Pandemik Covid-19 banyak menguji kesabaran kita semua untuk terus berusaha demi kelangsungan hidup. Mungkin dahulunya anda bekerja makan gaji dan sebagainya, perlu memikirkan cara untuk mencari pendapatan untuk seisi keluarga.
Buat Aniza Ismail kini beralih perniagaan makanan di gerai tepi jalan. Dia dan adiknya Noraida sama-sama berniaga untuk meraih pendapatan harian. Gerai ini bermula sejak Covid-19 melanda,kini telah dua tahun. Sebelum ini mereka berniaga di kantin sekolah dan kafe maktab perguruan.
“Semuanya akak buat sendiri bersama adik bongsu, Noraida. Saya menjual nasi lemak manakala adik mahir buat kek dan dia buat kek dengan citarasa hotel.Selain itu ada juga kuih-muih yang mak buat iaitu popia, karipap cucur badak dan cucur keria. Selebihnya banyak orang letak di gerai kami,”jelasnya
Gerai ini menjual pelbagai jenis menu antaranya nasi lemak, nasi tomato ,kek dan juga kuih muih. Kadang kala ada juga hari tertentu dijual menu istimewa seperti nasi dagang dan nasi kerabu.
Ads
Akui Aniza, nasi lemak dan kek menjadi tarikan utama pelanggan dan biasanya akan habis cepat.
Pasti anda teruja tengok kepelbagaian kek, tart dan puding yang dijual olah Noraida. Antaranya Chocolate Moist, Puding Creamy Butterscotch, Puding Karamel, Red velvet, Pandan cheese, Pavlova, ( yang sering dicari orang),Portuguese egg tart, Chocolate Indulgence, Burnt cheesecake, Chocolate Cheese Kek, Kek batik Indulgence,Egg tart, Cheese tart, Kek Coklat Puding Caramel,Puding Roti Sos Kastad dan Puding Kastad.
“Kek kami murah. Adik saya guna barang kualiti sama macam yang digunakan di bakeri.Harga sekitar RM1 hingga RM8. Harga bagi sepotong kek rata-rata hanya RM5, kecuali Kek Lotus Biscoff sepotong RM8.Mak cakap jangan jual mahal. Alhamdulilah pelanggan puas hati kerana sedap,murah dan mereka akan repeat lagi,” ujar Aniza.
Burnt Cheese Kek, Kek Batik Indulgence, Egg Tart, Pavlova, Red Velvet, Puding Roti Sos Kastad, Chocolate Cheese merupakan kek best seller di gerai ini.
Ads
“ Sejak gerai ini menjadi viral, pukul 8.30-9 pagi kek dah habis. Kek yang dihasilkan dalam sehari lebih kurang 20 biji namun pernah mencecah hingga 3o biji. Kek semuanya dibuat oleh adik saya seorang. Setiap hari dia tidur pukul 4 pagi untuk menyiapkan kek yang akan dijual,”cerita Aniza.
Setiap hari gerai dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.Walaupun gerai dibuka waktu tersebut, orang ramai sudah sedia menanti.
Buat yang ingin mencuba bolehlah ke Gerai Nasi Lemak Kak Ja Gojes, berdekatan tapak pasar malam , Taman Sri Tanjung, Sungai Layar, Sungai Petani Kedah.
Bagi mereka yang masih mencari destinasi apa kata kita menjamu selera di kafe ala kampung. Pintu masuk utama beratap nipah dan anak tangga rumah tradisional Melaka adalah dekorasi luar pertama mengalukan kedatangan pelanggan atau tetamu ke kafe 20 Laman Cafe ini.
Apa lagi dengan pilihan sajian tradisional Negeri Sembilan dan masakan Melayu serta pelbagai jenis ulaman sungguh membuka selera sesiapa yang bertandang ke sini.
Terletak di lot hujung rumah teres di Taman Desa Damai, Bangi, kafe ala dekorasi rumah kampung ini adalah milik pasangan suami isteri Hajah Bariyah Abdul Aziz , 52 tahun dan suaminya Haji Rosli Mohd Dewa, 60 tahun.
Konsep hiasan adalah dekorasi laman yang nyaman dan sejuk bagaikan berada di laman kampung tradisional Melayu. Mereka suami isteri memang gemar menanam dan pencinta pokok hiasan laman. Atap nipah yang menjadi bumbung perkarangan tempat makan sengaja dipilih kerana ia memberikan teduhan yang sejuk buat pelanggan.
Gabungan pepohon hijau , atap rumbia dan dekorasi kolam memberikan suasana yang segar dan sejuk mata memandang. Di dalam kolam ikan juga terdapat ikan talapia, koi dan ikan air tawar. Jadi bunyi kocakan air dari ikan di kolam juga mencetus kedamaian.
Lebih menarik lagi adalah koleksi pinggan mangkuk dan set cawan lama warisan nenek dan keluarga mereka turut mengindahkan lagi rak bufet makanan. Pinggan mangkuk dengan corak kangkung tergantung indah menjadi hiasan tiang di laman ini.
Di antara ‘signature’ dish’ yang paling popular sudah pastilah Masak Lemak Cili Padi Ikan Salai dan Daging Salai. Hjh Bariyah dan suami menyalai itik, ayam dan ikan keli sendiri demi memastikan bahan asas lemak cili padi ini terjamin kualitinya dan ketulenan serta kelazatan menu istimewa ini terpelihara.
Di samping lauk masak cili padi yang disediakan setiap hari ,terdapat lebih sepuluh jenis masakan Melayu lain. Dari masa ke semasa 20 Laman Cafe turut menambah resipi sajian Melayu di sini. Sajian Asam Pedas Melaka dan Tempoyak Ikan Patin Pahang juga mendapat sambutan hangat di kalangan pelanggan.
Pelbagai jenis sambal bersama ulam-ulaman kegemaran seperti kacang botol, ulam raja, daun tenggek burung yang kadangkala sukar didapati di pasaraya kini boleh didapati di sini.
Sempena puasa kafe ini menerima tempahan minima 20 orang untuk berbuka di sini. Jika anda ingin datang bersama keluarga dan rakan taulan, memang sesuai sangat di sini. Di bulan biasa kafe dibuka Isnin hingga Jumaat, dari jam 12.00 tengahari hingga 3.00 petang kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Alamat : 20 LAMAN CAFE Jalan Damai 8, Taman Desa Damai, Bangi, Selangor
Jalan-jalan di Jalan Kebun, Jangan lupa singgah ke RASA2byPakcik. Dari luar, kafe dihias dengan koleksi barangan lama yang menggamit sesiapa saja datang. Nak datang sini waze jer RASA2 byPakcik, gerenti jumpa.
Setiap sudut lain penataan dekorasinya. Korang yang suka nak OOTD, port di sini memang sesuai. Pilih saja sudut mana korang nak, ikut citarasa.
Datang sini wajib anda anda cuba ialah Laksa Johor, kadang menurut pemiliknya mudah habis, kiranya antara best seller di sini.
Team Makan Di Mana juga sempat merasa menu baru iaitu Seafood Chowder. Untuk yang suka makanan yang tidak terlalu berat akan terpesona dengan menu istimewa ini.
Di dalamnya ada isi ikan dory, sotong, udang dan jejari ketam bersama sos krim pekat dan sayuran.Roti chowder dan roti bakar yang rangup. Makan panas-panas memang layan.
Kacang Pool menu kesukaan orang Johor juga ada. Resipi asli dari timur tengah. Kacang Pool gred A yang penuh perisa dengan daging kisar mewah dimasak dengan campuran kekacang dan tujuh jenis rempah ratus mewangi membangkitkan selera. Telur goyang menggoda jiwa tapi awas pedas menyengat jika tergigit cili.
Dalam bahasa Arab, hidangan ini dinamakan ful midamis, ia merupakan makanan popular di Mesir, Sudan, Somalia, Djibouti, Ethiopia, Yeman dan Arab Saudi.
Mesti cuba juga Spaghetti Seafood Carbonara, Sexy Chicken Burger dan Nasi Minyak Basmati & Ayam Masak Merah (1/4). Kopi yang ditawarkan juga enak rasa dari bijian kopi terpilih.
Pasti ramai yang rindukan signature kek pakcik ni kan? Datang sini wajib rasa kek limau purut dengan aroma yang sungguh sedap.Kek Limau Purut digabung dengan Americano panas… pergh memang layan!
Di kafe ini juga boleh raikan hari istimewa bersama yang tersayang di RASA2byPakcik . Jangan bimbang menu dan dekorasinya, pihak kafe akan uruskan. Jadi bolehlah menjamu selera di kafe ini nanti bersama yang tersayang.
Jika anda berada di Cyberjaya, jangan lupa singgah ke Ruang Makan Abang iaitu destinasi yang menghimpunkan pelbagai jenis masakan seluruh Malaysia dan juga masakan barat. Anda pasti rambang mata kerana terlalu banyak jenis makanan dijual. Salah satunya adalah hidangan masakan Johor yang berada di Gerai Masakan Mama Cyberjaya.
Antara menu yang ada di gerai Masakan Mama Cyberjaya adalah Lempeng & Sambal Ikan Bilis, Lontong Goreng dan Soto Viral Tok Mak. Ketiga-tiga menu ini mendapat sambutan hangat penduduk setempat kerana rasanya yang sedap apatah lagi mengekalkan resipi tradisional yang diamalkan sejak turun-temurun.
Menurut pemiliknya, Intan Daud, Gerai Masakan Mama Cyberjaya bermula pada Mei lalu. Walaupun masih baru, namun sambutan pelanggan amat menggalakkan sekali gus meyakinkan bahawa resipi turun-temurun daripada ibunya memenuhi cita rasa orang ramai.
“Inilah istimewanya menu di Masakan Mama Cyberjaya. Kami bawakan kepada pelanggan hidangan yang ibu kami masak untuk kami semua seisi keluarga. Ibu lebih mesra dipanggil mama atau nama sebenarnya Safiah Yusoff. Kawan-kawan mama lebih kenali mama dengan panggilan Madam Sofy,” ujar Intan.
Berasal dari Johor, hidangan soto dan lontong goreng memang tidak asing lagi. Mungkin lontong goreng masih asing di Lembah Klang namun Intan yakin dengan kuasa media sosial, menu di Masakan Mama Cyberjaya pasti boleh viral dan menjadikan setiap orang ingin mencubanya.
“Di Johor, soto memang banyak dijual dan senang nak dapatkan soto yang sedap. Namun soto yang mama masak tidak sama dengan soto yang lain. Inilah rahsia resipi soto yang kami namakan Soto Viral Tok Mak. Soto ini unik kerana rasa rempah ratus yang membangkitkan selera, kuahnya pekat dan rasa yang sedap. Resipi ni dah 30 tahun masa masak. Setiap kali ada tetamu datang ke rumah kami, mesti mereka akan minta mama masakkan soto. Mama pula selama ini memang ambil tempahan soto di sekitar kediaman kami di Batu Pahat. Sekarang giliran kami meluaskan masakan soto viral ni. Sekarang kalau nak rasa keenakan Soto Viral Tok Mak, bolehlah singgah di Gerai Masakan Mama Cyberjaya.
APA YANG BEST KAT SINI?
Set Lempeng & Sambal Ikan Bilis (RM2)
Lontong Goreng (RM8)
INILAH DIA SOTO VIRAL TOK MAK
Soto Viral Tok Mak & Bergedel (RM8)
KAT MANA GERAI NI?
LOKASI: Ruang Makan Abang, Plaza Crystaville Lingkaran Cyberpoint Timur, Cyber 12, Cyberjaya