Sebaik diberitahu Rasa ingin mengunjungi kediaman beliau dan merasai air tangannya, Datin Sri Norja Khairayarani Amin memberitahu tidak begitu pakar dalam bab masak memasak. Katanya setakat masak masakan kampung tiada masalah dan mengalu-alu kami datang di kediamannya di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Seperti dijanjikan, sebaik kami tiba Datin Sri Norja sudap pun menyiapkan Masak Lemak Telur Itik , Sambal Tempoyak Udang dan Sayur Campur, hanya satu menu lagi belum siap.
“Satu lagi menu tu adalah Ketam Masak Telur Masin Cili Padi, ia sedap dimakan panas-panas, sebab itu saya tunggu team Rasa sampai dulu baru saya masak, ujar Datin Sri Norja yang begitu ramah bertanya khabar dan kami saling mengenali, kebetulan ibunya juga ada bersama.
Penulis mengekori Datin Sri ke dapur menyiapkan bahan-bahan menu akhir, sambil berbual beliau terus sahaja menghidupkan api dapur untuk memasak ketam kerana bahan-bahan sudah disiapkan awal. Kelihatannya beliau langsung tidak kekok di dapur, laju sahaja memasukkan bahan tumisan, telur asin cili dan daun kari dan ketam. Tak sampai 10 minit sudah siap.
“Ini masakan paling sempoi yang disukai oleh ahli keluarga saya. Tapi cilia padi kena lebih. Saya orang Negeri Sembilan, cili padi menjadi bahan wajib ada dalam dapur. Kalau tak ada memang rasa macam tak lengkap nak masak, mood pun hilang. Tidak kira gulai, sambal mahu pun rendang, orang Negeri Sembilan termasuklah saya lebih suka menggunakan cili padi. Pendek kata orang Negeri ni memang sinonim dengan cili padi,” ujarnya tertawa sambil mengajak kami ke meja makan bersama anak-anak dan ibunya yang sudah sedia menunggu bagi menikmati hidangan bersama.
Masih Menggunakan Lesung Batu
Sambil menjamu selera, Datin Sri bercerita walaupun banyak gajet dapur seperti mesin pengisar yang boleh membantu memudahkan kerja dapur namun beliau masih menggunakan lesung batu untuk melumatkan bahan tumisan selain daripada cili dan kunyit hidup.
“Rahsia sedapnya masak lemak Negeri Sembilan adalah cara memasak dan campuran cili padi dan kunyit hidup yang ditumbuk lumat menggunakan lesung batu. Sesuai pulak dengan asam garam. Memang terangkat sedapnya.
“Saya sendiri puas jugalah belajar masak Gulai Lemak Cili Padi Telur Itik, nampak senang tetapi tidak kena caranya tak menjadi, kuah tak pekat, santan pecah, telur hancur dan macam-macam. Tapi lama kelamaan baru saya tahu macam mana nak pastikan kuah kuning gulai lemak itu nampak cantik, santan tak jalang (cair) dan bentuk telur sempurna bulatnya. Bunyinya macam kelakar tetapi itulah istimewanya masakan Negeri Sembilan, “ terang Datin Sri yang sudah ke dapur sejak zaman sekolah lagi demi membantu ibu yang sibuk dengan bisnes dan adik-beradik pula ramai katanya.
Disebabkan kesibukan ibu dan adik beradik ramai, Datin Sri Norja terpaksa tolong meringankan tugasan ibu di dapur. Bermula dari itulah timbulnya minat memasak, walaupun pada awalnya selalu sahaja tidak menjadi tetapi berkat usaha dan sentiasa mencuba akhirnya beliau pandai memasak.
“Bayangkan saya ada 10 orang adik beradik, emak sibuk dengan bisnes Tupperwarenya sehingga memaksanya ke serata pelusuk negeri dan kadang-kadang terpaksa ke luar negara. Jadi sebagai anak perempuan saya terpaksalah mengambil alih tugas ibu di dapur. Jadinya sedap tak sedap, adik beradik lain kena makan, tidak ada pilihan. Bila tugas memasak sudah menjadi rutin dan saya belajar dari kesilapan masakan yang pernah saya lakukan akhirnya baru tahu di mana silap dan apa perlu dilakukan. Hasilnya baru masakan yang dimasak menjadi, tidaklah buang begitu saja,” cerita Datin Norja yang memang menjadi ‘chef’ bila keluarga besarnya berkumpul.
Ads
Hebat Dalam Bisnes
Menariknya, wanita bisnes yang menerajui tiga perniagaan dan bertindak sebagai, Ketua Pegawai Eksekutif (Beauarti) Getthiss Sdn Bhd, Lembaga Pengarah Kyra Gold & Jewellery Sdn Bhd dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Antarabangsa Murni, Nilai, Negeri Sembilan ini masih sempat masuk dapur untuk menyediakan hidangkan suami dan anak-anaknya.
“Sebagai isteri dan ibu yang sibuk, walaupun tidak sempat memasak, saya akan pastikan pembantu boleh menyediakan masakan mengikut menu yang saya tetapkan. Atau pembantu siapkan bahan, balik rumah saya yang akan memasak. Soal menu, kami sekeluarga memang suka masakan kampung yang ringkas, lebih bersyukur suami dan anak-anak tidak cerewet soal makan. Kalau rasa nak makan western atau yang lain kami makan di luar bersama,” cerita Datin Sri Norja lagi.
Isteri kepada Dato’ Sri Muhhammad Dzulnun bin Huraira dan ibu kepada Nurkhaira Maisarah, Nurkhira Marissa, Khaira Mariah dan Umar Khair, memang jenis wanita yang tidak tahu duduk diam. Biarpun kini sedang hamil enam bulan masih lagi sibuk dengan urusan bisnesnya.Terbaru beliau mengusahakan produk kecantikan sendiri di bawal label Beauarti, produk kecantikan yang diperbuat dari bahan-bahan organik yang diimpot dari negara Korea Selatan.
“Sebagai permulaan kami memperkenalkan produk skin care. Menariknya rangkaian produk penjagaan kulit ini mampu meremajakan kulit wajah tanpa proses pengelupasan dan paling penting sekali produk kami mendapat sijil halal dari JAKIM. Jadi pengguna muslim boleh menggunakan tanpa was-was , ia juga boleh digunakan oleh semua wanita di semua peringkat usia,” ujarnya mengakhiri perbualan.
RESIPI:
TELUR ITIK MASAK LEMAK CILI PADI
BAHAN-BAHAN:
6 biji telur itik
1000ml santan
2 keping asam gelugor
1 helai daun kunyit | mayang halus
Garam Secukup rasa
BAHAN KISAR:
15 biji cili padi
3cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
Masukkan santan bersama bahan kisar di dalam periuk, kacau rata.
Didihkan atas api sederhana, kemudian masukkan asam gelugor dan garam
Apabila kuah lemak sudah mendidih, kecilkan api dan pecahkan telur dalam mangkuk satu persatu dan masukkan dalam Lakukan hingga habis.
Terus didihkan hingga telur keras.
Sebelum tutup api, masukkan hirisan daun kunyit.
Sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jika suka boleh tambahkan hirisan mangga muda di dalamnya.
SAMBAL TEMPOYAK UDANG PETAI
BAHAN-BAHAN:
500gm udang | buang kepala dan belah belakang
150gm petai yang telah dibuang kulit
Garam dan gula secukup rasa
3 sudu makan tempoyak | bancuh dengan sedikit air
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng dan menumis
BAHAN TUMBUK
20 biji cili padi
4 ulas bawang merah
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak, goreng udang seketika, bila kulit bertukar warna kemerahan angkat. Ketepikan.
Kemudian goreng pula petai seketika. Angkat dan ketepikan.
Keluarkan minyak, tinggal sedikit dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
Seterusnya masukkan tempoyak, kacau hingga rata.
Bila timbul minyak masukkan udang dan petai, kacau rata.
Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
Setelah cukup rasa, angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Jika suka boleh sahaja tambah cili merah. Tetapi orang Negeri Sembilan lebih suka menggunakan cili padi.
KETAM CILI PADI TELUR MASIM
BAHAN-BAHAN:
1kg ketam | bersihkan dan belah dua
6 biji kuning telur asin | hancurkan
1 cawan susu cair
15 biji cili padai | hiris
Ads
5 ulas bawang putih | titik
3 tangkai daun kari | lurutkan dari tangkai
3 sudu makan mentega
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng ketam
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak, goreng ketam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan kuali lain, panaskan minyak dan tumiskan bawang putih bersama daun kari hingga wangi.
Seterusnya masukkan kuning telur, kacau seketika dan masukkan ketam.
Kacau rata dan tambah susu cair.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Kacau lagi seketika dan tutup api dan sedia dihidangkan.
Jika anda suka masaklemak, boleh cuba yang ini juga.
Kalau korang masih fikir resipi lagi, ni dia dua idea lauk pauk untuk hujung minggu ini, ni resipi dari Datin Balqish Banu Mohd Hussni, isteri pengasas VAsia Cosmetic & Healthcare, Datuk Azril Mohd Radzi berbaloi untuk dicuba.
Best korang ringkas tapi sedap. Tak payah masak rumit-rumit. Ni untuk makan anak beranak aje, ingat tau beraya di rumah aje. Sambil menjamu selera sekeluarga.
AYAM SAMBAL MERAH
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam | potong 14 dan cuci bersih 5 sudu makan pes cili kering 2 sudu makan air asam jawa 1 biji bawang besar | hiris 1 sudu makan sos cili 1 sudu makan sos tomato 1sudu makan sos tiram Garam dan gula secukup rasa Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng dan menumis
BAHAN KISAR:
1 biji bawang besar 6 ulas bawang merah 4 ulas bawang putih 3cm halia
CARA MEMASAK:
Gaul rata ayam yang telah dibersihkan dengan garam halus dan serbuk kunyit. Ketepikan.
Panaskan minyak, goreng ayam tetapi tidak terlalu garing. Angkat dan ketepikan.
Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis.
Tumis bahan kisar hingga wangi bersama hirisan bawang besar, kemudian masukkan pes cili kering, kacau rata hingga pecah minyak.
Kemudian masukkan air asam jawa, sos cili, tomato dan tiram.
Kacau rata dan masukkan ayam, gaul rata dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Setelah cukup rasa, dan timbul minyak, tutup api.
Ayam sambal sedia dihidangkan dengan nasi tomato
KURMA DAGING BERKENTANG
BAHAN-BAHAN:
1kg daging batang pinang | hiris nipis dan lebar 3 biji kentang | belah 4 4 sudu makan rempah kurma 1 sudu teh serbuk lada sulah 1sudu teh serbuk jintan manis 1 sudu teh serbuk jintan putih 1sudu makan serbuk ketumbar 1 liter santan 2 biji bawang besar | belah 6 2 biji tomato | belah 6 3 biji cili hijau | belah dua 3 sudu makan air asam jawa Garam dan gula secukup rasa Air secukupnya 1/2 cawan minyak masak
BAHAN REMPAH RATUS:
3cm kulit kayu manis 2 kuntum bunga lawang 5 biji buah pelaga 5 kuntum bunga cengkih
BAHAN KISAR:
8 ulas bawang merah 5 ulas bawang putih 4 biji buah keras 3cm halia 2 cm lengkuas
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan rempah penumis dengan bahan kisar hingga wangi.
Kemudian masukkan campuran rempah kurma, serbuk ketumbar, lada sulah, jintan manis dan putih yang telah dibancuh dengan sedikit air.
Setelah tumisan rempah pecah minyak dan sedikit garing, masukkan daging. Kacau rata hingga daging kecut dan keluar airnya.
Jika daging agak keras, tambah air dan biarkan ia mereneh hingga daging empuk.
Seterusnya apabila air daging kering, tambahkan santan dan masukkan kentang.
Apabila kentang empuk, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Kecilkan api, dan biarkan mereneh lebih kurang 2-3 minit.
Masukkan hirisan tomato dan bawang besar dan cili hijau.
Kacau seketika, tutup api dan kurma sedia dihidangkan.
SEDANG MENCARI PETI SEJUK UNTUK SIMPAN DAGING KORBAN AGAR KEKAL SEGAR, JOM LAYARI DI SINI.
Bila diimbau balik kisah Datin Seri Emylia Yusnita Mohd Tahir mewarisi ilmu memasak memang cukup menyentuh hati. Ibunya meninggal dunia ketika beliau baru berusia lapan bulan. Wanita tabah ini dibesarkan oleh ayah dan arwah moyangnya, Temah Samad yang berkerja sebagai Ketua Tukang Masak di istana Pahang.
Neneknya lebih dahulu meninggal dunia, semasa ibu Datin Seri sedang mengandungkan beliau . Wanita gigih ini duduk bersama arwah moyang di Pahang dengan sering dikunjungi dan kadang-kadang mengikut ayahnya yang tinggal di Johor.
Moyang Jadi Idola Memasak
Di zaman kanak-kanaknya usahawan dan pemilik lima khidmat SPA ini sering mengikuti arwah moyang yang berkerja di dapur Istana, Pekan, Pahang. Makanan yang dimasak adalah untuk Almarhum Sultan Abu Bakar sekeluarga yang cukup menyukai masakan moyangnya.
“Dulu-dulu masa sekolah rendah saya rajin ikut arwah moyang memasak di dapur istana. Bahan-bahan semua sudah disusun pembantu. Saya suka tengok gaya arwah memasak dan perhati bahan-bahan yang digunakan. Dari situ saya dah mula tahu macam mana nak masak dan bila sekolah menengah saya dah boleh memasak.
Di antara amalan masak arwah moyang adalah membuat rempah ratus yang diproses dan dikisar sendiri. Hingga kini saya amalkannya dan saya tak pernah beli rempah yang sudah diproses dalam peket. Aromanya lebih wangi dan rasanya lebih berperisa. Saya juga buat sendiri pes cili kering dan tidak sekali-kali menggunakan cili boh,”kongsi beliau mengenai ilmu masakan yang diwarisi dari moyangnya.
Seperti juga stail masak orang tua dulu-dulu, Datin Seri Emylia juga memasak ikut campak-campak dan agak-agak bagi mendapatkan rasa lauk yang betul-betul sedap.
Suri hati kepada Datuk Seri Ahmad Hj Abas dan ibu kepada tiga cahaya mata berusia 14, 12 dan 3 tahun ini sememangya handal di dapur. Tidak hairanlah jika rumahnya juga sering menjadi tumpuan rakan-rakan dan saudara mara yang cukup mengemari masakan dari air tangannya
Ni dia empat juadah istimewa yang dijamu rakan-rakan rapat beliau.
NASI KAROT
BAHAN-BAHAN :
5 cawan beras basmati | cawan penyukat periuk elektrik
6 cawan air
3 biji lobak merah | disagat batang mancis
4 ulas bawang putih | ditumbuk
4 biji bawang merah | ditumbuk
2 biji bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
½ tin susu cair | susu isian sejat
1 sudu kecil garam
4 helai daun pandan
1 lembar daun pudina | disimpul
1 lembar daun ketumbar | disimpul
4 sudu makan mentega
Segenggam kacang gajus | digoreng tanpa minyak
*Beras basmati direndam sekurangnya 30 minit sebelum masak
CARA MEMASAK :
Panaskan mentega dalam periuk lain dan tumiskan bunga lawang, kulit kayu, manis dan bahan yang ditumbuk hingga naik bau.
Masukkan air, susu cair dan garam, dan biarkan mendidih.
Ambil beras yang telah dibersih dan toskan dan masukkan ke dalam periuk elektrik,
Kemudian masukkan bahan yang ditumis dan mendidih tadi (air, susu cair dan garam) ke dalam periuk elektrik .
Masukkan lobak merah yang telah disagat .
Bila air sudah mengering masukkan daun pudina dan daun ketumbar.
Balik-balikkan nasi bila sudah betul-betul kering. Sajian siap dihidang.
OPOR DAGING
BAHAN-BAHAN:
½kg daging batang pinang
Bahan dikisar :
4 ulas bawang putih | dikisar
6 biji bawang merah | dikisar
2 batang serai | dikisar
4sm halia | dikisar
4sm lengkuas
Bahan disangai (goreng tanpa minyak dan kisar)
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh Jintan manis
1 sudu teh Jintan putih
6 sudu makan kerisik
2 sudu makan rempah opor
Gula merah dan garam secukup rasa
1 sudu kecil asam jawa
Minyak masak secukupnya
Sedikit air | secukupnya untuk mengelakkan kering
CARA MEMASAK :
Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar , kemudian masukan bahan-bahan yang disangai.
Tumis hingga naik minyak dan masukkan rempah opor, tumis lagi sampai naik minyak.
Tambahkan sedikit air, masukkan daging dan kacau sehingga kesemua bahan yang ditumis sebati dengan daging. Biarkan daging empuk.
Masukkan kerisik, kacau dengan api yang perlahan. Biarkan mereneh sebentar.
Masukkan garam dan gula merah secukup rasa
ACAR BUAH
BAHAN-BAHAN :
Bahan A (bahan tumis) :
1 1/3 cawan minyak untuk menumis | Lebihkan sedikit kerana buah akan menyerap minyak )
1 sudu makan biji sawi
Ditumbuk atau kisar tanpa air:
4 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
2.5sm halia
Bahan B (rempah tumis)
3 sudu makan rempah kari
8-10 tangkai cili kering | dibuang biji ,rebus dan kisar)
Disangai dan dikisar halus:
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh Jintan Putih biji
1 camca teh Jintan Manis biji
Bahan C 4 sudu makan gula merah 2 sudu makan sos cili
Garam secukupnya
2 sudu makan perahan lemon
Bahan D Disangai : 1/4 cawan bijan 1/3 cawan biji sawi
Bahan E (Buah-buahan)
50-150 gram setiap jenis buah buahan | kering atau jeruk (limau jeruk dibelah 12 ikut saiz)
* Kalau buah yang berbiji atau besar seperti prune lebihkan sedikit timbangan | dipotong dua atau empat, atau biarkan sebiji-biji.
2 labu bawang putih | dibelah dua jika bersaiz besar
12-15 ulas bawang merah | dibelah dua
Cili Padi secukup nya
CARA MEMASAK :
Panaskan minyak dalam periuk.
Tumiskan bahan A sehingga garing.
Masukkan bahan B, kacau jangan biar hangit dan terus masukkan bahan C.
Biarkan sampai mendidih dan sedikit kering (berbuih-buih air gula.)
Masukkan bahan E dan akhir sekali bahan D dan digaul sedikit supaya bercampur.
Usah dikacau terlalu lama kerana buah akan hancur
Bila mendidih terus padamkan api (Jangan masak terlalu lama kerana buah akan kecut)
BUAH MELAKA KUKUS
BAHAN-BAHAN :
4 cawan tepung pulut
2 sudu makan tepung gandum
6 helai daun pandan | diracik halus dan dikisar bersama 1 cawan air
Gula melaka secukunya | dipotong kecil
1 kotak kecil santan kotak | dicampur sedikit air ,sederhana pekat
Sedikit pewarna hijau
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
Tepung pulut dan tepung gandum digaul bersama air dan letakkan secubit garam.
Masukkan air daun pandan dan pewarna hijau. Ulikan hingga tak melekat di tangan.
Bentukkan bulat dan masukkan gula Melaka yang sudah dipotong kecil ke dalamnya.
Bulatkan lagi dan ketepikan
Masukkan santan ke dalam bekas untuk dikukus, masukkan secubit garam. Panaskan kukus terlebih dahulu.
Masukkan kuih ke dalam bekas kukus berisi santan dan masak selama 10 minit. Sajian sedia dihidang.
Melalui perbualan telefon beberapa kali, penulis dapat mengagak Datin Maria Abdullah seorang personaliti yang mudah didekati, ramah, mesra dan ceria. Penulis rasa berbesar hati bila beliau tidak keberatan meluangkan sedikit masa dari kesibukan rutin harian untuk bagi menyediakan dua respi istimewa yang menjadi kegemaran suami Dato’ Noorazman dan putera tunggal Muhammad Emman.
