
Malaysia dalam radar dunia gastronomi. Siapa sangka sajian ikonik dari Malaysia berjaya tembus senarai 50 Seafood Soups Terbaik Dunia versi TasteAtlas! Bukan satu, bukan dua, tapi tiga jenis laksa tempatan kita yang tersenarai – Laksam, Laksa Penang dan Asam Laksa.
Nak kata bangga tu, memang tak disangkal lagi. Walaupun negara kita ni kecil, terletak di Asia, namun dek makanan tempatan kita yang enak, Malaysia kini dalam radar dunia Gastronomi!
Masakan Malaysia memang kaya pengaruh dari Melayu, Cina dan India. Tidak terkecuali unsur sajian Thailand dan Nusantara yang lain. Tak peliklah kalau TasteAtlas memberi pengiktirafan dekat 3 jenis laksa ni,terhadap ketiga-tiga menu ini kerana ia bukan sekadar makanan, ia adalah lambang warisan negara yang sangat berharga.
Jadi setiap kalu anda menikmati tiga hidangan ini, jangan lupa, anda sebenarnya tengah makan antara sup seafood terbaik dunia!
1. Laksam
Asal-usul dari Pantai Timur, laksam ni unik sebab guna kuah putih lemak bersantan, pekat padu, dibuat daripada ikan rebus yang dikisar halus. Makan pulak dengan gulungan laksam lembut dari tepung beras, ulam segar, dan sambal belacan. Nampak simple, tapi sangat enak.
BAHAN-BAHAN LAKSAM:
- 3 cawan tepung beras (beli online disini)
- 1 cawan tepung gandum (beli online disini)
- 6 cawan air
CARA MEMASAK:
1. Satukan semua tepung di dalam satu bekas. Gaul sebati. Kemudian tuang 3 cawan air terlebih dahulu. Kacau-kacau supaya tidak berketul. Pastikan guna cawan yang sama untuk sukat tepung dan air.
2. Kemudian tambahkan lagi 3 cawan air. Adun sekata.
3. Adunan jadi seperti di dalam gambar. Tidak berketul-ketul. Jika aduna berketul, bolehlah ditapis terlebih dahulu.
4. Panaskan pengukus. Sementara nak menunggu air mendidih, sapukan loyang laksam dengan sedikit minyak. Boleh juga menggunakan tudung periuk, pizza pan atau loyang biasa.
5. Bila air di dalam pengukus sudah mendidih, masukkan loyang ke dalam pengukus dan tuang 2 senduk bancuhan tepung tadi. Pastikan adunan tepung dikacau terlebih dahulu supaya sekata.
6. Tutup pengukus dan masak Laksam selama 3-4 minit.
7. Tip untuk tahu laksam sudah masak atau tidak, bila penutup pengukus diangkat, laksam jadi menggelembung seperti dalam gambar. Itu tandanya sudah masak. Waktu ni kena berhati-hati dengan wap panas.
8. Keluarkan laksam yang telah masak. Sejukkan sebentar. Dan ulang semula langkah mengukus sehingga habis adunan tepung.
9. Bila Laksam suam-suam kuku, boleh mula menggulung. Gulung dengan cermat supaya gulungan laksam nampak sempurna.
10. Laksam siap dan boleh diketepikan bagi menyediakan kuahnya pula.
BAHAN-BAHAN KUAH LAKSAM:
- 1kg Ikan sardin – direbus & diperisikan
- 500gm bawang besar (beli online disini)
- 3-4 ulas bawang putih (beli online disini)
- 1 inci halia – dihiris
- 1 sudu teh halba (beli online disini)
- 2 sudu teh lada hitam (beli online disini)
- Sedikit belacan (beli online disini)
- 500ml santan segar
- 100ml santan kotak (beli online disini)
- 1 keping asam gelugur (beli online disini)
CARA MEMASAK:
1. Kisar bawang besar, bawang putih dan belacan. Masukkan halia, halba, lada hitam dan asam keping. Renihkan selama 15 minit.
2. Ikan yang telah diperisikan dikisar hingga halus. Kemudian masukkan ke dalam periuk yang berisi kisaran bawang tadi. Renihkan lagi hingga mendidih.
3. Kepala dan tulang-tulang ikan dikisar dan tapis airnya. Masukkan sekali ke dalam periuk. Didihkan lagi sehingga menggelegak.
4. Kemudian masukkan santan segar. Kacau sebati.
5. Perasakan dengan garam, perasa dan sedikit gula mengikut cita rasa masing-masing.
6. Akhir sekali, tuang santan kotak.
7. Didihkan sehingga kuah laksam betul-betul menggelegak. Pastikan kuah sentiasa dikacau supaya tidak berketul.
BAHAN SAMBAL LAKSAM:
- 10-13 biji cili padi
- 2 ulas bawang putih
- 1 sudu makan cuka
CARA MEMASAK:
1. Kisar cili padi bersama bawang putih hingga halus.
2. Kemudian tuang ke dalam periuk. Didihkan cili dan masukkan cuka.
3. Masak cili hingga agak-agak pekat. Angkat.
4. Untuk menikmati laksam, potong laksam ke dalam mangkuk dan masukkan hirisan ulam seperti kubis, daun kesum, kacang panjang, bunga kantan atau apa-apa sayur kegemaran yang telah dihiris halus.
5. Tuang kuah dan letak sambal ikut cita rasa. Boleh juga masukkan belacan bakar. Sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Rosni Musa
2. Laksa Penang
Laksa Penang memang padu. Kuahnya yang pekat dan berperisa, hasil rebusan ikan kembung, bawang, asam keping, dan rempah ratus terbaik. Dihidang dengan mi beras, hirisan timun, bawang dan telur rebus. Rasa ‘kick’ lengkap dengan masam dan pedas, rasa isi ikan, semua Bersatu dalam mulut. TasteAtlas puji laksa ni sebab ‘depth of flavour’ nya yang kompleks, ‘layered’ dan ‘bold’. Tak hairanlah kalau pelancong pun jatuh cinta.
BAHAN-BAHAN:
- 1 bungkus laksa – rebus lembut
BAHAN KUAH:
- 5 ekor ikan selayang/sardin saiz L – dibersihkan
- 3 hiris lengkuas
- 1 hiris ( nipis) halia
- 2 keping asam gelugur – beli online disini
- Garam bukit secukupnya – beli online disini
- Sedikit manisan / gula melaka – beli online disini
- 1 genggam cili kering ( cili kering besar yang tidak pedas) – rebus ( untuk dapatkan 2 senduk cili kisar) – beli online disini
- 2 1/2 biji bawang merah saiz bola pingpong – beli online disini
- 1/2 biji bawang Holland – beli online disini
- 1 ulas bawang putih – beli online disini
- 2 hiris (nipis) serai
- 2 hiris (nipis) lengkuas
- 1/2 hiris (nipis) halia
- 3 tangkai cili padi
- Secubit belacan – beli online disini
- Air secukupnya
- 1 cekak daun kesum
- 1 kuntum bunga kantan
BAHAN PERASA:
- Garam dan gula secukup rasa
- 1 keping asam gelugur
- Serbuk perencah secukupnya
BAHAN SAMPINGAN:
- Telur rebus secukupnya
- Timun secukupnya – hiris
- Daun selom
- Daun salad
- Bunga kantan
- Cili merah & cili padi hijau – hiris
- Bawang holland & bawang merah – hiris
- Nanas – hiris
- Limau kasturi secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Rebus ikan selayang bersama dengan lengkuas, halia, asam gelugur, garam bukit secukupnya dan sedikit manisan @ gula melaka. Lebihkan air untuk mengisar.
2. Asingkan isi dan tulang ikan yang sudah direbus tadi. Kisar bahagian tulang ikan hingga hancur kemudian tapis.
3. Kisar cili kering yang telah direbus tadi. Ketepikan.
4. Kemudian kisar bawang merah saiz bola pingpong, bawang Holland, bawang putih, serai, lengkuas, halia, cili padi dan secubit belacan bersama isi ikan dan air kisaran tulang ikan.
5. Masukkan semua bahan kisar ke dalam periuk. Masak guna api sederhana.
6. Tambahkan dua senduk cili kisar. Tambah air mengikut kepekatan yang diingini.
7. Perasakan kuah dengan garam, gula, 1 keping asam gelugur dan juga serbuk perencah dengan secukupnya.
8. Bila kuah sudah mendidih dan cukup rasa, masukkan daun kesum dan bunga kantan yang sudah dibelah dua.
9. Bila kuah sudah memekat dan cukup rasa. Padamkan api.
10. Ambil laksa, masukkan ke dalam mangkuk dan tuang kuah secukupnya. Hidangkan bersama bahan sampingan.
Kredit resipi & foto: Afy Al Habibi
3. Asam Laksa
Asam Laksa, menu ikonik Malaysia yang tak pernah gagal menambat selera dunia.Ia ibarat ‘hall of fame’ dalam dunia laksa. Kuahnya yang pedas-pedas masam, penuh isi ikan lengkap dengan daun kesum dan bunga kantan, memang menambat hati sesiapa sahaja. Sekali cuba, pasti ulang makan.Malah inilah laksa yang paling banyak diangkat ke pentas antarabangsa, siap pernah masuk ranking CNN suatu masa dulu. Tahniah!
BAHAN-BAHAN KUAH:
3 liter air
1 kg ikan sardin/kembung/selayang
1 tin sardin Ayam Brand (425 gram )- kuah tak ambil – beli online disini
5 senduk cili kisar – beli online disini
3 sudu makan asam jawa – beli online disini
8 keping asam keping gred bagus (jika gunakan yang murah dalam 12-13 keping) – beli online disini
5 tangkai daun kesum
3 batang bunga kantan
2 tangkai daun pudina
Gula melaka/gula merah hancur secukupnya – beli online disini
Garam dan serbuk perasa
P/S : Boleh masukkan petis udang 1/2 botol kecil kalau mahu. Empunya resipi tidak letak.
BAHAN KISAR:
100gm bawang merah besar India – beli online disini
25gm belacan – beli online disini
13 tangkai cili padi hijau
1 batang serai saiz sederhana
300gm nanas
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
ULAM ASAM LAKSA CINA (HIRIS):
Daun salad
Bawang merah besar India
Asam limau kasturi
Telur rebus
Timun
Cili Padi
Daun Pudina
CARA MEMASAK:
1. Rebus ikan. Bila ikan rebus sudah masak dan sejuk, asingkan isi ikan dengan tulang ikan.
2. Kisar isi ikan dengan guna air dengan secukupnya (ambil air dari yang 3 liter tadi. Bukan air lain) dan masukkan dalam bekas asing.
3. Untuk bahagian tulang dan kepala ikan, kisar dan tapis untuk elakkan kuah asam laksa penuh dengan tulang.
4. Dalam periuk, masukkan baki air tadi, isi ikan kisar, air kisaran tulang dan kepala bersama bahan kisar, cili kisar, asam keping, air asam jawa ,belahan bunga kantan, daun kesum dan daun pudina. Masak hingga mendidih dan kuah asam laksa menjadi pekat. Masa diambil dalam 20-30 minit untuk kuah mendidih.
5. Tambah gula Melaka hancur, garam serta serbuk perasa.Pastikan kuah manis buah untuk seimbangkan rasa masam, pedas kuah.
6. Separuh isi ikan sardin yang siap dibasuh seketika tadi dilenyek kasar dan dimasukkan dalam kuah. Separuh lagi untuk dihidangkan bersama Asam Laksa Cina nanti.
7. Bila dah tutup api, terus keluarkan kesemua asam keping tadi untuk elakkan terlebih rasa masam.
8. Bolehlah hidang dengan laksa beras atau laksa yang sudah siap direbus. Nikmati bersama bahan-bahan ulam laksa.
Kredit resipi & foto: Ben Safwan
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Gulai Pede Cara Mak, Resipi Lauk Kampung Istimewa Orang Pahang
Resipi Kuih Gunting Mudah & Dijamin Menjadi. Sedap Buat Macam Ni!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI