Ingin menyediakan hidangan yang lebih istimewa di hari raya ni, pelbagai jenis nasi berwarna cukup perisa dan sedia dihidangkan bersama lauk. Anda juga tidak perlu risau kerana anak-anak kecil boleh menikmati nasinya begitu sahaja. Memang sedap!

Hidangan Nasi Raya Istimewa, Pelbagai Rasa. Sesuai Untuk Semua Jenis Lauk!

1. NASI KUKUS KISMIS

Bahan-bahan:

  • 3 cawan beras basmathi
  • 3 cawan air rebusan ayam
  • 1 batang serai | titik
  • 4cm halia |mayang halus
  • Garam secukup rasa
  • Kismis secukupnya

 

Cara memasak:

  1. Rendam beras sejam. Toskan.
  2. Kukus bersama serai dan halia hingga separuh masak.
  3. Tuang air rebusan ayam/daging yang dicampurkan sedikit garam ke atas nasi yang sedang dikukus dan gaul rata.
  4. Kukus lagi hingga nasi benar-benar masak.
  5. Tabur kismis ke dalam nasi yang telah masak dan gaul rata.
  6. Angkat dan sedia dinikmati.

 

 

Info chef: Selain air rebusan ayam, boleh gunakan air rebusan daging.

 

2. NASI BEREMPAH KAMBING

Hidangan Nasi Raya Istimewa, Pelbagai Rasa. Sesuai Untuk Semua Jenis Lauk!

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging kambing (bahagian rusuk atau daging pejal) | potong sederhana kecil dan rebus empuk
  • 4 cawan beras basmathi | basuh dan toskan
  • 3 cawan air rebusan daging kambing
  • 1 cawan air (3 sudu makan biji ketumbar dikisar dengan satu cawan air dan tapis)
  • 3 sudu makan minyak sapi/mentega
  • 2 sudu makan tomato puri
  • 2 sudu makan kismis
  • 1 biji bawang besar | dadu kecil
  • 4 ulas bawang putih | cincang kasar
  • Garam secukupnya
  • Pewarna kuning secukupnya (pilihan)
  • Daun pudina secukupnya

 

BAHAN-BAHAN B: (TUMIS):

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga cengkih

 

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak sapi/mentega di dalam periuk.  Tumis bahan-bahan B berserta bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
  2. Masukkan tomato puri dan tumis hingga rempah masak.
  3. Masukkan kambing dan didihkan hingga kambing benar-benar empuk.
  4. Masukkan beras ke dalam periuk.  Tambah garam secukup rasa. Tuang air rebusan kambing dan air ketumbar lalu didihkan hingga semua bahan masak.
  5. Apabila nasi masak, tambah kismis dan titikkan pewarna kuning (jika suka) dan kacau rata pada nasi.  Letak daun pudina ke dalam nasi lalu tutup periuk untuk setengah jam.
  6. Hidangkan bersama hirisan timun, tomato, lemon dan cili hijau.

 

 

Info chef: Selain air rebusan ayam, boleh gunakan air rebusan daging.

 

IKLAN

Hidangan Nasi Raya Istimewa, Pelbagai Rasa. Sesuai Untuk Semua Jenis Lauk!

3. NASI BERINGIN AYAM BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 3 cawan beras basmathi | rendam 10 minit dan toskan
  • 2 cawan air
  • 2 cawan susu cair
  • 3 sudu makan minyak sapi
  • 1 biji bawang besar |mayang halus
  • 3 ulas bawang putih |kisar
  • 2cm halia |kisar
  • 2cm kunyit hidup | kisar
  • 1 batang serai | ketuk
  • 2 helai daun pandan | siat & simpul
  • Garam secukup rasa
  • Air ros secukupnya

 

BAHAN-BAHAN B (TUMIS):

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji buah pelaga

 

BAHAN-BAHAN C (AYAM BEREMPAH);

  • 1 ekor ayam |belah empat
  • 2 sudu makan rempah kari
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 sudu makan tomato puri
  • 1 biji bawang besar | kisar
  • Garam secukup rasa

 

CARA MEMASAK:

 

  1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk lalu tumis serai, bahan-bahan kisar berserta bahan-bahan B hingga wangi.
  2. Masukkan beras, air, susu, daun pandan dan garam secukup rasa.
  3. Didihkan hingga nasi tanak.  Renjiskan air ros secukupnya. Gemburkan dengan garpu. Ketepikan.
  4. Sementara itu, untuk memasak ayam rempah; perap kesemua bahan-bahan C selama sejam atau semalaman.  Goreng di dalam minyak yang panas hingga ayam masak.  Hidangkan bersama nasi tadi.

 

 

Info chef: Daging ayam boleh dihiris dan diletakkan di bahagian atas nasi ketika menghidang.

IKLAN

Hidangan Nasi Raya Istimewa, Pelbagai Rasa. Sesuai Untuk Semua Jenis Lauk!

4. NASI DAGING YEMEN

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm daging | potong kiub besar
  • 4 cawan beras basmathi | basuh dan toskan
  • 2 biji bawang besar | mayang halus
  • 4 cawan air rebusan daging
  • 3 sudu makan mentega/minyak sapi
  • 1 sudu makan serbuk ketumbar
  • 1 sudu makan serbuk jintan manis
  • 1 sudu teh air rendaman safron
  • 1 sudu teh jus lemon
  • 2 helai daun bay leaf
  • 1 sudu teh biji lada hitam
  • 5 ulas bawang putih
  • Garam dan gula perang secukupnya
  • Bawang goreng dan kismis secukupnya
  • Air secukupnya

 

BAHAN-BAHAN B (TUMIS):

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 4 ulas bawang putih | kisar
  • 3cm halia |kisar

 

CARA MEMASAK:

  1. Rebus daging bersama bay leaf, lada hitam dan bawang putih hingga daging empuk. Angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan mentega di dalam periuk. Tumis bahan-bahan B dan bawang besar yang dimayang halus hingga wangi.
  3. Masukkan serbuk ketumbar dan serbuk jintan manis bersama sedikit air lalu teruskan menumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan daging yang telah direbus bersama air rebusan daging. Masukkan beras, garam dan gula perang secukup rasa. Tanak hingga masak.
  5. Tuang air rendaman safron dan jus lemon ke dalam nasi.  Kacau sebati.
  6. Tambah bawang goreng dan kismis jika suka.
  7. Angkat dan sedia dinikmati.

 

 

Info chef: Tidak perlu masak lauk lain kerana sudah terdapat daging di dalam nasi.

 Hidangan Nasi Raya Istimewa, Pelbagai Rasa. Sesuai Untuk Semua Jenis Lauk!

5. NASI HALIA SERAI

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan beras basmathi | rendam sejam dan toskan
  • 3 cawan air
  • 2 sudu makan minyak jagung
  • 6 batang serai |ambil bahagian dalam yang lembut dan hiris nipis
  • 4cm halia muda | mayang halus
  • 1 labu bawang besar |kisar halus
  • 4 ulas bawang putih |kisar halus
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 4 biji buah pelaga
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 1 batang kulit kayu manis
  • Garam secukup rasa

 

IKLAN

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk lalu tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
  2. Masukkan serai dan halia lalu tumis lagi hingga wangi.
  3. Masukkan buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis.
  4. Masukkan beras dan air.
  5. Tambah garam dan didihkan hingga nasi masak.
  6. Angkat dan sedia dinikmati bersama lauk lain.

 

 

Info chef: Enak dimakan bersama lauk bersambal dan sebagainya.

 

Hidangan Nasi Raya Istimewa, Pelbagai Rasa. Sesuai Untuk Semua Jenis Lauk!

6. NASI IKAN MINYAK SAPI

BAHAN-BAHAN:

  • 3 cawan beras basmathi |rendam dan toskan
  • 2 keping isi ikan merah |potong dadu
  • 3 cawan susu cair
  • ½  cawan air
  • 2 helai daun pandan | siat dan simpul
  • 2 sudu makan minyak sapi
  • 1 sudu makan marjerin
  • Tepung jagung secukupnya
  • Garam dan lada sulah secukupnya

 

BAHAN-BAHAN TUMIS:

  • 5 biji bawang merah | mayang halus
  • 3 ulas bawang putih |mayang halus
  • 3cm halia muda |mayang halus
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga cengkih

 

CARA MEMASAK:

  1. Tabur sedikit garam dan lada sulah pada isi ikan dan gaul rata. Salut ikan dengan tepung jagung secukupnya lalu goreng dalam minyak yang panas hingga kekuningan. Angkat, tos dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak sapi dan mentega di dalam periuk.
  3. Masukkan bahan-bahan tumis dan tumis hingga naik bau. Masukkan daun pandan dan biarkan beberapa minit.
  4. Masukkan beras, susu cair, air dan garam secukup rasa. Masak nasi hingga masak.
  5. Setelah nasi masak, masukkan isi ikan goreng ke dalam nasi dan gaul rata.
  6. Jika suka, tambah kismis dan bawang goreng semasa menghidang.

 

 

Info chef: Boleh juga gunakan isi ikan tenggiri, kerapu atau kurau.

 

Penyelaras: Team Rasa

Resipi: Chef Suwarsi M. Arukin

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI