Ads

7 Menu Vegan Sedap & Mengenyangkan, Sekali Cuba Terus Suka!

Bila sebut menu vegan, jangan terus bayangkan salad atau sayur rebus sahaja. Sebenarnya banyak hidangan berasaskan tumbuhan boleh dibuat cukup menyelerakan, kaya rasa dan mengenyangkan. Kalau kena cara masaknya, yang bukan vegan pun boleh makan sampai bertambah nasi!

Tak perlu juga mencari bahan yang terlalu mahal atau susah didapati. Cendawan, tauhu, tempe, kentang, terung dan kacang kuda yang biasa kita jumpa di pasar raya sudah cukup untuk menghasilkan macam-macam hidangan.

Bagi yang baru mahu mencuba makanan berasaskan tumbuhan atau sekadar mahu mengurangkan pengambilan daging, tujuh resipi menu vegan ini boleh dijadikan pilihan.

1. Rendang Cendawan

7 Menu Vegan Sedap & Mengenyangkan, Sekali Cuba Terus Suka!

Cendawan tiram mempunyai tekstur yang lembut dan mudah menyerap rempah, menjadikannya cukup sedap dimasak rendang. Bila kuah santan dan kerisik dimasak hingga pekat, memang membuka selera.

Bahan-bahan:

  • 500gm cendawan tiram
  • 200ml santan
  • 2 sudu besar kerisik
  • 2 batang serai | diketuk
  • 2 helai daun kunyit | dihiris halus
  • 3 helai daun limau purut
  • 1 sudu besar gula Melaka
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

Bahan Kisar:

  • 10 tangkai cili kering | direbus
  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2cm halia
  • 2cm lengkuas
  • 2 batang serai

Cara Memasak:

  1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak dan wangi.
  2. Masukkan serai, daun limau purut dan santan. Kacau rata.
  3. Masukkan kerisik, gula Melaka dan sedikit garam.
  4. Masukkan cendawan tiram dan gaul sebati.
  5. Masak menggunakan api sederhana kecil sehingga kuah pekat dan rempah bersalut pada cendawan.
  6. Akhir sekali, masukkan hirisan daun kunyit. Gaul rata dan tutup api.

2. Sambal Tempe Kentang

7 Menu Vegan Sedap & Mengenyangkan, Sekali Cuba Terus Suka!

Tempe yang garing digandingkan dengan kentang dan sambal pedas manis memang lauk yang susah hendak ditolak. Makan dengan nasi panas sahaja pun dah cukup. Ini antara menu vegan yang menggunakan bahan mudah tetapi tetap penuh rasa.

Bahan-bahan:

  • 2 keping tempe | dipotong dadu
  • 2 biji kentang | dipotong dadu
  • 1 biji bawang besar | dihiris
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil jus asam jawa
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

Bahan Kisar:

  • 12 tangkai cili kering | direbus
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih

Cara Memasak:

  1. Goreng tempe sehingga keemasan. Angkat dan ketepikan.
  2. Goreng kentang sehingga empuk dan keemasan. Ketepikan.
  3. Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bahan kisar sehingga benar-benar masak dan pecah minyak.
  4. Masukkan gula, jus asam jawa dan garam. Kacau sebati.
  5. Masukkan bawang besar dan masak sehingga sedikit layu.
  6. Masukkan tempe serta kentang. Gaul sehingga semuanya bersalut sambal. Siap untuk dihidangkan.

3. Tauhu Masak Kicap Pedas

7 Menu Vegan Sedap & Mengenyangkan, Sekali Cuba Terus Suka!

Menu ringkas tetapi cukup menyelerakan. Tauhu yang digoreng terlebih dahulu membuatkan bahagian luarnya sedikit garing sementara bahagian dalam kekal lembut.

Ads

Bahan-bahan:

  • 4 keping tauhu | dipotong
  • 1 biji bawang besar | dihiris
  • 3 ulas bawang putih | dicincang
  • 5 biji cili padi | diketuk
  • 1 biji cili merah | dihiris
  • 3 sudu besar kicap manis
  • 1 sudu besar kicap masin
  • ½ cawan air
  • ½ sudu kecil gula
  • Minyak masak secukupnya

Cara Memasak:

  1. Panaskan minyak dan goreng tauhu sehingga keemasan. Angkat dan ketepikan.
  2. Tinggalkan sedikit minyak dan tumis bawang putih serta bawang besar sehingga wangi.
  3. Masukkan cili padi dan cili merah. Tumis seketika.
  4. Masukkan kicap manis, kicap masin, gula dan air. Kacau rata.
  5. Masukkan tauhu goreng dan gaul perlahan-lahan.
  6. Masak sehingga kuah sedikit pekat dan bersalut pada tauhu. Angkat dan hidangkan.

4. Kari Kentang & Kacang Kuda

7 Menu Vegan Sedap & Mengenyangkan, Sekali Cuba Terus Suka!

Kacang kuda merupakan sumber protein berasaskan tumbuhan yang mudah dimasukkan ke dalam menu harian. Digandingkan dengan kentang dan kuah kari yang berkrim, hidangan ini sedap dimakan bersama nasi, capati atau roti.

Gabungan kacang kuda dan kentang juga menjadikan hidangan ini satu lagi menu vegan yang mudah disediakan untuk makan tengah hari atau makan malam.

Bahan-bahan:

  • 2 biji kentang | dipotong dadu
  • 1½ cawan kacang kuda rebus
  • 1 biji tomato | dipotong
  • 1 biji bawang besar | dicincang
  • 3 ulas bawang putih | dicincang
  • 2cm halia | dicincang
  • 3 sudu besar serbuk kari
  • ½ sudu kecil serbuk kunyit
  • 200ml santan
  • 1½ cawan air
  • 1 tangkai daun kari
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

Cara Memasak:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih, halia serta daun kari sehingga wangi.
  2. Bancuh serbuk kari dan serbuk kunyit dengan sedikit air. Masukkan ke dalam tumisan.
  3. Tumis rempah sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan tomato dan masak sehingga lembut.
  5. Tambahkan kentang, kacang kuda dan air. Reneh sehingga kentang empuk.
  6. Tuangkan santan dan perasakan dengan garam.
  7. Reneh menggunakan api kecil sehingga kuah sedikit pekat. Siap.

5. Terung Berlada

7 Menu Vegan Sedap & Mengenyangkan, Sekali Cuba Terus Suka!

Terung yang lembut apabila bertemu sambal cili merah memang kombinasi yang sedap. Kalau mahu mengurangkan penggunaan minyak, terung juga boleh dipanggang atau dimasak menggunakan air fryer.

Ads

Bahan-bahan:

  • 3 biji terung panjang | dipotong
  • 1 biji bawang besar | dihiris
  • 1 sudu kecil gula
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

Bahan Kisar Kasar:

  • 6 biji cili merah
  • 5 biji cili padi
  • 5 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih

Cara Memasak:

  1. Panaskan minyak dan goreng terung sehingga lembut serta sedikit keemasan. Angkat dan ketepikan.
  2. Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali.
  3. Tumis bahan kisar kasar sehingga wangi dan benar-benar masak.
  4. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
  5. Tambahkan hirisan bawang besar dan tumis sehingga sedikit layu.
  6. Masukkan terung dan gaul perlahan-lahan sehingga bersalut sambal.
  7. Tutup api dan hidangkan bersama nasi panas.

6. Nasi Goreng Cendawan & Sayur

7 Menu Vegan Sedap & Mengenyangkan, Sekali Cuba Terus Suka!

Tak ada ayam, udang atau telur pun nasi goreng masih boleh jadi sedap. Cendawan memberikan tekstur yang lebih ‘meaty’, manakala campuran sayur menjadikan hidangan lebih berwarna dan mengenyangkan.

Untuk yang mahukan menu vegan lengkap dalam satu hidangan, nasi goreng ini juga praktikal kerana nasi, cendawan dan pelbagai sayuran dimasak sekali.

Bahan-bahan:

  • 3 cawan nasi sejuk
  • 150gm cendawan shiitake atau cendawan butang | dihiris
  • ½ batang lobak merah | dipotong dadu
  • ½ cawan jagung
  • ½ cawan kacang peas
  • 2 pokok sawi | dipotong
  • 3 ulas bawang putih | dicincang
  • 1 biji bawang merah | dicincang
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu besar kicap manis
  • ½ sudu kecil lada putih
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

Cara Memasak:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali.
  2. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga wangi.
  3. Masukkan cendawan dan masak sehingga sedikit keperangan.
  4. Tambahkan lobak merah, jagung, kacang peas dan sawi. Tumis menggunakan api besar.
  5. Masukkan nasi dan gaul sehingga semua bahan sebati.
  6. Tambahkan kicap cair, kicap manis dan lada putih.
  7. Gaul menggunakan api besar sehingga nasi sedikit kering. Perasakan dengan garam jika perlu dan hidangkan.

7. Tauhu & Cendawan Black Pepper

7 Menu Vegan Sedap & Mengenyangkan, Sekali Cuba Terus Suka!

Kalau mahukan sesuatu yang lebih moden, cuba gabungan tauhu, cendawan dan sos lada hitam. Rasanya pedas, sedikit manis dan cukup sedap dimakan dengan nasi panas.

Ads

Bahan-bahan:

  • 4 keping tauhu | dipotong dadu
  • 200gm cendawan butang | dibelah dua
  • ½ biji capsicum merah | dipotong
  • ½ biji capsicum hijau | dipotong
  • 1 biji bawang Holland | dipotong kasar
  • 3 ulas bawang putih | dicincang
  • 1½ sudu besar lada hitam | ditumbuk kasar
  • 2 sudu besar sos cendawan vegan
  • 1 sudu besar kicap manis
  • 1 sudu besar kicap cair
  • ½ sudu kecil gula
  • ½ cawan air
  • 1 sudu kecil tepung jagung | dibancuh dengan sedikit air
  • Minyak masak secukupnya

Cara Memasak:

  1. Goreng tauhu sehingga keemasan. Angkat dan ketepikan.
  2. Tinggalkan sedikit minyak dan tumis bawang putih serta bawang Holland sehingga wangi.
  3. Masukkan cendawan dan tumis menggunakan api besar sehingga sedikit keperangan.
  4. Masukkan capsicum dan lada hitam.
  5. Tambahkan sos cendawan vegan, kicap manis, kicap cair, gula dan air. Kacau sebati.
  6. Masukkan tauhu goreng dan gaul perlahan-lahan.
  7. Tuangkan bancuhan tepung jagung dan masak sehingga sos pekat serta bersalut cantik pada tauhu dan cendawan.

Menu Vegan Sedap Tak Semestinya Ada Daging

Mencuba hidangan vegan tidak bermaksud perlu terus mengubah keseluruhan cara pemakanan. Sesekali menggantikan lauk berasaskan daging dengan tauhu, tempe, cendawan, kekacang dan sayuran juga boleh memberi lebih variasi dalam menu harian.

Anda mungkin berminat dengan

Paling penting, makanan vegan bukan sekadar salad atau sayur rebus. Dengan penggunaan rempah, sambal dan teknik memasak yang betul, hidangan berasaskan tumbuhan pun boleh jadi pedas, berlemak, berempah dan cukup memuaskan.

Daripada Rendang Cendawan yang pekat hinggalah Tauhu & Cendawan Black Pepper yang penuh rasa, tujuh menu vegan ini membuktikan lauk tanpa daging pun boleh buat makan nasi bertambah. Sekali cuba, mungkin terus masuk senarai menu kegemaran!

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

Daging Masak Kicap Berkuah Paling Sedap, Rahsia Kuah Pekat & Daging Empuk Wajib Cuba

Daging Goreng Cili Padi Paling Sedap, Pedas Berapi & Mudah Dibuat

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official:

Dapatkan resipi, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Menu Lain

8 Resipi Pisang Terlalu Masak: Idea Hebat, Sedap & Jangan Buang...

Cuba 10 resipi pisang terlalu masak yang mudah dan sedap, daripada kek pisang, cucur dan pancake hingga banana bread, smoothie serta biskut oat.