Menu lauk pauk bersambal yang pedas memang boleh jadi ‘pembuka selera’. Mana tidaknya, semakin membahang mulut dan bibir, semakin laju makanan disuap. Peluh pun tak hirau. Bagi anda yang suka layan pedas, aneka lauk pauk berasaskan sambal dan tumisan cili ini boleh dijadikan pilihan sama ada berkuah mahupun kering. Memang wajib dicuba!

 

1. DAGING SAMBAL PEDAS

BAHAN-BAHAN:

  • 250gm daging|dihiris nipis dan rebus empuk
  • 10 biji cili hijau|dikisar
  • 6 biji cili padi|kisar
  • 5 ulas bawang merah|kisar
  • 4 ulas bawang putih|dikisar
  • 4 biji buah keras|dikisar
  • 1 labu bawang besar|dibelah empat
  • Garam secukup rasa
  • Lada sulah secukup rasa
  • Gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Tabur sedikit garam dan lada sulah pada daging yang telah direbus terlebih dahulu lalu goreng beberapa minit sehingga ia keperangan.  Ketepikan.
  2. Panaskan minyak masak di dalam kuali lalu tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga cili masak.
  3. Masukkan bawang besar, daging yang telah direbus dan sedikit air.  Didihkan selama seminit.
  4. Tambah garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.

Info Chef: Pastikan cili merah digoreng sempurna bagi memastikan cili masak.

 

2. AYAM PANGGANG SAMBAL HIJAU 

BAHAN-BAHAN:

  • 5 ketul ayam
  • Garam secukup rasa
  • Lada sulah secukup rasa
  • 8 biji cili hijau
  • 6 biji cili padi hijau
  • 1 batang serai
  • 4 ulas bawang putih
  • 15ml perahan air asam jawa
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • 15ml minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Lumur garam dan lada sulah ke atas ayam lalu panggang sehingga masak.  Ketepikan.
  2. Kemudian kisar cili hijau bersama cili padi, bawang putih dan serai sehingga ia halus dan menjadi pes.
  3. Di dalam kuali, panaskan sesudu minyak lalu tumis bahan kisar hingga cili masak.
  4. Sesuaikan rasanya dengan menambah air asam, garam dan gula secukupnya.
  5. Tuang sambal ke atas ayam dan hidangkan.

Info Chef: Ayam dipanggang untuk rasa sebati yang lebih enak

 

3. BAWAL GORENG SAMBAL 

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ekor ikan bawal
  • 8 biji cili merah|dikisar
  • 5 ulas bawang merah|dikisar
  • 4 ulas bawang putih|dikisar
  • 3cm halia muda
  • 1 tangkai daun bawang|dipotong seinci
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Sedikit serbuk kunyit

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ikan bawal kemudian kelar tengahnya dan lumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam.  Goreng sehingga garing dan ketepikan.
  2. Kisar cili merah bersama bawang merah, bawang putih dan halia sehingga halus.
  3. Panaskan minyak  di dalam kuali dan tumis bahan-bahan kisar sehingga cili masak.
  4. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
  5. Tambah daun bawang dan tutup api.  Tuang sambal ke atas bawal yang telah digoreng terlebih dahulu.

Info Chef: Pastikan cili merah digoreng sempurna bagi memastikan cili masak.

 

4. AYAM MASAK SAMBAL 

BAHAN-BAHAN:

  • 5 ketul ayam
  • 90gm cili kisar
  • 30gm cili sos
  • 4 ulas bawang merah|dikisar
  • 3 ulas bawang putih|dikisar
  • 3cm halia|dikisar
  • 1 batang serai|dititik
  • 1 labu bawang besar|dibelah empat
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Lada sulah secukup rasa
  • Minyak masak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Lumurkan ayam bersama sedikit garam dan lada sulah.  Goreng sehingga masak dan ketepikan.
  2. Di dalam kuali, panaskan minyak masak kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga wangi.
  3. Masukkan serai, cili kisar dan sos cili. Tumis hingga pecah minyak.
  4. Tambah sedikit air, garam dan gula secukup rasa.
  5. Masukkan bawang besar dan ayam yang telah digoreng. Didihkan seminit dua dan tutup api.

Info Chef: Pastikan ayam digoreng terlebih dahulu untuk memastikan hidangan lebih sebati dengan sambal.

 

5. IKAN TAMBAN CILI PADI 

BAHAN-BAHAN:

  • 150gm ikan tamban masin
  • 15 biji cili padi hijau|dikisar
  • 4 biji cili hijau|dikisar
  • 4 ulas bawang merah|dikisar
  • 3 ulas bawang putih|dikisar
  • 1 labu bawang besar|dipotong bulat
  • 5ml perahan air asam jawa
  • 3cm belacan
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan ikan tamban masin dan buang tulangnya.  Tumbuk kasar dan goreng separuh masak.  Ketepikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan-bahan kisar berserta belacan sehingga wangi.
  3. Masukkan ikan tamban yang telah separuh goreng tadi dan goreng hingga masak.
  4. Tambah air asam, bawang besar, garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.

Info Chef: Tambah cili padi sekiranya anda ingin rasa yang lebih pedas

 

6. KEPAH SAMBAL MERAH 

BAHAN-BAHAN:

  • 250gm isi kepah
  • 60gm cili kisar
  • 30gm tomato puri
  • 30gm sos tomato
  • 5 ulas bawang putih|ditumbuk halus
  • 3cm halia muda|ditumbuk halus
  • Garam secukup rasa
  • Lada sulah secukup rasa
  • Gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan yang telah tumbuk hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak.
  3. Masukkan tomato puri, sos tomato dan kepah. Tumis sehingga semua bahan sebati dan masak.
  4. Tambah lada sulah, garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.

Info Chef: Basuh kepah dengan air garam bagi mengeluarkan benda asing yang mungkin melekat di kulit kepah.

 

7. SOTONG CELUP TEPUNG BERSAMBAL 

BAHAN-BAHAN:

  • 5 ekor sotong|dipotong bulat
  • Garam secukup rasa
  • Lada sulah secukup rasa
  • 30gm tepung jagung

BAHAN-BAHAN UNUK SAMBAL:

  • 60gm cili kisar
  • 30gm sos cili Thai
  • 4 ulas bawang merah|ditumbuk halus
  • 3 ulas bawang putih|ditumbuk halus
  • 1 labu bawang besar |dipotong bulat
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Tabur sedikit garam dan lada sulah ke atas sotong lalu salut dengan tepung jagung.
  2. Goreng sotong di dalam minyak yang banyak sehingga garing dan tos.
  3. Di dalam kuali lain, panaskan minyak masak lalu tumis bahan-bahan tumbuk sehingga wangi.
  4. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak.  Masukkan sos cili Thai.
  5. Tambah garam dan gula secukup rasa.  
  6. Masukkan bawang besar dan sotong goreng.  Kaup-balikkan sebati. Sedia untuk dihidangkan.

Info Chef: Sotong kering atau sotong rendam boleh digunakan di dalam resipi ini.

 

8. TAUHU GORENG BERLADO 

BAHAN-BAHAN:

  • 3 biji tauhu |dipotong dadu dan goreng
  • 1 labu bawang besar|dicincang halus
  • 3 ulas bawang putih|dicincang halus
  • 30gm cili kisar
  • 5gm sos tiram
  • Garam secukup rasa
  • Lada sulah secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Gorengkan tauhu sehingga ia menjadi kekuningan. Asingkan.
  2. Tumiskan bawang putih sehingga naik baunya.  Masukkan bawang besar.
  3. Tambahkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak.  Tambah sos tiram, tauhu goreng, sedikit air, lada sulah dan garam secukup rasa.
  4. Masukkan tauhu yang telah digoreng ke dalam tumisan cili dan gaulkan sehingga sebati.

 

9.TEMPE BERLADA

BAHAN-BAHAN:

  • 6 biji tempe |dipotong kecil
  • 30gm cili kisar
  • 4 ulas bawang merah|dikisar halus
  • 3 ulas bawang putih|dikisar halus
  • 1 labu bawang besar|dipotong bulat
  • 30ml air asam jawa
  • Sedikit belacan
  • Garam secukup rasa
  • Lada sulah secukup rasa
  • Gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Lumur tempe dengan sedikit garam dan lada sulah.  Goreng sehingga ia menjadi perang.  Ketepikan.
  2. Di dalam kuali yang berlainan, panaskan minyak masak.  Tumis bahan yang dikisar bersama cili kisar sehingga wangi dan cili benar-benar masak.
  3. Masukkan air asam jawa, bawang besar, garam dan gula secukup rasa.  
  4. Jika sambal terlalu kering, tambah air dan didihkan.
  5. Masukkan tempe goreng yang telah digoreng dan gaulkan sehingga sebati

Info Chef: Potong tempe setebal dua inci untuk mendapatkan hidangan tempe cili yang rangup

 

10. TERUNG GORENG BERLADA 

BAHAN-BAHAN:

  • 5 biji terung panjang
  • 30gm cili kisar
  • 4 ulas bawang putih |ditumbuk
  • 50gm udang kering|ditumbuk
  • 3cm belacan
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Terung dibelah dua dan digoreng sehingga perang.  Susun di dalam pinggan.  Ketepikan.
  2. Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan-bahan tumbuk sehingga wangi.
  3. Masukkan cili kisar dan belacan.  Tumis lagi sehingga cili masak.  Jika terlalu kering, tambah sedikit air.
  4. Tambah garam dan gula secukupnya.  Tutup api.
  5. Tuang sambal ke atas terung yang telah digoreng tadi.

Info Chef: Pastikan terung digoreng separuh masak sebelum dimasukkan ke dalam sambal