Buat warga Selangor dan Kuala Lumpur kini terdapat pilihan untuk menikmati sajian asli Terengganu di Restoran Gamelan,  Oasis Square, Ara Damansara, Petaling Jaya. Di antara tarikan makanan di sini Nasi Minyak Terengganu, Laksa Merah, Gulai Daging dan bermacam lagi sajian asli Terengganu

Sesuai dengan namanya Gamelan alat muzik istana, pemiliknya Tengku Norziehan Tengku Muda mempelajari sendiri sajian makanan dari bekas Chef Istana Terengganu. Memang sedaplah lauk pauk di sini, apakata anda cuba sendiri.

1. NASI MINYAK TERENGGANU

BAHAN-BAHAN:

  • 4 cawan beras basmati (rendam setengah jam terlebh dahulu dengan air )
  • 4 cawan air
  • 1 cawan susu cair
  • 2 sudu makan susu pekat manis
  • 1 biji limau nipis/perah airnya
  • 1 biji bawang besar/dimayang bulat
  • 2 helai daun pandan
  • 1 kulit kayu manis
  • 1 bunga lawang
  • ¾ cengkih
  • 4 biji pelaga
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu makan minyak sapi
  • 4 sudu makan minyak biasa
  • Beberapa titik pewarna merah
  • Beberapa titik pewarna kuning

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak biasa dan minyak sapi dalam periuk.
2. Masukkan rempah tumis empat sekawan, bawang besar dan daun pandan (simpulkan).
3. Bila naik bau, masukkan air, susu cair, susu pekat,garam dan air limau nipis.
4. Setelah mendidih masukkan beras.
5. Bila hampir kering, renjiskan beberapa titik pewarna merah dan kuning
6. Kacau rata dan biarkan nasi masak,

INFO CHEF : Jika anda ingin memasukkan sedikit mentega atau marjerin, kurangkan kuantiti minyak masak atau tanpa minyak masak
Saiz hidangan : 13 orang
Keistimewaan : Nasi minyak beraroma ini sungguh lazat dimakan dengan lauk gulai Terengganu, lauk masak merah mahupun dalca.

2. GULAI DAGING NASI MINYAK

BAHAN-BAHAN :

  • 1 kg daging/dipotong kiub
  • 4 sudu makan rempah kurma (rempah gulai nasi minyak Terengganu)
  • 3 biji bawang besar/dikisar
  • 5 sm halia/ dikisar
  • 1labu bawang putih
  • 1 tin susu cair
  • 2 tin air biasa (bekas tin susu cair)
  • 3 sudu makan sos tomato
  • 4 biji kentang/ dibelah empat
  • ½ kg bawang merah/ dihiris dan goreng hingga garing (simpan minyak goreng bawang 1 senduk untuk masak kuah)
  • 3 helai daun pandan
  • 1 senduk minyak bawang goring
  • 2 sudu makan minyak sapi
  • 2 sudu makan cili boh
  • 3 sm kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang

CARA MEMASAK :
1. Campurkan dan gaulkan daging dengan bahan kisar, rempah kurma, rempah,cili boh, bawang goreng (diramas-ramas) dan semua bahan tadi masukkan ke dalam periuk.
2. Panaskan minyak bawang goreng dan minyak sapi bersama daun pandan dalam periuk. Masukkan rempah penumis kayu manis, bunga cengkih ,pelaga, bunga lawang hingga naik bau.
3. Masukkan daging bersama bahan kisar, rempah kurma, rempah,cili boh, bawang goreng(diramas-ramas) ke dalam periuk.
4. Masak sehingga mendidih, dan sentiasa kacau hingga masak.
5. Bila daging empuk, boleh dikecilkan api dan reneh seketika.
6. Gulai sedia dihidangkan.,

INFO CHEF : Gulai daging Terengganu menggunakan bawang goreng menyebabkan ia beraroma harum dan lebih perisa.
Saiz hidangan : 13 orang
Keistimewaan : Gulai daging Terengganu dimasak tanpa santan, jadi ia tidak muak

3. SINGGANG IKAN TONGKOL

BAHAN-BAHAN :

  • 3 ketul isi ikan tongkol yang sederhana besar
  • 2 biji bawang merah /dimayang halus
  • 4 ulas bawang putih /dimayang halus
  • 2 sm lengkuas /dimayang halus /dimayang halus
  • 2 sm kunyit hidup /dimayang halus
  • 1 ½ sudu teh garam
  • 2 keping asam keeping
  • 5 biji cili siam
  • 4 gelas air (220 ml) air untuk rebus ikan
  • Sedikit gula secukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Masukkan isi ikan tongkol ke dalam periuk bersama dengan 4 gelas air untuk merebus ikan.
2. Masukkan bahan-bahan yang dimayang tadi.
3. Masukkan asam keping kemudian biarkan ia mendidih selama 10 minit.
4. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
5. Apabila dah masak masukkan pula cili siam hijau tadi.
6. Masak dalam 5 minit dan matikan api.
7. Singgang ikan tongkol siap dihidang.

INFO CHEF : Resipi ini mudah disediakan, tak perlu ditumis dan boleh dimasukkan semua bahan sekali kecuali cili letak paling akhir.
Saiz hidangan : 13 orang
Keistimewaan : Rasanya segar dan masam serta pedas pasti membangkit selera

4. ROJAK BETIK


BAHAN-BAHAN :

BAHAN ROJAK :

  • ½ biji betik muda /diparut (saiz sederhana)
  • ½ biji nenas /dihiris nipis
  • 1 biji timun /dihiris nipis
  • Taugeh (opsional)

BAHAN KUAH:

  • 6 ekor ikan kembung atau ikan selayang/direbus dan dikisar
  • 750 ml air
  • 3 sudu makan cuka
  • 2 ketul gula melaka
  • 5 ½ sudu makan cili boh
  • 5 sudu makan gula
  • 2.5 sm belacan
  • 6 biji cili padi
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:
Cara sediakan bahan rojak:
1. Parut betik dan rendam di dalam bekas berisi air.
2. Hancurkan kapur makan dgn sedikit air. Tapiskan dan masukkan dalam rendaman betik.
3. Rendam 15 minit, bilas dan toskan.
4. Hiris nipis timun dan nenas. Boleh meletakkan taugeh jika suka.
Cara masak kuah:
1. Masukkan ikan yang telah ditumbuk lumat isinya ke dalam periuk.
2. Kemudian ambil periuk lain dan masukkan kesemua bahan dan masak sehingga mendidih.
3. Cedukkan 2 atau 3 senduk kuah tu ke dalam isi ikan yang ditumbuk dan gaul sebati. Kemudian barulah tuang isi ikan ke dalam periuk kuah dan biarkan mendidih.
4. Akhir sekali masukkan garam dan gula secukup rasa.
5. Tuangkan kuah ke atas bahan rojak . Rojak betik sedia dinikmati.

INFO CHEF : Jangan tuangkan isi ikan terus ke dalam kuah untuk mengelakkan ikan berketul.
Jenis masakan : Laksa
Keistimewaan : Rojak betik ini sedap dimakan dengan keropok dan kuah rojak yang sejuk.

5. AYAM PERCIK

BAHAN-BAHAN :

  • 4 ketul isi ayam (digoreng/direbus)
  • 4 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 sm halia
  • Sedikit garam

*Semua bahan ditumbuk lumat dan gaul dan lumurkan pada ayam. Perap dahulu sebelum ayam digoreng atau direbus (separuh masak)

BAHAN KUAH

  • 1 sudu makan halba
  • 3 ulas bawang merah/ dikisar
  • 1 batang serai/ dihiris halus dan dikisar
  • 2 ulas bawang putih /dikisar
  • 1.5 sm halia/dikisar
  • 3 sudu makan cili boh
  • 1 ½ sudu gula
  • 3 cawan santan
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :
1. Nyalakan api dan masukkan santan dalam kuali.
2. Masukkan semua bahan-bahan yang dikisar tadi ke dalam santan. Masukkan garam, gula secukup rasa.
3. Masukkan ayam kemudian biarkan ia mendidih sehingga kuahnya pekat.
4. Biarkan ia pekat dan kemudian taburkan halba ke atas ayam percik tadi.
5. Ayam percik siap dihidang

INFO CHEF : Ayam juga boleh dipanggang.
Saiz hidangan : 6 orang
Keistimewaan : Rasa rempah ratus menyebabkan percik ayam berperisa.

RESEPI : Tg Norziehan Tg Muda, Muhammad Syamil Othman, Muhammad Syaqir Othman
Terima kasih : RESTORAN GAMELAN, Blok B-G-05, Blok No 2, Jalan PJU 1A-7A, Oasis Square, Ara Damansara,47301 Petaling Jaya, Selangor