Tiba hari temujanji dan kami sampai di kediaman Datin Maria, pembantu rumahnya menjemput kami masuk. Sambil beriringan masuk dia memberitahu majikannya, Datin Maria kurang sihat. Perkabaran itu menjadikan penulis berasa gusar dan bersalah. Sejurus menunggu di ruang tamu, Datin Maria muncul dengan wajah ceria sambil bertanya khabar. Beliau kemudian mengakui kurang sihat dan baru pulang dari berjumpa doktor, tetapi tidak menjadi halangan kepada beliau untuk menyediakan masakan untuk dikongsikan bersama majalah Rasa.
“Semua bahan sudah saya beli dan siapkan tinggal masak sahaja sekejap lagi. Lagi pun resipi yang saya akan masak petang ini adalah resipi mudah, iaitu Ikan Patin Masak Tempoyak dan Ketam Mentega. Kedua-dua resipi ini ringkas dan senang disediakan. Ketam Mentega bukan hanya disukai oleh suami dan anak. Sanak saudara atau rakan-rakan bila mereka datang, menu ini juga akan minta saya masak . Saya tidak tahu apa tarikannya sehingga semua mereka suka, sedangkan resipi sama saja,” ujar Datin Maria tertawa.
BAHAN-BAHAN SEGAR
Selesai di ruang tamu, kami meneruskan agenda kedua di ruang dapur. Sebaik masuk ke dapur melihatkan bahan-bahan yang sudah tersedia dalam keadaan segar. Menyebabkan kami rasa tidak sabar untuk menikmati hidangan yang akan dimasak oleh Datin Maria.
Melihat ketam dan ikan patin yang masih segar. Terdetik di hati penulis, mungkin inilah rahsia kenapa Patin Masak Tempoyak dan Ketam Mentega yang dimasak oleh Datin Maria disukai suami, anak dan tetamu yang yang menjamu selera di kediaman beliau. Benar bagai yang diagak, Datin Maria memberitahu untuk hidangan yang ingin dimasak dan dikongsikan dengan kami, beliau telah mendapatkan patin segar dari Sungai Pahang dan Ketam segar dari Sri Langka khabarnya.
“Kalau bahan segar dan berkualiti, kita masak ringkas pun hasilnya mesti sedap. Saya sangat teruja dan seronok memasak bila dapat bahan-bahan segar,” cerita Datin Maria sambil sibuk memotong bahan sayur sampingan yang akan dimasukkan bersama dalam masakan Patin Masak Tempoyaknya.
Ceritanya lagi, ada pelbagai versi Masak Tempoyak Patin di Malaysia, ia bergantung pada tempat dan selera orang yang memakannya. Tetapi kalau orang Pahang masak, selain tempoyak, bahan yang digunakan hanya kunyit hidup, cili padi, daun kesum. Kalau ada dan jika suka, boleh masukkan bunga kantan sebagai penambah rasa.
Melihatkan cara Datin Maria memasak Patin Masak Tempoyak sangat mudah, aroma bau dari masak tempoyak sungguh menggoda selera. Ditambah pula dengan hidangan Ketam Mentega yang masih panas di dalam kuali sebelah periuk Patin Masak Tempoyak. Benar seperti kata Datin Maria, bila seseorang itu pandai memasak dan selalu di dapur, resipi hanya sebagai panduan dan asas memasak. Untuk menyedapkan dan menjadikan masakan itu menarik adalah kreativiti dan kemahiran mengolah dan menyesuaikan bahan.
“Saya sendiri bila memasak , selain mengutamakan keenakan rasa makanan yang dimasak. Saya juga suka melihat warna dalam masakan. Warna itu memberikan tarikan kepada mata dan selera orang yang akan menjamah masakan itu nanti. Sebab itu dalam Masak Tempoyak Patin, selain bahan asasnya, saya akan campurkan bahan sampingan seperti tomato, bendi, cili merah dan cili hijau,” ujar Datin Maria yang mempunyai pelbagai koleksi pinggang mangkuk yang menarik.
“Saya rasa, kebanyakan wanita yang hobinya suka memasak, secara tidak langsung dia juga mempunyai pelbagai koleksi pinggan mangkuk kerana pinggan mangkuk adalah pelengkap hidangan makanan yang dimasak oleh seseorang. Saya antara wanita yang suka menyimpan koleksi pinggan mangkuk,” ungkap Datin Maria sambil mempelawa kami menikmat hidangan yang disediakan.
My Pro Wrestling Sdn Bhd (MyPW)
Mengakui sibuk dengan urusan perniagaan kawalan keselamatan yang diusahakan bersama suami sejak 30 tahun lepas, Kini Datin Maria baru sahaja menubuhkan sebuah syarikat baru yang dinamakan My Pro Wrestling Sdn Bhd (MyPW). Sebuah syarikat yang menguruskan sebuah Wrestling Training Centre .
“Biarpun masih baru, MyPW sudahpun mengendalikan lima acara perlawanan gusti Peringkat Asia di Malaysia. Cetusan idea ini datangnya dari minat anak tunggal saya yang menyukai sukan gusti ini sejak usia 13 tahun lagi.
“Bagaimana pun sebagai seorang isteri dan ibu, sibuk bukan alasan untuk tidak memasak. Tetapi saya akan masak bila ada permintaan dari suami, anak atau bila ada tetamu ingin berkunjung. Kalau memasak jika tidak ada orang makan, ia akan,” ujar Datin Maria yang mempunyai pelbagai koleksi pinggan mangkuknya. Demi memastikan skill memasaknya tidak hilang, sesekali beliau akan masuk dapur untuk mencuba resipi baru dan masak masakan kegemaran suami dan anak. Atau bila ada tetamu atau sanak saudara yang ingin berkunjung di kediaman mereka.
RESIPI:
IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ikan patin (anggaran 1kg) | bersihkan dan tos
20 biji cili padi (bergatung kepada tahap kepedasan)
3cm kunyit hidup
4 tanggkai daun kesum
2 kuntum bunga kantan | belah dua
3 batang kacang bendi | buang tangkai dan hujungnya
2 biji tomato | belah empat
3 sudu makan tempoyak/atau ikut kepekatan kuah
Garam dan serbuk perasa secukup rasa
Asam keping | jika perlu
CARA MEMASAK:
Cili padi dan kunyit hidup ditumbuk atau dikisar hingga halus.
Kemudian campurkan bahan kisar dengan tempoyak dan gaul sebati.
Seterusnya , lumurkan campuran tempoyak dengan cili kunyit tadi pada ikan patin. Perap sebentar seketika.
Seterusnya masukkan ikan dalam periuk, dan tambahkan air dan masaknya di atas dapur.
Masak hingga mendidih, kemudian tambahkan garam dan perasa secukupnya. Diikuti dengan bunga kantan, daun kesum dan kacang Bendi.
Kecilkan api, biarkan mereneh seketika.
Sebelum tutup api masukkan buah tomato.
INFO: Untuk menghilangkan bau hanyir ikan, gaulkan dengan tepung gandum dan asam jawa atau limau nipis. Kemudian cuci bersih dengan air biasa dan toskan.
KETAM MENTEGA
BAHAN-BAHAN:
2 ekor ketam (500gm) | potong dua
50gm mentega
5 biji cili padi | belah dua
3 tangkai daun kari | lurut dari tangkainya
250 ml susu cair
2 sudu makan gula
1 sudu makan tepung jagung
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
Panaskan mentega, kemudian masukkan cili padi dan daun kari, goreng hingga wangi.
Masukkan ketam, gaul sebati dan tutup periuk atau kuali seketika.
Seterusnya masukkan susu cair, garam dan gula secukup rasa. Kacau lagi kemudian tutup seketika.
Resipi udang butter garlic ini hidangan paling sesuai kalau mencari lauk yang mudah dan cepat siap.Walaupun ringkas saja resipinya tapi rasa dan aromanya mewah...