Gula
Air
Cili flakes
Kicap manis
Belacan (jika suka)
Cili padi (ikut tahap pedas)
Cara Penyediaan
1. Bersihkan buah, kupas kulit buah setoi dan rendam dalam air garam selama 3–4 jam untuk hilangkan getah dan elak buah jadi lebam. Kemudian toskan.
2.Masak air gula dan biarkan sejuk. Rendam setoi dalam air gula semalaman hingga tenggelam. Langkah ini bantu kurangkan rasa kelat dan maniskan isi luar.
3. Toskan setoi hingga kering, kemudian potong kecil isi luar buah mengikut kesukaan.
4. Jika suka lebih pedas dan rasa ‘kick’, tumbuk cili padi bersama belacan dan sedikit gula. Gaul bersama kicap manis dan cili flakes hingga sebati. Kalau nak versi ringkas, hanya hiris cili padi dan tekan sedikit supaya pecah masa gaul nanti.
5. Curahkan kicap pedas atas buah setoi yang telah dipotong. Gaul rata dan sedia untuk dinikmati.
Tip RASA
- Jika nak rasa lebih mantap, simpan jeruk dalam peti sejuk 1–2 jam sebelum makan.
- Air gula boleh diganti dengan madu untuk versi lebih sihat.
- Kalau tak suka pedas sangat, cukup sekadar gunakan cili merah besar yang dihiris nipis.
Kredit resipi & foto: Nur Masri
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA
5 Gaya Masak Sambal, Inspirasi Sambal Untuk Menu Ramadan Ni.

Sajian sambal tradisional Melayu kini bukan sekadar hidangan di kampung lagi. Tengok aje hidangan sambal makin lumrah didapati dalam menu bufet dan sajian ala carte di hotel bertaraf 5 bintang dan juga di restoran ‘fine dining.’
Ni min kongsikan 5 variasi sambal berasaskan ikan talang, jering, sotong, udang dan ikan siakap. Himpunan resipi ni adalah menu sambal terhangat dari beberapa hotel di Kuala Lumpur dan Shah Alam yang mendapat permintaan tinggi dari pelanggan dalam dan luarnegara pun tau.
Boleh jadi inspirasi untuk sahur dan berbuka nanti
1. JERING BERLADO IKAN TALANG MASIN
BAHAN-BAHAN :
- 10 biji jering /dibuang kulit dan belah dua
- 100 gm ikan masin talang /digoreng terlebih dahulu
Bahan dikisar:
- 10 biji cili merah
- 10 biji cili padi
- 2 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar
- 1 biji jus lemon
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bahan kisar sampai naik bau dan pecah minyak..
2. Masukkan jering dan ikan talang masin yang telah digoreng tadi.
3. Gaul sebati dan masukkan sedikit garam dan gula dan masukkan jus lemon yang telah diperah.
4. Sedia untuk dihidang.
Saiz hidangan : 3- 4 orang
Masa memasak : 15 minit
Cara memasak : Tumis
Jenis masakan : Sambal
Keistimewaan : Jangan dikisar terlalu halus, seeeloknya cili ditumbuk kasar sahaja
INFO CHEF :Pilih jering yang tua kerana rasanya lebih enak. Jering dipercayai mempunyai khasiat kesihatan dan nilai perubatan.
2. SAMBAL TUMBUK BUNGA KANTAN
BAHAN-BAHAN :
- 1 kuntum bunga kantan
- 3 biji bawang kecil
- 1 ulas bawang putih
- 30 gm ikan bilis (Jika suka digoreng dahulu)
- 10 biji cili padi
- 1 biji jus limau nipis
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
1. Satukan semua bahan di atas dan tumbuk menggunakan lesung batu hingga lumat.
2. Simpan di dalam peti sejuk
Saiz hidangan : 5 orang
Masa memasak : 5 minit
Cara memasak : Dihidang mentah
Jenis masakan : Sambal
Keistimewaan : Sambal ini tidak ditumis dan dihidang mentah
INFO CHEF : Sedap dimakan bersama nasi putih sahaja. Jika buat lebih bakinya boleh dijadikan rencah nasi goreng bunga kantan.
3. SAMBAL SOTONG PETAI
BAHAN-BAHAN :
- 800 gm (2 ekor sotong saiz besar) /dihiris kecil
- 5 ulas bawang merah
- 1/2 biji bawang besar /dikisar
- 3 ulas bawang putih/dikisar
- 15 biji cili kering/rebus dan dikisar
- 200 gm petai /dibuang kulit dan belah
- 1 asam keping
- Gula secukupnya
- Garam secukupnya
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang yang dikisar bersama cili kisar sehingga ia benar-benar garing.
2. Masukkan petai dan gula secukupnya, kacau seketika sebelum dimasukkan sotong.
3. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan asam. Sesuaikan ikut rasa kepekatan yang anda suka.
4. Sambal sotong siap untuk hidangan.
Saiz hidangan : 8 orang
Masa memasak :25 minit
Cara memasak : Tumis
Jenis masakan : Lauk sampingan, sambal
Keistimewaan : Petai akan rasa lebih enak jika digoreng sedikit dahulu.
INFO CHEF :Tidak perlu memasukkan air kerana sotong mengeluarkan air yang banyak.
4. SIAKAP BAKAR SAMBAL OLAHAN BARU
BAHAN-BAHAN :
- 1 ekor ikan siakap saiz sederhana
Bahan sambal ikan bakar :
- 220 gm biji cili merah /buang biji dan potong kecil
- 2 sm belacan bakar
- 150 gm bawang kecil
- Garam secukupnya
- 2 sudu teh sos ikan
- 2 1/2 sudu teh gula /atau secukupnya
- 3 biji limau kasturi/ perah jusnya
- 2 batang serai /dihiris halus
- 1 sudu makan serbuk kunyit
- 4 sudu makan minyak masak
Pencicah sambal belacan dan bawang :
- 5 biji cili merah
- 2 biji cili padi
- 1.5 sm belacan
- 2 biji bawang kecil/dihiris nipis
- Gula secukupnya
- Garam secukupnya
- 1/2 cawan air asam jawa
CARA MEMASAK :
1. Sambal ikan bakar : Sediakan sambal dengan mengisar cili, bawang, belacan dan serai dalam pemproses makanan.
2. Pastikan ia halus dan bahan-bahan dikisar rata.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis pes sambal tadi hingga naik bau dan pecah minyak.
4. Pastikan cili benar benar masak dan garing.
5. Perisakan dengan garam, gula dan sos ikan. Ketepikan.
7. Cara masak sambal belacan bawang : Rendamkan biji asam jawa dalam air untuk 15 minit dan ambil jusnya.
8.Di dalam pemproses makanan kisarkan cili merah, cili padi, belacan bakar.
9.Tambahkan jus asam jawa, gula, garam dan hirisan bawang. Kisar rata dan ketepikan.
10.Memanggang ikan :Bentangkan daun pisang dan griskan permukaannya dengan minyak masak.
11.Letakkan ikan di atas daun pisang dan sapu rata-rata 2-3 sudu makan sambal adi atasnya.
12.Letakkan ikan di atas gril (rak atas dengan kepanasan ‘indirect) dan tutup gril. Tunggu dua belas minit dan balikkan ikan. Tambahkan 2-3 sudu makan sambal di belah ini.
13.Masak lagi 5 minit dan alihkan ikan ke rak bawah dengan kepanasan langsung ‘direct heat’ untuk 2 minit.
14.Keluarkan dan hidangkan bersama sambal belacan dan bawang.
Saiz hidangan : 7-8 orang
Masa memasak : 25 minit
Cara memasak : Tumis dan gril/panggang
Jenis masakan : Sambal, hidangan sampingan
Keistimewaan : Ikan bakar sambal yang pedas makin sedap dimakan bersama pencicahnya
INFO CHEF : Sambal ikan bakar ini boleh sahaja dibuat lebih sebagai stok untuk disimpan dalam peti sejuk. Apabila teringin nak makan ikan atau makanan laut bakar, sambalnya sudah tersedia.
5. SAMBAL UDANG BERSAMA TERUNG PIPIT
BAHAN-BAHAN :
- 250gm udang saiz sederhana
- 1 mangkuk kecil terung pipit
- 5 sudu makan cili kering/yang telah dikisar
- 5 biji bawang kecil/ ditumbuk lumat
- 3 ulas bawang putih/ditumbuk lumat
- 2 sudu makan asam jawa /diperah bersama setengah cawan air
- 1 biji bawang besar/dihiris nipis
- Garam dan gula secukupnya
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dan udang digoreng seketika. Angkat cepat bila udang berubah warna. Boleh gunakan minyak goreng udang tadi untuk menumis bahan tetapi pastikan panas semula minyak itu hingga hilang air udang.
2. Goreng terung pipit sebentar.
3.Tumiskan cili kisar sehingga garing dan kemudian masukkan bawang kecil dan bawang putih hingga garing .Biarkan sampai terbit minyak.
4. Masukkan air asam garam, jawa, garam dan gula secukup rasa. Biarkan ia mereneh sekejap
5. Masukkan bawang besar yang dihiris nipis dan biarkan sehingga bawang besar layu.
6. Masukkan udang dan dibalik-balikan sebentar.
7. Angkat dan sedia untuk dimakan.
Saiz hidangan : 4 orang
Masa memasak : 20 minit
Cara memasak : Tumis dan goreng
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan : Terung pipit menambah keenakan sambal udang.
INFO CHEF : Biarkan udang meresap dalam sambal dan keluar air manisnya, baru ditutupkan api.
Suka Makan Tempoyak? Ini Cara Nak Buat Tempoyak Tak Berkulat & Tahan Lama

Untuk tempoyak durian, ada orang suka makan yang masam dan ada yang suka dengan rasa durian.
Namun begitu, jika tidak kena gayanya tempoyak boleh cepat berkulat dan rosak. Jadi macam mana nak bagi tahan lama.
Menerusi perkongsian daripada Momo Chan, dia kongsikan bagaimana untuk membuat tempoyak supaya boleh simpan lama dan tidak berkulat.
Sebenarnya tempoyak ni masam, tapi ada orang, dia lebih suka dengan rasa durian kan.
Kalau yang suka dengan rasa durian wangi lemak, tak nak masam, asingkan isi dan biji. Masukkan dalam bekas, terus simpan dalam peti sejuk ye. Untuk makan harian, masukkan dalam bekas asing. Untuk simpanan, masukkan bekas lain, letak tempat beku.
Yang ni cara buat tempoyak. Ini tempoyak betul-betul yang rasa masam ye dan boleh tahan bertahun.
*Durian boleh guna yang orang jual murah-murah. Maksudnya buah yang pecah-pecah dan isinya nampak tak cantik. Kalau anda nak pakai durian musang king pun ikut suka la.
*Maksud tak elok tu, bukan kata berulat atau dah berkulat, tapi yang rasanya dah tak sedap dimakan begitu saja.
*Asingkan biji dan isi. Masukkan ke dalam penapis.
*Ni saya toskan 2 malam ya. Dekat luar peti ais, nampak tak ada kulat kan.
*Masukkan garam, gaul rata. Jangan bubuh garam banyak sangat. Agak-agak sesedap rasa saja.
*Akhir sekali, bubuh dalam balang. Bubuh penuh pun tak apa sebab bila kita tos kat luar, gas dia dah tak ada. Tempoyak dah kembang siap dah. Sebelum tutup bahagian atas, tabur sedikit gula.
*Tempoyak ni, kalau nak simpan dalam peti ais boleh, simpan di luar pun boleh.
*Ini tempoyak masam tau, bukan tempoyak yang anda nak rasa lemak wangi durian.
Kredit: Momo Chan
Anda ada banyak tips memasak yang menarik? Jom kongsi dengan kami! Mana tahu wang tunai RM500 bakal menjadi milik anda!
Nak kongsi tips masakan anda? Klik DI SINI untuk penyertaan.
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa:
5 Resipi Sambal ‘Berhantu’, Lagi Pedas Lagi Sedap! Ikuti Tips Untuk Tahan Lama
Sambal Pedas Simple Yang Boleh Buat Bubur Nasi Bertambah Sedap
Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap di YouTube @Majalah Rasa Official: