Bila tiba bulan puasa, pasti ibu-ibu pakat duk pening memikirkan menu untuk sahur dan berbuka lebih-lebih lagi jika ada anak-anak kecil yang baru nak belajar berpuasa. Menu yang dimasak haruslah menambat selera mereka. Jom RASA kongsikan aneka lauk pauk mudah yang sesuai disajikan sewaktu sahur. Paling penting, sedap dan mudah dimasak. 

 

1. FILET IKAN BERSAMA FAT CHOY

BAHAN-BAHAN:

Bahan Perapan Ikan:

  • 300gm filet ikan Dorry | potong 3X3cm
  • ½ sudu teh garam
  • ½ sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 sudu makan tepung jagung

Bahan Lain:

  • 1 pokok Fat Choy | potong panjang
  •  1 biji bawang besar | hiris
  • 3 ulas bawang putih | hiris
  • 2cm halia |hiris memanjang
  • 1/2 biji cili benggala hijau | hiris memanjang
  • 1 biji cili merah | hiris memanjang
  • 1 sudu makan sos tiram
  • Minyak masak untuk menggoreng
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan ikan dalam mangkuk bersama bahan perapan yang lain. Gaul rata dan perap 10-15 minit.
  2. Panaskan minyak, goreng ikan hingga garing.  Ketepikan.
  3. Keluarkan minyak, tinggal sedikit. Kemudian tumiskan bawang merah, putih dan halia hingga wangi.
  4. Masukkan Fat Choy, cili benggala dan cili merah. Kacau rata.
  5. Seterusnya masukkan ikan, sos tiram, kacau seketika.
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  7. Tutup api, dan hidangkan panas-panas bersama nasi putih.

 

2. DAGING GORENG KAILAN

BAHAN-BAHAN:

Bahan Perapan Daging:

  • 300gm daging | hiris nipis
  • 1 sudu teh kicap
  • 2 sudu teh minyak sayur
  • 1 sudu teh tepung jagung
  • Sedikit garam dan gula

Bahan Sos:

  • 2 sudu makan air
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu teh tepung jagung

Bahan Tumis:

  • 3 pokok anak kailan | potong 3-4cm  & celur angkat
  • 2 sudu makan minyak
  • 1 biji cili merah | hiris serong
  • 2 biji bawang merah | hiris
  • 6 ulas bawang putih | cincang kasar
  • 3 sudu minyak masak
  • Garam dan perasa secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan daging bersama semua bahan perapan ke dalam mangkuk. Gaul dan perap lebih kurang 30 minit.
  2. Sambil itu sediakan sos.  Di dalam mangkuk kecil campurkan semua bahan sos. Kacau rata dan ketepikan.
  3. Panaskan air dalam periuk, kemudian celur anak kailan lebih kurang satu minit, angkat dan toskan.
  4. Untuk menumis daging, panaskan sedikit minyak masak, Masukkan  bawang putih, bawang merah hingga wangi.
  5. Kemudian masukkan  daging yang telah diperap tadi.
  6. Gaul rata, sehingga daging masak dan bertukar warna keperangan.
  7. Seterusnya, masukan hirisan cili dan kailan yang telah dicelur tadi, kacau seketika.
  8. Masukkan sos yang telah disediakan tadi, sos tiram, garam dan gula secukup rasa.
  9. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

3. DAGING GORENG SOS TIRAM BERSAMA KACANG PIS

BAHAN-BAHAN:

Bahan Perapan Daging:

  • 500gm daging | hiris nipis
  • 1 sudu teh garam
  • 1sudu teh gula
  • 1 sudu teh kicap
  • 1sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu teh tepung jagung

Bahan Sos:

  • 1 sudu makan kicap pekat
  • 3 sudu makan air rebusan stok ayam
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 2 sudu makan gula
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu teh tepung jagung

Tumis:

  • 4 ulas bawang putih | cincang halus
  • 1 biji bawang besar | dadu kecil
  • 3cm halia  | hiris halus memanjang

Bahan-Bahan Lain:

IKLAN
  • 3 sudu makan minyak masak
  • 400gm kacang pis | bersihkan
  • 1/2 biji cili benggala
  • Garam gula secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Untuk perapan daging, campurkan semua bahan, daging, garam, gula, kicap, tepung jagung, dan minyak bijan. Gaul rata dan perapkan lebih kurang 15-20 minit.
  2. Untuk bahan sos: Campurkan kicap, stok ayam, sos tiram dan minyak bijan dalam mangkuk kecil dan ketepikan.
  3. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan tumis hingga wangi.
  4. Seterusnya masukkan daging yang diperap, kacau rata sehingga keperangan ( lebih kurang 4-5 minit).
  5. Kemudian masukkan kacang pis dan hirisan cili benggala, kacau hingga kacang layu (2-3 minit).
  6. Tuangkan bahan sos dan kacau rata.  Jika kurang masin, tambahkan sedikit garam dan gula secukup rasa.
  7. Akhir sekali tutup api, angkat dan hidangkan panas-panas.

