Sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan keturunan, makanan-makanan yang ada di negara kita juga pelbagai rasa. Kali ini, RASA kongsikan 9 jenis resipi makanan India, Cina dan Melayu untuk anda cuba kelainan. Yang pasti, rasanya dijamin lazat! 

 

1. PESAMAH KAMBING

9 Jenis Masakan Melayu, Cina Dan India. Penuh Aroma Dijamin Lazat!

BAHAN- BAHAN:

  • 500gm daging kambing | potong saiz kecil
  • 1sudu makan tairu/yogurt
  • 1sudu teh halia kisar
  • 1sudu teh bawang putih kisar
  • ½ sudu teh lada hitam kisar
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 1 labu bawang besar | dihiris
  • 3 sudu makan serbuk kari daging
  • 5 cawan air rebusan daging kambing
  • 1 cawan santan pekat
  • 100gm kerisik
  • 5sudu makan minyak masak
  • Garam secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Perap daging kambing bersama tairu/yogurt, halia kisar, bawang putih kisar dan lada hitam kisar selama 2 jam. Ketepikan.
  2. Rebus daging kambing yang telah diperap sehingga daging kambing empuk. Asingkan daging dan air rebusannya. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Masukkan bunga lawang, kulit kayu manis dan bunga cengkih. Selepas satu minit, masukkan bawang besar yang telah dihiris. Tumis sehingga bawang bertukar warna.
  4. Masukkan serbuk kari daging dan dua cawan air rebusan. Kacau rata. Masak sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan daging kambing dan kacau rata.
  6. Masukkan santan, kerisik dan tiga cawan air rebusan. Kacau rata. Perlahankan api biar mereneh selama 5 minit.
  7. Kacau sehingga kuah menjadi pekat. Perasakan garam secukup rasa. Tutup api.
  8. Sedia dihidangkan bersama nasi beriani atau nasi putih.

 

Info chef: Daging kambing boleh dipotong kasar tetapi memerlukan masa memasak yang lebih lama.

 

 

2. SOTONG MASALA

9 Jenis Masakan Melayu, Cina Dan India. Penuh Aroma Dijamin Lazat!

Bahan- Bahan:

  • 500gm sotong putih |bersihkan dan direbus sehingga ¾ masak
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 2 biji buah pelaga
  • 1 labu bawang besar |dihiris
  • 2 biji cili merah |dipotong memanjang
  • 2 sudu teh halia kisar
  • 1sudu teh bawang putih kisar
  • 1 tangkai daun kari
  • 1 labu bawang merah (dikisar)
  • 2 1/2 sudu makan serbuk kari daging
  • 1 sudu teh serbuk jintan putih
  • 1sudu teh serbuk jintan manis
  • 1sudu teh serbuk cili
  • 50gm santan pekat
  • 1 cawan air rebusan sotong
  • 3 sudu makan minyak masak
  • ½ sudu teh gula
  • Garam secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Masukkan bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih. Selepas satu minit, masukkan bawang besar  dan cili merah. Tumis sehingga bawang bertukar warna.
  2. Masukkan bawang putih kisar, halia kisar dan daun kari. Apabila bau harum, masukkan bawang kisar. Kacau sekata.
  3. Bila mendidih, masukkan serbuk kari daging, serbuk jintan putih, serbuk jintan manis dan serbuk cili.
  4. Tuang air rebusan sotong dan kacau rata. Masak sehingga kuah menjadi pekat sedikit.
  5. Masukkan santan dan tunggu sehingga mendidih.
  6. Masukkan sotong dan kacau rata selama empat minit.
  7. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Tutup api. Sedia dihidangkan.

 

Info chef: Sotong boleh juga dipotong kecil, mengikut kesukaan masing-masing.

 

 

3. AYAM MADU MAMAK

9 Jenis Masakan Melayu, Cina Dan India. Penuh Aroma Dijamin Lazat!

BAHAN- BAHAN PERAPAN AYAM:

  • 1kg ayam |dipotong dan dibersihkan
  • 1sudu teh serbuk kunyit
  • ½ sudu teh garam
  • 1 cawan  minyak masak (untuk goreng ayam)

 

BAHAN LAIN:

  • 3 sudu makan minyak masak
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 2 biji buah pelaga
  • 1 labu bawang besar |dihiris
  • 1 tangkai daun kari
  • 1sudu teh bawang merah kisar
  • 2 sudu teh halia kisar
  • 1sudu teh bawang putih kisar
  • 1 labu bawang besar |dikisar
  •  ½  sudu makan serbuk kulit kayu manis
  • ½  sudu makan serbuk jintan putih
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • 200gm buah kurma |dibuang biji
  • ½ cawan air
  • 3 sudu makan madu

 

BAHAN UNTUK MENGGORENG GAJUS DAN KISMIS:

  • 50gm kacang gajus
  • 10gm buah kismis
  • 1 sudu teh minyak sapi

 

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1.  Perap ayam bersama serbuk kunyit dan garam selama 30 minit.
  2.  Kemudian goreng ayam sehingga 1/2 masak. Ketepikan.
  3. Setelah itu, panaskan minyak masak di dalam kuali. Masukkan bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih. Selepas satu minit, masukkan bawang merah dan daun kari. Tumis sehingga bawang bertukar warna.
  4. Masukkan bawang putih kisar, halia kisar dan bawang kisar. Kacau rata selama dua minit.
  5. Masukkan serbuk jintan putih, serbuk kulit kayu manis dan serbuk cili. Kacau rata.
  6. Kisar buah kurma bersama ½ cawan air. Tuang bahan kisar tersebut ke dalam kuali dan gaul rata. Masak seketika. Sekiranya kuah pekat, tambah air secukupnya.
  7. Masukkan ayam dan perasakan dengan garam secukupnya. Biarkan mendidih dan ayam masak sepenuhnya. Ketepikan.
  8. Di dalam kuali lain, masukkan minyak sapi dan goreng gajus bersama buah kismis menggunakan api perlahan. Tutup api.
  9. Tuang ke dalam kuah ayam dan kacau. Masukkan madu dan tutup api.
  10. Sedia dihidangkan bersama nasi panas.

 

Info chef: Tidak perlu tambah gula kerana hidangan sudah ada madu dan kurma yang memberikan rasa manis pada masakan.

 

 

4. AYAM PONG TEH

9 Jenis Masakan Melayu, Cina Dan India. Penuh Aroma Dijamin Lazat!

BAHAN–BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam bersaiz sederhana |dipotong kecil
  • 1 biji kentang | direbus dan belah empat
  • 6 ulas bawang merah| dihiris halus
  • 3 ulas bawang putih | ditumbuk halus
  • 2.5cm halia | ditumbuk halus
  • 1 biji cili merah | dihiris halus
  • 3 sudu makan taucu | hancurkan sedikit
  • 1 sudu makan kicap cair
  • 1 sudu makan kicap pekat
  • Gula Melaka secukup rasa
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, cili merah dan halia hingga harum.
  2.  Masukkan taucu dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Kemudian masukkan ayam dan gaul rata. Masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya sehingga ayam tenggelam. Masak hingga mendidih.
  4. Masukkan kicap pekat dan kicap cair. Kacau rata.
  5. Apabila ayam sudah masak, masukkan ubi kentang. Perasakan dengan sedikit gula Melaka. Sedia untuk dinikmati.

 

Info chef: Ayam Pong Teh sedap dimakan bersama nasi putih dan ulam-ulaman.

 

 

5. KETAM TELUR MASIN

9 Jenis Masakan Melayu, Cina Dan India. Penuh Aroma Dijamin Lazat!

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 kg ketam
  • 3 sudu makan tepung jagung
  • 6 ulas bawang merah | dihiris nipis
  • 3 ulas bawang putih | dihiris nipis
  • 2.5cm halia | ditumbuk halus
  • 1 biji cili merah | dihiris nipis
  • Beberapa helai daun kari
  • 2 biji kuning telur masin
  • 1 cawan susu cair
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

 

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Bersihkan ketam dan lumurkan dengan tepung jagung dan juga sedikit garam.
  2. Panaskan minyak dan goreng ketam sehingga masak. Angkat dan toskan minyak.
  3. Ambil sedikit minyak lebihan gorengan ketam dan tumis bawang merah, bawang putih, cili dan daun kari.
  4. Kemudian masukkan kuning telur masin yang telah dihancurkan. Biarkan ia masak dan tuangkan susu cair sedikit demi sedikit.
  5. Biarkan kuah memekat dan masukkan ketam yang telah digoreng tadi. Gaul rata. Sedia untuk dinikmati.

 

 

Info chef: Santan juga boleh digunakan bagi menggantikan susu cair

 

 

6. AYAM LADA HITAM CENDAWAN

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm ayam | dipotong kecil
  • 5 biji cendawan butang segar | dihiris nipis
  • 3 ulas bawang putih | dihiris nipis
  • 2.5cm halia | dihiris nipis
  • 1/2 biji bawang besar |dipotong empat
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 250ml stok perang ayam
  • 1 sudu teh kicap manis
  • 3 sudu makan minyak masak
  • Sedikit tepung jagung | dibancuh dengan sedikit air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

 


CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ayam bersama garam dan goreng menggunakan api yang besar sehingga separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang putih dan halia sehingga naik bau. Kemudian masukkan serbuk lada hitam.
  3. Masukkan ayam dan kacau seketika. Masukkan pula cendawan, minyak bijan dan kicap manis. Kacau sehingga cendawan sedikit layu.
  4. Tuang stok perang ayam dan kemudian masukkan sedikit bancuhan tepung jagung supaya kuah menjadi pekat.
  5. Perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Siap untuk dinikmati.

 

Info chef: Stok perang ayam boleh juga digantikan dengan air biasa

 

 

7. UDANG MASAK LEMAK CILI API BERSAMA DAUN SELOM

 9 Jenis Masakan Melayu, Cina Dan India. Penuh Aroma Dijamin Lazat!

BAHAN-BAHAN:

  • 10 ekor udang saiz besar |bersih dan tos
  • 1 batang serai |titik
  • 2 ulas bawang merah |kisar
  • 1 keping asam gelugur
  • 2 sudu kunyit hidup | kisar
  • Seikat daun selom | potong
  • 10 biji cili padi | kisar
  • 1 mangkuk santan
  • Garam secukup rasa

 

IKLAN

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan kesemua bahan kecuali udang dan daun selom.
  2. Kemudian didihkan kuah atas api sederhana hingga mendidih.
  3. Sentiasa kacau agar santan tidak pecah.
  4. Masukkan garam, udang dan daun selom.
  5. Biarkan lebih kurang lima minit. Tutup api
  6. Hidangkan panas-panas.

 

INFO CHEF: Jangan masak udang terlalu lama kerana ia akan menjadi sedikit keras.

 

 

8. TEMPOYAK DAUN

  9 Jenis Masakan Melayu, Cina Dan India. Penuh Aroma Dijamin Lazat!  

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm cekak pucuk ubi |dihiris halus
  • 3 papan petai | belah dua.
  • 10 ekor udang sederhana besar
  • 2 helai daun kunyit |dihiris halus
  • 4 helai daun kaduk |dihiris halus
  • 4 helai pucuk daun labu dihiris halus
  • 4 batang serai dihiris halus
  • 1 biji kelapa | ambil santan pekat sahaja
  • 6 sudu makan tempoyak
  • Gula dan garan secukup rasa

 

Bahan Kisar:

  • 3cm kunyit hidup
  • 4 ulas bawang merah
  • 20 biji cili padi

 

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan semua bahan hirisan dalam periuk.
  2. Kemudian campurkan santan dan bahan kisar.
  3. Gaul rata dan masak atas api sederhana sehingga kuah agak pekat.
  4. Lengkapkan rasa dengan garam dan gula secukupnya

 

INFO CHEF: Tempoyak daun ini lebih lama dipanaskan lebih sedap rasanya.

 

 

9. PINDANG IKAN KERISI

 9 Jenis Masakan Melayu, Cina Dan India. Penuh Aroma Dijamin Lazat!

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan kerisi | bersihkan dan potong dua
  • 2 ulas bawang merah| hiris
  • 1 ulas bawang putih | titik
  • ½ inci halia| hiris
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 sudu kunyit hidup | kisar
  • 1 biji ili hijau |belah tengah
  • 1 biji cili merah | belah tengah
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan ikan dalam periuk bersama air, kunyit, asam gelugur dan semua bahan hirisan yang lain.
  2. Masak sehingga mendidih, perasakan dengan garam secukup rasa.
  3. Akhir sekali masukkan cili.
  4. Biarkan seketika, angkat dan hidangkan.

 

INFO CHEF: Selain ikan kerisik lebih sedap jika menggunakan ikan parang.

 

 

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI