
Bayangkan ketika anda melangkah masuk ke Taman Tasik Titiwangsa pada pagi 12 September 2025, dari pintu masuk lagi sudah kedengaran bunyi gendang, aroma masakan berempah menusuk hidung serta deretan gerai penuh warna yang menghidangkan pelbagai sajian warisan.
Di seberang tasik pula, pentas besar telah bersedia untuk menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan sementara kanak-kanak berlari gembira menikmati permainan tradisional.
Inilah gambaran sebenar Festival Budaya Malaysia 2025, sebuah acara mega anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang bakal berlangsung selama 5 hari bermula dari 12 hingga 16 September 2025. Bersempena kempen menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, festival kali ini mengetengahkan tema “WOW Malaysia” dengan misi menonjolkan keunikan budaya, makanan dan seni tanah air kepada rakyat serta pelancong antarabangsa.
Sajian Rakyat, Dari Kari Hingga Kopi
Bagi kaki makan, festival ini adalah syurga sebenar! Antara tarikan utama ialah Rasa Layan Curry Fiesta yang menampilkan pelbagai hidangan kari yang enak dan memikat selera. Selain itu, Kenduri Kari Malaysia 68 bakal memeriahkan suasana di Rasa Layan Curry Fiesta sebagai simbolik kepada 68 tahun Malaysia menyambut kemerdekaan. Dari kari mamak pekat berempah, kari nyonya berlemak santan, kari ikan utara hinggalah kari tradisional Melayu yang kaya dengan daun kari dan rempah ratus tempatan, semua boleh dinikmati di satu lokasi.
Tidak cukup dengan itu, pencinta manisan dan kopi pasti teruja dengan Makar Fest 2025 serta Pastry & Bru. Bayangkan deretan kek moden, pastri berinti tempatan seperti kelapa dan kacang hijau serta kopi artisan dengan aroma yang memikat. Festival ini bukan sekadar tentang makanan tetapi pengalaman dengan gabungan rasa klasik serta sentuhan kontemporari yang menjadikan sajian lebih istimewa.
Selain itu, ada juga Coffee Village untuk penggemar kopi serta Festival Makanan Cina yang memperlihatkan kepelbagaian warisan kulinari kaum Cina di Malaysia. Kalau nak lebih interaktif, jangan lepaskan peluang menyaksikan Pertandingan Roti Canai Melayang serta Teh Tarik King & Queen yang bukan saja menghiburkan, tapi juga mengangkat makanan harian rakyat sebagai simbol budaya Malaysia.
Pentas Budaya: Dari Tradisi Hingga Kontemporari
Festival Budaya Malaysia 2025 bukan sekadar pesta makanan tetapi juga sebagai platform terbesar untuk mempersembahkan warisan seni negara. Setiap hari, para pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai acara kebudayaan.
Antaranya adalah:
- Pertandingan Tarian Singa ASEAN yang penuh energi dan warna-warni.
- Wayang Kulit Nusantara yang membawa penonton kembali ke zaman tradisi.
- Pertandingan Gendang Silat, Kompang Kebangsaan & Drums SoundSport – irama yang membangkitkan semangat patriotik.
- Pertandingan Kesuma Kebaya & Lenggok Kebaya – meraikan keanggunan fesyen tradisional wanita Melayu.
- Battle of the Band & Symphony Light – hiburan moden yang menyatukan generasi muda.
Setiap persembahan ini merupakan cerminan kepelbagaian budaya Malaysia yang hidup harmoni, saling melengkapi dan penuh keindahan.
Malam Gala Pergendangan Madani
Kemuncak Festival Budaya Malaysia adalah pada 13 September 2025 (Sabtu) dengan penganjuran Majlis Perasmian dan Malam Gala “Pergendangan Madani” di Pentas Utama Taman Tasik Titiwangsa. Acara gilang-gemilang ini bakal dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bersama pimpinan negara yang lain.
Bayangkan suasana malam dengan cahaya lampu berwarna-warni, gendang yang bergema, dan persembahan khas bertema “Pewaris Bangsa, Sebiru Warna Satu Jiwa dan WOW Malaysia”. Malam ini dijangka menjadi detik paling bersejarah yang mengangkat budaya Malaysia ke pentas dunia.
Aktiviti Untuk Semua
Selain makanan dan seni, festival ini turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga:
- Hot Air Balloon Ride – pengalaman unik melihat Titiwangsa dari udara.
- Symphony Light Show – persembahan cahaya moden yang memukau.
- Permainan Tradisional – peluang untuk anak-anak mengenali congkak, gasing dan lain-lain.
- Pameran Warisan & ASEAN – destinasi pembelajaran budaya dan sejarah.
Dengan lebih daripada 68 program dan 350,000 pengunjung dijangka hadir, suasana pastinya meriah dan penuh keterujaan.
Kenapa Anda Wajib Hadir?
Festival Budaya Malaysia 2025 ini wajib anda kunjungi kerana ia menghimpunkan 68 aktiviti unik yang merangkumi pelbagai aspek – dari makanan, seni, budaya, sukan sehinggalah hiburan moden.
Bagi penggemar makanan, inilah peluang menikmati food showcase terbesar tahun ini termasuk pesta kari, pastri, kopi dan sajian tradisional lain yang jarang ditemui di satu lokasi.
Dari sudut seni pula, festival ini menampilkan persembahan bertaraf antarabangsa, merangkumi tarian tradisional, muzik, teater, malah persembahan kontemporari yang penuh energi.
Lebih daripada sekadar hiburan, festival ini juga menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme menjelang Visit Malaysia Year 2026, dengan keindahan kepelbagaian budaya sebagai nadi utama.
Apa yang lebih istimewa, ia menawarkan pengalaman lengkap untuk seisi keluarga – gabungan makan, hiburan, pembelajaran dan interaksi, menjadikannya satu pesta rakyat yang benar-benar inklusif dan meriah.
Mark your calendar! Jom meriahkan Festival Budaya Malaysia 2025 bermula 12 hingga 16 September 2025 bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Datanglah bersama keluarga dan rakan-rakan. Rasai kehangatan suasana, nikmati kepelbagaian rasa, hayati keindahan seni dan raikan warisan budaya kita bersama. WOW Malaysia – inilah Malaysia yang sebenar!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI