Periuk nasi elektrik memang memudahkan kerja-kerja memasak. Tak perlu menunggu api bagi mengelakkan nasi hangit. Hanya letak di dalam bekas elektrik, tekan suis dan tunggu sahaja nasi masak. Mudah dan nasi pasti masak sempurna.

Namun, jangan tak tahu, periuk nasi elektrik ni bukan itu sahaja fungsinya. Jika keadaan darurat, macam-macam boleh masak menggunakan periuk ni. Biasanya bagi pelajar-pelajar universiti, memang biasa sangatlah masak menggunakan periuk nasi ni. Kadang-kadang pelbagai menu yang kita fikir agak susah nak masak, boleh dihasilkan. Ada sahaja idea kreatif yang terhasil. Maklumlah, nak jimat duit belanja.

Bagi geng mak-mak, idea masak menggunakan rice cooker ni pun anda boleh cuba. Mana tahu, tiba-tiba gas memasak habis, nak keluar beli pun susah. Nak beli lauk pauk yang dah siap pun tidak sedap. Jadi, periuk nasi elektrik ni adalah penyelamat anda. Masa memasak mungkin agak lambat berbanding penggunaan dapur biasa namun ia adalah cara yang boleh dicuba bagi anda yang tidak mempunyai dapur induksi yang boleh digunakan dikala kecemasan sebegini. Antara menu-menu mudah yang boleh anda cuba ialah:

1. BIHUN CELUP SIAM

BAHAN -BAHAN:

  • 1 bungkus bihun| dicelur
  • Sedikit sawi | dicelur
  • Sedikit kubis | dihiris halus
  • Sedikit tauge
  • Sedikit daun sup | dihiris
  • Limau nipis
  • Sedikit kacang tanah | digoreng tanpa minyak, dibuang kulit dan ditumbuk kasar
  • Bawang goreng secukupnya
  • Sambal kicap secukupnya
  • Emping cili | jika suka

 

BAHAN SUP:

  • 1 kg ayam | direbus dengan 2 liter air hingga empuk. Air rebusan disimpan.
  • 1 1/2 biji bawang besar | dikisar
  • 5 ulas bawang putih | dikisar
  • 2 inci halia | dikisar
  • 1 batang serai | dititik
  • 1 bungkus sup bunjut
  • 1/2 cawan sos ikan
  • 1/2 cawan kicap manis
  • Gula dan garam secukup rasa
  • Sedikit minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Untuk menyediakan sup, panaskan periuk nasi. Kemudian masukkan minyak dan tumis bahan dikisar serta serai hingga naik bau.
  2. Kemudian masukkan sup bunjut dan air rebusan ayam. Biarkan mendidih.
  3. Tambahkan sos ikan, kicap, gula serta garam secukup rasa. Jika kuah kelihatan sedikit, tambah sedikit lagi air. Biarkan sehingga  mendidih.
  4. Untuk menyediakan bihun celup, masukkan bihun, sawi, kubis, tauge, daun sup, kacang tumbuk, bawang goreng serta isi ayam yang telah dicarikkan ke dalam mangkuk.
  5. Kemudian tuangkan kuah dengan secukupnya.
  6. Taburkan emping cili, sambal kicap serta limau nipis. Sedia untuk dinikmati.

2. SPAGETI SEAFOOD

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm spageti | dicelur
  • 150gm campuran makanan laut
  • 6 batang asparagus | dicelur & direndam dalam air berais
  • 4 ulas bawang putih | diketuk
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 sudu teh emping cili
  • 1/2 sudu teh oregano
  • 2 sudu makan mentega
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Letakkan periuk nasi dan tekan on. Masukkan mentega dan tumis bawang putih hingga kekuningan.
  2. Masukkan campuran makanan laut dan goreng lagi hingga masak. Tutuip periuk jika perlu.
  3. Tambahkan spageti. Gaul rata.
  4. Kemudian masukkan serbuk lada hitam, emping cili, oregano dan perasakan dengan garam secukupnya.
  5. Masukkan asparagus. Gaul rata. Tutup periuk dan biar hingga asparagus masak.
  6. Sedia untuk dinikmati.

3. UDANG GORENG BERSAMA TELUR DAN DAUN BAWANG

Bahan Perapan Udang:

  • 300gm udang saiz sederhana ] buang kulit dan cuci bersih
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 1/2 sudu teh serbuk lada sulah

Hirisan:

  • 4 ulas bawang putih ] cincang
  • 1 biji bawang besar ] cincang
  • 3cm halia muda ] hiris halus memanjang

Lain-Lain:

  • 4 biji telur
  • 1/2 sudu teh serbuk lada putih
  • 50gm daun bawang ] potong 3cm
  • 1 sudu makan susu segar
  • Garam secukup rasa
  • 2 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan udang dan toskan, kemudian gaulkannya dengan garam, minyak bijan dan serbuk lada sulah. Perapkan 5-10 minit dan ketepikan.
  2. Pecahkan telur dalam mangkuk dan campurkan dengan susu segar, serbuk lada sulah dan sedikit garam. Kacau rata sehingga sebati.
  3. Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Biarkan panas dan tumiskan bahan hirisan hingga wangi.
  4. Kemudian masukkan udang, kacau rata hingga  udang kemerahan (lebih kurang 5-8 minit). Angkat dan ketepikan.
  5. Seterusnya panaskan sedikit lagi minyak dalam periuk, masukkan telur dan kacau rata, lebih kurang  dua minit.
  6. Masukkan daun bawang dan udang yang telah digoreng tadi.
  7. Kacau rata dan tutup periuk. Biar udang masak bersama daun bawang tadi. Kacau sekali sekala.
  8. Setelah udang kelihatan masak dan daun bawang layu, angkat dan dihidangkan panas-panas.

4. TELUR DADAR KENTANG 

BAHAN-BAHAN:

  • 8 biji telur
  • 2 ketul ubi kentang
  • 2 biji bawang merah
  • 50gm tepung gandum
  • ½ sudu teh lada hitam
  • 1 sudu teh cincangan daun ketumbar
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu makan susu segar
  • 2 sudu makan mentega
  • Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan periuk nasi, masukkan sedikit minyak.
  2. Masukkan kentang yang telah dipotong kecil. Masak hingga lembut.  Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk, pukul telur dan masukkan garam, susu, lada hitam,tepung gandum dan daun ketumbar, pukul hingga rata bahan-bahan tadi. Setelah itu masukkan kentang yang telah disejukkan. Kacau perlahan-lahan sehingga rata.
  4. Panaskan kembali periuk, letak mentega dan minyak sedikit.
  5. Masukkan telur tadi, kacau dengan perlahan-lahan. Tutup periuk dan biarkan sehingga masak.

5. SAMBAL TELUR HANCUR

BAHAN-BAHAN:

  • 4 biji telur
  • 5 biji bawang merah   | kisar tanpa air
  • 2 ulas bawang putih    |kisar tanpa air
  • 5 sudu makan cili kisar
  • Minyak untuk menumis
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit asam jawa

CARA MEMASAK:

  1.  Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan yang dikisar sehingga wangi dan garing.
  2.  Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Kacau perlahan.
  3.  Setelah kuah mendidih dan sedikit kering airnya, masukkan telur satu persatu.
  4.  Jangan kacau dahulu, biarkan telur sedikit keras barulah digaulkan keseluruhan.
  5.  Angkat dan sedia dihidangkan.

Info chef: Bawang perlu dikisar tanpa air bagi mempercepatkan ia garing.

6. KEK KEJU MUDAH

BAHAN A:

  • 100gm gula kastor
  • 4 biji kuning telur
  • 200gm yogurt
  • 40gm mentega
  • 400gm krim keju

BAHAN B:

  • 100gm tepung gandum
  • 4 biji putih telur
  • 120gm gula halus

CARA MEMASAK:

  1.  Satukan bahan A. Kacau hingga semau bahan larut.
  2.  Kemudian masukkan tepung gandum yang telah diayak. Gaul rata. Ketepikan.
  3.  Dalam mangkuk berasingan, satukan putih telur dan gula sedikit demi sedikit. Pukul hingga kembang dan ringan.
  4.  Masukkan putih telur ke dalam mangkuk berisi bancuhan tepung. Kaup balikkan hingga rata.
  5.  Oles periuk dan tuang adunan kek. Masak dalam periuk nasi selama 50-60 minit.
  6.  Angkat dan hidangkan.

Tonton cara-cara penyediaannya disini:

 

 

Kredit gambar & resipi: Ziera Johari II

7. MAKARONI GORENG KEJU

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm makaroni
  • 2 tin sos Cheese & Herbs prego
  • 2-3 ulas bawang putih | diketuk/dihiris
  • 1 biji lada benggala ( merah & hijau)
  • 1 tin cendawan butang | hiris
  • 1 paket sosej ayam | hiris
  • 2 kiub pati ayam
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang putih hingga kekuningan. Kemudian masukkan kiub pati ayam. Kacau hingga hancur.
  2. Masukkan sosej dan cendawan butang. Goreng seketika.
  3. Tambah sedikit minyak jika berkurangan.
  4. Masukkan sos cheese & herbs. Kacau sebati.
  5. Masukkan makaroni yang telah direbus.
  6. Jika kering sangat, masukkan 1/4 cawan air masak. Kacau sebati. Tabur sedikit garam jika perlu.
  7. Seterusnya masukkan lada benggala.
  8. Untuk lebih rasa berkeju, boleh tambahkan sekeping keju cheddar. Kalau tak masukkan pun tidak mengapa. Tutup periuk seketika supaya keju cair.
  9. Sedia untuk dinikmati.

Nota: Jika nak buat separuh paket makaroni, boleh kurangkan separuh untuk semua bahan kecuali cendawan butang. Untuk rasa lebih sedap, boleh tambah isi ayam yang dipotong kecil.

 

8. KERABU SOTONG SIAM KAP KUN KAP

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm sotong | potong kecil
  • 1 biji tomato | cincang nipis
  • 2 biji cili merah |mayang halus
  • 4 biji cili padi | mayang halus
  • 1 labu bawang besar | mayang halus
  • 1 batang serai | mayang halus
  • 1 sudu makan cincangan daun ketumbar
  • 1 sudu makan air perahan limau nipis
  • Garam dan gula secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Dididhkan air di dalam periuk nasi kemudian celur sotong hingga masak. Toskan airnya.
  2. Satukan semua bahan di dalam mangkuk.
  3.  Gaul sebati kesemuanya.
  4.  Sesuaikan rasa dengan menambah garam dan gula secukup rasa.

Kredit resipi & gambar: Puan Rabiatun Adawyah Mohamed Din

9. SINGGANG AYAM

BAHAN-BAHAN:

  • 1/4 ekor ayam (potong kecil, dibersihkan dengan jus limau, bilas dan ditoskan)
  • 5 ulas bawang putih – diketuk
  • 2 batang serai – dititik
  • 1/4 bawang besar- dihiris
  • 1/4 batang lobak merah- dipotong kecil
  • 4 helai daun limau purut ( tak letak pun takpe)
  • 2 inci halia – diketuk
  • 2 keping asam keping
  • 1/2 biji tomato- dipotong
  • 5 biji cili api – diketuk @ dipotong.
  • Air secukupnya
  • Garam

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan air, bawang putih, halia, ayam, daun limau purut, serai dan asam keping ke dalam periuk. Tutup periuk dan biarkan hingga mendidih dan ayam empuk.
  2. Masukkan tomato, cili api, lobak merah dan garam. Biarkan didih seketika.
  3. Siap dihidangkan dengan nasi panas, sambal belacan, sayur @ ulam dan telur dadar.

 

10. SAMBAL UDANG GORENG KACANG BOTOL

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm udang
  • 5 batang kacang botol |hiris tebal
  • 1/2 biji perahan jus limau nipis
  • Minyak masak secukupnya
  • Gula dan garam secukupnya

BAHAN KISAR:

  • 5 tangkai cili kering
  • 4 biji bawang merah
  • ½ sudu teh belacan
  • 1 sudu makan udang kering |rendam dan tos dahulu

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak  dan tumis bahan yang telah dikisar sehingga naik bau.
  2. Masukkan udang dan masak ia seketika dan masukkan kacang botol. Gaul rata. Tutup periuk seketika.
  3. Perasakan dengan jus limau nipis, garam dan gula secukup rasa.
  4. Sedia dinikmati.

11. ASPARAGUS BERSOS TIRAM 

BAHAN-BAHAN:

  • 600gm asparagus |potong
  • 1 biji bawang besar |hiris
  • 3 ulas bawang putih |hiris
  • 10 biji cili api | hiris
  • 50gm udang kering
  • 5 sudu makan sos tiram
  • Garam secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan bawang besar dan bawang putih serta cili api. Biarkan kekuningan.
  2. Masukkan udang kering. sos tiram dan garam secukup rasa. Kacau rata.
  3. Masukkan asparagus.  Tumiskan hingga asparagus lembut. Angkat dan sedia dinikmati.

12. SIRA PISANG  

BAHAN-BAHAN:

  • 10 biji pisang nangka
  • ¾ cawan gula
  • 1 cawan air
  • 6 tangkai bunga cengkih
  • 2-3 titik pewarna kuning
  • ¼ sudu teh kapur (untuk rendam pisang supaya x lembik)

CARA MEMASAK:

  1. Kupas kulit pisang dan rendam dengan kapur selama 10 minit.
  2. Di dalam periuk, masukkan air, pewarna kuning, bunga cengkih, gula dan masak sehingga mendidih.
  3. Masukkan pisang dan masak sehingga gula menjadi pekat dan tinggal sedikit kuantiti airnya. Padamkan api.
  4. Sedia untuk dinikmati.

13. CUCUR SAYUR BERKEJU

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 200gm keju Mozarella
  • 1 biji telur
  • Sedikit hirisan daun bawang
  • Sedikit cili benggala | dipotong dadu
  • Sedikit bawang Holland | potong dadu
  • Sedikit garam
  • Sedikit perasa ayam
  • 1 cawan air panas
  • Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan tepung dengan  daun bawang, cili benggala, bawang, serbuk perasa ayam dan garam di dalam mangkuk.
  2. Masukkan pula telur, kacau rata, kemudian masukkan air panas.
  3. Kacau adunan hingga sebati.
  4. Bulat-bulatkan keju seperti guli.
  5. Ambil keju, kemudian masukkan dalam adunan tepung.  Dan bulatkan adunan tepung dengan tangan.
  6.  Panaskan minyak di dalam periuk. Kemudian goreng cucur hingga garing.