Sajian Nasi ada banyak variasinya. Bukan sekadar daging dan ayam , ada juga daripada jagung, halia, serai dan yang uniknya daripada Ikan.

Cuba perhatikan resipi no 5 , daripada beras perang yang menyihatkan. Dan no 3 pun sangat unik daripada isi Ikan Merah. Pastinya ia menjanjikan kelainan dalam keenakan hidangan Nasi yang biasa dihidangkan. Bolehlah dicuba nanti….

1. NASI BERINGIN AYAM BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 3 cawan beras basmathi | rendam 10 minit dan toskan
  • 2 cawan air
  • 2 cawan susu cair
  • 3 sudu makan minyak sapi
  • 1 biji bawang besar |mayang halus
  • 3 ulas bawang putih |kisar
  • 2cm halia |kisar
  • 2cm kunyit hidup | kisar
  • 1 batang serai | ketuk
  • 2 helai daun pandan | siat & simpul
  • Garam secukup rasa
  • Air ros secukupnya

BAHAN-BAHAN B (TUMIS):

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji buah pelaga

BAHAN-BAHAN C (AYAM BEREMPAH);

  • 1 ekor ayam |belah empat
  • 2 sudu makan rempah kari
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu makan tomato puri
  • 1 biji bawang besar | kisar
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk lalu tumis serai, bahan-bahan kisar berserta bahan-bahan B hingga wangi.
2. Masukkan beras, air, susu, daun pandan dan garam secukup rasa.
3. Didihkan hingga nasi tanak. Renjiskan air ros secukupnya. Gemburkan dengan garpu. Ketepikan.
4. Sementara itu, untuk memasak ayam rempah; perap kesemua bahan-bahan C selama sejam atau semalaman. Goreng di dalam minyak yang panas hingga ayam masak. Hidangkan bersama nasi tadi.

Saiz hidangan: 4-6 orang
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa lemak dan wangi serai
Jenis masakan : Nasi
Cara memasak : Rebus, didih dan goreng

Info chef: Daging ayam boleh dihiris dan diletakkan di bahagian atas nasi ketika menghidang.

2. NASI HALIA SERAI

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan beras basmathi | rendam sejam dan toskan
  • 3 cawan air
  • 2 sudu makan minyak jagung
  • 6 batang serai |ambil bahagian dalam yang lembut dan hiris nipis
  • 4cm halia muda | mayang halus
  • 1 labu bawang besar |kisar halus
  • 4 ulas bawang putih |kisar halus
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 1 batang kulit kayu manis
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk lalu tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan serai dan halia lalu tumis lagi hingga wangi.
3. Masukkan buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis.
4. Masukkan beras dan air.
5. Tambah garam dan didihkan hingga nasi masak.
6. Angkat dan sedia dinikmati bersama lauk lain.

Saiz hidangan: 2-3 orang
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Aroma serai dan halia beri rasa unik
Jenis masakan : Nasi
Cara memasak : Rebus dan didih

Info chef: Enak dimakan bersama lauk bersambal dan sebagainya.

3. NASI IKAN MINYAK SAPI

BAHAN-BAHAN:

  • 3 cawan beras basmathi |rendam dan toskan
  • 2 keping isi ikan merah |potong dadu
  • 3 cawan susu cair
  • ½ cawan air
  • 2 helai daun pandan | siat dan simpul
  • 2 sudu makan minyak sapi
  • 1 sudu makan marjerin
  • Tepung jagung secukupnya
  • Garam dan lada sulah secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMIS:

  • 5 biji bawang merah | mayang halus
  • 3 ulas bawang putih |mayang halus
  • 3cm halia muda |mayang halus
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga cengkih

CARA MEMASAK:
1. Tabur sedikit garam dan lada sulah pada isi ikan dan gaul rata. Salut ikan dengan tepung jagung secukupnya lalu goreng dalam minyak yang panas hingga kekuningan. Angkat, tos dan ketepikan.
2. Panaskan minyak sapi dan mentega di dalam periuk.
3. Masukkan bahan-bahan tumis dan tumis hingga naik bau. Masukkan daun pandan dan biarkan beberapa minit.
4. Masukkan beras, susu cair, air dan garam secukup rasa. Masak nasi hingga masak.
5. Setelah nasi masak, masukkan isi ikan goreng ke dalam nasi dan gaul rata.
6. Jika suka, tambah kismis dan bawang goreng semasa menghidang.

Saiz hidangan: 4-5 orang
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa minyak sapi yang lemak dan wangi
Jenis masakan : Nasi
Cara memasak : Rebus dan didih

Info chef: Boleh juga gunakan isi ikan tenggiri, kerapu atau kurau.

4. NASI KAPITAN TANJUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 4 cawan beras | basuh dan toskan
  • 2 cawan air
  • 1 ½ cawan susu cair
  • 2 sudu makan tomato puri
  • 2-3 sudu makan minyak sapi
  • 1 helai daun pandan | siat & simpul
  • Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN B (KISAR):

  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 3cm halia

BAHAN-BAHAN C (TUMIS):

  • 4 ulas bawang merah | mayang halus
  • 2 ulas bawang putih | mayang halus
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga cengkih

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk. Masukkan bahan-bahan C dan tumis hingga wangi.
2. Masukkan bahan-bahan B dan tumis lagi beberapa minit.
3. Masukkan beras, air, susu cair, tomato puri, daun pandan dan garam secukup rasa.
4. Didihkan hingga nasi masak. Jika suka boleh tabur kismis dan bawang goreng ketika menghidang.
5. Sedia dinikmati bersama lauk pauk lain.

Saiz hidangan: 3-4 orang
Jenis hidangan : Kapitan
Keistimewaan : Rasa lemak minyak sapi
Jenis masakan : Nasi
Cara memasak : Rebus dan didih

Info chef: Boleh dimakan bersama lauk pauk lain seperti ayam masak merah.

5. NASI PERANG JAGUNG MENTEGA

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan beras perang | basuh dan toskan
  • 2 cawan susu cair
  • 1 cawan air
  • ½ cawan jagung (dalam tin)
  • 3 sudu makan mentega
  • 1 labu bawang besar | mayang halus
  • 3sm halia | mayang halus
  • 3 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang
  • Sehelai daun pandan | siat & simpul
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:
1. Panaskan mentega di dalam periuk. Tumis bawang besar, halia, buah pelaga dan bunga lawang hingga wangi.
2. Masukkan daun pandan dan beras.
3. Tuang susu cair, air dan jagung ke dalam periuk.
4. Tambah garam dan didihkan hingga nasi masak.
5. Boleh dihidangkan bersama aneka lauk pilihan.

Saiz hidangan: 3-4 orang
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa unik kerana terdapat jagung di dalamnya
Jenis masakan : Nasi
Cara memasak : Rebus dan didih

Info chef: Beras perang bagus untuk kesihatan.

Komen anda