Puan Sri Shariffa Nisa Bakri kelihatan anggun mengenakan kebaya labuh rona merah jambu menyambut ketibaan kami  dengan ramah ditemani Dato’ Azlin. Terdetik di hati sudahlah cantik pandai pula memasak. Sebelum ini hanya mendengar cerita dan menonton Puan Sri memasak di dalam satu program TV sahaja. Namun tanpa disangka kami bertuah dapat melihat dan  menjamah masakan  dari  air tangan beliau yang khabarnya akan menyediakan dua menu, iaitu Kari Ikan Masin Kurau Dengan Udang dan  Asam Pedas Ikan Tenggiri Ala Nyonya.

Memandangkan Puan Sri Nisa sudah siap berdandan, kami  terus sahaja memulakan sesi fotografi  di ruang tamu sambil beliau bercerita mengenai bukunya ‘I am Not A Chef’ dan pes kari dan asam pedas yang diformulasikan sendiri oleh beliau  dan kini ada dijual di beberapa pasar raya terpilih.

Selesai fotografi, Puan Sri Nisa  segera ke tingkat atas untuk menukar pakaian sebelum masuk dapur untuk memasak. Selang beberapa minit, beliau turun dengan gaya kasual yang cukup santai namun tetap cantik dengan gaya sederhana itu.

“Usah bimbang saya masak tak lama. Semua bahan sudah siap tinggal masak saja tak sampai setengah jam boleh siap dan kita boleh terus rasa masakan saya ini,” ujar Puan Sri sambil  memberikan tip menjadikan memasak sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan.

Tidak sampai 30 minit, dua masakan yang dimasak menggunakan pes kari dan pes asam pedas siap  dimasak oleh Puan Sri dan terus dihidangkan panas-panas di meja makan sambil mempelawa kami menjamah masakannya itu. Ternyata ia tidak mengecewakan sedap dan menyelerakan.

MINAT MEMASAK

Sambil menikmati hidangan, Puan Sri Nisa bercerita tentang minat beliau yang suka memasak dan tanpa disangka minat itu terus berkembang dan kini membuka peluang bisnes pula.

“Minat memasak tu memang sejak daripada kecil, bila remaja saya luaskan pengalaman dengan belajar memasak berpandukan buku resipi. Rujukan pertama saya adalah buku resipi  chef Wan, bila sekali masak menjadi, keterujaan untuk memasak itu semakin kuat. Hingga bila anda rakan-rakan suruh masak,  saya tidak membantah sebaliknya seronok memasak untuk mereka.

Keseronokan itulah yang mendorong saya untuk mencuba lebih banyak resipi baru dan cuba mengolah semula sebahagian resipi mengikut selera. Bila sudah berkeluarga, saya menjadi lebih cerewet terutama dalam soal apa yang mahu dimasak.  Sekarang menyediakan makanan sihat dan sedap adalah keutamaan saya,” ujar beliau lagi.

Keenakan Masakan Puan Sri Nisa Dapat Liputan TV Sepanyol. Jom Cuba Dua Resipi Best Ni!
Puan Sri Nisa memang tidak kekok langsung bila di dapur. Malah buat kerja pun laju.

SERONOK DI DAPUR

Selain seronok memasak, Puan Sri Nisa juga mengakui bahawa makanan adalah agen mengeratkan hubungan dan kasih sayang keluarga kekeluargaan serta menjalin kemesraan sesama rakan-rakan dan. Kata beliau, lebih baik lagi jika masakan itu dimasak dengan hati yang ikhlas.

“Sebenarnya, saya kalau tidak ada apa nak dibuat bila berada rumah, ke dapurlah saya masuk. Tengok apa yang boleh dimasak, tak kisahlah walau hanya buat jemput-jemput. Kadang-kadang  dengan melihat barang yang ada di dapur di kepala sudah ada idea nak masak apa.  Lebih seronok lagi kalau masakan tu dinikmati dengan berselera oleh keluarga atau tetamu yang datang ke rumah.

“Bila kita seronok memasak, keikhlasan itu hadir dalam diri dan mulalah kita akan mendoakan yang baik-baik untuk ahli keluarga, rakan mahupun  tetamu yang akan menikmati hidangan itu nanti. Sekurangnya biarlah mereka dengan puas makan dan seronok dijamu. Secara tidak langsung ia pasti dapat menyatukan hubungan suami isteri, menyuburkan kasih sayang anak-anak dan mengeratkan hubungan sanak saudara serta rakan bila kita sama-sama duduk di meja makan menikmati hidangan tersebut,” ujar Puan Sri yang sangat suka ke pasar.

Katanya, kalau beliau sudah ke pasar terutama di pasar yang menjual barang-barang segar, pasti tidak sedar ada barang yang tidak sepatutnya dibeli akan beliau beli.  “Kepantangan saya kalau ke pasar yang menjual ikan, seafood  dan sayur-sayur segar, habislah semua nak beli dan nampak sedap. Saya tak kisah walaupun lama ke pasar yang penting puas hati, mungkin disebabkan saya ni suka memasak,” cerita Puan Sri lagi.

Keenakan Masakan Puan Sri Nisa Dapat Liputan TV Sepanyol. Jom Cuba Dua Resipi Best Ni!
Perencah segera ini memang sedap. Dan anda boleh gunakan kaedah memasak tumis darat.

PELUANG BISNES

Melihatkan bakat dan minat Puan Sri yang suka memasak, rakan-rakan mula menyarankan beliau membuat buku masakan dan menjadikan ia sebagai satu cabang bisnes.

IKLAN

Atas dorongan itulah, beliau telah menerbitkan sebuah buku berkaitan pengalaman beliau dengan  masakan serta resipi yang dicuba. Tanpa diduga buku tersebut sudah beberapa kali diulang cetak.  Dari situ timbul idea untuk membuat pes masakan.

“Dari buku, kemudian saya buat pula pes, buat masa ini saya sudah pasarkan dua jenis pes, kari dan asam pedas. Kedua-dua pes ini sebenarnya, jika anda kreatif ia boleh dipelbagaikan cara memasak. Contoh pes asam pedas, selain boleh digunakan untuk asam pedas biasa, ia boleh dijadikan asam pedas Nyonya atau pun tomyam. Semuanya atas kreativiti memasak. Beliau juga mempunyai restoran di Bangunan Tabung Haji di Damansara Utama yang sentiasa mendapat sentuhan air tangannya.

Keenakan Masakan Puan Sri Nisa Dapat Liputan TV Sepanyol. Jom Cuba Dua Resipi Best Ni!
Gambar dipetik dari Instagram PuanSri Nisa @nisabakriofficial _

Terbaru, dalam usaha melebarkan sayap perniagaan dan memperkenalkan masakan tradisional Malaysia, Puan Sri Nisa telah berkunjung ke Sepanyol dan membuat beberapa demo memasak serta turut memasak di dapur Chef Antonio, Chef terkenal di Sepanyol.  Kunjungan dan aktiviti mendapat liputan televisyen. Tahniah Puan Sri semoga usaha Puan Sri akan terus mendapat perhatian dunia.

Keenakan Masakan Puan Sri Nisa Dapat Liputan TV Sepanyol. Jom Cuba Dua Resipi Best Ni!
Kari Ikan Masin bersama Udang ini memang sangat enak.

KARI IKAN MASIN BERSAMA UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm udang |saiz XL
  • 150 gm isi ikan masin kurau | rendam dan goreng
  • 2 sudu makan telur masin | kuning sahaja dan hancurkan
  • 3 sudu makan pes kari
  • 1 sudu kecil halba campur
  • 1 biji bawang holland | potong dadu besar
  • 2 biji tomato  | potong dadu
  • 2 batang kacang bendi | potong dua
  • 2 tangkai cili hijau | potong dua
  • 1 tangkai daun kari
  • 1cawan santan pekat
  • Air secukupnya
  • 2 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan periuk tanah, panaskan minyak.
  2. Tumiskan halba campur bersama daun kari, kacau hingga wangi.
  3. Seterusnya masukkan masukkan pes dan kacau lagi. Jika terlalu pekat tambah air.
  4. Kemudian masukkan ikan masin, diikuti dengan sedikit lagi air. Biarkan seketika.
  5. Masukkan bahan sayuran, kacang bendi, tomato dan cili hijau.
  6. Ia diikuti dengan udang, kuning telur masin dan santan.
  7. Kacau dan biarkan mendidih dan udang masak.
  8. Angkat dan hidangkan.

INFO CHEF: Tidak perlu tambah garam atau perasa kerana ikan masin dan telur asin sudah masin dan pes juga sudah cukup asam garam.

IKLAN

Saiz hidangan : 5 orang

Waktu memasak :15 minit

Jenis masakan : Lauk pauk

Keistimewaan: Enak dan terasa rempah kari

Anggaran kos : RM 35.00

Jika anda penggemar Asam Pedas wajib klik: :http://bit.ly/2z46Xag

IKLAN
Keenakan Masakan Puan Sri Nisa Dapat Liputan TV Sepanyol. Jom Cuba Dua Resipi Best Ni!
Asam Pedas ini buat kami makan bertambah-tambah. Selain warna yang cantik ia juga penuh dengan sayuran berwarna warni

ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI ALA NYONYA

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm ikan tenggiri | bersih dan tos
  • 2 sudu makan pes asam pedas
  • 2 sudu makan telur masin | bahagian kuning dan dihancurkan
  • 2 kuntum bunga kantan | hiris
  • 1 biji bawang Holland | potong dadu besar
  • 1 biji tomato | belah empat
  • Sedikit daun ketumbar | hiris
  • 2 tangkai daun kesum | lurut dari tangkai
  • 2 biji cili merah | belah dua
  • 2 biji cili hijau | potong dua
  • 1/2 cawan santan pekat
  • Air secukupnya
  • 2 sudu makan minyak masak

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis pes (campur sedikit air jika terlalu pekat).
  2. Masukkan bawang Holland, kacau seketika dan tambah air secukupnya.
  3. Setelah mendidih masukkan ikan, bunga kantan, daun kesum, cili merah dan hijau.
  4. Bila ikan masak, masukkan santan dan telur kuning, biarkan mendidih seketika.
  5. Sebelum angkat masukkan tomato dan daun ketumbar.
  6. Sedia dihidangkan.

INFO CHEF:  Jika tidak dicampurkan santan, masakan akan menjadi asam pedas biasa.

Saiz hidangan : 5 orang

Waktu memasak :15 minit

Jenis masakan : Lauk pauk

Keistimewaan: Enak  dan berperisa

Anggaran kos : RM 35.00

 

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI