Mesti semua penah makan nasi kat hotelkan, mesti pelik kenapa nasi hotel berderai, tapi rasa macam lemak-lemak, moist macam campur beras pulut jer. Jom belajar dengan Chef Adzha.
Haa nie chef nak share dengan korang semua cara hotel atau restoran masak nasi, sebenarnya cara nie diambil daripada cara penyediaan nasi jepun tuh, kan orang jepun makan nasi pown dengan chopstick, nak bagi nasi tergumpal dan melekat tapi tak lembik nielah salah satu kaedah dorang guna.
Kali ni Chef guna periuk kat rumah jer dan beras Cap Masjid saja. Takut nanti hangpa kata Chef guna equipment lain yang tak der kat umah pulak.
Caranya sangat mudah korang follow jer step dalam video nieh. Sure hasilnya nasi gebu berderai comel sedap lemak yummmyyyy.
Bahan-bahan:
- Beras & Air
- Cuka makan
- Minyak masak
- Garam
Kalau nasi tengahari tak habis pon nak masak untuk nasi goreng malam pon boleh jer sebab nasi dia akan berderai lepas disejukkan.
Selamat mencuba.
Kongsi resipi: Mukhlis Adzha
https://www.facebook.com/mukhlis.adzha/videos/10216068919180869/
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Chef Pastri Hamidy Cipta Idea dan Menu Baru Pastri, di Hotel Royale Chulan KL
Ada banyak kisah menarik yang dilalui Chef Pastri, Abu Hamidy Abu Samah di Hotel Royale Chulan , Jalan Conlay KL. Kalau nak tahu dia bekerja seawal usia 18 tahun dalam bidang ini. Bagi yang minat pastri, Chef ni seharusnya mencetus motivasi pelajar yang sedang menuntut bidang ini.
Mula bekerja sebagai Pembantu Tukang Masak di sebuah restoran, kariernya terus ‘bersinar’ apabila dapat mengembangkan bakat dan kemahiran di hotel-hotel bertaraf lima bintang sebelum menyertai hotel terkini Royale Chulan, KL.
Sebaik menjejaki kaki di sini , Hamidy , 31 tahun terus mencabar dirinya menjadi lebih kreatif dan makin ligat menghasilkan pelbagai menu pastri dan bakeri yang baharu dengan gaya sentuhannya tersendri.
Yang pasti persembahan pasteri dan kek yang berwarna warni dan rasa yang sedap menjadi salah satu tarikan pengunjung ke hotel ini. Dalam mencipta resipi baru Hamidy juga memberi olahan dan inovasi baru dalam setiap menunya.
“Asalnya minat sebenar saya adalah pada seni hiasan dalaman. Minat seni inilah yang menarik saya ‘masuk’ pastri, sebab saya boleh mencipta dan memberi sentuhan seni dalam bidang ini.Saya berpegang kepada tiga prinsip penting dalam membuat pasteri iaitu rasa, idea dan dekorasi bagi menghasilkan yang terbaik.
Orang ramai kini pentingkan kesihatan. Jadi saya kena kaji untuk membuat resipi yang dikurangkan sukatan gula tanpa menjejaskan kesedapannya. Rasa manisnya perlu ‘natural’ tidak berlebihan manisnya,” ujarnya
Di antara pencapaian Chef Abu Hamidy adalah dia pernah menyertai pasukan Chef dari Hotel Hilton ketika itu mewakili Malaysia di Bangkok dan memenangi Pingat Perak dan Gangsa untuk ‘Battle Gourmet Chef pada 2009. Mendapat anugerah Kek Terbaik dalam satu cabaran bufet.
Pengalaman bekerja juga memberi peluang kepadanya untuk ‘menuntut’ ilmu pastri dari Chef Perancis Chef Benoit Cargy, Chef Fodil Baghal. Juga dari Chef dari Jepun dan juga Malaysia. Berasal dari Johor Bahru, baginya setiap hotel tempat dia bekerja banyak membentuk kemahiran dirinya sekarang.
Nah, ini dia senarai pengalaman kerjayanya. Tiada jalan pintas untuk mendapat segala ilmu yang digilapnya hingga kini.
1. 2004- 2006, Pembantu Tukang Masak, The Taat Restaurant
2. 2006-2008, Pembantu Dapur, The Zone Hotel, Johor Bahru
3. 2008-2011, Commis 2 Coffee House Restoran Sudu, 1 1/2 tahun dan 2 tahun dalam pastri, Hotel Hilton KL
4. 2011, Commis 2, Coffee House Latest Recipe, Hotel Le Meridian, KL
5. 2011-2013, Commis 1, Hilton KL
6.Feb 2013- Dis 2013, Chef de Partie (pastri), Mas Awana (anak syarikat Malaysia Airline MAS)
7. 2014- 2051,Penolong Pastri Chef, Hotel Pullman, KL
8. 2015-2016, Pastri Sous Chef, Harrods KLCC
9. Ogos 2016 -Nov 2017, Pastri Sous Chef, St Regis Hotel KL
10.2017-2018, Chef Pastri, Doubletree, Hilton Melaka
11. Kini 2018, mengetuai pasukan pastri, Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay KL
Pada bulan Mei ini Chef Abu Hamidy akan menyertai pertandingan antarabangsa dan menjadi kapten pasukan untuk bufet dessert dan bakeri di Turki. Dan dia juga telah mendaftar untuk membangunkan projek gastromonia iaitu projek amal membantu dan membimbing orang miskin melalui ilmu makanan. Syabas, RASA ucapkan pada Chef Hamidy.
Khasiat Halia & Sakit Yang Boleh Dicegah Dengan Amalkan Herba Ini.
Halia merupakan herba tradisi yang sangat penting dan banyak digunakan dalam masakan rakyat Malaysia. Rasanya agak pedas namun aromanya cukup wangi bila dimasukkan ke dalam masakan. Kebanyakan hidangan yang mengandungi halia mempunyai rasa yang lebih enak malah ia juga membantu membuang bau hanyir untuk masakan ayam, ikan dan daging. Sebab tu lah mak-mak kita dulu memang banyak guna halia ni bila nak masak.
Halia juga diakui dapat membantu mengeluarkan angin dari dalam badan. Di musim perayaan ni, bila perut terasa sebu dan sengkak, air rebusan halia adalah antara minuman yang boleh melegakan. Memang bagus dan berkesan! Ada lagi khasiat dan manfaatnya yang lain. Nak tahu? Jom semak!
KHASIAT HALIA
1. MENGEKALKAN PEREDARAN DARAH NORMAL
- Halia mengandungi kromium, magnesium dan zink yang boleh membantu untuk memperbaiki aliran darah serta membantu mengelakkan kesejukan, demam dan peluh berlebihan. Malah pengambilan yang berterusan dikatakan dapat membantu menurunkan kandungan gula serta menstabilkan tekanan darah.
2. BANTU PENYERAPAN NUTRIEN DALAM USUS
- Halia membantu meningkatkan penyerapan dan merangsang nutrien penting dalam badan. Ia kerana ia merangsang rembesan enzim gastrik dan enzim pankreas yang membantu penyerapan nutrien.
3. BANTU KURANGKAN RASA SAKIT & KERADANGAN
- Halia mengandungi beberapa bahan anti-radang yang paling mujarab dan merupakan ubat penahan sakit semula jadi yang kuat.
4. MENGUBATI BATUK BERKAHAK
- Jika anda mengalami penyakit pernafasan biasa seperti batuk, halia membantu dalam mengembangkan paru-paru anda dan melonggarkan kahak. Dengan cara ini anda boleh dengan cepat pulih daripada kesukaran bernafas.
5. CEGAHAN DEMAM DAN SELESEMA
- Halia telah digunakan beribu-ribu tahun sebagai rawatan semula jadi untuk demam dan selesema di seluruh Asia. Kajian di University of Maryland Medical Center mendapati, untuk merawat demam dan selesema dalam kalangan orang dewasa, rendam dua sudu besar halia segar yang dicencang dalam air panas dan diminum dua hingga tiga kali sehari
6. MENGURANGKAN SAKIT PERUT
- Halia sesuai dalam membantu pencernaan, seterusnya meningkatkan penyerapan makanan dan mengelakkan sakit perut. Halia dapat mengurangkan keradangan seperti juga aspirin dan ibuprofen.
7. MENCEGAH BARAH USUS
- Satu kajian di University of Minnesota mendapati, halia boleh melambatkan pertumbuhan sel-sel kanser kolorektal/usus.
8. MENGUATKAN DAYA TAHAN BADAN
- Halia membantu meningkatkan sistem imun. Pengambilan sedikit halia sedikit sehari boleh membantu mengurangkan risiko strok dengan menghalang lemak melekat pada arteri. Ia juga mengurangkan jangkitan bakteria dalam perut, dan membantu melegakan batuk dan kegatalan tekak.
MENU BOLEH MASAK MENGGUNAKAN HALIA
DAGING CINCANG GORENG HALIA KACANG PANJANG
BAHAN-BAHAN:
- 200gm daging lembu | cincang
- 5 tangkai kacang panjang | potong
- 1/2 biji bawang Bombay | potong dadu
- 3 ulas bawang putih | cincang kasar
- 2.5cm halia | cincang
- 1 sudu teh cili giling
- 1 sudu teh sos tiram
- Garam secukupnya
- Minyak masak secukupnya
- Air secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia yang sudah dicincang kemudian disusuli dengan cili giling. Tumis lagi hingga naik minyak dan masukkan bawang Bombay, goreng hingga layu.
- Masukkan pula daging cincang Gaul rata hingga terbit bau harum dan daging masak.
- Masukkan kacang panjang tetapi jangan masak terlalu lama. Masukkan sos tiram, air dan garam jika perlu (sos tiram sudah ada rasa masin). Gaul rata lalu biarkan selama 2 minit. Setelah itu, tutup api dan siap utk dihidangkan bersama nasi panas.
Info chef: Daging cincang boleh beli yang telah siap dan ada dijual di pasar raya.
Chef Aminudin Kongsi 8 Sajian Utama Lauk Arab, Di Aroma Hijrah.
Menjejak kaki ke restoran Aroma Hijrah di Taman TTDI Jaya, aroma wangi rempah ratus sudah menusuk ke hidung. Sajian utama berdasarkan daging kambing, dan ayam menjadi menu tarikan ke sini. Pemilik dan Chefnya , Tn Hj Aminudin Resad bermurah hati untuk kongsi resepi rempah ratus sajian Arab bersama RASA.
1. Nasi Maqlubah Kambing
BAHAN-BAHAN :
- 1 kg beras basmathi /basuh dan rendam setengah jam
- 2 kg daging kambing /dipotong kiub 2 inchi@ 5 sm
- 4 sudu makan rempah Maqlubah
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 2 liter air stok daging
- 2 biji bawang besar /dimayang
- 10 ulas bawang putih/ diketuk
- 2 batang kayu manis
- 10 biji bunga cengkih
- 10 biji buah pelaga
- 5 biji cili hijau / potong 1 inci@ 2.5 sm
- 3 biji lobak merah /dihiris dan goreng kuning keemasan
- 3 biji terung panjang /dipotong bulat 1 sm, digoreng kuning keemasan
- 6 biji kentang / dipotong bulat 1 sm , digoreng kuning keemasan
- 300 gm kubis bunga/ dipotong, digoreng kuning keemasan
- 1/2 cawan minyak masak
- 4 sudu makan minyak sapi
- 1 sudu makan garam halus
BAHAN HIASAN:
- Beberapa hiris tomato
- Beberapa helai daun pudina
- Beberapa hiris lemon
CARA MEMASAK :
- Daging kambing direbus selama 30 minit, dan ambil air stoknya.
- Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk.
- Tumiskan bawang besar dan bawang putih.
- Masukkan cili hijau bersama rempah ratus kayu manis, cengkih, pelaga, tumis hingga naik bau.
