Cendawan memang antara bahan dapur yang mudah dimasak dan sedap dipelbagaikan dalam banyak menu. Daripada masakan tumis, sup, pasta, goreng tepung sampailah dijadikan lauk campuran dalam masakan Melayu, cendawan sering jadi pilihan kerana teksturnya yang lembut dan rasa umami semula jadi.
Namun, satu persoalan yang sering menjadi perdebatan di dapur ialah perlu ke basuh cendawan sebelum masak?
Ada yang kata tak boleh basuh sebab cendawan akan menyerap air. Ada juga yang tetap membasuh kerana risau kotor dan berpasir. Jadi yang mana satu sebenarnya betul?
Jawapannya, cendawan memang boleh dibasuh, tetapi caranya perlu betul supaya tekstur dan rasa asli cendawan tidak rosak ketika dimasak.
Kenapa Ramai Kata Jangan Basuh Cendawan?
Cendawan mempunyai struktur yang sangat lembut dan berliang. Sebab itu ia mudah menyerap air seperti span. Jika direndam terlalu lama, cendawan boleh jadi lembik, berair dan hilang tekstur apabila dimasak.
Inilah sebab utama ramai chef atau tukang masak berpengalaman tidak menggalakkan cendawan direndam dalam air.
Bila terlalu banyak air diserap:
Cendawan jadi lembik
Sukar dapat tekstur garing ketika ditumis
Air keluar terlalu banyak ketika memasak
Rasa asli cendawan jadi kurang menyerlah
Sebab itu ada yang memilih hanya mengelap cendawan menggunakan tisu dapur atau berus lembut sahaja.
Perlu Ke Basuh Cendawan Sebelum Masak?
Sebenarnya ia bergantung kepada keadaan cendawan tersebut.
Kalau cendawan nampak bersih dan terus dari pek yang elok, memadai lap perlahan menggunakan tisu dapur lembap.
Tetapi jika:
Ada kesan tanah
Berpasir
Berlendir sedikit
Dibeli secara longgok di pasar
Maka lebih baik dibasuh secara ringkas.
Yang penting, jangan rendam terlalu lama kerana cara basuh cendawan yang salah boleh menyebabkan teksturnya rosak.
Cara Basuh Cendawan Dengan Betul
Ramai yang melakukan kesilapan dengan merendam cendawan dalam mangkuk air terlalu lama. Ini yang menyebabkan teksturnya rosak dan kurang sedap apabila dimasak.
Berikut ialah cara basuh cendawan yang lebih betul dan disarankan:
Ads
1. Bilas Sekejap Di Bawah Air Mengalir
Gunakan air biasa dan bilas cepat sahaja untuk membuang kotoran pada permukaan.
Tak perlu gosok terlalu kuat kerana cendawan mudah rosak.
2. Jangan Rendam
Elakkan rendam cendawan dalam air selama beberapa minit. Lagi lama direndam, lagi banyak air akan diserap.
Ini antara kesilapan paling biasa ketika membersihkan cendawan di dapur.
3. Keringkan Selepas Basuh
Selepas bilas, terus lap menggunakan tisu dapur atau kain bersih supaya kelembapan berlebihan dapat diserap.
Langkah ini penting terutama jika mahu menumis atau menggoreng cendawan supaya hasil masakan lebih sedap dan tidak berair.
4. Potong Selepas Dibersihkan
Ads
Ramai yang suka potong dahulu baru basuh. Sebenarnya ini membuatkan lebih banyak air masuk ke dalam cendawan kerana bahagian dalamnya sudah terdedah.
Lebih baik bersihkan dahulu, kemudian baru potong.
Jenis Cendawan Pun Main Peranan
Tidak semua cendawan mempunyai tekstur yang sama. Ada jenis yang lebih tahan air dan ada yang sangat mudah lembik.
Contohnya:
Cendawan butang lebih mudah dibersihkan dengan lap
Cendawan enoki lebih sesuai dibilas cepat kerana banyak celah halus
Cendawan tiram pula perlu diperiksa kerana kadang-kadang ada sisa medium tanaman
Sebab itu teknik membersihkan juga bergantung kepada jenis cendawan yang digunakan.
Kalau Nak Tumis, Jangan Masak Sekali Banyak
Selain cara membasuh, satu lagi kesilapan biasa ialah memasak cendawan terlalu banyak dalam satu kuali.
Bila terlalu padat:
Ads
Cendawan akan mengeluarkan air
Tekstur jadi rebus, bukan tumis
Sukar dapat warna perang yang sedap
Lebih baik masak dalam kuantiti kecil supaya haba lebih sekata dan cendawan boleh jadi lebih wangi serta garing.
Ramai tak sedar cara penyimpanan juga mempengaruhi tekstur cendawan.
Jangan simpan dalam bekas tertutup rapat ketika masih lembap kerana ia boleh mempercepatkan proses berlendir dan rosak.
Cara yang lebih baik:
Simpan dalam bekas kertas atau bekas berlubang
Letak tisu dapur untuk serap kelembapan
Simpan dalam peti ais bahagian sayur
Jika disimpan dengan baik, cendawan boleh tahan lebih lama dan kekal segar.
Kesimpulannya
Cendawan sebenarnya boleh dibasuh, tetapi bukan direndam lama seperti sayur biasa. Teknik membersihkan yang betul membantu mengekalkan tekstur, rasa dan kualiti cendawan ketika dimasak.
Bila tahu cara basuh cendawan yang betul, hasil masakan jadi lebih sedap, cantik dan menyelerakan. Kadang-kadang perkara kecil di dapur inilah yang memberi perbezaan besar pada hasil akhir hidangan.
Jemputan daripada Visit Victoria untuk menyertai AirAsia X Rediscover Melbourne dengan senarai tempat lawatan yang mengujakan membuatkan hati tidak sabar untuk berada di sana. Terbang dengan AirasiaX juga bukanlah kali pertama. Proses pendaftaran berjalan lancar sehinggalah berada di dalam perut pesawat. Sebagai orang media, sebentar sahaja, kami sudah dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain. Usai kapal terang sudah berada di udara, perut seperti terus meminta-minta. Apa lagi, Nasi Lemak Pak Nasser menjadi pilihan saya. Mengubat rindu. Inilah antara menu kegemaran saya kala terbang bersama AirAsia. Kini AirAsiaX menyediakan penerbangan setiap hari ke Melbourne dan pelbagai menu dengan pelbagai citarasa.
Kami tiba di Melbourne waktu pagi. Setelah segala proses mengambil bagasi selesai, sebahagian daripada kami membeli kad sim telefon. Ya lebih murah untuk digunakan sepanjang berada di sana. Sambil menunggu kenderaan yang akan membawa kami, kami diberi secawan kopi. Aduhai, bagi pencinta kopi seperti saya, ini salah satu tarikan pertama untuk jatuh cinta dengan bumi Victoria. Menghirup kopi dalam suasana dingin pagi memang memberi satu energi baru setelah berada lapan jam dalam penerbangan.
GEELONG & THE BELLARINE / GEELONG WATERFRONT
Keluar dari lapangan terbang, sudah sedia menanti kenderaan dari Explore Australia Tours. Kami terus berangkat menuju lokasi pertama di luar kota Melbourne. Kami berangkat ke Geelong. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit ini membawa kami ke kawasan santai dengan pemandangan replika seni yang dikenali sebagai ‘Bollards’, hasil seni dari pelukis terkenal Jan Mitchell.
Langit yang biru dan laut yang terbentang luas menyambut kedatangan kami. Jika ke sini kita boleh temui lebih dari 100 replika bollards dengan pelbagai warna dan corak. Kami menyusuri Rippleside Park, Limeburners Point dan Botanic Gardens. Cuaca yang cantik dan cerah serta berangin tidak terasa meletihkan. Apa Istimewanya Geelong Arts & Culture Trails ini? Di sini kita boleh memuat naik app yang disediakan untuk melihat replika bollards tersebut bergerak.
MINI GOLF DRIVING RANGE CHALLENGE AT CURLEWIS GOLF
Teruja ingin menghayun kayu golf penuh bergaya. Berangan sambil ketawa. Kami kemudiannya dibawa ke Mini Golf Driving Range Challenge di Curlewis Golf. diiktiraf antara Top 50 Australian Golf Course terbaik , The Range @Curlewis ini mempunyai 18 laluan driving range dan akademi latihan golf lengkap dengan makanan.
Paling seronok kami juga diberi task untuk melakukan aktiviti di sini. Sebagai beginner kami semua sangat teruja penuh dengan ketawa dan jeritan apabila pukulan kami masuk tepat ke lubang yang dituju. Mana tidaknya kerana kami dibahagikan kepada grup dan pemenangnya akan mendapat hadiah. Jadi masing-masing cuba untuk membuat pukulan tepat dengan sekali pukulan.
Selesai beraktiviti kami dihidangkan dengan minuman segar serta sneks berupa roti dan kek. Buat kaki golf, ini antara lokasi yang patut anda tuju. Sebelum meninggalkan kawasan ini, kami juga dibawa ke lapangan golf yang turut disediakan hotel dan chalet penginapan yang sangat menarik. Jadi kepada kaki golf tempat ini pasti menjadi salah satu destinasi patut dituju.
MAKAN TENGAHARI DI JACK RABBIT VINEYARD
Kami kemudiannya dibawa makan tengahari di Jack Rabbit Vineyard. Kawasan atas bukit yang mempunyai pemandangan indah menghadap laut lepas. Seafood yang segar, sajian kupan dan hidangan fish and chips yang enak dimakan dengan penuh berselera.
BELLARINE SMOKEHOUSE
Kami dibawa ke Bellarine Smokehouse yang berada tidak jauh dari lokasi kami makan tengahari. Ikan Salmon tentunya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Kalau melancong ke luar negara, mencuba variasi makanan laut adalah antara perkara yang selalu menjadi pilihan. Bellarine Smoke house menyediakan ‘smoked fish’ secara tradisional dan kualiti rasanya sangat dijaga.
Dibawa melihat proses asapan yang dilakukan, kami kemudianya dihidangkan dengan smoked salmon dan barramundi untuk dicuba. Ternyata rasanya sangat sedap. Buat penggemar salmon seperti saya, walaupun sudah kenyang tetap teruja mencuba. Selain ikan salmon, Bellarine Smokehouse juga menyediakan ikan barramundi, NZ Ora King Salmon, King Fish, Victorian Rainbow Trout dan belut.
R GEELONG HOTEL & MAKAN MALAM DI FISHERMAN’S PIER
Petang menjelang tiba, kami akhirnya dibawa mendaftar bilik di R Geelong Hotel. Setelah seharian ke sana dan ke sini, sememangnya tidak sabar untuk menyegarkan diri. Walau diberi masa yang singkat untuk berehat, tetapi cukup untuk saya merebahkan badan sebentar atas tilam yang empuk. Kemudiannya mandi dan bersiap untuk menikmati hidangan makan malam di Fisherman’s Pier.
Restoran yang terletak berhampiran port boat ini rupanya adalah restoran yang telah mendapat Anugerah Restoran Seafood Terbaik selama 40 tahun berturut-turut! Ah, memang teruja betul apa lagi setelah mandi, perut kembali lapar. Saya juga sudah berangan mahu memesan menu berasaskan ikan dan makanan laut. Pasti segar dan enak. Kerana restoran ini tidak jauh dari hotel penginapan, kami berjalan kaki beramai-ramai.
Santai dalam cuaca petang yang indah. Angin laut yang bertiup agak dingin tak terasa kami sudah menghampiri restoran yang dituju. Benarlah sesuai dengan gelarannya diterima, setiap ruang tempat duduk sudah penuh. Selesai menikmati makan malam, kami pulang ke bilik.
SARAPAN DAN KE QUEENSCLIFF
Hari kedua sudah mula, kami bersarapan di kafe berhadpan hotel. Cafe’Go menyajikan hidangan sarapan ‘mat saleh’ yang tidak asing bagi orang Malaysia. Laju sahaja masing-masing membuat pesanan.
Dan kerana kami akan memulakan perjalanan yang agak jauh jadi setelah bersarapan kami bergerak untuk menaiki feri menuju Seorrento.
MENYUSURI MILLIONAIRE’S WALK
Kawasan elit yang menempatkan rumah-rumah serba mewah menghadap laut yang terkenal dengan nama Millionnaire’s Walk. Menyusuri laluan ‘Millionnaire’s Walk’ melalui kawasan belakang rumah-rumah mewah yang indah sambil melepaskan pandangan ke laut lepas memang melekakan. Bunga-bunga liar yang menghiasi laluan menjadikan suasanan sangat indah.
Terlihat juga deretan Jeti-jeti kapal mewah membarisi pantai yang semestinya dimiliki oleh pemilik rumah-rumah mewah ini. Satu pengalaman berbeza kerana selama ini mungkin kita hanya menonton filem atau melhat gambar sahaja. Ya , pengalaman indah untuk dijadikan memori. Kawasan perumahana mewah itu bak resort itu kami tinggalkan untuk ke satu lagi destinasi menarik yang menghidangkan pemandangan indah. Kami kemudiannya ke Penisular Hot Spring dan seterusnya bermalam di Rye Hotel. Selesai mandi, kami bersiap lagi untuk makan malam. Kali ini kami dibawa ke Intercontinental, Soreento.
MAKAN MALAM DI THE ATRIUM
Masuk ke ruang dalam The Atrium at Intercontinental, Sorrento. yang serba mewah sememangnya sangat menarik. Hiasan dalaman yang moden memberikan mood yang lebih segar dan mengujakan.
Kami terus ke meja yang telah disediakan. Memilih menu dan makan dengan penuh khusyuk. Maklum sahaja kalau lepas berendam, perut pastilah menjerit kelaparan. Semua makanan sedap dan saya memilih hidangan ikan salmon. Segar dan sedap sekali. Selesai makan malam kembali ke hotel untuk berehat dan esoknya kembali ke Kota Melbourne.
SERONOKNYA CUCI MATA DI SOUTH MELBOURNE MARKET
South Melbourne Market. Sudah berusia lebih 150 tahun, South Melbourne Market menjual pelbagai barangan, makanan, sayuran, bunga, buah-buahan, ikan , daging dan hasil laut yang segar. Bukan itu sahaja, di sini juga menempatkan pelbagai restoran dan tempat makan termasuk makanan halal. Pilihan pakaian, cenderahati dan pelbagai hasil seni juga boleh didapati di sini.
Orang seperti saya memang sangat teruja kalau dibawa ke tempat seperti ni. Boleh leka menikmati barangan yang dijual. Seketika saya leka melihat deretan pelbagai jenis cheese yang dijual. Dan dalam kunjungan ini kami juga diberi peluang merasa pelbagai jenis cheese. Best sangat! Kami juga diberi mencuba tiram segar. Sayangnya saya bukan penggemar tiram. Kami juga menikmati makan tengah hari di salah satu restoran di sini. Dan semestinya halal untuk orang Muslim.
Dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang pada hari Rabu, pada hari Jumaat pula ditutup jam 6 petang manakala ditutup jam 4 petang pada hari bekerja yang lain. Jadi pastikan jadual percutian anda disusun dengan baik kerana market ditutup pada hari Isnin, Selasa dan Khamis. Oh ya, saranan saya, jangan lupa mencuba croissant terbaik di Agathé Pâtisserie dan datang awal sebab kena beratur panjang. Sumpah sangat sedap!
Esoknya kami ke Philip Island, satu lagi lokasi yang tidak boleh dilepaskan. Jika sudah pasang angan-angan mahu menyaksikan perarakan penguin terkecil di dunia, anda mesti masukkan Philips Island dalam senarai tempat yang bakal dikunjungi. Dua jam perjalanan dari kota Melbourne tidak akan terasa lama kerana dihidangkan dengan permandangan indah sepanjang jalan.
Dalam perjalanan kami singgah Caldermeade Dairy . Ladang lembu tenusu yang turut dilengkapi dengan kafe dan mini market yang menjual pelbagai hasil tenusu. Kami sempat dibawa melawat ke kawasan peliharaan lembu dengan menaiki ‘truck’ khas.
Selain itu turut disediakan pelbagai aktiviti seperti memberi makan binatang peliharaan. Aktiviti ini memang sesuai bagi yang travel bersama anak-anak. Sempat juga mencuba susu coklat yang dijual dan memberi beberapa cenderahati untuk dibawa pulang.
Philip Island, Pulau perlindungan terletak di pantai selatan Australia. Nikmati keindahan pelbagai aktitivi di pulau ini termasuklah menyaksikan penguin parade, nobbies, anjing laut dan menaiki helicopter sambil menyaksikan keindahan Philip Island dari udara.
PHILLIP ISLAND CHOCOLATE FACTORY
Kilang Coklat yang terkenal di pulau ini. Mempunyai lebih dari 190 jenis coklat pelbagai rasa, Visit Panny’s Amazing World of Chocolate juga mempunyai pameran informasi mengenai penghasilan koko . Kita juga dapat dapat menyaksikan bagaimana pembuatan coklat, anak-anak dapat mempelajari sejarah pembuatan coklat sambil bermain pelbagai permainan yang disediakan. Kalau dah sampai ke sini tak lengkaplah kalau tak mencuba hot chocolate yang dijual di kafenya. Sedap!
Melengkapkan perjalanan di sini, kami berangkat pulang sambil melalui kawasan perkampungan dan ladang-ladang tenusu yang luas dan menghijau. Seketika kami singgah di bass coast trail, wonthagei Railway dan Wonthagi Wind Farm dan menikmati makan tengahari di Kilcunda.
GELATO DALAM SUASANA DINGIN DAN HUJAN GERIMIS
Bertolak pulang ke Melbourne kami singgah pula menikmati ais krim dan gelato di Kori Icekrim di Howthorn. Kafe gelato milik Joane Yeoh anak kelahiran Malaysia ni menyediakan pelbagai perisa yang menjadi kegemaran ramai. Joane Yeoh turut di senaraikan sebagai upcoming chef di bawah usia 30 tahun oleh MFWF 2022. Kami sempat mencuba pelbagai jenis gelato dan aiskrim. Hujan gerimis dan udara sejuk tidak dihiraukan kerana gelato yang mendapat inspirasi dari manisan Jepun ini benar-benar enak. Selesai menikmati aiskrim dan gelato kami pulang ke hotel penginapan. Malam terakhir di Melbourne dalam hujan gerimis, kami menikmati sepenuhnya pemandangan malam. Berlari membeli cenderahati sebelum kedai tutup. Menghabiskan wang kecil dengan membeli coklat dan menikmati malam malam citarasa Thai.Kata orang teman travel yang tepat sangat penting untuk mewujudkan suasana ‘meriah’sepanjang percutian. Carilah teman, rakan dan sahabat yang betul untuk percutian yang panjang apa lagi jika memerlukan kita travel dari satu tempat ke tempat yang jauh.
Terima kasih sahabat-sahabat media, Anis, Shaz,Lissa, Martin dan Carmen. Amzar dan Ariff dari AirAsia, Yih Ling dari Go Communication dan orang paling penting dan Jenny dari Visit Victoria yang menjadi teman travel paling best sepanjang percutian kami.
Terima Kasih AirAsia X yang menyediakan penerbangan selesa dan Visit Victoria yang menyediakan iternary yang sangat menarik. Untuk anda yang ingin terbang ke Melbourne, kini AirAsia X menyediakan penerbangan setiap hari. Pilih sahaja hari yang sesuai untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan yang pasti anda bakal menikmati percutian yang penuh kenangan.
Kenangan Coffee, rangkaian F&B runcit baharu yang paling pesat berkembang di Indonesia secara rasmi membuka pintunya di Malaysia hari ini dengan kedai pertamanya di Suria KLCC.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Pengasas Bersama Kenangan Coffee, Edward Tirtanata, Ketua Pegawai Eksekutif dan James Prananto, Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan.
James Prananto, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan berkata, “Kami ingin menekankan perkataan ‘Kenangan’ kerana ia sesuai diterjemahkan kepada ‘membuat kenangan’. Setiap orang yang datang ke kedai kami dilayan seperti rakan dan setiap cawan kopi yang kami jual dibuat dengan penuh kasih sayang dan kami berharap ini dapat memberi kesan kepada pelanggan yang membuat kenangan bersama kami sepanjang perjalanan ini.
Kami bercita-cita untuk menjadi jenama pengguna yang paling digemari di Asia Tenggara dan Malaysia akan menjadi tapak utama dalam membantu kami mencapai misi ini.”
Kenangan Coffee akan membuka empat lagi kedai di MyTown Cheras, Pavilion KL, NU Sentral KL dan Sunway Pyramid menjelang akhir tahun ini. Ia juga telah melancarkan Akademi Latihannya di Uptown, menyediakan pelbagai program latihan untuk barista dan pekerjanya, dengan matlamat untuk menjadi pusat latihan F&B profesional terbaik di Malaysia.
Kenangan Coffee memperkenalkan minuman istimewa kegemarannya, Kenangan Latte dan Kopi Avocado serta pelbagai pilihan kopi lain. Harga secawan bermula dari RM5.90. Kenangan Coffee juga akan memperkenalkan pelbagai pilihan makanan sebagai peneman kopi yang menarik.Untuk maklumat lanjut, boleh layari: www.kenangancoffee.my
Semua sedia maklum Secret Recipe terkenal dengan Kek pelbagai perisa yang disukai ramai. Menu makanan lain selain Kek juga menjadi pilihan rakyat Malaysia. Jadi, apa kaitan Secret Recipe berkolaborasi bersama Universal Music Malaysia kali ini?
Buat julung kalinya gabungan makanan dan muzik disatukan dalam satu bumbung kerana mereka percaya makanan yang sedap boleh dikaitkan dengan muzik secara tidak langsung mempengaruhi “mood” kita untuk memilih sesuatu makanan ketika lapar.
Kolaborasi antara Secret Recipe & Universal Music Malaysia bakal memberikan impak yang besar kepada industri untuk mengenengahkan artis baru yang sedang meningkat naik seperti Athalia, Bella Astillah, Yonnyboi & Meer Nash. Platform yang tersedia antara Secret Recipe & Universal Music Malaysia bakal mengorak lebih banyak kempen yang menarik pada masa akan datang.
Baru-baru ini kolaborasi antara Chef Anis Nabilah & Secret Recipe dalam menghasilkan menu Nasi Kerabu telah mempeberikan impak yang sangat positif sehinggakan menu itu terpaksa diteruskan jual sehingga bulan Julai 2023 dek kerana sambutan yang hangat dari peminat setia Secret Recipe.
Semoga kolaborasi baharu ini berjalan dengan lancar dan berjaya seperti yang dirancangkan untuk masa akan datang.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Nasi Goreng Tomyam yang sedap, pedas, masam dan menyelerakan. Ikuti resipi lengkap bersama petua memasak untuk menghasilkan hidangan yang padu dan memikat selera seisi keluarga.