 

4. UDANG GORENG BERSAMA TELUR DAN DAUN BAWANG

BAHAN-BAHAN:

Bahan Perapan Udang:

  • 300gm udang saiz sederhana | buang kulit dan cuci bersih
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • ½ sudu teh serbuk lada sulah

Hirisan:

  • 4 ulas bawang putih | cincang
  • 1 biji bawang besar | cincang
  • 3cm halia muda | hiris halus memanjang

Lain-lain:

  • 4 biji telur
  • 1/2 sudu teh serbuk lada putih
  • 50gm daun bawang | potong 3cm
  • 1 sudu makan susu segar 
  • Garam secukup rasa
  • 2 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan udang dan toskan, kemudian gaulkannya dengan garam, minyak bijan dan serbuk lada sulah. Perapkan 5-10 minit dan ketepikan.
  2. Pecahkan telur dalam mangkuk dan campurkan dengan susu segar, serbuk lada sulah dan sedikit garam. Kacau rata sehingga sebati.
  3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumiskan bahan hirisan hingga wangi.
  4. Kemudian masukkan  udang, kacau rata hingga  udang kemerahan (lebih kurang dua minit). Angkat dan ketepikan.
  5. Seterusnya panaskan sedikit minyak dalam kuali, masukkan telur dan kacau rata, lebih kurang  satu minit.
  6. Kecilkan api dan masukkan daun bawang dan udang yang telah digoreng tadi.
  7. Kacau rata dan tutup api.
  8. Sedia dihidangkan panas-panas.

 

5. KUNG PAO FILET IKAN BERSAMA CILI KERING DAN DAUN BAWANG

BAHAN-BAHAN:

Bahan Perapan ikan:

  • 300gm isi ikan dory | potong 2-3cm
  • 1 sudu makan putih telur | pukul perlahan
  • 1/4sudu teh serbuk lada sulah
  • 2 sudu makan tepung jagung

Bahan Sos:

  • 1/2 sudu teh serbuk cili
  • 1 sudu makan kicap
  • 3 sudu makan air
  • 1 sudu makan tepung jagung
  • 1 sudu teh gula
  • Sedikit garam jika perlu
  • Bahan-bahan lain:
  • 4 ulas bawang putih | cincang kasar
  • 4 pokok daun bawang | potong 2-3cm
  • 5 tangkai cili kering | potong 2cm
  • 1/2 sudu teh perasa ikan bilis

CARA MEMASAK:

  1. Untuk perapan ikan, masukkan ikan bersama bahan  perapan yang lain dalam mangkuk.
  2. Gaul rata dan perap lebih kurang 10-15 minit.
  3. Sementara itu masukkan semua  bahan sos ke dalam mangkuk, kacau rata dan ketepikan.
  4. Panaskan minyak,  goreng ikan sehingga bertukar warna kuning keemasan. Angkat dan toskan di atas tisu dapur.
  5. Menggunakan kuali lain, panaskan sedikit minyak masak. Goreng cili kering bersama bawang putih hingga wangi.
  6. Masukkan bahan sos, kacau rata hingga sos sedikit pekat.
  7. Kecilkan api, masukkan isi ikan yang telah digoreng tadi bersama daun bawang.
  8. Tutup api, dan gaul rata.
  9. Angkat dan sedia dihidangkan panas-panas.

 

 6. DAGING GORENG TUMIS 

BAHAN-BAHAN:

Bahan Perapan Daging:

  • 500gm daging | hiris kecil, cuci dan tos
  • 1/2 sudu teh biji sawi
  • 4 sudu makan minyak masak
  • tangkai daun kari | lurut dari tangkai
  • 4 tangkai cili kering | hiris halus
  • 1sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 sudu teh serbuk kari

Bahan Tumis:

  • 4 biji  bawang besar | buang kulit dan cincang
  • 4cm halia muda | hiris memanjang
  • 6 ulas bawang putih | cincang halus

Bahan-bahan lain:

  • 1 biji cili hijau | hiris halus
  • 3 tangkai daun kari | lurut dari tangkai
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • 1 pokok daun ketumbar | hiris halus
  • 1 sudu makan serbuk lada hitam
  • 1 sudu teh serbuk kari daging
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu makan cuka makan
  • Garam & gula secukup rasa
  • Minyak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan daging dalam periuk, gaulkannya dengan bahan perapan yang lain.
  2. Perap daging sekurang-kurangnya 30 minit.
  3. Masukkan 1 cawan air dalam daging yang telah diperap dan didihkan di atas api sederhana. Kacau selalu sehingga air daging kering. Angkat dan ketepikan.
  4. Panaskan 2-3 sudu minyak masak dalam kuali, tumiskan bahan hirisan hingga wangi.
  5. Masukkan daun kari dan kacau seketika.
  6. Seterusnya masukkan serbuk cili, serbuk kari, serbuk lada hitam dan serbuk kunyit yang telah dibancuh dengan sedikit air. Kacau lagi.
  7. Kemudian masukkan daging yang telah direbus hingga kering tadi.
  8. Perasakan dengan cuka, garam dan gula secukup rasa.
  9. Kecilkan api, masukkan hirisan daun ketumbar dan hirisan cili hijau.
  10. Terus kacau daging supaya sebati dengan bahan tumisan.
  11. Tutup api, dan hidangkan daging bersama nasi putih atau capati.

 

7. SOTONG  MASALA

BAHAN-BAHAN:

Bahan perap sotong:

  • 500 sotong saiz besar | cuci bersih dan potong kecil
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1/2 serbuk lada sulah

Bahan tumisan:

  • 4 ulas bawang putih | cincang halus
  • 1 biji bawang besar | dadu kecil
  • 3cm halia muda | hiris halus memanjang
  • 3 tangkai daun kari | lurutkan dari tangkai

Bahan-bahan lain:

  • 2 biji cili hijau | hiris bulat
  • 1 pokok daun ketumbar | hiris halus
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1/2 sudu makan serbuk kunyit
  • 1 sudu teh rempah masala
  • 1 biji tomato | potong dadu
  • 2 sudu makan air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa.
  • 2 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan sotong dalam kuali bersama bahan perapan. Kacau rata.
  2. Kemudian panaskan di atas api dan kacau lebih kurang 3-4 minit. Angkat dan ketepikan.
  3. Menggunakan kuali lain, panaskan minyak dan tumis bahan hingga wangi.
  4. Seterusnya masukkan  serbuk kunyit, lada hitam dan rempah masala, kacau 1-2 minit.
  5. Masukkan sotong, air asam jawa, hirisan cili hijau dan tomato.  Kacau seketika.
  6. Perlahankan api dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  7. Selepas 1-2 minit, tutup api dan sotong sedia dihidangkan.

 

8. AYAM GORENG BERSAMA CILI BENGGALA

BAHAN-BAHAN:

Bahan Perap Ayam:

  • 500gm isi ayam | hiris nipis, cuci dan tos
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh garam halus
  • 1/2 sudu teh serbuk lada sulah

Bahan Hirisan:

  • 1/2 biji cili benggala hijau | hiris memanjang
  • 1/2 biji cili benggala merah | hiris memanjang
  • 2 tangkai cili merah | hiris

Bahan Tumis:

  • 4 ulas bawang putih | cincang
  • 1 biji bawang besar | hiris
  • 3cm halia muda | hiris halus

Bahan-Bahan Lain:

  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1/2 sudu teh perasa ayam
  • Garam, gula dan perasa secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan isi ayam dalam mangkuk bersama bahan perapan yang lain. Gaul rata dan perap sekurang-kurangnya 15 minit.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, goreng ayam yang telah diperap tadi hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak, tinggal sedikit dan  tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi.
  4. Masukkan ayam goreng, bahan hirisan. Kacau rata 1-2 minit.
  5. Kemudian perasakan dengan sos tiram, perasa ayam, garam dan gula secukup rasa.
  6. Kacau seketika, kemudian tutup api.
  7. Sedia dihidangkan.

 

9. AYAM LADA HITAM

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm isi ayam | hiris kecil
  • 50gm daun bawang
  • Rempah penumis | bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga
  • 3 biji cili merah | hiris memanjang
  • 1 biji bawang besar | dadu kecil
  • 5ulas bawang putih | cincang
  • 3cm halia mudah | hiris halus
  • 1 sudu teh lada hitam | kisar kasar
  • 1 sudu makan tomato sos
  • 1 sudu makan sos lada hitam
  • 1 sudu makan kicap pekat manis
  • Minyak untuk menumis
  • Garam dan gula secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, tumiskan rempah penumis bersama bawang besar, bawang putih dan halia hingga wangi.
  2. Masukkan ayam, kacau hingga ayam kecut dan airnya agak kering.
  3. Seterusnya masukkan sos tomato, sos lada hitam, kicap pekat manis.
  4. Kacau lagi lebih kurang 2-3 minit.
  5. Kemudian perasakan dengan garam, gula  secukupnya.
  6. Sebelum angkat, masukkan daun bawang, hirisan cili merah dan taburkan dengan serbuk lada hitam.
  7. Tutup api, angkat dan hidangkan panas-panas.

 

10. DAGING MONGOLIA

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm daging batang pinang  | hiris nipis
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 3cm halia muda | hiris nipis
  • 6 ulas bawang putih | cincang kasar
  • 1 biji bawang besar|  hiris
  • 1/2 biji cili benggala merah | hiris
  • 100gm brokoli
  • 1 sudu makan minyak bijan
  • 3 Pokok daun bawang | hiris 3cm
  • 1 sudu tea bijan | goreng tanpa minyak
  • Garam dan perasa secukupnya
  • 3 sudu makan minyak masak
  • 1 sudu teh minyak bijan

CARA MEMBUAT:

  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang putih dan halia hingga wangi.
  2. Kemudian masukkan daging, kacau rata sehingga air daging kering. Masukkan bawang besar, cili benggala dan brokoli, kacau seketika.
  3. Perasakan dengan sos tiram, garam dan gula secukup rasa.
  4. Kacau lagi 2-3 minit, kemudian tutup api.
  5. Renjiskan minyak bijan, dan gaul sekali lagi.
  6. Sebelum hidang taburkan bijan yang digoreng tanpa minyak tadi di atasnya.
  7. Sedia dihidangkan panas-panas.