- Masukkan rempah maqlubah dan serbuk lada hitam . Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan air rebusan daging kambing dan masukkan garam halus
- Didih dengan api perlahan selama 45 minit. Angkat asingkan kambing dan masukkan pula beras.
- Kacau dan ratakan beras, laraskan sukatan air kira-kira 40 mm melebihi paras beras.
- Biarkan mendidih dengan api sederhana dan tutup api sebelum kering.
- Sediakan periuk lain, masukkan satu sudu makan minyak masak.
- Masukkan satu senduk daging kambing, masukkan satu lapisan sayuran yang telah digoreng tadi diikuti satu lapisan beras. Lapiskan sayur, daging dan beras secara berselang seli.
- Setelah semua dimasukkan keringkan nasi menggunakan api paling kecil selama 20 minit.
- Setelah masak ambil dulang dan tutup periuk menggunakan dulang. Angkat periuk dan terbalikkan atas dulang tadi dan ketuk perlahan-lahan bahagian luar periuk.
- Tarik periuk keluar perlahan-lahan dan hiaskan nasi dengan hirisan lemon, daun pudina dan tomato.
Saiz hidangan : 8 -10 orang
Waktu memasak : 1 jam 45 minit
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis hidangan : Nasi Arab
Keistimewaan : Berbeza dengan nasi Arab yang lain, nasi Maqlubah menggunakan sayur goreng sebagai ramuan.
INFO CHEF : Nasi Maqlubah adalah sajian Arab yang terkenal di Palestin dan Syria. Campuran daging dan sayur menjadikan ia sajian nutrisi lengkap berempah dan lazat.
2. Ayam Masywi @ Bakar
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam/ seberat 1.8 kg dipotong empat
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu makan serbuk jintan putih
- 2.5 sm lengkuas
- 1/2 sudu makan serbuk kayu manis
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- 1/2 sudu makan serbuk buah pelaga
- 1 biji bawang besar /dikisar
- 5 ulas bawang putih /dikisar
- 2.5 sm halia /dikisar
- 3 sudu makan minyak zaitun
- 1 sudu makan cuka kurma @ epal
- 2 sudu makan yogurt
- 1 sudu garam halus
- 5 sudu makan madu /yang dicairkan
CARA MEMASAK :
- Kesemua bahan dimasukkan dalam pengisar dan tambah 1 cawan air, dan dikisar.
- Lumurkan bahan perapan ini pada ketulan ayam dan simpan dan peti sejuk sekurang-kurangnya empat jam.
- Bakar ayam dalam oven selama 1 setengah jam pada suhu 250 celcius.
- Selepas dikeluarkan dari , biarkan sejuk selama 30 minit.
- Sediakan pemanggang, dan bakar ayam atas bara arang selama lima minit.
- Sapu madu pada ayam, dan ia siap dihidangkan.
Saiz hidangan : 8-10 orang
Waktu memasak : 1 jam 40 minit
Cara memasak : Bakar dan panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Rencah perapan ayam yang lama menyebabkan rasanya meresap ke daging ayam
INFO CHEF : Anda boleh juga memerap ayam semalaman . Campuran yogurt, rempah, madu mencipta kelazatan yang membangkit selera.
3. Sup Kambing Arab
BAHAN-BAHAN :
- 1 kg daging kambing /dipotong kiub 5 sm
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1/2 sudu makan serbuk jintan putih
- 1/2 sudu makan serbuk kulit kayu manis
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 1 sudu makan rempah kurma
- 2 biji bawang besar /dimayang
- 10 ulas bawang putih/ dikisar
- 5 sm halia /dikisar
- 1.5 liter air stok rebusan daging
- 10 biji bunga cengkih
- 1 sudu makan cuka
- 5 biji buah pelaga
- 5 kuntum bunga lawang
- 2 batang saderi
- 2 biji tomato dipotong dadu
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
- Pijarkan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan halia.
- Masukkan semua rempah yang telah dikisar dan segala rempah ratus.
- Setelah wangi dan pecah minyak, masukkan air stok dan daging kambing.
- Didih atas api perlahan selama satu jam dan masukan garam secukup rasa dan cuka.
- Setelah daging hampir empuk, masukkan potongan tomato dan hirisan saderi.
- Biar kira-kira lima minit mereneh, dan sup sedia dihidang.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 1 jam 20 minit
Cara memasak : Didih dan reneh
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Sup berempah lazat dan menghangatkan tubuh
INFO CHEF: Daging kambing tinggi nilai protin di dalamnya dengan nisbah kandungan lemak yang sihat. Buang buih yang terbentuk ketika merebus daging agar ia tidak berbau.
4. AYAM HANITH PANGGANG
BAHAN-BAHAN :
- 1 ekor ayam (2 kg) / dipotong empat
- 2 sudu rempah hanith
- 1/2 sudu makan garam halus
- 1/2 sudu pewarna saffron
- 2 biji bawang holland /dimayang
- 1 biji lemoh /dihiris bulat
CARA MEMASAK :
- Campurkan dan gaul rata rempah hanith, garam dan pewarna saffron.
- Ayam yang telah dibersihkan ditabur rata dengan rempah
- Lapik lapisan aluminium di atas dulang, dan susun ayam di dalam dulang pembakar.
- Taburkan bawang holland dan susun hirisan lemon di atas ayam.
- Bakar dalam oven yang dipanaskan dengan suhu 250 darjah celcius selama 2 jam
- Ayam masywi sedia dihidang
Saiz hidangan : 4-5 orang
Waktu memasak : 2 jam
Cara memasak : Bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Jus ayam yang terhasil bercampur rempah sungguh lazat
INFO CHEF : Ayam biar diperap dengan bahan-bahan ramuan agar rasanya lebih sebati dan meresap ke dalam daging
6. KAMBING HANITH TUMIS RENEH (BRAISED)
BAHAN-BAHAN :
- 1 kg daging kambing rusuk @bahu/ dipotong kiub 4”
- 100 gm rempah hanith
- 2 biji bawang besar /dikisar
- 5 ulas bawang putih /dikisar
- 2.5 sm halia /dikisar
- 2 batang kulit kayu manis
- 10 biji buah pelaga
- 5 biji bunga lawang
- 10 biji bunga cengkih
- 5 sudu makan minyak zaitun
- 30 gm daun ketumbar /dihiris
- 30 gm daun pudina /dihiris
- Garam secukup rasa
- 2 sudu makan yogurt
- Hirisan lemon dan daun pudina sebagai hiasan
CARA MEMASAK :
- Pijarkan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia.
- Masukkan rempah empat sekawan. Tumis hingga wangi.
- Campurkan rempah hanith dengan sedikit air, dikacau dan ditumis
- Masukkan yogurt dan daging kambing
- Gaul perlahan-lahan selama tiga minit dan pindahkan kesemua bahan dalam dulang pembakar.
- Tutup dulang dengan kertas aluminium dan masukkan dalam oven yang sudah dipanaskan dengan suhu 200 celcius.
- Bakar selama dua setengah jam
- Setelah siap hidangkan dengan hirisan lemon dan daun pudina.
Saiz hidangan : 4-5 orang
Waktu memasak : 2 jam 30 minit
Cara memasak : Tumis, reneh dan bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Campuran rempah Arab dan rempah ratus lain, melazatkan sajian.
INFO CHEF: Sedap dimakan bersama nasi Arab hanith, mandy dan kabsah, bakar dalam kertas alumuninium agar daging lebih berjus dan tidak kering.
6. Lamb Skewer
BAHAN -BAHAN :
- 1 kg daging kambing tanpa tulang /dipotong kiub 2”
- 1/2 sudu makan serbuk jintan manis
- 1/2 sudu makan serbuk jintan putih
- 1/2 sudu makan serbuk kayu manis
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- 1/4 sudu makan buah pelaga
- 5 ulas bawang putih /dikisar
- 2 sm halia /dikisar
- 3 sudu makan minyak zaitun
- 1 sudu makan cuka kurma atau epal
- 2 sudu makan yogurt
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
- Basuh daging dan toskan.
- Gaul rata semua bahan/rempah pada daging kambing dan diperap selama lima jam.
- Setelah diperap, cucuk daging pada besi ‘skewer’ atau lidi buluh.
- Bakar hingga masak di atas bara api, balik-balikkan hingga masak menyeluruh
- Lamb skewer siap dihidang
Saiz hidangan : 7- 8 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Rasa rempah yang kuat dan rencah lain sungguh sedap dengan tambahan yogurt dan cuka epal
INFO CHEF : Usah panggang terlalu lama ia akan menyebabkan daging kering dan hilang jus. Perapan yang lebih lama, adalah lebih sedap dan sebati rasanya.
7. Puyuh gril dengan madu
BAHAN-BAHAN :
- 10 ekor burung puyuh
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu makan serbuk jintan putih
- 2.5 sm halia /dikisar
- 1/2 sudu makan serbuk kayu manis
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- Sedikit perahan lemon
- Sedikit garam lemon (lemon salt)
- Sedikit serbuk kunyit atau saffron
- Sedikit serbuk cili
- 5 sudu makan madu /dicairkan sedikit dengan air panas
CARA MEMASAK :
- Kesemua bahan dan rempah di atas digaul rata bersama daging puyuh dan diperap sekurang-kurangnya lima jam.
- Daging puyuh yang telah diperap disusun atas jaring pemanggang dan dipanggan atas bara api dengan kepanasan sederhana.
- Sentiasa balik balikkan agar tidak hangus.
- Selepas 10 minit angkat dan sapu dengan madu yang telah dicairkan.
- Daging puyuh sedia dihidang
Saiz hidangan : 10 orang
Waktu memasak : 10 minit
Cara memasak : Panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Daging puyuh lembut dimakan. Sapuan madu melazatkan ramuan
INFO CHEF : Semasa memanggang, tuangkan air lebihan perapan di atas daging. Daging puyuh ini juga dihidangkan bersama nasi Arab atau dimakan begitu sahaja
8. Lamb Shank Bukhary
BAHAN-BAHAN :
- 4 ketul daging kambing shank (bahagian kaki bawah lutut /betis)
- 4 sudu makan rempah bukhary
- 3 sudu makan puri tomato
- 1.5 liter air stok rebusan daging
- 2 biji bawang besar /dikisar
- 10 ulas bawang putih/ diketuk
- 5 sm halia
- 2 batang kayu manis
- 50 gm daun ketumbar /dihiris halus
- 5 biji bunga cengkih
- 5 biji buah pelaga
- 5 biji bunga lawang
- 5 biji cili hijau /dipotong 2.5 sm
- 2 biji tomato dipotong empat
- 2 sudu makan minyak masak
- 2 sudu makan minyak sapi
- Garam secukup rasa
- Sedikit pewarna saffron
CARA MEMASAK :
- Rebus daging sehingga 30 minit
- Angkat dan keluarkan daging, ketepikan.
- Panaskan oven pada suhu 250 celcius selama 10 minit.
- Panaskan minyak masak dan masukkan sekali minyak sapi.
- Tumis bawang besar dan bawang putih dan masukkan cili hijau berserta rempah ratus empat sekawan.
- Masukkan pula rempah bukhari dan puri tomato, kacau dan tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan hirisan daun ketumbar dan tomato
- Masukkan air rebusan kambing
- Masukkan garam dan pindahkan kesemua bahan di dalam dulang pembakar dan tutup dengan kertas aluminium
- Bakar di dalam oven selama 1 setengah jam pada suhu 250 celcius. Keluarkan dan ia siap dihidang.
Saiz hidangan : 4 – 6 orang
Waktu memasak : 1jam 40 minit
Cara memasak : Rebus, tumis dan bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Sedap dimakan bersama nasi bukhari atau roti Naan/roti Arab
INFO CHEF : Semasa membersihkan daging buangkan tisu liat agar ia mudah empuk.
RESEPI : HJ AMINUDIN RESAD
Terima kasih : RESTORAN AROMA HIJRAH, Jalan Opera H U2/H, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor