Bila dihidang masakan autentik Melayu ini macam biasa-biasa tetapi bila sudah menjamah pasti menjilat jari. Tidak hairanlah restoran masakan kampung  menjadi tarikan di tengah kota hanya kerana anak rantau rindukan air tangan bonda.  Jika anda ingin mencuba sendiri Chef Sue Arukin tidak kedekut berkongsi resipi warisan bondanya…

 

ASAM REBUS IKAN KEMBUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 4-5 ekor ikan kembung | siang, bersih dan tos
  • 4  keping asam gelugor
  • 1 batang serai | titik
  • 3 cawan air
  • Garam dan gula secukupnya

BAHAN KISAR HALUS:

  • 5 biji cili merah
  • 5 biji lada hitam
  • 4 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci lengkuas muda
  • 1 inci kunyit hidup

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan bahan-bahan B ke dalam kuali beserta air.
  2. Didihkan hingga mereneh.
  3. Masukkan pula asam gelugor, serai dan ikan.
  4. Biarkan terus mereneh hingga semua bahan sebati.
  5. Sesuaikan rasanya dengan menambah garam dan gula secukup rasa.
  6. Tutup api dan sedia dihidangkan.

 

INFO CHEF: Mereka yang tinggal jauh dari laut, mereka menggunakan ikan puyu atau sepat untuk masak asam rebus ini.

……………

 

 

GULAI KUNING PISANG MUDA IKAN MASIN

BAHAN-BAHAN:

  • 500ml santan pekat
  • 500ml santan cair
  • 8 biji pisang muda | bersihkan kulit luar dan rebus
  • 10 potong ikan masin talang/duri | rendam dan bersihkan
  • 10 biji cili padi hijau
  • 2 inci kunyit hidup
  • 2 batang serai | ketuk
  • 1 sudu teh garam kasar
  • Lada sulah, gula  dan garam halus secukup rasa

CARA MEMASAK:

IKLAN
  1. Cili padi, kunyit kidup dan garam kasar ditumbuk lumat lalu masukkan ke dalam periuk bersama serai dan santan cair.
  2. Didihkan dengan api yang sederhana.
  3. Masukkan ikan masin dan didihkan hingga ikan masin agak empuk.
  4. Masukkan pisang muda yang telah direbus dan tuang santan pekat perlahan-lahan.
  5. Didihkan lagi dengan api yang kecil sambil dikacau perlahan jangan sampai pecah santan.
  6. Sesuaikan rasa dengan menambah lada sulah dan sedikit gula. Tambah garam jika perlu.
  7. Gulai sedia dihidangkan.

 

INFO CHEF: Goreng ikan masin sebelum masuk dalam gulai, jika tidak mahu hancur.

……………..

 

 

KARI DAGING TETEL BERSAMA REBUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 600gm daging tetel  | potong kecil dan rebus empuk
  • 500ml santan pekat
  • 300gram rebung madu | potong kecil dan celur
  • 2 biji tomato | cincang kasar
  • 3 labu bawang besar | mayang halus
  • 10 ulas bawang merah | kisar halus
  • 5 ulas bawang putih | kisar halus
  • 3sm halia | kisar halus
  • 4 sudu makan serbuk kari daging
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga
  • 1 tangkai daun kari
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 3 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak masak di dalam periuk.
  2. umis bawang besar dan tomato hingga layu dan keperang-perangan.
  3. Masukkan  buah pelaga, bunga lawang, dan daun kari hingga wangi.
  4. Satukan rempah kari daging dengan campuran bawang kisar.  Campur sedikit air dan kacau hingga menjadi pes yang pekat.
  5. Tuang ke dalam periuk dan tumis bahan-bahan rempah hingga terbit minyak.
  6. Masukkan daging dan sedikit air.  Didihkan hingga daging benar-benar empuk.
  7. Masukkan santan dan rebung.  Masak lagi hingga semua bahan masak sebati.
  8. Tambah garam dan gula secukup rasa.

 

INFO CHEF:  Sesetengah orang menggunakan umbut kelapa mengantikan rebung.

…………..

 

 

KERABU PUCUK UBI, JANTUNG PISANG & TAUGE

BAHAN-BAHAN:

  • 10 tangkai pucuk ubi | rebus empuk & hiris
  • 1 biji jantung pisang | rebus empuk & hiris
  • 150gram tauge | celur
  • 1 biji kelapa parut | putihnya sahaja
  • 3 biji cili merah
  • 5 bij cilipadi
  • 3 ulas bawang merah | bakar
  • 2 ulas bawang putih | bakar
  • 1 inci belacan | bakar
  • 1 inci ubi cekur | bakar
  • Perahan limau secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Cili padi, cili merah, bawang merah bakar, bawang putih bakar, ubi cekur dan belacan ditumbuk lumat.
  2. Di dalam mangkuk besar, satukan kelapa parut dengan bahan-bahan tumbuk dan kacau rata.
  3. Masukkan pucuk ubi dan jantung pisang rebus diikuti dengan tauge celur.  Kacau lagi hingga sebati.
  4. Tambah garam dan gula secukup rasa.
  5. Perahkan limau ke dalam kerabu dan sesuaikan rasanya.
  6. Kerabu sedia dihidangkan.

 

INFO CHEF: Sambal kelapa boleh goreng sangai seketika, untuk elakkan dari cepat basi.

……………

 

 

MASAK LEMAK PUTIH LABU & IKAN BILIS

BAHAN-BAHAN:

  • 500ml santan cair
  • 300ml santan pekat
  • 1/2  biji labu saiz sederhana |  bersihkan, potong dadu besar & rebus empuk
  • 1 labu bawang besar | mayang halus
  • 1 batang serai | titik
  • ½ cawan ikan bilis | bersihkan
  • 2 biji cili merah | hiris halus
  • Garam  dan lada sulah secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam periuk, satukan snatan cair, ikan bilis, cili merah, bawang besar dan serai lalu didihkan dengan api yang kecil.
  2. Masukkan labu yang telah direbus bersama santan pekat.
  3. Didihkan lagi dengan api perlahan hingga semua bahan masak sebati.
  4. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
  5. Sedia dihidangkan.

 

INFO CHEF: Kalau zaman dulu, pucuk muda labu boleh dicampurkan sekali dalam gulai labu ini. Tetapi celur seketika dahulu.

 

RESIPI: CHEF SUE ARUKIN, SRI ANDALAS, SELANGOR.

 

DAPATKAN JUGA RESIPI LENGKAP DALAM MAJALAH RASA ISU OGOS