
Kuih Bakul Homemade Halal memang terasa lebih istimewa bila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina. Kuih Bakul antara manisan tradisi yang wajib ada dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh seluruh kaum untuk menikmatinya. Teksturnya yang kenyal dan rasa manis berlemak menjadikan ia kegemaran ramai setiap tahun.
Namun ada kalanya agak susah untuk jumpa kuih bakul yang dihasilkan oleh orang Muslim. Jadi bagi anda yang teringin menikmati versi halal dan lebih terjamin kebersihannya, resipi Kuih Bakul Homemade Halal perkongsian saudari Hidjrah Ali ini memang boleh dicuba.
Resipi Kuih Bakul Homemade Halal
Bahan-bahan:
- 500gm tepung pulut (sebungkus)
- 190gm gula pasir
- 400gm gula merah
- 500ml air
- 200ml santan
- Beberapa helai daun pisang
Cara Memasak Kuih Bakul Homemade Halal
- Masukkan gula pasir, gula merah serta air ke dalam periuk. Kacau sehingga larut dan biarkan sejuk.
- Sementara itu, masukkan tepung pulut ke dalam mangkuk.
- Tuangkan larutan gula dan santan tadi ke dalam tepung pulut. Kacau sehingga sebati.
- Masukkan adunan tepung pulut yang telah sebati itu ke dalam kuali dan kacau sehingga adunan menjadi likat.
- Sementara itu, alas tin dengan daun pisang. Pastikan daun pisang melebihi bahagian atas tin agar mudah mengikatnya di sekeliling tin. (Daun pisang dikelepetkan ke bawah).
- Didihkan air dalam periuk kukusan dan kecilkan api.
- Tuangkan adunan ke dalam tin yang telah dialas tadi. Kukus selama 8 jam. Pastikan air yang ditambah ke dalam pengukus adalah air mendidih.
- Penutup kukus hendaklah dibungkus dengan beberapa lapisan kain muslin/kain kasa/pembalut aluminium agar wap air tidak menitis ke atas kuih.
- Bila cukup masa, angkat kuih dan sejukkan. Sedia untuk dinikmati.
Tip Penting Supaya Kuih Bakul Homemade Halal Cantik & Menjadi
Pastikan adunan dikacau sehingga betul-betul likat sebelum dikukus. Proses ini membantu menghasilkan tekstur yang kenyal dan tidak berongga. Selain itu, penggunaan daun pisang bukan sahaja memberi aroma yang harum, malah memudahkan kuih dikeluarkan daripada tin selepas sejuk.
Proses mengukus selama 8 jam memang memerlukan kesabaran, tetapi inilah rahsia utama untuk mendapatkan Kuih Bakul Homemade Halal yang lembut, kenyal dan tahan lama. Sentiasa pastikan air dalam pengukus mencukupi dan gunakan air yang telah mendidih supaya suhu kukusan stabil.
Kenapa Ramai Pilih Kuih Bakul Homemade Halal?
Menyediakan Kuih Bakul Homemade Halal sendiri memberi ketenangan dari segi pemilihan bahan dan kebersihan proses penyediaan. Anda boleh mengawal tahap kemanisan mengikut citarasa keluarga serta memastikan semua bahan adalah halal dan diyakini.
Selain dinikmati begitu sahaja, kuih bakul juga boleh dipelbagaikan seperti digoreng bersama telur atau disalut tepung untuk dijadikan snek rangup di luar dan lembut di dalam. Tidak hairanlah Kuih Bakul Homemade Halal sentiasa menjadi pilihan setiap kali musim perayaan tiba.
Kredit resipi & foto: Hidjrah Ali
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Kerepek Ngaku Rangup & Sedap. Resipi Mudah Paling Power Wajib Cuba!
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!







